[33]

NELL membuka matanya. Keadaan sekeliling gelap. Sedikit cahaya datang dari sebelah bahu kirinya. Dia menoleh. Ada unggun api yang hampir terpadam. Dalam kesamaran malam itu, dia nampak ada dua susuk tubuh yang sedang berbaring di sekeliling api itu. Mereka sedang tidur.

Nell duduk. Kepalanya terasa sedikit berat. Dia meneliti sekitar.

"Oh, kau dah sedar." Kedengaran suara Auvo yang sedang duduk bersila di bawah pokok tidak jauh dari situ.

Nell bangun dari tempatnya. Dengan sedikit rasa pening, dia berjalan agak lemah ke arah Auvo dan mengambil tempat di sebelahnya.

"Kita kat mana?"

"Kita kat Rumput Hitam. Lagi 80 kilometer dari Tasik Garuda. Auvo memuncung ke arah bayangan kenderaan yang berada lebih kurang 10 meter dari situ. "Kitorang curi jip askar tu. Jadi kita lebih cepat sampai dari yang sepatutnya."

"Aku tak ingat apa yang dah jadi..." Kata Nell perlahan. Dia melurut rambutnya yang berserabut.

"Oh...tadi kau belasah Kaio dan Azaka." Beritahu Auvo selamba.

Nell tersentak. Wajah Auvo di dalam gelap itu ditenung betul-betul, mengharapkan itu satu gurauan. Dia terus menoleh kepada Kaio dan Sonny yang sedang dibuai mimpi itu.

"Diorang okay..." Ujar Auvo apabila Nell bangun untuk memeriksa rakan-rakannya.

"Mana Azaka?" Soalnya apabila mendapati perempuan itu tiada.

"Dia pergi pasang perangkap dan jaga sekitar kawasan ni." Jelas Auvo.

Budak lelaki itu duduk semula. Rasa bersalah datang bertalu-talu. Sungguh, dia tidak ingat langsung apa yang berlaku. Benda terakhir yang berada di dalam memorinya adalah ketika dia sedang dipukul oleh Talon.

"Tak guna..." Suara Nell hampir tidak kedengaran. Perkara yang ditakutinya kini sudah berlaku.

"Takdelah teruk sangat. Sekurang-kurangnya kau dah tolong aku bunuh Talon." Auvo merasakan budak itu banyak membantunya.

Nell hanya diam. Bulu romanya meremang bila mengetahui bahawa dia sendiri telah terlibat sama dalam menamatkan riwayat lelaki itu.

Dia tidak tahu samada harus gembira atau tidak mendengarkan berita kematian lelaki sasa itu.

Auvo cuba menenangkan budak yang resah itu. "Azaka... dia cari makan dengan berlawan dalam sangkar. Apalah sangat serangan kau tu bagi dia. Kaio pulak, setakat camtu punya tumbukan aku rasa dia boleh tahan..."

"Tapi... aku dah pukul orang yang tak sepatutnya..." Nell bersuara antara dengar dan tidak.

Auvo melunjurkan kakinya dan bersandar pada batang pokok. "Alah... bukan kau sengaja pun..."

Nell mula merasakan bahawa Auvo seakan-akan memandang ringan tentang kerisauannya itu. Dia takut jika suatu hari nanti, dia mungkin juga akan 'tidak sengaja' melakukan perkara yang dasyat terhadap mereka.

Nell bingkas bangun, namun Auvo pantas menarik kuat lengan baju budak itu dan membuatkannya terduduk semula. Lelaki berambut kelabu itu mengeratkan cengkamannya pada lengan Nell.

"Tolong. Bagi aku pergi..." Pinta Nell perlahan. "Aku tak nak menyusahkan sesiapa lagi..."

Auvo merehatkan lengannya ke atas bahu budak itu. "Tak boleh. Aku dah Janji dengan Azaka untuk jaga kau malam ni. Kalau aku biar kau blah, nanti pompuan tu belasah aku..."

Nell menyapu mukanya dengan kasar. Fikirannya benar-benar kusut. Kenapa Azaka beria benar mahu menjaganya? Rasa gundah bersarang di dada. Dia gentar dengan dirinya sendiri. Dia gentar dengan apa yang akan dilakukan oleh 'diri keduanya' kelak.

