[23]
CAHAYA suria sudah memenuhi bilik kecil yang sempit itu. Nell duduk bersila di atas lantai marmar, merenung jam dinding yang menunjukkan pukul 9 pagi. Dahinya dibasahi peluh. Mimpi itu lagi.
Dia melunjurkan kakinya. Luka tusukan di betisnya semalam telah pun hilang dalam masa kurang 1 jam, semasa mereka masih dalam komuter menuju ke bandar ini. Tiada langsung bekas parut. Semakin lama, kadar penyembuhannya semakin cepat.
Sedang Nell memikirkan kembali perkara-perkara yang telah dilakukannya semalam, dia terlihat beberapa naskhah surat khabar yang tersadai di sudut bilik. Dia memandang kertas-kertas yang berselerakan itu beberapa ketika.
Budak itu menelan air liur.
Perlahan-lahan, dia mengangkat tangan kanannya ke arah akhbar-akhbar itu. Anak matanya tajam memandang ke arah itu, dengan tumpuan yang semakin lama semakin meningkat.
Sedikit demi sedikit, senaskhah yang paling atas mula terapung. Nell cuba mengangkatnya lebih tinggi, dan usahanya berjaya. Dia melayangkan objek itu ke arahnya.
Akhirnya, surat khabar itu selamat mendarat di atas kedua belah tapak tangannya. Nell tersenyum sendiri. Dia rasa begitu gembira dengan kebolehan baru itu.
Daun pintu diselak. Nell sedikit terkejut. Azaka terjengul di situ. Gadis itu masuk tanpa berlengah.
"Kau dah okay? Rupa kau macam orang gelandangan." Dia duduk di sebelah budak itu.
"Aku okay. Cuma aku rasa macam bangkai sebab dah dua hari tak mandi." Balas Nell.
"Ya... ada bau." Perempuan itu tersengih.
Nell memandang keliling. "Mana yang lain?"
"Semua kat bawah. Kitorang tak tidur pun semalam... tolong Kaio siapkan 'mahakarya' dia tu."
"Mahakarya apa?" soalnya keliru. "Kenapa tak kejutkan aku?" Dia rasa agak dipinggirkan.
"Aku yang tak bagi diorang kejut kau. Kau kena rehat sampai betul-betul sembuh."
Nell tertawa sedikit. "Rasanya aku yang paling cepat sembuh berbanding korang semua. Patutnya korang yang rehat."
"Mungkin sebab kalau kau tak betul-betul sembuh, kau akan jadi beban untuk misi kita ni. Entah apa lagi yang kau akan buat."
"Pergh... kau punya kenyataan. Kau lupa ke sape yang tolong kau semalam?"
Azaka ketawa. "Tapi aku yang 'selesaikan' semua orang."
"Kau memang selalu bunuh orang ke?" Nell menyoal tanpa bertapis. Soalan itu sememangnya ingin membuak-buak keluar semenjak semalam.
"Kalau terpaksa," balasnya bersahaja.
Nell memandang wajah Azaka yang tidak menunjukkan sebarang riak bersalah, Seperti membunuh itu sudah menjadi satu perkara biasa baginya. Dia ni baik ke jahat?
"Berapa Umur kau?" Nell perlu lebih tahu tentang perempuan itu.
"28." Balas Azaka ringkas.
Mata Nell semakin segar. Dia tidak menyangka kawan Irena semuda itu. Nell merasakan ada sesuatu yang tak masuk akal tentang cerita perempuan itu sebelum ini. "Macam mana kau boleh kenal dengan mak cik aku?"
"Dia tak pernah bagitau kau?" Wajah Azaka berkerut.
Nell menjuihkan bibirnya.
"Dulu sebelum kau lahir, dia pernah bekerja kat sebuah makmal ubat. Aku salah sorang pesakit dia. Aku memang masih budak-budak lagi masa tu. Kami selalu berjumpa dan bersembang. Dan dari situ kami jadi kawan."
Nell terdiam mendengar kisah baru itu. Ya, Irena tidak pernah menceritakan hal itu kepadanya. Malah, baru hari ini dia tahu bahawa Irena pernah bekerja di makmal ubat. Irena telah merahsiakan banyak perkara darinya.
Azaka terus memerhatikan budak yang sedang merenung angin itu. "Irena banyak cerita pasal kau dalam surat-surat dia. Jujurnya, aku sendiri tak sangka kau boleh sampai ke sini. Aku rasa, dia dah ajar kau dengan baik."
Nell mengangguk kecil. Rasa sakit di dada muncul apabila mengenangkan ibu saudaranya itu, membuatkan dia tidak mahu lagi bercerita tentang topik tersebut.
"Semalam, lelaki yang pakai cermin mata tu Parabrid jugak, kan?"Nell mengubah perbincangan. "Kenapa dia buru orang yang sama jenis dengan dia?"
Azaka mengangkat keningnya. "Parabrid macam dia tu dah tandatangan kontrak dengan kerajaan. Dalam bahasa mudahnya, dia dah jadi anjing kerajaan. Diorang boleh hidup mewah dan selesa asalkan diorang buat apa saja tugasan yang disuruh."
