[39]

"PERGI dari sini." Arah Warang kepada saki-baki tentera yang tinggal.

Askar-askar itu agak keberatan. Namun setelah melihat bayangan legap yang bergerak keluar dari kaki Warang, mereka beransur pergi.

Auvo melangkah beberapa tapak ke belakang.

Bayang-bayang Warang mula melimpah di tanah. Lama-kelamaan, ia terus membesar dan mula mengeluarkan lengan-lengan panjang seperti kurita.

Tanpa amaran, semua lengan tersebut terus terbang ke arah Auvo penuh rakus. satu persatu cuba untuk membelit dan menikamnya.

Auvo menyelinap dari satu kenderaan ke kenderaan lain dengan tangkas, cuba mengelakkannya.

Beberapa rejaman dari bayangan yang tersasar telah merobekkan dan menterbalikkan kenderaan-kenderaan di sekeliling Auvo.

Sebilangan tentera yang tidak sempat melarikan diri turut maut akibat tusukan bebayang yang sekeras keluli.

Auvo memijak dinding sebuah bangunan dan melonjak naik. Dia mendarat di atas sebatang lampu jalan.

Lajur-lajur bebayang itu kembali mengecil dan membentuk sebuah bulatan di bawah telapak kaki Warang. Entiti hitam di tanah itu beralun seperti air.

Warang mendongak ke arah lelaki itu. "Kau masih menjengkelkan macam dulu."

Auvo mengangkat kening. "Kau pun comel macam selalu."

Lelaki berwajah keanakan itu ketawa kecil. "Kau buat silap besar kalau masih layan aku macam budak-budak..."

Warang memetik jari. Bayangan di jejaknya berombak rakus.

Lengan-lengan kurita itu terhasil kembali. Puluhan lajur gelap itu menerpa ke arah Auvo dengan lebih agresif.

Auvo sedar akan perubahan kelajuan lengan-lengan itu. Jumlahnya juga bertambah dengan mendadak.

Beberapa bayangan bergabung membentuk dua bilah sabit selebar sebuah jalan raya.

Sekelip mata, sabit-sabit itu memotong tiang lampu jalan yang dipijak Auvo kepada beberapa bahagian.

Lelaki itu segera melompat turun lantas terus bergerak laju menjauhi raksasa-raksasa hitam ciptaan Warang.

Tidak kiralah selicik mana pun Auvo cuba menghindar, sesungut-sesungut tersebut terus setia mengejarnya. Beberapa kali juga ia hampir membelit lelaki yang asyik melarikan diri itu.

Tiga jaluran bebayang itu akhirnya berjaya mencekau kedua-dua lengan Auvo. Pantas lelaki itu menanggalkan jaket labuhnya demi melepaskan diri dari makhluk tersebut.

Kini, hanya tinggal kemeja-T tanpa lengan di badannya. Auvo tahu dia perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan kecederaan. Matanya tertangkap timbunan-timbunan kereta perisai tadi.

Pintu-pintu dan kepingan-kepingan dinding kenderaan mula tercabut. Auvo menarik besi-besi tersebut ke arahnya.

Logam-logam itu terus bercantum dan membentuk pelindung-pelindung yang melayang di sekeliling lelaki itu.

GANG!
THUD!
BANG!

Semua serangan bayang-bayang yang mengganas tadi berjaya ditahan oleh pelindung-pelindung itu.

Makhluk-makhluk tersebut berdesir dan berundur seketika.

Warang berdiri tidak jauh dari situ, memandang Auvo dengan sedikit persoalan.

"Nampaknya kau tak guna kekuatan kau sepenuhnya." Ujar Warang sambil menyilangkan tangan di dada.

Auvo menjungkit bahu. "Aku tak nak lawan kau."

"Kenapa? Kau masih pandang rendah pada aku?"

Auvo memasukkan kedua tangannya ke dalam poket. "Sebab kau kawan aku."

Mata Warang membulat sebelum dia ketawa sinis. "Kawan? Kau ni delusional ke?"

"Bagi aku, tu yang aku fikir." Jawab Auvo tanpa ragu.

Warang menyeringai. "Berhenti mengarut lah, Auvo. Kau yang buat kita bermusuh."

"Rengeiz yang dah rasuk kepala kau..." Auvo membantah.

