[26] Kelopak Tujuh
MEREKA tiba di Kelopak Tujuh, sebuah negara yang dinamakan sebegitu kerana mempunyai tujuh buah negeri. Negara ini terkenal dengan kekayaan alam semulajadi.
Sudah hampir dua jam mereka berempat berjalan meninggalkan helikopter mereka yang terkandas di kawasan Rimba Gelita kerana kehabisan minyak. Matahari sudahpun terpacak. Sinar cahayanya kadangkala menembusi dedaun rimbun hutan itu.
"Kita berhenti rehat kejap boleh tak? Kaki aku dah rasa nak tercabut ni...." Rungut Kaio yang berada di akhir barisan.
Mereka berempat mengambil tempat duduk masing-masing di bawah pokok-pokok yang sebesar lima pemeluk manusia. Kaio bersandar pada akar pokok gergasi itu dengan lega. Dia mengurut-urut kakinya yang kesakitan. Sonny yang duduk berhampiran membuka kerudung jaketnya seraya menjeling ke arah Nell yang berada di bawah pokok di seberang sana.
Azaka mengambil tempat di sebelah Nell. Budak lelaki itu tidak mengeluarkan sepatah kata sejak menaiki helikopter pagi tadi.
Azaka melirik ke arah lengan budak itu. Setelah gadis itu mencungkil keluar peluru yang terbenam di situ, luka Nell telah sembuh sepenuhnya dalam masa setengah jam sahaja.
"Kenapa kau tak gembira? Kita dah berjaya keluar dari Lembah Besi." Tegur Azaka.
Nell tidak ada rasa untuk berbual.
Perempuan itu menjeling ke arah Sonny yang sejak tadi merenung Nell. Pandangan Sonny seolah-olah menyatakan bahawa dia masih lagi marah dengan peristiwa di markas tentera itu. Azaka memberikan isyarat mata kepada Sonny meminta penjelasan.
"Si bodoh ni dah hampir rosakkan pelan kita." Tutur Sonny penuh geram. "Dengan bangangnya dia pergi serbu orang kat dalam tu. Patutnya kau masuk ke dalam lepas aku rosakkan semua sistem litar kat situ dulu. Sekarang ni tentera-tentera tu mesti dah nampak kelibat kita kat CCTV. Bagus!"
Nell tidak membalas. Dia juga tidak faham bagaimana begitu mudah dia hilang kawalan.
"Kau kena lebih hati-hati lepas ni." Ujar gadis itu kepada Nell.
Nell mengeluh. "Aku tak tahu... 'benda' tu datang dan pergi macam tu je."
Azaka cuba membaca perasaan budak lelaki yang masih tunduk merenung kakinya. "Kau Parabrid yang ada banyak potensi. Tapi kau kena belajar kawal emosi kau. Aku rasa kau mampu kawal 'benda' tu kalau kau berusaha belajar dari sekarang."
Nell menoleh ke arah Azaka. Dia faham ke tentang 'benda' yang aku cakap tu?
Mereka mengeluarkan bekalan makanan dari beg galas masing-masing. Hanya terdapat beberapa keping roti dan sedikit biskut, namun sekurang-kurangnya dapat mengenyangkan mereka sedikit.
"Kita mesti bergerak sekarang. Jom!" Azaka bingkas berdiri.
Kaio ternganga. "Kau biar betul? Kita baru duduk dalam 20 minit kau dah nak gerak? Penat aku tak hilang lagi ni!"
"Kalau tak cepat, kita akan dikesan." Terang perempuan itu.
"Korang semua Parabrid, takpelah tak penat! Aku ni dah rasa macam nak putus kaki..." bentak Kaio yang masih belum puas melepaskan lelah.
Nell memandang Kaio setelah mendengar ayat yang dikeluarkan itu.
Budak itu melihat Azaka pula. Semua Parabrid? Termasuk Azaka ke? Dia pun Parabrid?
"Dah?" Azaka mengorek-ngorek telinganya yang terasa bingit dengan rungutan rakannya itu. "Aku tak peduli kalau kaki kau lumpuh sekalipun, kau kena ikut. Kita kena sampai kat rumah kawan aku tu sebelum hari gelap. Melainkan kau sanggup bermalam kat dalam hutan ni."
"Ada jugak orang yang duduk kat tengah-tengah tempat macam ni? Hidup dia mesti membosankan..." Kaio terus membebel.
"Kawan aku tu orang tua. Tak perlukan hiburan macam korang budak bandar. Hutan ni pun dah cukup untuk dia." Azaka membalas kata-kata itu. "Sekarang ni, kau nak ikut ke tak?"
"Yelah...yelah...!" Kaio terpaksa setuju.
Hampir seharian mereka berjalan di dalam hutan yang dipenuhi dengan pohon-pohon gergasi itu. Cahaya matahari menjadi samar dek dedaun yang merimbun. Keadaan sekeliling yang suram diselaputi lumut tebal kehijauan. Hutan itu seolah-olah hidup dan sentiasa bergerak. Jalannya pula sentiasa berubah-ubah. Jika cuai, sudah pasti mereka akan sesat akibat dipermainkan pokok-pokok tersebut.
Sesekali Azaka melihat kompas elektronik yang dipegangnya. Mereka harus sentiasa berada berdekatan agar tidak dipisahkan oleh persekitaran sebegitu. Langkah diatur dengan penuh berhati-hati untuk memastikan mereka kekal mengikut haluan dan mengelakkan sebarang kecederaan daripada serangga-serangga perayap yang luar biasa besarnya.
