[41]
BILIK serba putih mirip sebuah wad itu lengang. Ruangnya luas dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden. Tiada tingkap. Hanya beberapa corong penyaman udara yang berada di siling.
Kedengaran bunyi mesin-mesin yang mengelilingi satu-satunya katil yang ada di situ.
Nell melihat tangannya yang kecil. Ada tiub-tiub plastik yang tercucuk di kulitnya. Pada dadanya juga terdapat tiub-tiub yang sama.
Dia menoleh ke kiri. Irena kelihatan agak muda, sedang duduk sambil memandangnya yang sedang berbaring di atas katil. Wanita itu mengusap perlahan kepala budak botak yang berpakaian putih itu.
"Kenapa diorang asyik buat saya sakit?" Soal Nell lemah.
Irena terkesima. Dia merenung budak kecil itu, cuba mencari jawapan yang sesuai. "Supaya awak cepat sihat..."
Anak mata Nell juga tidak berganjak dari wanita di sisinya. "Tapi saya rasa lagi sihat waktu kita kat luar. Saya nak keluar dari sini... saya tak suka tempat ni..."
Irena tersenyum kelat. "Tak lama lagi kita akan balik ke rumah. Sabar sekejap je... bila kamu dah sihat nanti, kita boleh keluar bermain macam dulu."
"Saya tak suka diorang. Diorang suka buat saya sakit. Semua orang jahat. Saya tak nak sakit lagi. Saya dah tak tahan... tolonglah... saya tak nak lagi... sakit...." Rintih budak kecil itu. "Tolonglah bawak saya pergi..."
Irena sudah tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakannya. Dia terus mengelus perlahan pipi budak yang baru berusia 4 tahun itu. Rasa bersalah menjerut dada. Perlahan-lahan air jernih berkumpul di tubir matanya.
Pintu bilik terbuka dan melungsur masuk ke dalam dinding. Muncul dua orang lelaki dan seorang perempuan yang memakai kot makmal. Wajah mereka sudah siap ditutup dengan topeng mulut.
Nell menjadi panik apabila ternampak orang-orang tersebut.
"Pergi! pergi!" Budak kecil itu cuba turun dari katil. "Tak nak! Pergi! korang semua jahat!"
"Nell, jangan macam ni!" Irena memegang erat lengan Nell, cuba menghalangnya daripada lari.
"Tak mengapa, Doktor. Kami akan jaga dia mulai sekarang." Salah seorang lelaki menghampiri Irena.
Dua orang lagi rakannya segera menekan Nell ke atas tilam. Irena bangun dari kerusinya dengan perasaan berbelah bahagi.
Perlahan-lahan, air matanya mengalir.
"Jangan tinggalkan saya! Tolong saya! Diorang akan cederakan saya! Tolong!" Nell menangis dan terus mengamuk. "Jangan sakitkan saya lagi! saya tak nak!"
Irena berundur perlahan-lahan ke arah pintu. Dia mula teresak-esak memandang budak yang langsung tiada kudrat untuk melawan. Tetapi dia tidak punya banyak pilihan.
Irena keluar dari bilik tersebut. Pintu bilik beransur-ansur tertutup. Lelaki berkot makmal tadi mengunci pintu itu dari dalam. Irena masih berat hati dan tidak berganjak. Dia terus melihat Nell melalui cermin di pintu.
Lelaki tersebut mula menyedut ubat penenang ke dalam picagari yang dipegangnya.
Irena dapat mendengar sayup-sayup suara sayu si kecil meminta tolong. Saat itu, hatinya sudah remuk. Dia sudah tidak sanggup membiarkan budak itu terus diseksa.
"Cukuplah! Jangan apa-apakan dia lagi!" Rayu Irena bersama tangisan yang semakin galak. Pintu wad itu diketuk dan digoncang berkali-kali. "Nathaniel! Nathaniel!"
.
.
.
"...NATHANIEL...!!"
Nell memandang perempuan yang tergantung di hadapannya. Cengkaman tangan di leher Azaka segera dilepaskan.