Kening Warang bertaut. "Rengeiz? Kalau tak kerana dia, aku dan yang lain mungkin dah lama mati. Kau, Naraki, Pako dan Azaka yang dah khianati kitorang..."

"Apa yang korang buat tu salah la..."

"Kau lebih sanggup tengok manusia yang selama ini menyeksa dan membunuh Parabrid bebas tanpa sebarang hukuman?" Nada Warang sedikit tegang.

"Ironinya, Rengeiz pun tengah buat benda yang sama..." Auvo menjawab malas.

Warang mendengus dan tersenyum senget. "Kenapa susah sangat kau nak faham? Dia cuma bunuh pembelot macam korang. Dia bagi kesenangan dan jawatan pada Parabrid yang lain untuk balas semula perbuatan manusia pada kita. Tapi kau? Kau bela spesis yang tindas kita dulu."

"Kita pun pernah jadi manusia jugak..." Balas Auvo acuh tak acuh.

Pada masa itu, Warang terpandang tatu kepala rusa di lengan kanan Auvo.

"Apa gunanya emblem keluarga pada kulit kau tu? Kau dah lupa apa yang manusia buat pada keluarga kau? Sebagai satu-satunya waris klan Aramus yang tinggal, sepatutnya kau ada alasan yang lebih kukuh untuk bencikan diorang..." Ada sedikit simpati dalam suara Warang.

Dua lelaki itu saling berpandangan.

Bicara mereka jeda.

Auvo menghela nafas.

"Aku tak nak sebelahi sesiapa. Aku cuma nak semua ni berakhir. Aku dah penat berlawan..." Dia berharap Warang mengerti.

Warang mendepangkan tangan. "Jadi, kau patut sertai kitorang. Kau dan aku, kita sama-sama hapuskan diorang. Kita menang, dan semua ni akan tamat."

Auvo menggeleng. "Dalam peperangan, hakikatnya semua pihak akan kalah. Kau boleh tengok sendiri apa yang berlaku pada penduduk bandar ni, dan apa yang terjadi pada askar-askar korang. Lagipun... aku tak nampak macam mana aku boleh berehat dengan aman kalau aku masih dipaksa bunuh orang-orang yang tak bersalah. Aku hargai pelawaan kau, tapi takpelah, aku tak berminat..."

Warang memejamkan mata. "Tch... kenapa aku bazirkan masa dengan perbualan ni...?"

Lelaki itu memetik jari. Makhluk-makhluk bayangnya kembali mengganas.

Sejumlah besar jaluran hitam mencanak ke udara dan membelit wayar-wayar dari tiang-tiang elektrik lalu terus memutuskannya.

Hampir separuh lampu jalan dan lampu bangunan di sekitar terpadam serentak.

Ketika itu, awan tebal juga mulai menutupi cahaya rembulan, seolah-olah memberikan Warang segala bantuan yang diperlukan.

Bayang-bayang malam di sekitar kota mula berombak dan menggelegak. Menara-menara legap mulai naik sebelum berubah bentuk menjadi beberapa tangan naga setinggi bangunan.

Telapak tangan itu memberikan sebuah libasan. Auvo melompat dan bergolek ke tepi.

Pukulan tangan-tangan gergasi itu mengenai beberapa bangunan dan sekaligus meruntuhkannya. Bata-bata dan serpihan konkrit jatuh berserakan.

Sesungut-sesungut kelam yang lain datang dari segenap arah. Tangan-tangan agam itu juga masih mengekori Auvo dan cuba melenyeknya seperti seekor lalat.

Hentakan-hentakan telapak tangan yang hampir mengenai Auvo mendarat ganas di jalan simen, mencipta beberapa buah lubang yang dalam.

Perisai-perisai besi yang melindungi Auvo kian cabik ditusuk sesungut bayang yang menggila.

Dengan kuasanya, Auvo mematahkan tiang lampu di tepi jalan. Rod itu dipecahkan menjadi batang-batang besi sebelum bertukar pipih seperti mata pisau.

Besi-besi itu berterbangan ke arah sesungut-sesungut gelap yang berkeliaran buas. Kedua-dua kuasa itu berlaga.

Kepingan-kepingan besi tajam dari Auvo menebas laju lengan-lengan bayang sehingga semuanya putus.

Auvo sekali lagi menarik keluar beberapa batang tiang lampu dari tanah. Batang-batang logam itu dileraikan lalu dibentuk menjadi ratusan lembing.

