[34]
JIP yang hanya mampu terbang rendah itu meluncur laju. Pemandangan sekeliling telahpun bertukar menjadi dataran rumput yang luas terbentang. Gunung-ganang terlihat di kaki langit. Suria memancar sepenuhnya.
Azaka menekan pedal minyak sambil terus memberikan tumpuan pada jalan yang tidak sekata itu. Sesekali jip kelabu tersebut melantun-lantun akibat permukaan tanah yang tidak rata. Namun ia sedikitpun tidak mengganggu Auvo yang sedang nyenyak tidur di kerusi penumpang hadapan.
Nell yang berada di kerusi penumpang belakang melihat ke luar tingkap. Wajahnya terasa sejuk ditiup angin luar yang kencang. Ada sekumpulan kuda liar sedang berlari di kejauhan, seakan berlumba-lumba dengan burung yang terbang di atas mereka.
Kaio yang duduk di tengah-tengah antara Nell dan Sonny sibuk membelek buku notanya. Lebam pada pipinya semakin jelas. Nell telah berkali-kali meminta maaf padanya subuh tadi. Ternyata budak itu benar-benar rasa bersalah.
"Amende tu?" Soal Nell sebaik ternampak sekeping lukisan yang sedang dipegang erat oleh Kaio, mengelakkannya terbang ditiup angin yang menderu dari tingkap.
"Peta." Balasnya ringkas.
"Peta apa?" Nell semakin ingin tahu.
"Ayah aku lukis. Dia teringin nak ke sini..." Jelas Kaio.
"Oh. Jadi... kau akan ke situ jugak?"
"Yup... lepas aku tolong hantar kau jumpa mak kau. Aku akan terus ke utara." Dia melipat semula peta itu dan menyelitkannya ke dalam buku nota, lalu menyimpannya semula ke dalam beg.
"Sorang?" Soal Nell lagi.
"Sonny akan temankan aku... kan sayang!" Kaio tersengih ke arah Sonny. Rakannya itu terasa agak menyampah dan terus melekapkan fon kepala di telinga. Kaio ketawa puas kerana berjaya menjengkelkan kawannya itu.
Nell berasa tergerak untuk mengikut Kaio namun serta merta membatalkan niatnya sebaik terlihat kesan lebam di pipi budak itu. Nell mengalihkan matanya ke arah Azaka yang sedang memandu. Lebam pada wajah perempuan itu tidaklah seteruk Kaio.
Azaka menepuk bahu Auvo beberapa kali. "Bangun, orang tua. Kita kena turun kat sini..."
Gadis itu menghentikan jip itu di sebalik sebuah batu besar yang agak tersorok, kemudian menutupnya dengan kain dan dahan-dahan kering. Mereka tidak akan dapat masuk ke Tasik Garuda dengan kenderaan yang jelasnya milik tentera.
Di hadapan mereka, sayup-sayup kelihatan sebuah tasik yang besarnya seakan lautan dengan sebuah bandar kecil yang padat di pinggirnya. Terdapat tembok batu yang melingkungi kawasan tersebut. Ada beberapa buah kenderaan yang sedang keluar masuk .
Mereka mengangkut barang masing-masing sebelum mengatur langkah ke arah bandar kecil yang jauhnya lebih kurang 2 kilometer. Sepanjang perjalanan, mereka berselisih dengan beberapa kenderaan yang membawa barangan keluar masuk dari bandar itu.
Akhirnya, mereka sampai di hadapan pintu gerbang. Ada dua orang pengawal yang sedang menunggu di situ. Enam orang lagi sedang memeriksa kenderaan-kenderaan yang hendak masuk ke dalam.
"Selamat pagi." Tegur Azaka kepada salah seorang pengawal yang agak tegap susuknya.
"Nama..." Dia menghulurkan tablet yang memaparkan borang pendaftaran keluar masuk pelawat kepada gadis itu.
Auvo mara ke sebelah Azaka dengan longlai sambil menguap. Rasa mengantuk masih lagi bersisa. Lelaki itu menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan segulung wang kertas, lalu menghulurkannya kepada pengawal yang berjambang hitam itu.
Not-not berharga itu pantas disambut oleh pengawal tersebut. Tablet yang dihulur tadi segera dikepit semula di antara lengan dan perutnya. "Selamat datang." Lelaki bermata buntang dan berbibir tebal itu tersenyum lebar dan tunduk sedikit.
Auvo juga tunduk sedikit sebelum bergerak masuk ke dalam. Azaka mengekori rakannya itu. Nell, Sonny dan Kaio turut membontoti.
"Terima kasih!" Kaio sempat memberikan kata-kata terakhir kepada pengawal tersebut dengan sengihan di wajahnya.
