[31]

MEREKA bertiga telah jauh dari kawasan itu. Tiada lagi dahan yang bersambungan. Mereka perlu turun ke tanah.

Sonny melungsur turun dari dahan pokok diikuti oleh Nell dan Kaio. Mereka tidak melengahkan masa dan segera berlari deras.

Namun langkah mereka tidak jauh.

"Hello, budak-budak." Talon berdiri gagah dan tersengih ke telinga. "Kelam-kabut nak pergi mana ni?"

Mereka bertiga terdiam. Peluh jantan sudah membasahi wajah masing-masing.

Talon menghalakan mesingan miliknya kepada Kaio, tetapi anak matanya tepat ke arah Nell. "Aku tau kau budak baik. Jadi kau takkan sanggup tengok kawan kau ni diapa-apakan, betul?"

Sonny mara ke depan. "Kalau kau cederakan dia, kau takkan selamat!"

Talon tergelak besar. "Oh, takutnya aku! Apa kau nak buat kat aku? Tenggelamkan aku dalam peluh kau?" Tawanya kian menggila.

"Mungkin aku boleh hilangkan senyuman kat muka hodoh kau tu." Ayat itu keluar spontan dari mulut Nell yang sejak tadi merasa 'terganggu' dengan gigi emas lelaki itu.

Sememangnya senyuman itu lenyap dan digantikan dengan renungan yang mengerikan. "Jadi, ucapkan selamat tinggal kat kawan kau ni."

Saat itu, amunisi memecut keluar dari senjata api lelaki itu.

Sonny segera menolak Kaio jatuh bersamanya.

Nell berlari ke arah Talon. Beberapa peluru telah membenam ke dalam isinya tetapi dia terus maju. Dia sudah tahu bahawa peluru sebegitu hanya dapat mencederakannya sementara sahaja.

Nell cuba merebut mesingan Talon. Pergelutan berlaku.

Bedilan-bedilan senjata api itu meliar ke serata tempat. Burung-burung berterbangan di ruang udara menyelamatkan diri mereka.

Talon menghadiahkan satu tumbukan tepat di pipi Nell. Budak itu terpelanting ke udara.

Buku lima lelaki itu rasanya seolah-olah batu konkrit. Pandangan Nell terasa berbintang.

Sonny muncul entah dari mana dan memberikan beberapa tumbukan balas dengan tangan elektriknya. Talon berjaya menangkap tangannya, namun Sonny pantas mengeluarkan cas-cas yang mencapah, lalu berjaya membakar kulit muka dan sedikit rambut lelaki sasa itu.

Talon cepat-cepat melepaskan tangan Sonny dan menepuk asap nipis yang terawang-awang dari kepalanya.

"Sial!" Talon mengetap giginya.

Sonny tidak membuang masa. Kedua-dua tangannya mengeluarkan bebola elektrik berwarna biru. Segera dia menekapkannya ke wajah Talon.

Badan lelaki itu kejang seketika akibat arus yang menerjah badannya, namun dia tidak langsung menunjukkan tanda kesakitan. Dia jatuh melutut.

Tanpa disangka, Talon menarik picu mesingannya. Sonny cuba mengelak tetapi beberapa butir peluru mengenai bahu, lengan dan peha kirinya.

Budak itu terduduk. Darah laju merembes membasahi pakaiannya.

Talon berdiri semula dan cuba memberikan tembakan lagi. Pada masa itu, Nell memanjat di belakang Talon dan mencekik lelaki itu dengan lengannya.

Lelaki itu menyiku kepala Nell yang berada di belakangnya bertubi-tubi. Nell cuba bertahan.

Talon dapat merasakan kekuatan badannya sedikit berkurangan. Mungkin disebabkan oleh renjatan elektrik tadi. Lelaki itu berpusing-pusing beberapa kali dan akhirnya berjaya mencampakkan Nell ke tanah juga.

Hujung senjata milik Talon kini berada betul-betul di hadapan muka Nell.

Budak itu menelan air liur. Rasa terbakar luka tembakan di badannya mula menggila. Dia perlu mencari helah.

"Kalau kau kuat sangat, lawanlah guna otot kau, bukan pakai senjata... penakut!" Nell cuba memprovokasi lelaki itu.