"Bodohnya." Balas Nell.
Azaka ketawa kecil. "Ironinya, diorang cakap benda yang sama kat kita."
Nell terpandang lengan Azaka yang calar-balar. Dia teringat pergaduhan di bandar semalam. Perempuan itu kelihatan agak tangkas.
"Sebelum kau datang ke Bandar Tembaga dan berlawan kat Arena tu, apa kerja kau?" Nell cuba mengorek lebih banyak maklumat.
Azaka menggaru dagunya. "Aku tak pernah ada kerja tetap pun. Aku buat je kerja apa-apa yang ada."
"Habis tu, mana kau belajar lawan macam semalam?"
"Merata-rata. " Perempuan itu ketawa kecil. "Kau nak belajar dengan aku ke? Aku caj 5000 Zuno untuk satu pelajaran."
"Cekik darah..." omel Nell. Azaka ketawa lagi.
Keadaan beransur senyap. Nell kembali hanyut ke dalam benaknya.
"Apa yang kau fikir?" Azaka bertanya perlahan. Dia tahu banyak perkara yang merungsingkan Nell.
Budak itu menghela nafas perlahan.
"Semalaman aku fikirkan balik apa yang terjadi kat bandar tu. Aku tak pernah tau aku boleh buat semua tu." Dia berfikir sejenak. "Semua Parabrid macam aku ke...?"
Azaka memandang wajah budak itu beberapa saat sebelum memberikan jawapan. "Terus terang aku cakap, susah nak jumpa Parabrid yang ada kuasa macam kau ni. Dan... inilah sebab kenapa Irena jadi terlalu melindungi kau."
Nell tertunduk. Hatinya tidak tenteram. Dia tahu, Parabrid mempunyai kuasa yang berbeza-beza. Selama ini, dia menyangka dirinya hanya mempunyai kebolehan regenerasi sel yang pantas. Ternyata tekaannya jauh tersasar.
"Aku ni... bahaya ke?" Terus Nell teringat akan tajuk akhbar tentang dirinya itu.
"Semua Parabrid boleh jadi berbahaya." Azaka menjawab tenang. "Bergantung kepada cara masing-masing macam mana nak gunakan kuasa diorang..."
"Jadi, aku pun berpotensi untuk jadi bahaya." Nell berkata perlahan.
Gadis itu menggeleng. "Tak lah seteruk tu. Aku 'kenal' kau." Dia mengusap sedikit kepala Nell, mengusutkan lagi rambut hitam itu.
Budak itu tersenyum sedikit. Dia tak pasti sejauh mana Irena telah bercerita kepada Azaka mengenai dirinya.
"Jom." Azaka mencuit lengan budak itu. "Sarapan."
Mereka menuruni tangga ke ruang bawah yang merupakan sebuah bangunan rumah kedai. Di bahagian itu, beberapa buah kereta memenuhi ruang tersebut. Tayar-tayar dan alat-alat ganti diatur rapi di atas rak yang terpasang pada sisi kiri dan kanan dinding. Pintu rol besi ditutup menandakan perniagaan masih belum bermula.
Mereka duduk di atas bangku berwarna perak, menghadap meja bulat berona sama yang dipenuhi dengan kesan calar. Sonny sudahpun berada di situ.
Seorang lelaki gemuk dalam lingkungan umur 30-an muncul dari ruang atas kedai. Rambut pendeknya berwarna jingga, diselaputi minyak rambut dan disikat tepi. Dia memakai baju kemeja putih berlengan pendek dengan corak belang menegak, namun masih tidak mampu membuatkannya nampak lebih kurus. Lelaki itu berjalan seperti seorang model menuju ke arah mereka.
"Sarapan, kawan-kawan." Dia meletakkan dulang yang berisi empat buah mangkuk dan empat botol air mineral di atas meja.
"Mekasih, Biggura." Azaka mencapai bahagiannya.
Lelaki itu melabuhkan punggungnya di atas bangku yang kosong di situ. "Macam mana tidur korang semalam? Okay? Ada pijat tilam gigit tak?" Dia tersengih sambil mengurut misainya.
"Kelakar." Sonny membalas sinis. Mereka hanya tidur beralaskan lantai.
Nell merenung mangkuk di hadapannya. "Kenapa hidang air dalam ni?"
Biggura kelihatan sedikit tersinggung. "Itu sup."
"Oh." Mata budak itu masih tidak lekang pada sup yang sungguh cair itu. "Wow."
"Pandai kau masak. Beruntung awek kau." Ujar Sonny sambil menghirup sup yang tawar itu. Biggura yang tidak faham akan sindiran tersebut tersipu-sipu melirik ke arah gambar seorang wanita gempal di atas meja juruwang.
Mata Azaka beralih ke arah daun pintu yang terbuka di belakang kedai tersebut. "Kaio masih kat situ?"