Senjata-senjata itu dibaling ke arah beberapa tangan raksasa yang sedari tadi telah merosakkan banyak bangunan dan permukaan tanah.

Tikaman bertubi-tubi dari lembing-lembing Auvo memperlahankan pergerakan tangan-tangan naga tersebut. Lama-kelamaan, satu-persatu tumbang dan dipasak kukuh ke bumi.

Malangnya, jaluran-jaluran hitam yang dipotong tadi tumbuh semula seperti cendawan selepas hujan. Kini, sekeliling bandar itu telah dikuasai oleh mereka.

Tanpa sempat melarikan diri, Auvo telah dikepung oleh sesungut-sesungut legap dari setiap sudut.

bayang-bayang tersebut pantas membelit Auvo. Sebahagian lagi menyelubungi lelaki itu dan tidak langsung memberi ruang untuknya melepaskan diri.

Auvo masih melawan tetapi setiap kali dia mencuba, dia akan ditikam dan dihiris.

Secara beransur-ansur, Auvo ditelan oleh makhluk itu.

Akhirnya, dia lenyap dari pandangan. Hanya tinggal sebuah gelembung hitam yang sedang menggeliang-geliut meratah mangsanya.

Desiran makhluk-makhluk yang galak tadi semakin berkurangan. Bebayang tersebut mula bertenang.

Sedikit demi sedikit, mereka mengecil dan kembali kepada Warang.

"Kau tak bagi aku pilihan, Auvo..." Lelaki itu berbisik sendiri. Walau dengan kemenangannya, tiada langsung segaris senyum.

Warang memandang satu-satunya makhluk bayang yang tinggal di hadapannya. Dalam masa beberapa saat lagi, 'makanan' yang dihadamnya hanya akan tinggal belulang.

Titis-titis air mula turun dari atas. Awan yang berat kini telah menyelubungi langit sepenuhnya. Tiada apa yang ada di angkasa melainkan gelita.

ZAPP! ZAPP!

Warang terundur ke belakang. Dua bilah parang yang datang entah dari mana terpacak di tanah. Sedikit lagi senjata-senjata tersebut hampir menikam kedua-dua belah kakinya.

Lelaki itu segera memandang ke arah gelembung bayang yang telah menelan Auvo.

Ketika itu, libasan-libasan pantas telah memotong gumpalan bayang-bayang tersebut dan menghancurkannya.

Serpihan-serpihan legap itu luruh ke tanah, memperlihatkan Auvo yang sedang berdiri di situ sambil memegang pedang. Sedikit darah berjejeran daripada beberapa luka di pipi dan lengannya.

"Beria betul kau nak aku mati ye..." Auvo mengibas sedikit serpihan yang terlekat di bahunya.

Warang tersenyum senget. "Pandai kau buat kejutan..."

"Terima kasih. Aku ada satu lagi kejutan untuk kau."

Saat itu, muncul cairan logam menyelaputi kaki Warang. Ia mengeras sebelum sempat lelaki itu berbuat apa-apa. Besi-besi yang mencair daripada kenderaan di sekeliling mereka terus menyelimuti Warang hingga ke paras dada.

Serentak dengan itu, kabel-kabel elektrik yang berjuraian dari tiang membelit dan menikam beberapa tempat di kedua-dua belah lengan Warang. Sedikit elektrik sempat mengalir ke dalam badan lelaki itu. Dia menjerit menahan sakit.

Batang-batang besi tajam melayang dan merodok peha, pinggang dan bahu Warang. Sekali lagi dia merintih penuh derita.

Auvo menghampiri Warang yang sedang tertunduk dengan tangannya tergantung ke atas. Pedangnya diletakkan pada leher lelaki itu.

Warang mengangkat kepalanya. Dalam rintik hujan, pandangan mereka bertembung.

"Aku tak pernah sangka kita akan berakhir macam ni..." gumam Warang antara dengar dan tidak.

Auvo menggenggam erat hulu pedangnya. Wajah lelaki yang semakin lemah itu ditatap seketika.

Auvo melepaskan nafas berat. Pedangnya disarung semula ke belakang. Dia berpaling dan melangkah pergi. Parang-parangnya di tanah dikutip kembali.

"Jumpa lagi lain kali." Auvo mengangkat dua jarinya ke atas tanpa menoleh ke belakang.