Ternyata percubaannya berjaya. Talon membuang mesingan itu ke tepi.

Masalah baru timbul kerana Talon kelihatan sungguh tidak gembira.

"Kau nak sangat kan, budak? Bersedialah untuk 'makan' otot aku!" Talon memasang kekudanya. Lagaknya seperti seorang peninju. Dia kembali tersengih.

Nell berusaha bangun. Dia cuba bertenang. Luka tembakan dan peluru di badannya hilang seperti sebelumnya.

Belum sempat budak itu berbuat apa-apa, kaki Talon hinggap di pipinya. Nell jatuh semula.

Talon menindih badannya dan menumbuk muka budak itu beberapa kali. Darah bersemburan dari hidungnya.

Nell mencekik leher Talon dan dia membalas serangan. Pipi lelaki itu. Ditumbuk berkali-kali.

Walau bagaimanapun, Talon seperti tidak terjejas langsung dengan tindakan itu. Dia menggenggam leher Nell, mengangkat budak itu dengan mudah dan menghempaskannya pada batang pokok yang berdekatan.

THUD!!

Cecair merah mengalir turun ke wajah Talon.

Di belakangnya, Kaio menggenggam tangan mekanikalnya yang telah digunakan untuk memukul kepala lelaki itu.

Kaio mulai kaget apabila mendapati Talon sedikit pun tidak berasa sakit walaupun dia telah menyerang dengan seluruh tenaganya. Kuat gile pak cik ni. Dia ni robot ke?

Sekelip mata, penumbuk yang sekeras bata itu diberikan di bawah dagu Kaio. Budak itu tercampak seperti nangka busuk.

"Cis! Aku ingatkan kuat sangat! Macam pondan!" Talon meludah.

"Kau pun pondan, berani lawan dengan budak-budak je..." Satu suara muncul tiba-tiba.

Talon menoleh ke arah suara itu.

Auvo sedang berdiri dengan pedang yang berlumuran darah di tangan kanannya. Dia baru sahaja selesai membunuh askar-askar Unit Khas Persekutuan. Dia tidak sangka bahawa askar-askar itu begitu ramai dan telah melambatkan perjalanannya ke sini.

"Akhirnya, kau dah muncul..." Talon menjadi teruja.

"Apa nak buat... aku dengar ada orang yang rindukan aku." balas Auvo mendatar.

Talon menekan butang berwarna perak pada lengan baju perisainya. Helmet besi keluar dari baju perisai itu dan melindungi seluruh kepalanya. Lelaki tersebut mencapai semula mesingannya.

Peluru-peluru meluru ke arah Auvo. Dia menunduk dan menepis semua dengan pedangnya.

Auvo melompat tinggi dan menetak kepala lelaki di hadapannya itu. Dentungan besi bergema.

Tawa Talon pecah. Serangan itu hanya memberikan sedikit kesan calar pada helmetnya.

"Aku bukanlah sebodoh tu, Auvo. Perisai dan peluru-peluru ni khas untuk kuasa kau. Jangan mimpilah nak toreh muka aku lagi..."

Tanpa banyak bicara, Talon terus mara. Dia sekali lagi menembak ke arah musuhnya itu.

Auvo berlari ke arah pokok di sebelahnya dan memijak batangnya, lalu melonjak melepasi kepala Talon. Sekali lagi dia melibas pedangnya ke belakang lelaki sasa itu.

Usaha itu juga gagal. Perisainya hampir mustahil untuk ditembusi.

Talon mencampakkan mesingan yang kehabisan peluru itu. Dia mengeluarkan pelancar bom tangan dari belakangnya.

Auvo mengeluh. "Itu tak adil..."

"Sejak bila aku reti main adil?" Lelaki sasa itu tersenyum luas.

Picu ditekan. Sebiji bom kecil terbang laju ke arah Auvo. Segera dia melompat ke atas dahan pokok.

Letupan meledak menerbangkan apa sahaja yang ada di sekelilingnya.

Kaio merangkak ke arah Sonny yang sedang terbaring. Lelaki itu sedang memegang pehanya yang luka. Kaio menolong rakannya duduk.

