[27]

KAIO dan Nell berbaring di atas lantai kayu di dalam bilik yang gelap itu. Mereka hanya berbantalkan beg masing-masing. Sonny pula mahu bersendirian dan telah pun tidur di bilik yang lain. Mungkin juga dia masih berasa sebal terhadap Nell.

"Kau ada bunuh askar ke tadi?" terpacul soalan itu dari mulut Kaio.

"Kenapa? Kau takut aku bunuh kau pulak ke?" Nell bertanya semula.

Kaio mengekek. "Kalau kau bunuh aku pun, apa kau dapat...?"

"Tangan kiri kau macam berguna..." balas Nell.

Kaio ketawa lebih kuat. "Kau nak buat apa dengan tangan besi ni? Jual? Buat kayu golf? Main snuker??"

"Buat alat penggaru belakang. Tu yang paling layak."

"Cis! Gila menghina!" Kaio memandang Nell dengan riak tak puas hati sebelum menyambung tawa.

Kali ini Nell turut tergelak.

Mereka kembali merenung siling yang gelap itu.

"Kau dah lama kenal Sonny? Dia memang sentiasa 'kemurungan' macam tu ke?" Nell mengubah perbualan.

"Murung?" Kaio ketawa lagi. "A'ah. Aku dengan Sonny dah berkawan dari kecik. Sejak kami tinggal kat Tanah Lama lagi. Lepas tu barulah kami pindah ke Lembah besi sebab berlakunya peperangan. Kau pernah dengar kan pasal perang tu?"

"Sikit-sikit." Nell teringat akan kisah yang pernah diberitahu Irena lama dahulu.

"Waktu kami umur 11 tahun, perang antara kerajaan dan Parabrid-Parabrid kat situ meletus. Sebab perang tu lah aku hilang tangan aku ni... terkena bom." Kaio mengangkat tangan kirinya seraya menggenggamnya beberapa kali. "Lepas tu... ayah aku buatkan aku tangan yang baru ni. Masa kami tahu yang radiasi nuklear dah merebak kat situ, kami cuba lari. Malangnya, Keluarga Sonny mati, dan dikebumikan kat situ. Abang dia pulak hilang. Ayah dan mak aku bawak Sonny lari dan kami tinggal di Lembah Besi."

Nell memandang Kaio. "Masa kecik korang agak tragis..."

"Ya..." Wajah Kaio berubah kelat. "Ayah, emak dan adik perempuan Sonny dibunuh depan mata dia. Lepas tu, dia dan abang dia kena seksa sebelum diselamatkan oleh Parabrid yang lain. Abang dia sampai sekarang tak tau apa khabar beritanya."

Sunyi menyelubungi sebelum Kaio kembali bersuara.

"Sebab tulah Sonny benci sangat dengan kerajaan dan tentera. Sebab tu jugaklah perangai dia macam tu. Jadi, kau jangan ambik hati sangat dengan dia."

Nell mengerti sekarang. Bukan dia seorang sahaja yang hidup dalam kesukaran. Sekurang-kurangnya dia beruntung kerana masih mempunyai orang yang sanggup membesarkannya.

"Sonny pun Parabrid jugak kan?" Nell benar-benar inginkan kepastian tentang budak itu.

"Yup. Mak ayah dia pun sama."

"Oh..." dalam diam Nell sedikit kagum.

"Sonny cakap kau belasah semua orang kat markas tu dalam masa seminit je. Boleh tahan cekap jugak kau ni."

Nell mengeluh mendengar kata-kata tersebut. "Aku tak layak untuk pujian tu. Aku sendiri tak tau apa yang aku buat..."

Kaio merenung Nell seketika. "Kau tau, orang biasa macam aku ni selalu berangan nak kuasa macam korang. Malangnya, itu takkan terjadi. Aku takkan punya apa-apa kuasa. Melainkan satu benda..." Kaio tersengih.

"Apa?" Soal Nell.

"Aku dikurniakan dengan kekacakan yang melampau..." Lelaki itu terkekek-kekek.

"Tapi kau macam takde awek je." Nell mengusik.

"Kau jangan pandang rendah kat aku... beratur awek yang nak kat aku okay! Aku je yang tak nak kat diorang..."

"Azaka?"

"Dia bukan awek aku lah. Lagipun dia tu menakutkan. Kalau aku buat salah sikit, mesti terus kena tembak."

Nell menepuk dahi. "Maksud aku, kau dah lama ke kenal dengan Azaka?"

"Cis... lain kali tanya soalan tu biar habis!" Kaio mencebik.

Kemudian lelaki itu menghembus nafas panjang. "Hmmm... sebenarnya, aku pun baru je kenal dengan dia lebih kurang enam bulan lepas. Tu pun secara kebetulan. Sonny lah... dia pergi cari pasal, curi uncang duit yang Azaka menang masa berlawan dalam sangkar bawah tanah tu. Lepas tu esoknya, minah tu muncul kat depan pintu rumah kitorang." Kaio ketawa. "Nasib baik aku ada masa tu. Kalau aku tak damaikan diorang, dah hancur dah rumah aku tu..."

Dahi Nell berkerut. "Tapi kau nampak macam dah lama kau kenal dengan dia. Kau percaya je semua cakap dia..." Nell berhenti seketika.

Kaio mengurut-urut dagunya seperti sedang berfikir. "Kau tahu tak Nell, walaupun aku ni bukan Parabrid, tapi aku ada gerak hati yang kuat gile. Aku boleh teka perangai orang. Entahlah... ada sesuatu pasal dia yang membuatkan aku tak rasa dia jahat. Dia pun macam percaya je kat aku. Lagipun dia banyak tolong aku kat bengkel tu. Kalau nak harapkan Sonny... hmppp..."

Nell hanya membiarkan lelaki itu terus membebel.

"Dan... aku rasa kau pun tak jahat. Sebab tu aku tak kisah tidur sebilik dengan kau. Sebab aku tau kau takkan buat apa-apa kat aku..." Kaio tersenyum lebar.

Nell sedikit lega dengan kenyataan Kaio. Tetapi, dia tidak rasa begitu pada dirinya. Dia sentiasa bimbang seandainya suatu hari nanti dia akan mencederakan sesiapa sahaja, termasuklah lelaki itu.

"Kaio... kau tau apa-apa pasal tak pasal askar yang pakai baju dan helmet besi?"

Kaio menggaru tengkuknya yang sedikit gatal. "Kalau tak silap, itu Unit Khas Persekutuan. Diorang tu macam askar khas yang ditugaskan untuk misi-misi yang berbahaya dan berisiko tinggi. Kenapa kau tiba-tiba tanya?"

Nell menggeleng. "Takde apalah...:

Kata-kata Kaio itu seperti belati yang menusuk ke dadanya. Mungkin dia sememangnya Parabrid yang berbahaya.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top