Terdapat sebuah jalan luas yang diperbuat daripada bata-bata berwarna kelabu di tengah-tengah bandar itu. Sisi jalan dipenuhi oleh bangunan-bangunan yang juga dari konkrit berwarna sama. Sesetengah darinya diperbuat dari kayu sepenuhnya.
Kawasan itu sesak dengan pejalan kaki dan pasar-pasar yang menjual pelbagai benda. Banyak kuda dan keldai yang sarat membawa barangan turut lalu lalang bersama tuan mereka. Lori dan trak berpusu-pusu dari kedua-dua arah, cuba bergerak di antara manusia-manusia yang berada di situ.
Di hujung jalan yang agak panjang itu, mereka dapat melihat Tasik Garuda yang membiru. Di situ terdapat sebuah bandar terapung yang juga diperbuat dari campuran konkrit dan kayu. Berpuluh-puluh bangunan kecil membentuk bulatan mengelilingi satu bangunan yang sungguh besar di tengah-tengahnya. Bangunan agam 7 tingkat itu berbentuk silinder. Bumbungnya berwarna merah dengan cerobong-cerobong asap.
Kelima-lima orang itu bergerak ke situ melalui sebuah jambatan batu besar yang melengkung. Jambatan tersebut menghubungkan daratan dan bandar terapung itu. Beberapa buah bot kecil melintas di bawahnya. Keadaan di bandar terapung itu juga tidak kurang sibuknya.
Mereka masuk ke dalam bangunan yang paling besar itu. Kedai-kedai kecil memenuhi ruang dalam bangunan. Susunannya agak tidak teratur. Lorong-lorong sempit yang berselirat terdapat di merata tempat. Jika tidak mahir pasti akan tersesat. Ada banyak titi-titi kayu yang menghubungkan setiap tingkat. Bendera-bendera kecil dan tanglung-tanglung bergantungan. Suara-suara manusia meriah di segenap ruang.
Mereka hanya mengikut langkah Auvo kerana dia lebih arif akan selok belok di sini. Beberapa kali juga mereka terlanggar bahu orang yang lalu-lalang kerana ruang yang agak sempit dan sesak.
Sebuah tangga kayu yang tersorok di ceruk kedai didaki sehingga ke tingkat yang paling atas. Di tingkat itu, suasananya sedikit berbeza kerana tidak ramai orang dan agak sunyi. Nell menjenguk ke bawah memerhatikan kerumunan orang yang seakan semut.
Mereka berjalan di atas lantai kayu itu sehinggalah mereka tiba di sebuah kedai kecil.
Nell membelek papan tanda kedai berwarna merah yang agak aneh itu. Tiada sebarang tulisan, sebaliknya hanyalah simbol satu mata dalam sebuah bulatan. Ada simbol yang sama pada kain panjang yang tersangkut pada sisi kedai itu. Nell cuba mengintai ke dalam cermin berwarna-warni pada pintunya namun ternyata ia terlalu legap.
Auvo mengetuk pintu kayu itu sebanyak lima kali berturut-turut. Mereka menunggu.
Perlahan-lahan, daun pintu itu ditarik ke dalam. Seorang perempuan cantik dengan blaus putih beropol dan skirt labuh berwarna hijau tua terpacul. Usianya dalam lingkungan 30-an. Dia agak rendah dari mereka yang lain, berketinggian dalam lingkungan 155 sentimeter. Alisnya lentik dengan anak mata hitam. Rambut ikal perangnya separas pinggang. Kulitnya sawo matang. Rambut depannya menutupi bahagian dadanya yang agak terdedah. Bibir mungilnya dicalit gincu berona merah garang, sama seperti loket permata besar di lehernya.
Perempuan itu tersenyum lebar. "Ah, Auvo. Aku dah tau yang kau akan ke sini..." Dia memeluk lelaki itu. Kemudian pandangannya dihalakan kepada Azaka. "Hah! tengoklah siapa kat sini hari ni!" Pelukannya beralih kepada gadis itu. "Lamanya tak jumpa kau!"
Perempuan itu menjemput mereka masuk ke dalam sebelum pintu kedainya ditutup rapat dan dikunci dengan selak. Semua dipelawa duduk di kerusi kayu berkerawang yang diatur mengelilingi sebuah meja bulat dengan alas berwarna ungu gelap. Ada kandil lilin kristal yang tergantung betul-betul di atas meja tersebut. Terdapat juga mentol-mentol lampu bergantungan di siling. Seluruh dinding kedai dilapisi dengan kertas dinding berwarna merah hati. Karpet bercorak pada lantai juga berwarna sama. Perabot-perabot lain seperti almari dan sofa juga diperbuat dari kayu yang berukir. Ada banyak botol pelbagai bentuk dan isi yang tersusun pada rak-rak di dinding.
"Silakan minum..." Perempuan itu menuangkan air ke dalam gelas besi berkaki yang berwarna tembaga.