"Kau perasan tak lelaki tu takde rasa sakit?" kata Kaio dalam penuh kesusahan. Rahangnya terasa seperti telah tercabut.

Sonny memandang lelaki yang masih ligat berlawan dengan Auvo. Sudah pasti lelaki itu juga hasil eksperimen UMBRA. Sonny cuba bangun, tetapi gagal.

"Nell, tolong Auvo!" Teriak Kaio yang kegelisahan.

"Aku cuba..." Nell mengesat darah di hidungnya. Dia menggagahkan diri untuk bangun. Serangan tadi pun tak bagi kesan kat dia...

Nell berlari laju. Dia memusingkan badannya dan menyepak kepala Talon dari belakang dengan kedua-dua belah kakinya.

Belum sempat Talon berpaling, Nell merendahkan badannya dan menggelungsur melepasi kelangkang lelaki itu. Dia menendang perut lelaki itu dari bawah.

Talon hanya bergerak sedikit ke belakang, namun dia masih teguh berdiri.

Nell dan Auvo kini berada di hadapan Talon.

"Dia ni tak ada deria sakit." Auvo berbisik. " Tapi tulah kelemahan dia. Dia takkan sedar yang dia cedera. Sekarang, kau fokus kat kepala dia..."

Nell mengangguk. Barulah dia faham tentang lelaki itu.

Pelancar peluru terus dihalakan dan ditembak ke arah Nell dan Auvo. Kedua-dua orang itu segera melompat ke sisi.

Letupan bom tersebut telah menumbangkan sebatang pokok.

Balak itu jatuh betul-betul di atas kepala Talon. Talon menangkapnya dengan sebelah tangan dan membuangnya ke tepi.

Nell muncul di sebalik kayu itu seolah-olah sedang terbang. Dia memberikan beberapa tendangan ke kepala Talon.

Lelaki agam itu menangkap kaki Nell dan memberikan tendangan balas pada wajah budak itu. Nell tersembam ke bawah.

Tanpa disedari, Auvo muncul dari tepi lalu memotong pelancar bom tangan milik Talon. Lelaki itu agak terkejut dan terus mencampakkan senjatanya ke atas.

Senjata itu meledak di udara.

Talon menghayunkan tumbukan ke arah Auvo tetapi lelaki itu lincah mengelak. Pantas Auvo menumbuk mukanya kembali.

Sekali lagi Talon cuba menumbuk, namun kejadian yang sama berlaku.

Auvo sebaliknya memberikan beberapa lagi hentaman padu pada helmetnya.

Nell membongkok di tanah. Dia dapat rasakan yang badannya semakin panas.

Celaka! Aku kena cepat habiskan semua ni sebelum aku jadi 'gila'...

Sepantas kilat Nell bangun dan melonjak setinggi yang boleh. Dia menjunam turun dengan buku lima digenggam erat. Dua hentaman sekeras besi mengenai tepat pada perisai di kepala Talon.

Nell mendarat dengan kemas, terus melompat lagi dan menghentak lutut kanannya ke bahagian depan kepala Talon, diikuti dengan lutut kirinya.

Cermin di hadapan helmet itu akhirnya pecah.

Nell tidak membuang masa. Dia mara dengan laju untuk serangan yang seterusnya.

Talon cuba memberikan pukulan tetapi Nell dapat menghalang dengan tapak tangannya.

Budak itu terus memberikan tiga pukulan di bahagian muka Talon. Tindakannya itu berhasil menolak Talon ke belakang.

Akhirnya lelaki sasa itu tersandar pada batang pokok.

Ketika itu, Talon menarik sebilah pisau pendek yang berada di ruang peha baju perisainya. Dia cuba memberikan tusukan ke dada Nell namun terkena pada perutnya.

Nell mengerang dan berundur.

Talon melangkah ke hadapan. "Budak Bangs - "

Tanpa disangka, lelaki itu jatuh melutut.

Pandangannya sudah berbalam-balam. Darah pekat mengalir dengan tidak henti di wajahnya.

Auvo melontarkan pedangnya sekuat hati.

Senjata itu menikam tepat ke wajah Talon dan menyangkut lelaki itu pada batang pokok di belakangnya.