Matahari sudah menyusup di sebalik gunung. Kawanan burung berterbangan pulang ke sarang. Langkah mereka semakin sukar dalam kegelapan itu. Had penglihatan mereka semakin terhad.
Sayup-sayup kelihatan ada sedikit cahaya di tengah-tengah belantara itu. Semakin mereka hampir, barulah mereka tahu bahawa kilauan suram tadi datangnya dari sebuah rumah kayu kecil dua tingkat.
"Ni ke rumah kawan kau? Gila ngeri rupa dia... macam rumah hantu." Bisik Kaio.
Mereka menghampiri kediaman yang usang itu. Azaka menolak pintu pagar setinggi pinggang yang diperbuat dari batang kayu. Mereka mengikut sahaja gadis itu berjalan ke muka pintu.
"Auvo!" Laung Azaka sambil mengetuk pintu kayu itu dengan kuat. "Auvo Aramus!"
Tiada sebarang jawapan. Hanya bunyi cengkerik kedengaran. Gadis itu terus mengetuk pintu itu dengan lebih bersungguh-sungguh.
"Orang tua! Aku bilang sampai tiga je, atau aku bom rumah kau!" Ugutnya. "Sat - "
Belum sempat kiraan dihabiskan, kedengaran tombol pintu dipulas dari dalam. Pintu itu berkeriut dan terbuka sedikit.
"Kau nak apa?" Soal seorang lelaki dari dalam rumah itu. Hanya anak mata berwarna kelabu sahaja yang terlihat di sebalik bukaan kecil itu.
Azaka hanya tersenyum lebar seakan begitu gembira.
Kedengaran lelaki itu mengeluh berat. "Masuklah..." Dia bersuara malas.
Pintu terpelahang luas, mendedahkan ruang tamu kecil yang hanya diterangi dengan cahaya lentera. Beberapa perabot kayu di situ dipenuhi debu. Lantai papannya pula diselaputi habuk padat. Sarang labah-labah memenuhi sudut siling yang mereput. Langsir hitam tebal menutup semua tingkap yang ada.
Seorang lelaki yang hanya berseluar panjang hitam berdiri di tengah-tengah ruang. Tingginya lebih kurang 190cm. Badannya tidak begitu besar tetapi berotot. Bahu kirinya mempunyai tatu kepala rusa. Rambutnya lurus, berwarna kelabu dan separas pinggang. Terdapat jambang nipis pada wajah panjang itu. Lelaki itu kelihatan seperti berusia pertengahan 30-an. Air mukanya seolah-olah baru sahaja bangun dari tidur.
"Err... ni ke 'orang tua' yang kau cakap tu?" Mata Kaio bulat melihat lelaki yang tak seperti dibayangkannya itu. Hanya warna rambutnya sahaja seakan-akan warga emas. Penampilan lainnya masih seperti orang muda.
Lelaki tinggi menggalah itu menoleh ke arah Azaka. Wajahnya seperti mahukan penjelasan. Namun gadis itu tidak mengendahkannya.
"Ini kawan-kawan aku. Kaio, Sonny dan Nell." Azaka memperkenalkan mereka kepada lelaki itu. "Kitorang nak tumpang bermalam kat sini. Aku tau kau tak kisah." Katanya lagi sambil melemparkan beg galasnya ke atas sebuah kerusi rotan.
Lelaki itu mengeluh lagi. Dia tahu jika dia berkata 'tidak' sekalipun, ia tak akan mengubah apa-apa.
"Selamat berkenalan. Aku Auvo. Bilik kat atas... naiklah..." Beritahu lelaki itu dengan tidak bersemangat.
Mereka bergerak menaiki tangga kayu seorang demi seorang. Jejak disusun dengan berhati-hati kerana binaan itu seperti menunggu masa untuk rebah ke tanah.
Azaka hanya melihat mereka menaiki tangga tersebut. Pada masa itu, lengannya ditarik dari belakang. Dia menoleh ke arah Auvo yang menatapnya dengan seribu kerutan di wajah. Lelaki itu sempat melirik ke bahagian atas untuk memastikan tiada rakan-rakan Azaka yang masih berada di situ.
"Kau bukan jenis yang datang tetiba macam ni kalau takde benda yang penting." Suara Auvo perlahan namun jelas. "Kau pernah bagitau aku pasal Kaio dan Sonny. Tapi, budak rambut hitam tu...?"
Azaka menjeling ke arah tangga, berharap tiada yang mencuri dengar. Kemudian dia memusingkan badannya ke arah lelaki itu.
"Aku tau kau dah terus 'kenal' dia dengan sekali tengok je, Auvo."
Lelaki itu merenung anak mata Azaka dengan rasa tidak percaya. "Akhirnya... kau jumpa dia..." Genggamannya di lengan gadis itu dilepaskan. "Kau patut bawa dia jumpa Pako."
Azaka kelihatan sedikit risau. "Dah lima hari aku tak dapat hubungi dia. Aku rasa ada yang tak kena."
Mereka terdiam memandang sesama sendiri. Sekarang, masalah baru timbul.
"Kita kena buat rancangan sendiri." Mata Auvo yang tadinya kuyu telah terbuka luas.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top