Cecair logam perlahan-lahan menyeliputi Warang sepenuhnya kecuali rongga pernafasannya. Lelaki yang kini seakan patung arca dibiarkan sendirian.

_________________________________________

Azaka duduk di atas ekor helikopter Pepatung Perak yang didaratkan di hadapan jambatan tadi. Dia menguap.

Bai Xing yang berdiri agak jauh dari situ terlihat sedikit penat.

Sekeliling kawasan itu dipenuhi dengan ais-ais yang pecah. Udara dingin meruap-ruap di beberapa tempat.

"Takkan setakat tu je, Bai Xing?" tutur Azaka sambil menghayunkan kakinya yang terjuntai.

"Berlagak..." Balas lelaki bermata sepet itu.

Azaka menyendengkan kepalanya. "Maksud kau, yakin?"

Bai Xing sudah tidak ada hati untuk berbual lagi.

Pancang-pancang ais terhasil di udara dan terus menyerbu ke arah Azaka.

Perempuan itu segera melompat ke belakang. Dia mengelakkan diri dari ais-ais tajam itu dan menepis sebahagian darinya menggunakan kedua-dua bilah pisau belati.

Ketika itu, Azaka terperasan akan perubahan suhu tanah yang dipijaknya. Sekelip mata, puluhan ceracak tajam tersembul dari bumi.

Perempuan itu sempat bergolek ke tepi.

Bai Xing masih tidak berhenti menyerang. Lelaki itu menghasilkan pelantar ais yang berterusan terbina mengikut arah pergerakannya.

Kedudukannya yang kini lebih tinggi memberikan sedikit kelebihan. Tonggak-tonggak beku dijatuhkan dari langit menghempap Azaka dan meranapkan helikopter di sebelahnya.

Namun, Bai Xing pantas menyedari bahawa perempuan itu sudah tiada di situ.

Azaka telah menggunakan tonggak-tonggak ais yang dihasilkan oleh Bai Xing sebentar tadi untuk naik ke pelantar itu.

Lelaki itu menoleh dan segera membina benteng ais. Tikaman dari Azaka yang tampil di belakangnya dapat dihalang.

Rod ais tebal tumbuh memanjang dari benteng itu dan membuatkan Azaka terundur ke belakang.

Serangan itu sia-sia. Azaka memijak batang ais tersebut dan melonjak melepasi benteng yang melindungi Bai Xing. Sekelip mata, Azaka telah berada di hadapan lelaki itu dengan hayunan pisau.

Bai Xing sempat melangkah sedikit ke belakang, menyebabkan sasaran Azaka ke kepalanya kini terkena bahu. Wajah Bai Xing berkerut. Mereka sama-sama terjatuh ke tanah.

Tangan Azaka yang menikam lelaki itu mula mengeras. Pantas perempuan itu mencabut pisaunya dan berundur.

Azaka melihat sekilas jemarinya yang sedikit kebas. Jika dia lambat bertindak, mungkin tangannya terpaksa dipotong.

Ternyata, menyentuh lelaki itu bukanlah langkah yang baik.

Tiba-tiba, layar-layar ais yang nipis dan tajam keluar dari tanah tanpa henti. Azaka membuat jungkir balik beberapa kali untuk mengelakkannya.

Bai Xing menghalakan telapak tangannya ke arah Azaka. Gas dingin menerpa keluar dan menukarkan segala yang dilanggarnya menjadi beku.

Azaka tangkas menghindar. Perempuan itu bertindak balas. Dia melontarkan sebilah pisaunya. Senjata tersebut berjaya menusuk abdomen Bai Xing.

Gasakan lelaki itu tergendala.

Bai Xing mencabut senjata di perutnya dan mencampakkannya ke bawah. Tangannya segera ditekapkan ke luka itu dan membekukan darah yang mengalir keluar.

Bai Xing merenung tajam Azaka yang sedang tersenyum.

"Boleh tahan. Mata aku pun dah segar balik ni..." ujar Azaka sambil melambung-lambungkan sebilah pisau di tangannya.

"Kita akan tengok selama mana lagi kau boleh cakap besar macam ni..." Bai Xing menggenggam buku limanya.

Azaka berpura-pura terkejut. "Cakap besar? Aku baru je puji kau..."

Pada masa itu, langit yang gelap mula menurunkan air.

Sekarang, giliran Bai Xing pula untuk senyum.