Azaka terjelepuk ke tanah. Perempuan itu terbatuk-batuk dan cuba sedaya-upaya mencari nafas.
Pedang Auvo berdentang jatuh.
Nell terduduk. Rona biru di matanya kembali. Urat-urat yang timbul di seluruh kulitnya kian mengecut dan lenyap. Tubuhnya beransur-ansur berubah menjadi normal. Tiada lagi temulang yang tersembul di belakang mahupun jemari yang runcing.
Nell mula tercungap-cungap. Serta-merta, satu keletihan yang amat sangat menjalar ke seluruh tubuhnya. Dia menggigil. Kedinginan terasa menusuk hingga ke tulang.
Budak itu memandang perempuan di hadapannya yang sedang duduk menekup luka di perut.
"...Azaka...?" Nell bertanya lemah.
Perempuan yang jelas sedang menahan kesakitan itu mengangguk kecil. Sedikit kelegaan terpamer di mukanya.
"A... apa terjadi...?" Soal budak itu dengan seribu kekeliruan di wajah.
Azaka tidak membalas. Dia mengesot sedikit ke hadapan. Sebelah tangannya memeluk budak yang sudah dikuasai ketakutan itu.
"Syukurlah kau dah kembali..." Azaka mengeratkan dakapan. Kebimbangannya perlahan hilang.
Nell tidak membalas pelukan tersebut. Saat itu, dia dapat melihat persekitaran kota yang beberapa kali disimbahi cahaya kilat. Matanya melekat pada semua mayat-mayat yang berselerak di tanah serta runtuhan-runtuhan bangunan. Bau busuk daging bercampur darah juga sudah mengganggu hidungnya.
"Apa yang dah berlaku? Apa maksud kau aku dah kembali...?" Bisik Nell penuh getaran. Sekali lagi, soalan itu juga dibiarkan tidak berjawab.
Nell memegang bahu Azaka dan menolaknya perlahan. Perempuan itu melonggarkan rangkulannya.
Budak itu merenung Azaka, memohon segala penjelasan. Pelbagai kekusutan dan kecelaruan bergenang di ruangan matanya. Perempuan itu hanya mampu membalas pandangan tersebut tanpa kata.
Degupan jantung budak itu makin menggila apabila sorotan matanya tertancap pada luka di abdomen Azaka.
"Aku... aku dah cederakan kau...??" Nell mulai panik.
"Tak, tak... bukan kau..." Azaka cepat-cepat menggeleng dan mengusap lengan budak itu, cuba untuk menenangkannya.
Perempuan itu membuka jaket khakinya yang sudah lencun. Dia menyarungkannya di belakang Nell. Kemudian, Azaka memegang pipi budak tersebut.
"Apa saja yang berlaku malam ni, semuanya bukan salah kau. Ia takkan pernah jadi kesalahan kau... faham?" Pujuk Azaka.
Nell masih memandang Azaka dengan wajah yang dipenuhi kerutan. Penjelasan itu tidak langsung dapat melenyapkan ketakutan dan kecelaruan yang semakin membadai di hatinya.
"Kita patut pergi..." Auvo muncul di belakang budak itu dan mengutip pedangnya. "Siegrid ada di sini. Tak mustahil Lustina pun ada sekali sebelum kita sampai tadi. Ada kebarangkalian dia pergi dapatkan bantuan sokongan..."
"Aku nak cari Wulan..." Pintas Azaka.
"Aku akan cari dia lepas bawa korang ke tempat yang selamat. Mungkin juga dia dah berada di dalam Panthera." Balas Auvo.
"Mungkin..." gumam perempuan itu.
"Kau boleh bangun, budak?" Soal Auvo kepada Nell.
Nell bangkit dengan sedikit kepayahan. Kakinya terasa lembik. Seluruh badannya seakan kehabisan tenaga. Namun, dia tetap gagahkan diri.
