[42]
TERDAPAT tiga ruang di dalam bunker milik Sudha. Bilik yang paling kecil terletak di hujung sekali. Bilik itu padat dengan rak-rak tinggi yang dipenuhi kotak-kotak rokok seludup dan tumbuh-tumbuhan aneh. Lantai juga bersepah dengan pelbagai barangan dan kertas-kertas. Bau tempat itu agak hapak kerana kekurangan pengaliran udara. Pencahayaan lampu juga agak malap.
Di satu sudut yang agak terperosok, Azaka sedang berbaring di atas sebuah katil besi. Wajahnya sedikit berkerut setiap kali jarum menembusi kulit di abdomennya. Auvo yang sedang menjahit luka tersebut tersenyum sedikit melihat reaksi perempuan itu.
"Jarang dapat tengok kau senyum. Seronok sangat ke tengok aku macam ni?" Soal Azaka dengan sengihan kecil.
"Jarang dapat tengok kau macam ni. Selalunya kau berlagak macam kuat sangat." Balas Auvo.
Azaka masih lagi tersengih. "Heh... bagus juga aku cedera. Sekurang-kurangnya dapat tengok senyuman mahal kau tu..."
"Aku selalu je senyum kat dalam hati." Auvo buat lawak hambar.
Azaka tergelak kecil, namun wajahnya kembali berkerut dek kerana tekanan di lukanya akibat tawa itu.
"Okay, dah siap." Auvo menggunting benang nilon itu dan seterusnya mengemaskan semula kotak pertolongan cemas yang terletak di atas sebuah meja kecil. Tisu-tisu dan kain berdarah dibuang ke dalam bakul sampah.
Azaka bangun dan duduk berjuntai di birai katil.
"Wow... mahakarya..." Perli Azaka sebaik melihat jahitan Auvo yang begitu hodoh.
"Terima kasih." Ujar Auvo seraya melabuhkan punggungnya di kerusi plastik bersebelahan katil.
Azaka menghembus nafas di peparunya perlahan-lahan. Renungannya melekat di wajah Auvo buat beberapa ketika.
"Cakap jelah." Kata Auvo yang sudah masak dengan perlakuan itu.
"Kau cuba penggal kepala Nell." Air muka perempuan itu sedikit serius.
"Aku tau dia takkan mati." Balas Auvo.
Azaka tersenyum senget. "Auvo, aku dah lama kenal kau. Dari cara kau, aku tau kau memang nak bunuh dia..."
Auvo terdiam sebentar. Kemudian, pandangan dilemparkan ke dalam mata biru perempuan itu.
"Kau hampir mati. Dalam apa keadaan sekalipun, aku akan sentiasa pilih kau berbanding dengan orang lain. Kau faham kan?" Jawab Auvo.
"Tapi budak tu, dia -"
"Dia bukan Naraki." Pintas Auvo mendatar. "Aku tak peduli apa misi yang Pako bagi kat kau. Aku takkan biarkan kau mati walaupun aku kena bunuh semua orang, walaupun aku kena tentang satu dunia. Sama macam apa yang kau sanggup buat untuk Naraki."
Azaka menghela nafas. "Naraki tu lain, Auvo. Bukan aku saja, ramai orang sanggup ikut dia sampai ke akhirnya. Aku ni pulak, bukan siapa-siapa pun..."
"Kau lebih dari tu buat aku. Kau tau perasaan aku untuk kau. Aku tak kisah walaupun tak pernah dapat jawapan. Kau tu bebas macam burung. Aku tak nak ikat kau. Kau boleh buat apa saja yang kau nak. Tapi, aku tak boleh biarkan kau terkorban." Luah Auvo mendalam namun tanpa sebarang ekspresi di wajahnya.
Azaka membalas renungan Auvo. Anak mata mereka bertaut agak lama.
"Terima kasih... aku hargai." Sedikit senyuman mucul di bibir perempuan itu. "Tadi aku cuai. Lain kali ia takkan berlaku lagi. Aku takkan apa-apa. Aku mohon, lain kali kau jangan apa-apakan dia lagi."
Auvo cukup sedar, di balik wajah ceria itu terselindung sebuah pergelutan di dalam kepalanya. Perempuan itu masih lagi khuatir dengan keselamatan Nell, terutamanya selepas dia hampir menyembelih budak itu.
"Okay." Auvo bersetuju demi mententeramkan perempuan itu.
Azaka kelihatan lebih tenang.
