[19]
SUDAH hampir 15 minit Kaio, Nell dan Azaka berjalan. Dari hiruk-pikuk kawasan setinggan, ke bandar yang sempit dan sesak, hingga akhirnya mereka tiba di kawasan pelabuhan. Dari situ, mereka berjalan lagi melintasi kapal-kapal besar yang tersusun rapi di tepi laut. Ramai pekerja-pekerja yang sibuk memunggah barangan dari kapal-kapal.
Sebuah kapal lama yang berkarat berada di hadapan mereka. Kapal besar itu tersadai jauh dari laut. Besi-besi buruk dan bahagian-bahagian kapal berselerakan di sekeliling. Mereka masuk melalui lubang besar di bawah perut kapal itu dan menaiki tangga melalui ruang enjin.
Kaio mula mencari bahagian-bahagian yang boleh diguna pakai semula, sementara Azaka melilau mencari besi buruk. Nell pula berdiri tegak di situ, memerhatikan keadaan sekeliling.
"Yang kau tercegat lagi kat situ kenapa?" Tanya Azaka.
Seperti baru tersedar dari mimpi, barulah Nell juga bergerak mencari besi buruk dan bahagian enjin yang masih baik. Semasa budak itu sedikit jauh daripada yang lain, Kaio menghampiri Azaka dengan perlahan sambil matanya berulang kali memandang Nell.
"Kenapa kau bawak dia?" Bisik Kaio dengan bibir yang hampir tak bergerak.
"Eh, okaylah tu. Kau dapat pekerja percuma." Balas Azaka bersahaja.
Wajah Kaio semakin tidak selesa. "Macam mana kalau dia lari? Atau lebih teruk, dia serang kita?"
Azaka tersenyum. "Takde punya. Percaya la kat aku, dia takkan buat apa-apa. Lagipun aku kan ada. Bertenang la."
"Okay, okay... katakanlah dia tak bahaya, seeloknya pun kau sembunyikan dia kat rumah kau, bukan bawak dia jalan-jalan macam ni."
"Bukan idea yang bagus." Kata Azaka sambil memasukkan sebatang rod besi yang berkarat ke dalam guni. "Aku rasa hari ni diorang akan buat serbuan kat kawasan rumah kita. Aku nampak dah ramai askar-askar yang masuk ke Bandar Tembaga."
Kaio merenung Azaka dengan wajah serius. "Kau pasti? Jadi kau bawa kitorang ke sini untuk sembunyi? Kau tau kan 'Matadron' akan dapat cari kita juga nanti?"
"Oh.." Azaka terjegil seperti baru teringat akan sesuatu. Dia mengorek poket seluarnya dan mengeluarkan dua gelang besi. "Satu untuk kau, dan satu lagi untuk budak tu. Gelang ni dapat ganggu fungsi Matadron bila diaktifkan. Tapi untuk lima minit je."
Kaio mengambil gelang yang berada di telapak tangan Azaka dengan rasa sedikit kagum. "Mana kau dapat benda ni?"
"Aku beli dari sorang mamat yang aku kenal kat Arena bawah tanah tu. Sonny punya aku dah bagi pada dia dua hari lepas masa kat tempat tu jugak." Terang perempuan itu.
Kaio terus memakai alat itu. "Terima kasih!"
Azaka menghampiri Nell dan memberitahu perkara yang sama seperti tadi. Gelang itu dipakaikan ke pergelangan tangan kiri budak itu.
Belum sempat Nell bertanya lanjut, telefon bimbit Azaka berdering. Perempuan itu melihat sekilas nama di skrin peranti tersebut.
"Aku kena jawab panggilan ni. Japgi aku datang balik." Perempuan itu menepuk bahu Nell. Kemudian, dia terus turun ke dek bawah, meninggalkan Nell dan Kaio yang termagu.
Kaio mengetap bibir. Tak guna punya pompuan. Kau tinggalkan aku dengan budak ni macam tu je?
Kaio dan Nell berpandangan seketika.
"Boleh aku tanya kau satu benda?" Nell tiba-tiba bersuara.
"Hah, apa?" Kaio yang agak tersentap cuba berlagak seperti biasa.
"Matadron tu apa?"
Kaio menghembus nafas. Dia pun tak pasti mengapa dia perlu merasa takut.
"Matadron tu dron kecik. Kerajaan punya. Tugas benda tu untuk imbas tempat atau orang dan hantar maklumat kat kerajaan. Diorang baru lancarkan lebih kurang tiga bulan lepas." Terang Kaio.
"Oh..." Nell mengerti sedikit walaupun masih agak samar tentangnya.
"Urgh... aku benci benda tu." Rungut Kaio sendirian.
Selepas itu, mereka meneruskan kerja masing-masing. Sekali-sekala Nell akan meminta kepastian daripada Kaio tentang kebergunaan barang yang ditemuinya.
Hampir 45 minit mereka di situ. Seluruh ruang itu telah mereka geledah. Kaio duduk di lantai sebentar untuk melepaskan lelah. Nell pula berdiri agak jauh dari lelaki itu, melihat sekeliling kerana sudah tidak tahu untuk berbuat apa lagi.
"Lepas kau jumpa mak kau, apa kau nak buat?" Soal Kaio memecah suasana canggung itu.
"Entah..." Nell tidak pernah terfikirkan perkara itu. Sejujurnya, dia hanya ingin menunaikan amanat terakhir Irena.