Keadaan hutan yang gelap itu kembali diam.

Azaka muncul. Ada pisau di tangan kanannya manakala tangan kirinya memegang mayat seorang askar besi. Tubuh mati itu dibuang ke bawah. Dia telah berjaya 'menyenyapkan' semua askar-askar tersebut.

"Tahniah. Kau dah bunuh seekor lagi anjing Rengeiz..." ujar gadis itu kepada Auvo.

Lelaki itu tidak membalas apa-apa, hanya mengangkat sedikit keningnya. Pedangnya diambil kembali. Mayat Talon jatuh terkulai.

Sonny akhirnya berjaya bangun berdiri sambil menahan kesakitan di kakinya. Kaio mendekati Nell yang sudah terduduk di atas tanah dan sedang memegang perutnya yang berdarah.

"Kau okay?" dia mencangkung dan memegang bahu Nell.

Tanpa disangka, Nell melayangkan buku limanya ke wajah Kaio. Lelaki itu jatuh mengiring.

"Woi, kau dah gila ke?!" Kaio memegang pipinya dengan rasa agak marah.

Namun perasaan takut menjelma apabila dia menyaksikan anak mata Nell yang sedang merenungnya telah berubah menjadi hijau.

Nell sudah tidak peduli pada lukanya. Dia bingkas berdiri.

Sonny yang terjengket-jengket terus membantu Kaio. Azaka menyedari keadaan yang tidak kena itu lalu terus bergegas dan berdiri di antara mereka dan Nell.

Azaka menarik nafas dalam-dalam.

Sejujurnya, perempuan itu sedikit gentar apabila berhadapan dengan Nell. Dia dapat meneka sejauh mana kuasa budak itu jika tidak cepat dikawal.

"Nell, ni aku... Azaka." Dia cuba merapati budak itu. "Kita dah selamat. Talon dan askar-askarnya dah mati. Jadi kau tak perlu rasa terancam lagi..."

Ternyata usahanya sia-sia.

Sepantas kilat Nell menghayunkan kaki kanannya kepada Azaka. Gadis itu sempat mengelak walaupun serangan itu hampir terkena mukanya.

Nell tangkas berpusing dan memberikan tendangan dengan kaki kirinya pula. Kali ini pukulan itu hampir berjaya memukul sisi kepala Azaka.

Gadis itu terundur sedikit ke belakang.

"Nell, bertenang. Ingat siapa diri kau!" Nada Azaka kian meninggi.

Malangnya, Nell sudah ditelan oleh kuasanya. Dia memberikan tumbukan yang beterusan kepada Azaka.

Gadis itu dapat menahan semua serangan itu, namun dia tidak langsung cuba untuk membalas.

Sedikit demi sedikit Nell memaksa Azaka mundur.

"Nell, apa yang kau buat ni?!" Jerit Kaio yang hanya mampu melihat.

Azaka mulai risau. Pantas gila budak ni...

Dua tumbukan akhir berhasil menghentam bahagian pipi dan sisi mata Azaka. Gadis itu tertolak ke sebatang pokok.

Nell membuka langkah seterusnya untuk menyerang.

Melihat keadaan itu, Auvo mengeluarkan parang-parangnya. Senjata itu terbang dan deras menikam kedua-dua lengan Nell.

Budak itu terjelepuk ke tanah dan dipaku oleh senjata-senjata itu ke bumi.

"Sonny, tidurkan dia." Arah Auvo.

Sonny pantas menekap tangan kanannya di dahi Nell. Budak yang sedang meronta itu terus menggelepar.

Tidak lama kemudian, dia perlahan-lahan kaku.

Kaio melihat Nell yang sudah terbaring dengan penuh kaget.

"Dia dah mati ke?" Sonny agak risau kerana telah menggunakan kekuatan renjatan yang agak tinggi. Masih ada sisa-sisa elektrik di hujung jari jemarinya.

Azaka hanya menggeleng. "Dia ni jatuh dari kapal terbang pun boleh hidup lagi. Dia takkan mati semudah tu..."

Perempuan itu merenung tubuh Nell yang tidak bergerak.

Ini teruk...

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top