"Hei.." Sudha muncul di muka pintu lalu melemparkan dua bungkusan kecil yang mengandungi roti. Auvo dan Azaka menyambut bungkusan-bungkusan plastik tersebut.
"Macam mana dengan Wulan?" Soal Azaka.
"Dia dah bangun sekejap tadi. Lepas tu dia tertidur balik. Dia kata dia dikepung dan ditembak. Kemudian, dia berjaya larikan diri sebelum pengsan. Keadaan dia macam dah makin pulih." Jawab Sudha sambil berjalan menghampiri mereka berdua.
Azaka mengangguk faham.
"Bila korang nak bagitau budak-budak tu cerita sebenar?" Soal Sudha sambil memandang dua orang rakannya itu bersilih ganti.
Azaka menjungkit bahu. Auvo langsung tidak memberikan respon.
"Korang tau tak, korang tengah cipta masalah? Lagi lama korang berahsia, lagi buruk padahnya..." Nasihat Sudha.
Azaka menggosok belakang lehernya. "Aku tak dapat nak agak apa tindakan Diorang. Ada risiko yang diorang akan lari kalau tak dapat terima kebenaran. Aku tak nak apa yang telah semua orang rancang selama ini musnah di tengah jalan."
Sudha mengeluh. "Aku malas nak cakap banyak dengan korang. Cuma satu je aku nak pesan. Kalau dah terlalu banyak benda yang korang simpan, satu hari nanti korang akan hilang kawalan. Masa tu korang nak buat apa pun dah terlambat..."
"Aku rasa biarlah kita sampai di pangkalan dulu, barulah kita bagitau diorang. Sekurang-kurangnya waktu tu diorang dah berada di tempat yang selamat dan dalam jagaan rapi." Terang Azaka.
Sudha menggeleng. "Suka hati korang lah. Kalau jadi apa-apa, korang lah tanggung..."
"Baik, ayah." Kata Auvo malas. Sudha menjegil dan membaling air kotak yang dipegangnya ke arah kepala Auvo, namun dapat ditangkap lelaki itu. Azaka menahan tawa.
Kau dah dapat hubungi Pako atau yang lain-lain?" Tanya Sudha sambil memberikan sekotak lagi air kepada Azaka.
"Belum. Tapi gagak tu datang jumpa aku dua hari lepas." Beritahu Azaka.
"Gagak?" Kening Sudha hampir bersambung.
"Reva." Sampuk Auvo.
"Ohh..." Sudha mengangguk. "Apa perkembangan terbaru? Isteri aku macam mana?" Nada Sudha berubah bimbang.
"Kassandra selamat. Dia tu kuat, jangan risau. Lepas diorang diserang teruk haritu, diorang dah pindah ke satu lokasi. Susah nak pulihkan sistem komunikasi diorang buat masa terdekat ni. Jadi dengan bantuan Reva, kebanyakan pesanan dihantar melalui burung saja. Kurang efisien, tapi itu saja cara yang ada buat masa sekarang." Beritahu Azaka panjang lebar.
Sudha menghembus nafas lega dan duduk di atas katil bersebelahan Azaka. Dia begitu bersyukur mendengar perkhabaran baik tentang isterinya.
"Berapa ramai yang... mati?" Tanya Sudha teragak-agak.
"Ramai..." Azaka terdiam seketika. "Termasuk Pieter dan Zarmineh."
Sudha tertunduk sebaik mendengar kedua-dua nama tersebut. Satu keluhan berat dilepaskan. Rambutnya diramas dengan sebelah tangan. Wajah gembira pasangan yang baru berkahwin itu bermain di matanya. Juga kandungan Zarmineh yang hampir berusia 8 bulan.
Suasana segera menjadi bisu. Kesedihan, kemarahan dan kekecewaan menyelubungi ruang sempit itu. Mereka dapat merasai emosi masing-masing biarpun tanpa sebarang kata. Jerihnya rasa kehilangan demi kehilangan merobek-robek jiwa sehingga hancur. Begitu ramai rakan seperjuangan yang telah gugur. Segala kepayahan yang mereka tanggung selama ini bagaikan tiada berkesudahan. Berapa banyak nyawa lagi yang perlu dikorbankan?
"Aku nak pergi berkawal." Auvo memecah sunyi yang berlanjutan selama hampir dua minit itu. Lelaki itu bingkas mencapai pedangnya dan berlalu pergi.