"Ayah kau? Mana dia?"
Nell menjungkit bahu. "Mungkin dah mati. Aku tak banyak tau pasal dia. Yang aku tau, kuasa aku ni datang daripada dia... sebab ibu aku manusia biasa."
Soalan yang sama sering diajukan kepada mak ciknya. Namun setiap kali ditanya, Irena juga tidak tahu siapakah bapa budak itu kerana ibunya tidak pernah sempat memberitahu apa-apa. Itu merupakan satu lagi sebab mengapa dia perlu berjumpa dengan ibunya. Perempuan itu berhutang banyak penjelasan tentang asal-usul dirinya, juga kuasa yang dimilikinya sekarang.
"Mak aku dah meninggal masa umur aku 13 tahun. Nahas kapal terbang masa nak pergi melawat sedara." Beritahu Kaio tanpa dipinta. "Masa aku umur 14 tahun, ayah aku pergi ke luar negara untuk satu tugas, dan terus tak balik-balik." Kaio memandang budak itu. "Bila aku tengok kau punya usaha untuk cari mak kau, mungkin aku patut buat benda yang sama... walaupun aku tau ayah aku takkan suka kalau aku pergi cari dia..."
Nell membalas renungan Kaio. "Kau boleh ikut aku. Kalau kau nak..."
Kaio tersenyum sedikit. "Kalau aku keluar dari sini, aku akan heret Sonny sekali. Masalahnya, aku... dan terutamanya Sonny, masih tak percayakan kau."
Nell senyap sebentar. "Aku tak boleh buat apa-apa tentang tu. Aku sendiri masih tak percaya kat diri aku...."
Kening Kaio merapat. "Apa maksud kau?"
"Aku masih tak mahir untuk kawal kuasa aku."
"Ooo... kay..." perasaan takut Kaio kembali. "Boleh terangkan sikit macam mana tu?"
"Kadang-kadang..." Nell terkelu.
Minda budak itu dipenuhi dengan segala kejadian yang pernah menimpanya. Tetapi dia tidak mempunyai ayat yang sesuai untuk diluahkan.
Kaio menunggu budak itu menyambung kata-katanya. Namun jelas itu tidak berlaku. Kaio hanya membiarkan Nell terdiam di situ. Entah mengapa, dia rasa Nell bukanlah jahat. Mungkin benar kata Azaka.
"Apa tu?" Nell memandang ke arah kerdipan-kerdipan cahaya merah yang tiba-tiba ada di kawasan hujung dek yang gelap.
"Celaka..." Jantung Kaio terasa luruh. "Matadron!"
"Lari?" Nell meminta kepastian.
Kaio menggeleng. Dia tahu benda itu boleh mengesan pergerakan. Dadanya sudah berdetak laju. "Guna benda ni." Dia terus menekan butang pada gelang besi yang diberi Azaka. Saat ini, dia berharap perempuan itu tidak menipunya.
Nell juga segera melakukan perkara yang sama. Nombor bercahaya biru dengan kiraan masa menurun terpapar pada permukaan gelang. Mereka ada masa lebih kurang lima minit.
Sebuah dron berwarna putih muncul dari bayang-bayang gelap itu. Ada nombor jingga pada permukaan atasnya yang leper dan pada bahagian tepinya. Tidak lama kemudian, terdapat beberapa buah lagi yang kelihatan.
Dron-dron itu terbang dengan senyap. Cahaya-cahaya vertikal merah dari objek tersebut mengimbas sekeliling. Mereka mula bertaburan di merata tempat. Ada yang naik ke dek atas, dan ada yang tetap berterbangan di situ.
Tidak lama kemudian, dron-dron tersebut beransur pergi. Sebuah dron masih ada di situ, seperti dapat mengesan sesuatu yang ganjil. Perlahan-lahan ia terbang dan terapung di hadapan Nell.
Peluh sudah membasahi budak itu. Cahaya pengimbas dikeluarkan oleh Matadron. Ia mengimbas budak itu beberapa kali. Ternyata mesin itu tidak mendapat maklumat yang dikehendakinya.
Nell melihat waktu di gelangnya. Sudah tinggal kurang 30 saat 'perisai' itu dapat bertahan. Nell mula gelisah. Dia memandang Matadron yang setia menunggu itu.
BLAM! BLAM!
Matadron itu bersepai dan jatuh ke lantai.
"Maaf, lambat." Azaka berjalan ke arah mereka sambil menyelitkan pistolnya di belakang seluar.
"Tak guna, mana kau pergi hah?" Kaio bingkas bangun dengan marah.
"Maaf, ada kerja sikit tadi." Azaka tersengih. "Tapi lepas aku nampak Matadron yang banyak berkeliaran kat bandar tu, terus aku datang sini."
"Terima kasih..." Nell berasa lega.
"Nasib baik kau datang tolong. Kalau tak, aku baling guni besi ni kat muka kau!" Kaio masih tak puas hati.
"Sama-sama." Azaka meletakkan dua jari di tepi dahi dan melayangkannya ke depan.
"Apa kita nak buat sekarang?" Soal Nell
"Kita kena balik sebelum diorang sedar yang salah satu dron ni dah dirosakkan." Pinta Azaka.
Mereka keluar dari perut kapal itu. Dalam kesuraman senja, mereka pulang ke rumah dengan penuh hati-hati. Hari ini mereka terselamat. Namun esok, tiada siapa yang dapat menjanjikan perkara yang sama.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top