[24]
TEROWONG Lombong Dingin, sebuah terowong yang terletak di pinggir bukit. Sekeliling terowong tersebut telah dipasang dengan dinding batu serta dawai kawat elektrik setinggi 6 meter. Pagar itu bersambung dengan tembok batu yang mengelilingi Lembah Besi.
Puluhan tentera meronda di segenap sudut kawasan itu mengikut giliran. Ada sebuah menara tinjau yang berada di bahagian barat. Terdapat juga sebuah garaj kenderaan tentera dan sebuah hangar kapal terbang di kawasan yang berdekatan.
Nell dan Sonny mengikat kain menutupi separuh wajah. Mereka perlahan-lahan menyusup di luar dinding berdekatan menara tinjau bahagian barat. Sonny menjeling jam di tangannya yang menunjukkan hampir 4.30 pagi, menantikan masa pertukaran giliran askar di menara itu.
Mereka semua telah membuat rancangan ini selama hampir tiga hari. Kali ini, mereka tidak boleh gagal kerana inilah satu-satunya pilihan yang ada buat masa ini.
"Sekarang."Bisik Sonny.
Sonny mengambil lajak. Dia berlari dan memijak sebatang tunggul kayu, melonjak lalu mencapai bahagian atas dinding batu itu. Dia bergayut dengan tangan kirinya. Nell mendongak, menantikan apa yang akan dilakukan oleh Sonny.
Perlahan-lahan, tangan kanan Sonny memegang dawai kawat yang mengalirkan arus elektrik itu. Hampir sahaja Nell menerpa untuk menghalang. Namun niatnya itu terbantut sebaik sahaja mendapati tiada apa-apa yang berlaku pada Sonny. Bahkan arus elektrik itu seolah-olah mengalir ke dalam tangannya.
Nell ternganga. Ini memang di luar dugaannya.
Sonny melapik dawai kawat itu dengan jaketnya. "Cepat. Kita ada 30 saat je sebelum askar pertukaran sampai." Arah Sonny sebelum melompat turun ke sebelah sana.
Tanpa melengahkan masa, Nell mengikut sahaja arahan itu. Ternyata elektrik pada dawai kawat itu telah dimatikan. Dia juga berjaya melompat turun ke dalam kawasan tersebut.
Nell yang masih agak terkesima menghulurkan jaket milik Sonny kembali kepadanya. Sonny pun Parabrid?
Sonny terus memecut menuju ke sebuah kenderaan yang berada di situ. Nell mendengus dan terus mengekori Sonny.
Mereka terus berlari ke sebuah kenderaan yang lain pula. Mereka bergerak secara berhati-hati dan bersembunyi di belakang apa sahaja objek sebelum mereka tiba di bangunan pusat kawalan operasi.
Pada saat ini, kenderaan perisai yang dibina oleh Kaio, 'Naga Tempur' muncul di hadapan pintu pagar utama. Kenderaan agam itu mula melanggar pintu pagar besi yang tinggi itu. Namun pintu pagar itu masih berdiri tegak.
Sebaik menyedari serangan mengejut itu, tentera-tentera yang sedang berkawal di bahagian dalam mula bertindak. Beberapa orang tentera yang sedang berkawal di pos kawalan terus melepaskan tembakan. Namun tembakan-tembakan itu hanya memberikan kesan calar sahaja.
Kenderaan itu terus merempuh pagar itu beberapa kali lagi. Pagar besi itu itu mulai goyah. Akhirnya, kenderaan itu berjaya masuk ke dalam kawasan yang dikerumuni oleh tentera-tentera yang sedang dalam mod menyerang.
Keadaan mulai tegang. Kedengaran pegawai atasan mula memberikan arahan kepada tentera-tentera. Siren dibunyikan. Mereka bergerak laju mengikut unit masing-masing. Tentera-tentera mula meningalkan pos masing-masing dan bergerak ke arah kenderaan tersebut.
Sonny dan Nell mengambil kesempatan ini untuk masuk ke dalam bangunan yang menempatkan bilik server.
Sonny terlebih dahulu menyerang salah seorang tentera yang berada di hadapan pintu masuk. Dia mencengkam leher tentera itu. Lelaki tersebut menggelepar sebelum jatuh ke tanah. Seluruh badannya bertukar kemerahan dan dipenuhi dengan jaluran urat yang timbul jelas.
Buat kali kedua, Nell menyaksikan tindakan Sonny dengan penuh takjub.
Sepantas kilat, satu tembakan dilepaskan oleh seorang lagi tentera ke arah Sonny. Sonny sempat menundukkan kepalanya. Nell menerpa dengan laju dan memberikan tendangan kepada tentera itu.
Seorang lagi askar datang dan memberikan dua das tembakan. Kali ini salah satu tembakan berjaya menembusi lengan Nell. Budak itu terduduk dan mengerang.
Sonny pantas bangun semula dan menanduk perut lelaki itu. Mereka sama-sama terjatuh. Sonny terus mencengkam muka lelaki itu. Sama seperti rakannya, lelaki itu menggelepar dan terus tidak sedarkan diri.