Nell mengalihkan lengan Auvo di bahunya dan tersandar pada batang pokok yang sama. Matanya ditutup rapat-rapat. Dia rasa benci dengan dirinya sendiri.

Pandangannya Kemudian mengarah kepada mereka yang sedang tidur.

Sampai bila diorang akan selamat dengan aku?

Sedikit demi sedikit, ingatan Nell berputar kembali pada kejadian siang tadi. Dia cuba mengutip semula sebarang memori yang mampu diingatinya.

Pada saat itu, satu persoalan menerjah otaknya.

"Korang kenal dengan Talon kan?" Nell menyuarakan keraguannya.

Auvo mengambil masa untuk menjawabnya. "Sikit-sikit."

"Ada benda ke yang korang rahsiakan daripada aku?" Budak itu benar-benar mahukan jawapan. Berdasarkan perbualan mereka dengan lelaki itu, dia dapat meneka bahawa mereka sudah kenal lama.

"Soalan kau ni sama je macam Kaio dan Sonny. Penat lah aku nak jawab..." Auvo bergerutu.

"Kalau kau tak jawab, aku blah dari sini..." ugut Nell.

Auvo menghembuskan nafas perlahan. Dia mengalas kepalanya di batang pokok dengan kedua-dua tapak tangan sebelum memberikan penjelasan.

"Ya, kitorang kenal dia beberapa tahun dulu. Dia pernah buru kitorang..."

Nell membulatkan matanya. "Sebab?"

"Sebab yang jelas. Sama macam korang jugak, mengingkari arahan kerajaan. Kitorang tak nak tandatangan kontrak bodoh diorang tu. Secara automatiknya, kitorang dah jadi penjahat." Auvo membalas renungan budak di sebelahnya itu. "Jadi sekarang ni... kau tak payah la dramatik sangat. Sebab sekarang ni bukan kau sorang je yang tengah diburu. Diorang memang nakkan kita semua. Pendek cerita, kita semua ni dah jadi 'penderhaka'. Faham?"

Nell membisu.

Kata-kata Auvo itu sedikit sebanyak berjaya menyedarkannya bahawa semua yang sedang berlaku sekarang ini bukanlah hanya berkisar tentang dirinya seorang sahaja.

Sekitar kembali sunyi. Bunyi lolongan serigala terdengar sayup. Langit tidak berawan. Ada sedikit angin yang berhembus sekali sekala.

"Tu." Auvo memuncung ke arah langit.

Nell melirik ke angkasa yang dipenuhi ribuan bintang.

Semakin lama diperhatikan, semakin banyak yang muncul dengan jelas dan terang. Ibarat berlian yang bertaburan menghiasi ruang yang gelap itu.

Entah mengapa, sinaran-sinaran damai itu telah berjaya memujuk hati Nell serba sedikit.

Ketenangan itu perlahan-lahan membuatkan dia merindui kampung halamannya ketika hari-hari sebelum pergolakan berlaku, hari ketika mereka semua bebas menikmati kehidupan.

"Dulu-dulu, keluarga aku selalu buat barbeku kat laman rumah sambil tengok pemandangan malam yang macam ni." Mata Auvo tak lepas daripada kilauan di langit itu.

"Mana keluarga kau sekarang?" Nell dapat merasakan Auvo juga sedang memikirkan tentang kampung halamannya.

"Semua dah mati." Balas Auvo pendek.

"Oh..." Nell rasa sedikit serba salah. "Maaf..." Dia sudah tidak sampai hati untuk bertanya lanjut.

Namun, lelaki di sebelahnya itu tidak menunjukkan sebarang reaksi sedih. Nell tidak tahu sama ada lelaki ini cuba menyembunyikan perasaannya atau sememangnya dia dilahirkan dengan masalah kekurangan emosi.

"Kau patut menikmati waktu macam ni. Kita takkan dapat pemandangan ni selalu. Sebab kita lebih sibuk memikirkan diri sampai tak sempat nak hargai apa yang ada di sekeliling." Ujar Auvo perlahan. "Kita ni terlalu bodoh untuk sedar betapa indahnya dunia, dan lebih bodoh sebab merosakkannya..."

Nell merenung langit yang gemilang itu. Kata-kata Auvo ada kebenarannya.

Manusia terlalu mementingkan diri sehingga tidak sedar yang mereka sebenarnya sedang perlahan-lahan membunuh diri mereka sendiri .

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top