"Aku nak pergi merokok. Kau patut berehat..." Ujar Sudha sambil menepuk perlahan bahu Azaka. Kemudian, lelaki itu juga bangun dan keluar dari bilik tersebut.
Azaka turut meninggalkan ruang itu. Dia masuk ke ruang tengah yang menempatkan dapur kecil dan almari-almari besi.
Nell terbaring mengerekot beralaskan kotak di bucu dinding. Azaka mengambil tempatnya di sebelah budak yang sudah lena itu. Dia mengalihkan kain basah yang berada di dahi Nell, lalu meletakkan telapak tangannya di situ. Bahang panas masih terasa.
Azaka merenung budak yang berpeluh-peluh itu.
"Naraki, kan bagus kalau kau ada kat sini. Kau mesti tau apa nak buat..." Desis perempuan itu sendirian.
_________________________________________
Ruang bunker yang paling hadapan agak luas. Bilik itu dipenuhi dengan kotak-kotak kayu dan pelbagai jenis senjata api yang tergantung di dinding. Kelihatan bekalan peluru-peluru, bom-bom dan bermacam-macam lagi alatan disusun memenuhi rak-rak besi.
Sebuah jam di dinding telah menunjukkan waktu tiga pagi. Lampu telah dipadamkan. Cahaya lentera yang diletakkan di tengah-tengah ruang menyinar dengan suram. Wulan dan Rintana telah dibuai mimpi di atas sebuah katil dua tingkat. Kaio dan Sonny pula sedang berbaring beralaskan beberapa keping kotak di tepi dinding.
"Tak boleh tidur?" tanya Kaio kepada Sonny yang sedang terkebil-kebil memandang ke atas.
"Hmmm." Balas Sonny tanpa melihat rakannya yang sedang terbaring di sebelah.
"Kau fikir apa?" Soal Kaio lagi.
"Tak de apalah..." Dalih Sonny.
"Cakap jelah...." Kaio tahu lelaki itu cuba berbohong.
Sonny menoleh ke arah Kaio. Dia berfikir sesuatu sebelum meneruskan bicaranya.
"Macam mana kalau abang aku betul-betul masih hidup dan ada kat Tanah Lama sekarang ni? Mungkin ayah kau pun sebenarnya terselamat dan masih hidup?"
Kaio menyeringai. "Kau percaya cakap perempuan jahat tu? Sejak bila kau percayakan orang?"
Sonny menarik nafas dalam-dalam. "50-50..."
"Perempuan tadi tu cuma nak permainkan kita. Barangkali dia cuba nak laga-lagakan kita dengan Azaka dan Auvo, supaya lebih senang kerja diorang." Hujah Kaio.
"Huh... Kalau tak kerana perempuan tu pun, aku memang tak pernah percayakan Azaka sepenuhnya. Kau tak pelik ke, dia muncul tiba-tiba enam bulan yang lepas, kemudian dia heret kita sampai ke sini?" Sonny menyuarakan kesangsiannya.
"Kebetulan je tu..." Kaio cuba menyangkal. Dia tidak pernah ragu akan Azaka.
Wajah Sonny berkerut. "Aku dah tak tahu nak percayakan siapa lagi selain kau..."
Mereka melayani perasaan masing-masing. Hujan di luar masih mengganas, berselang-seli dengan dentuman-dentuman guruh dan lolongan angin kencang.
"Aku masih tak boleh berhenti fikirkan tentang budak tu..." Kaio menyambung bicara.
"Nell?"
"A'ah. Aku rasa semua yang terjadi malam ni macam mimpi..."
"Aku dah cakap dari dulu, dia tu bahaya. Entah dari mana asal-usul dia, dengan tanda lahir pelik dia tu." Rungut Sonny.
"Takkanlah dia dari UMBRA?" terkeluar persoalan itu dari bibir Kaio. Namun dia cepat-cepat menggeleng. "Tak mungkinlah. Dia kan dari Dataran Besar. Tak ada UMBRA di negara mundur macam tu..."
"UMBRA tu licik. Apa yang kita rasa mustahil tu, mungkin sebenarnya dah berlaku." Bidas Sonny.
Perbualan mereka tamat di situ. Mata Kaio masih segar memandang kegelapan. Sepatutnya dia berasa takut, tetapi sebaliknya dia berasa kasihan dengan Nell. Budak itu jelas melakukan semua keganasan tadi bukan dengan kerelaannya. 'Iblis' yang bermaharajalela itu bukanlah dirinya.
Kaio yakin, Nell orang yang baik.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top