"Tuah aku dah sampai."

Perlahan-lahan, kabus tebal yang dingin mula menyelubungi kawasan. Jarak pandangan serta-merta menjadi terhad. Kegelapan malam semakin memburukkan keadaan.

Bai Xing menghilang.

"Oh... kau nak main sorok-sorok..." Azaka bermonolog sendiri.

Hampir seminit berlalu dengan senyap. Azaka berdiri di situ penuh waspada, menunggu langkah Bai Xing yang seterusnya.

Titisan hujan mulai lebat. Sedikit demi sedikit, ia bertukar menjadi manik-manik keras.

Bagaikan peluru. Ratusan butiran tersebut terus dibidik kepada Azaka.

Perempuan itu terus berlari sambil menepis serangan tersebut dengan mata pisaunya. Walaupun dia berada di dalam mod laju, agak sukar untuk mengelakkan amunisi ais yang terlalu banyak dan halus.

Dia perlu mencari keberadaan Bai Xing.

Beberapa hayunan pedang ais datang dari sebalik kabut. Senjata-senjata itu semakin bertambah jumlahnya dan terus menggasak perempuan itu ke belakang.

Azaka berjaya merenggut salah satu pedang tersebut. Dia membalas libasan kesemua yang lain.

Dalam kesibukan itu, beberapa butir peluru ais telah menembusi lengannya. Kepedihan mula terasa.

Dengan tak semena-mena, serangan-serangan tadi terhenti sebaik Azaka berada di tebing tasik.

Bai Xing tiba-tiba muncul. Dia membaling sesuatu.

BOOM!

Ledakan bom tangan itu membuatkan Azaka terpelanting ke dalam tasik. Dia tenggelam agak dalam akibat impak yang kuat.

Perempuan itu cuba berenang semula ke atas. Saat itu, suhu air menurun dengan mendadak.

Bai Xing telah meletakkan jemarinya pada permukaan air. Cecair yang disentuhnya membeku dan beransur-ansur merebak.

Akhirnya, hampir separuh Tasik Garuda mengeras, memerangkap Azaka yang berada di dalamnya.

Kabus-kabus kembali menipis.

Hujan yang semakin rancak perlahan-lahan memadamkan api dari letupan tadi.

Bai Xing berdiri di tepi tasik dengan telapak tangannya yang masih mengeluarkan sisa wap dingin. Sedikit senyuman terbit di bibir lelaki itu.

"Skuad A? Memalukan..."

Bai Xing melangkah pergi. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Dia menekan beberapa nombor untuk membuat panggilan.

Sayup-sayup, satu deruan perlahan terdengar dari tasik. Lelaki itu menoleh semula. Dadanya mula berdetak laju.

Permukaan air yang beku itu mulai retak. Semakin lama, rekahan itu kian membesar.

Bai Xing mengetap gigi apabila melihat Azaka memanjat keluar dari belahan itu.

"Sial... macam mana dia boleh bebas?" Bai Xing kembali membuka kekudanya.

Azaka yang sedang berdiri di atas tasik beku itu menunjukkan telapak tangannya yang hampir tidak kelihatan kerana bergetar dengan amat laju. Perempuan itu tersengih.

Bai Xing segera mencairkan kembali keseluruhan tasik tersebut, berharap perempuan itu tenggelam semula. Tetapi kegelisahannya membuak apabila mendapati Azaka sudah lenyap.

"Terima kasih sebab hiburkan aku." Suara perempuan itu dibisik ke telinganya.

BANG!

Tanpa sempat berpaling, tubuh Bai Xing terhempas ke tanah.

Perlahan-lahan, cecair merah keluar dari lubang yang menembusi pelipis lelaki itu. Lama kelamaan, ia melimpah dan bergabung dengan air hujan yang bertakung.

Azaka menyelitkan kembali pistolnya di pinggang. Dia memandang sebentar jasad kaku dengan mata yang masih terbuka itu.

Perempuan itu mencangkung. Dia meraup wajah Bai Xing, menutup kelopak matanya.

"Kau tak patut rasa kesian dengan diorang. Diorang musuh kau sekarang..." Hatinya berbisik, cuba merasionalkan segala perbuatannya.

Azaka bangun dan berlalu pergi. Keraguannya perlu diketepikan. Sekarang, dia perlu memikirkan perkara yang lebih penting.

Nell harus diselamatkan.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top