"Ye. Entah apa lagi yang dia buat kat bawah tu. Barang-barang aku yang dia ambik pun dia tak bayar lagi. Dah la susah payah aku dapatkan semua tu kat pasaran gelap. Bila suruh bayar lebih, banyak merungut pulak." Bebel lelaki gempal itu. "Aku rasa korang patut pergi tengok dia. Entah-entah dia dah mati kejung kat belakang tu."
Mereka semua ke bahagian belakang kedai selepas selesai bersarapan. Bilik yang seakan-akan stor itu agak besar dan berbeza sekali dengan ruang hadapan kedai. Rak-rak besi setinggi siling yang dipenuhi dengan pelbagai alatan automotif berdiri kukuh. Kelihatan Kaio sedang mencangkung di ruang tengah, sibuk membelek lakaran di atas kertas.
"Kau pun nampak macam gelandangan." Azaka memandang Kaio dengan riak simpati.
"Pfftt... ni semua kau punya pasal jugak. Suruh aku reka benda yang bukan-bukan." Balas Kaio. Lingkaran hitam jelas di bawah matanya. "Tapi, korang datang tepat pada masanya. Aku nak korang tengok sesuatu. Ikut aku!"
Kaio membuka sedikit pintu rol besi yang terdapat di hujung bilik. Mereka tunduk masuk ke dalam. Terdapat sebuah lagi ruang yang agak luas di sebaliknya.
"Whoa! Kau buat ni dalam masa satu malam?" Mata Nell membulat ke arah kenderaan yang berada di hadapannya.
"Semua orang tolong bina benda alah ni. Kau je yang membuta tak bangun-bangun." Kedengaran rungutan Sonny di belakang Nell.
Azaka tersenyum melihat Kaio, begitu kagum dengannya. Lelaki itu sememangnya genius. Sekejap saja Kaio dapat memahami rancangannya, malah dapat menambah baik sedikit.
Kaio tersengih luas sambil mengangkat-angkat keningnya." Tapi tak siap sepenuhnya lagi. Mungkin dalam dua tiga hari, siaplah ni." Tangan besinya menepuk hud kereta itu. "Terima kasih pada Biggura yang pinjamkan aku kereta konsep lama dia, dan terima kasih jugak pada ayah aku sebab dengan pelan-pelan lakarannya, aku dapat siapkan 'budak jahat' ni dengan cepat. Saudara dan saudari, dengan rasminya aku namakan jentera ni sebagai 'Naga Tempur'!"
Kenderaan setinggi hampir 180cm itu dipasang dengan perisai besi pada hampir keseluruhan permukaannya termasuk tingkap di bahagian sisi dan belakang. Tingkap hadapan digelapkan dan mempunyai gril besi. Tayar yang seakan-akan kereta kebal menyokong berat kenderaan itu. Rim tayar-tayar tersebut dilengkapi dengan cerucuk besi. Bahagian bampar hadapan kereta yang leper dan tegap mempunyai cerucuk besi yang lebih banyak dan besar saiznya. Terdapat sebuah meriam berkembar yang dipasang pada bahagian atas bumbung.
"Okay. Trak atau apa je nama benda ni memang hebat gila, tapi aku masih tak dengar apa-apa lagi pasal rancangan kita lepas ni." Sonny mahukan penjelasan dari Azaka.
"Kaio..." Azaka menyerahkan tugasannya kepada lelaki itu.
Kaio berdehem sedikit. "Korang pernah dengar tak pasal terowong keretapi yang ada di utara Lembah Besi?"
"Terowong Lombong Dingin tu ke?" Celah Biggura.
Kaio mengangguk. "Terowong tu dulu digunakan untuk keretapi bawak barang dagangan. Tapi sejak lima tahun yang lepas kerajaan dah tutup terowong tu. Tapi ada sikit masalah sebab kawasan tu dipagar dan ada askar-askar lengkap bersenjata yang berkawal 24 jam kat situ. Tambahan lagi pintu terowong tu dah ditutup dengan pintu besi. Sebab tulah kita perlukan kenderaan ni." Dia mengangkat-angkat keningnya beberapa kali dengan bangga.
"Oh... jadi rancangan korang, kita rempuh keluar dari sini dengan benda ni? Kau tau tak betapa ketatnya kawalan kat situ?" Sonny kurang yakin dengan apa yang didengarnya. "Lagipun ni kereta konsep, tak laju mana pun. Kau yakin kita boleh lari guna benda ni?"
"Ye... macam rancangan bunuh diri je..." Biggura menambah.
"Ada sebab aku namakan benda ni 'Naga Tempur'!" Dia menepuk hud kenderaan di sebelahnya itu. "Korang ada rancangan yang lagi baik ke?" Kaio menjegil ke arah rakan-rakannya itu. Sonny hanya membisu.
"Berjaya atau tak, aku akan ikut rancangan kau." Nell membuka suara. "Aku lebih rela mati macam tu daripada duduk kat sini menyorok macam orang bodoh. Kau cuma perlu bagitau aku apa yang aku kena buat. Aku akan ikut apa je rancangan kau asalkan semua orang dapat keluar dari sini."
Kaio tersenyum lebar. "Tulah semangat yang kita nak!"
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top