"Cepat!" Ajak Sonny sambil berlari ke arah pintu masuk.
Nell masih terduduk di situ. Kesakitan pada bahunya tidak semena-mena membangkitkan satu reaksi. Kepalanya terasa panas. Dia menggengam penumbuknya.
"Woi, cepatlah!"Jerit Sonny yang sudah berada di pintu masuk.
Nell bingkas bangun dan berlari ke arah rakannya. Sonny memegang kotak kunci elektronik di sebelah pintu bilik server, lantas memberikan ia satu renjatan. Bau hangit dan sedikit asap menerawang ke udara. Kemudian, dia menendang pintu besi itu. Namun setelah mencuba beberapa kali, dia masih gagal membukanya.
"Celaka!"
"Ke tepi..." Arah Nell. Dengan sekali tendangan, pintu itu tumbang. Dia terus menerpa masuk ke dalam.
"Woi! Tunggu dulu!"Sonny cuba menghalangnya. Tindakan Nell ternyata bukan seperti dalam perancangan mereka.
Nell tidak dapat berfikir dengan baik. Adrenalinnya terasa meningkat. Kemunculannya mengejutkan lima orang pegawai yang berada di situ. Mereka bangun dari tempat duduk masing-masing dan mengeluarkan senjata.
"Bodoh!" Getus Sonny yang masih bersembunyi di sebalik dinding.
"Angkat tangan!" Laung tentera yang berada paling depan. "Sekarang!"
Nell menghadap manusia-manusia di sekelilingnya. Badannya terasa panas dan dadanya mula turun naik. Dia memegang kuat kepalanya. Dia tahu akan kesilapan yang telah dibuatnya, namun mindanya seakan sedang keliru.
Kawal diri kau, Nell!
Sonny mengambil kesempatan itu dan merangkak perlahan-lahan ke dalam bilik tersebut. Dia mencari wayar CCTV. Lelaki itu tidak mengambil masa yang lama. Keseluruhan litar CCTV berjaya dirosakkan dengan satu sentuhan. Nell terlihat tindakan rakannya itu daripada ekor matanya.
"Sekali lagi aku ulang, angkat tangan kau!" arah tentera itu lagi.
Dengan sekelip mata, Nell meluncur di atas lantai lantas menyepak kaki lelaki itu. Pegawai itu jatuh ke belakang. Nell terus menumbuk lelaki itu sehingga dia pengsan.
Sebutir peluru menembusi belakangnya. Budak itu mengemam bibirnya menahan sakit.
Sementara itu, Sonny mencapai kabel-kabel di belakang salah satu daripada bongkah-bongkah server di situ dan merosakkan kesemuanya dengan aliran elektrik dari tangannya. Tindakannya itu telah mengendalakan sistem komunikasi markas itu sekurang-kurangnya selama satu jam.
Nell semakin sukar mengawal dirinya. Dia membuat satu lompatan ke arah pegawai yang menembak belakangnya dan terus menghentak kepala lelaki itu dengan lututnya. Terus lelaki tersebut jatuh ke lantai dan hilang reaksi.
Dua orang lagi pegawai meluru ke arahnya.
Nell pantas menolak salah seorang, dan menangkap tumbukan seorang lagi dengan tapak tangannya. Muka lelaki itu yang cuba menumbuknya itu disiku deras diikuti dengan libasan kaki ke kepalanya. Darah pekat tersembur keluar dari mulut lelaki itu sebelum dia pengsan.
Lelaki yang ditolak tadi mara kembali. Nell menendang perutnya. Terus dia terpelanting melanggar dinding dan tidak bergerak lagi.
Melihatkan keadaan itu, pegawai terakhir yang masih tinggal terus menyorokkan dirinya di sebalik meja. Dia cuba menghubungi markas tanpa menyedari Nell sudah berada di belakangnya.
Serta merta kepala lelaki itu dihentak ke dinding. Dia juga menerima nasib yang sama seperti rakan-rakannya.
Bilik itu bertukar menjadi sunyi. Hanya kedengaran siren di luar.
Sonny bersandar di dinding sambil melihat keadaan sekeliling yang tak ubah seperti tongkang pecah. Dalam masa kurang dari dua minit, semua pegawai tadi berjaya 'disenyapkan'.
Pandangan Sonny berakhir pada Nell yang sedang berdiri di tengah-tengah bilik. Dia sedikit terkejut dengan kebolehan Nell, namun rasa marahnya mengatasi.
"Kau tak reti ikut pelan ke, bangang?" Sonny hampir menengking budak itu.
Nell diam merenung tubuh yang terkujur di hadapannya. Perlahan-lahan dia duduk di atas lantai. Fikiran warasnya mulai kembali. Jantungnya berdegup dengan lebih kencang. Kali ini disebabkan oleh perasaan takut.
Nell memejamkan matanya. Kenapa dengan aku ni?!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top