Keadaan ini betul-betul sama dengan apa yang dialaminya pada hari kematian Irena dan Leon. Imbasan askar-askar besi yang mati serta rumahnya yang dibanjiri darah bermain semula di mata. Nell meraup wajahnya, tidak mahu lagi mengingati kenangan buruk itu.
"Kau betul-betul okay?" Soal Auvo prihatin.
Nell mengangguk sedikit walaupun hakikatnya dia rasa begitu teruk sekali.
Azaka hampir terjatuh semula sebaik dia cuba berdiri. Mujur Auvo pantas menangkapnya.
"Kau pulak memang tak okay. Bagi aku dukung kau." Pinta Auvo yang sedang memapah Perempuan itu.
"Aku masih boleh jalan." Bantah Azaka.
"Untuk kali ni, tolong jangan degil. Kau hanya akan lambatkan kitorang." Ujar lelaki itu sambil mengangkat kening.
Azaka tersengih kecil. Auvo pandai mencari peluang untuk mengutuknya yang selama ini bermain dengan kelajuan.
Auvo menyerahkan pedangnya kepada Nell. Kemudian, dia menggendong Azaka di belakangnya. Mereka berlari-lari anak meredah hujan sehingga tiba di pintu gerbang kota.
Keadaan di kawasan itu sudah sepi. Yang kedengaran cuma rintik air menghempas bumi. Panthera tidak langsung kelihatan.
Tidak berapa jauh dari situ, kenderaan tersebut mula tersingkap sedikit demi sedikit dari balik sebuah aura kehijauan. Terus langkah mereka diorak laju mendekatinya.
Pintu belakang Panthera dibuka dari dalam. Sudha terjenguk keluar.
"Aku ingat kau dah blah..." tegur Auvo seraya menurunkan Azaka ke tanah.
"Takkan lah aku nak tinggalkan korang camtu je." Sudha menyeringai. "Ergh... korang nampak teruk..."
Sudha menutup pintu sebaik mereka bertiga masuk ke dalam Panthera. Mereka tersandar di dinding penuh keletihan.
"Apa jadi kat dia?" Azaka cuba mengesot ke arah Wulan yang sedang terbaring tidak sedarkan diri. Namun kesakitan yang tiba-tiba menikam membatalkan niatnya.
Rintana berada di sebelah Wulan dan sedang merawat luka tembakan di bahu wanita tersebut. Budak perempuan itu menggelengkan kepalanya tanda tidak tahu.
"Kami jumpa dia pengsan di tepi jalan." Jawab Sonny yang berada di kerusi penumpang hadapan. "Mungkin dia kena serang dengan askar-askar tu jugak..."
Sudha memandang mereka yang basah kuyup itu satu-persatu. Nell sedang termengah-mengah. Budak itu kelihatan begitu tegang dan terganggu. Auvo terluka di merata tempat. Azaka pula dengan kesan tikaman yang masih rancak berdarah. Wulan terlantar langsung tidak bergerak.
"Kalau macam ni lah keadaan korang, kita tak boleh teruskan perjalanan. Macam mana kalau tiba-tiba kita terjumpa lagi konco-konco Rengeiz?" Luah Sudha.
"Kau ada cadangan?" Soal Auvo.
"Aku ada satu bunker kat dalam hutan. Tempat aku sembunyikan barang-barang yang aku seludup. Kita berhenti dulu kat situ, rawat korang, dan dapatkan apa-apa benda yang perlu." Sudha mengutarakan pendapatnya.
"Setuju." Sahut Kaio di kerusi pemandu. "Lagipun aku lapar..."
Sonny menunjal kepala rakannya yang masih memikirkan tentang makanan di saat genting sebegini. Mereka bertekak kecil.
Azaka mengerling ke arah Nell yang terlihat begitu lelah.
"Ya, kita perlukan rehat." Azaka menyokong saranan tersebut.
Kaio menekan pedal minyak. Panthera membawa haluan menuju ke hutan. Kenderaan itu meluncur laju meninggalkan kawasan tragedi tersebut.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top