"Mekasih." Ucap Azaka.
"Kita masih belum berkenalan lagi, kan?" Perempuan itu memandang ketiga-tiga orang tetamu barunya. "Aku Wulan." Dia menghulurkan tangan.
"Kaio Valaska." Budak itu menyambutnya dengan sengihan.
"Sonny Radfen." Dia bersalaman dengan Acuh tak acuh.
"Nell." Huluran tangan Wulan akhirnya disambut oleh budak itu.
Genggaman tangan itu agak lama. Wulan merenung budak di hadapannya dengan renungan yang sedikit aneh. Keadaan sepi seketika. Nell mula rasa kekok.
"Sedap. Air apa ni?" Auvo memecah kesunyian.
Wulan melepaskan salamannya. "Anggur biru. Aku tanam sendiri kat taman aku. Susah nak dapat air ni kat mana-mana, tau!"
"Oh." Auvo menjenguk ke dalam gelasnya sebelum menghabiskan minuman itu.
Setelah mereka berbual beberapa ketika, Wulan bangun dari kerusinya. "Mungkin korang semua dah penat. Mari, aku tunjukkan bilik korang." Perempuan itu tersenyum mesra. "Jom!" Dia berlalu dengan lenggok yang menggoda.
Mereka mengekori Wulan ke belakang kedai. Di situ terdapat sebuah ruang tempat tinggal, lengkap dengan dapur dan balkoni yang menghadap ke tasik. Sonny dan Kaio berkongsi bilik. Auvo dan Nell berehat di ruang tamu sahaja.
"Azaka, boleh kau ikut aku kejap?" Soal Wulan kepada gadis yang sedang menikmati pemandangan di balkoni. Wulan berjalan ke arah tangga yang berada di hujung dinding tanpa menunggu jawapan dari Azaka.
Mereka tiba di atas bumbung. Kawasan itu dipenuhi dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan, rempah ratus dan sayur-sayuran, seakan-akan sebuah kebun mini. Seluruh tasik yang seluas mata memandang itu dapat dilihat dari sini.
Wulan melabuhkan punggungnya di atas kerusi besi panjang berwarna hitam, diikuti oleh Azaka.
"Kau nampak lain." Ujar Azaka bersama senyuman kecil.
Wulan tergelak kecil sambil memintal rambutnya. "Mestilah. Dah berapa lama kita tak jumpa. Kau pun dah makin kurus."
Azaka hanya mengangguk mengiakan kata-kata itu.
Wulan mengecilkan matanya. "Sayang... bila kau nak bagitau budak-budak tu cerita sebenar?"
Gadis itu enggan menjawab. Dia tahu Wulan mungkin sudah mendapat jawapannya tanpa perlu meneka.
Wulan menolak bahu kawannya itu. "Kau ni teruklah... tak pernah berubah dari dulu. Semua benda nak simpan. Kau patut dah ceritakan kat diorang enam bulan yang lepas."
"Tunggulah satu hari nanti..."
"Tapi... aku memang tak sangka pasal budak tu. Usaha kita selama bertahun-tahun nampaknya dah hampir ke penghujung..."
Azaka hanya tersenyum. "Tak, Wulan. Sebenarnya ni baru permulaan."
Wulan merenung Azaka dengan agak lama.
"Kenapa?" Soal Azaka sedikit hairan.
"Yang ni apa? Budak tu yang buat, kan?" Wulan menjolok lebam di tepi mata rakannya itu. Azaka cuba menghindar ke belakang tetapi gagal.
Wulan menggeleng perlahan. "Kenapa dengan kau ni? Aku rasa mustahil kau tak boleh elakkan serangan budak mentah macam dia. Apa dah jadi? Jangan cakap kau dah lembut hati kat budak tu...?"
"Tak lama okay lah ni..." ujar gadis itu dengan senyuman.
"Apapun, aku cuma nak ingatkan... budak tu bukan Naraki. Diorang adalah individu yang berlainan. Kau jangan terlampau ikut perasaan." Nasihat Wulan.
"Ya... aku tau." Lelaki itu muncul dalam bayangan Azaka.
Wulan berdiri. "Jom turun. Tolong aku sediakan makanan."
Azaka tidak terus mengikut. Dia hanya memerhatikan Wulan yang sedang menuruni tangga sehinggalah perempuan itu hilang dari matanya.
Kelihatan seekor gagak bermata ungu sedang bertenggek di atas penghadang besi yang melingkungi kawasan bumbung itu. Azaka yang baru terperasan dengan kehadiran burung itu tersenyum. Dia mengangkat sedikit tangan kirinya. Gagak itu seolah faham, terus terbang dan hinggap pada tangan perempuan itu.
"Jumpa juga kau cari kitorang." Bicaranya pada si gagak. "Kau mesti ada banyak benda nak bagitau, kan?"
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top