[1] Dataran Besar
NEGARA Dataran Besar, Tahun 4431.
Nell, seorang budak lelaki yang berusia 10 tahun sedang berjalan menuju ke rumahnya. Budak itu sedikit tinggi dari usianya. Kulitnya sedikit perang akibat selalu berjemur di kebun. Rambutnya hitam pekat dan kusut. Iris biru gelapnya dihalakan ke tanah, mengelakkan cahaya yang menyilaukan. Ada tahi lalat kecil di bawah mata kirinya.
Dia memikul sebuah guni yang sarat dengan ubi kentang. Berdasarkan kedudukan matahari, dia dapat meneka bahawa jam mungkin sudah dalam lingkungan 4 atau 5 petang. Mak ciknya akan mula membuat persediaan untuk makan malam pada masa ini. Dia menapak dengan lebih laju.
Sayup-sayup dia dapat mendengar tayar-tayar yang bergesel dengan jalan tanah merah di belakangnya. Segera dia bergerak ke tepi.
Tiga orang budak lelaki berbasikal muncul. Mereka memperlahankan kayuhan dan akhirnya berhenti di sebelah Nell. Dia cuba tidak mengendahkan budak-budak itu, namun salah seorang daripada mereka cepat-cepat menghalang laluan Nell dengan basikalnya.
"Nak pergi mana, budak gila?" Kanak-kanak yang sedang menghadang jalannya itu tersenyum jengkel dengan giginya yang berlompong-lompong.
"Tepilah!" Nell menolak budak itu dengan kasar. Budak bergigi rongak itu jatuh terlentang dan dihempap basikalnya sendiri.
Tanpa berlengah, Nell terus membuka langkah seribu. Dia tahu akibat yang mendatang. Budak yang ditolaknya tadi menjerit menghamburkan sumpah seranah. Dua orang lagi segera mengejarnya.
"Woi, sial! jangan lari!" Jerkah budak berambut kerinting yang bersuara nyaring.
"Kau ingat kau dapat lepas ke, bodoh?!" Rakannya yang agak gempal juga melaung geram.
Mereka semakin ligat mengayuh pedal. Ternyata larian Nell tidak mampu menandingi kelajuan kenderaan kecil itu. Dua orang budak itu dengan mudah dapat mengejarnya. Mereka masing-masing sudah berada di kiri dan kanan Nell. Dengan serentak, budak-budak itu memberikan tendangan di belakang Nell. Dia jatuh tersembam. Guni yang dipegang budak malang itu terlepas dari genggaman. Ubi-ubi kentang bertaburan memenuhi jalan merah itu.
Tidak sampai beberapa saat, budak bergigi rongak telah tiba. Dia turun dari basikal dan terus menyertai kawan-kawannya memijak-mijak Nell yang terbaring.
"Ni habuan kau, bodoh!" Si rongak melepaskan marah.
"Kau ingat kau hebat sangat ke! Berlagak!! Ambik ni!" Sambut budak gemuk.
Rakannya yang berambut kerinting ketawa mengilai.
Nell menjadi berang. Dia bangun dengan dengusan dan mula menolak mereka seorang demi seorang. Tindakannya membuatkan mereka semakin agresif. Si gemuk melepaskan tumbukan yang tepat mengenai wajah Nell. Budak berambut kerinting pula menyepak pinggangnya dan menyebabkannya hampir tumbang. Mujur dia sempat mengimbang.
Nell tidak berdiam diri. Dia membalas tumbukan budak gempal. Si rongak juga diberikan buku lima. Budak berambut kerinting pula diterajang sehingga terguling ke bawah.
Si gemuk terus melontarkan penumbuknya beberapa kali lagi. Semuanya berjaya dielakkan oleh Nell dengan cepat. Nell menangkap tangan budak gemuk itu dan mengilasnya ke belakang. Budak gemuk itu menjerit sakit. Terus Nell melemparnya ke tanah.
Si rongak bertambah marah apabila rakannya diperlakukan begitu, lalu meluru ke arah Nell. Seperti tadi, Nell mencekau tangan penyerangnya dan membalikkan budak itu ke bawah.
Namun Nell agak cuai dan terlupakan tentang budak berambut kerinting yang kini berada di belakangnya. Apabila Nell berpusing, si kerinting terus menendang abdomen budak itu, dan membuatkannya terduduk seperti nangka busuk.
Tiba-tiba, budak berambut kerinting itu ditarik ke belakang. Satu tumbukan melekat di mukanya. Budak itu terpelanting ke tepi jalan.
Si rongak dan si gemuk terkesima apabila ternampak manusia yang memukul kawan mereka itu. Dia berkulit cerah, berwajah kacak dengan rambut lurus berwarna coklat muda separas bahu, dan kelihatan seperti pelajar sekolah menengah. Semestinya dia lebih besar dari mereka semua.
"Siapa lagi yang nak?" Tanya budak yang tinggi itu.
Masing-masing tidak bersuara. Mereka berundur ke belakang. Kelam-kabut mereka menolong si kerinting bangun lalu terkocoh-kocoh mencapai basikal masing-masing. Kanak-kanak tersebut mengayuh basikal pergi dari situ seperti ternampak hantu.
"Terima kasih, Leon." Nell berdiri semula. Dia mengibas-ngibaskan bajunya yang telah dikotori tanah dan tapak kasut.
"Kau okay?" Soal Leon prihatin.
Nell mengangguk. Dia mencapai guninya, lalu pantas mengutip semula ubi-ubi kentang yang berselerak. Leon, budak yang berusia 16 tahun itu juga membantu tanpa dipinta. Sesekali Leon mengerling ke arah Nell. Budak itu semakin pandai berlawan.
"Mesti kena bebel lepas ni..." gumam Nell sendirian sambil memegang pipinya yang merah akibat dipukul tadi. Dia tahu, pasti mak ciknya akan marah kerana dia berkelahi lagi.
"Jom. Aku hantar kau balik." Leon berjalan ke arah motosikalnya. "Aku tolong kau jelaskan kat Mak Cik Irena." Dia sudah masak dengan situasi itu.
Seperti apa yang mereka jangkakan, Mak Cik Irena mengamuk sebaik sahaja melihat keadaan anak saudaranya itu.
"Hampir tiap-tiap hari kau bergaduh. Apa masalah kau, Nell?" Nadanya keras. Irena, wanita berumur 38 tahun dan berambut ikal coklat itu langsung tidak menoleh ke arah anak saudaranya yang berdiri di muka pintu dapur. Tangan wanita itu ligat memotong bawang di atas para kayu.
"Bukan dia yang mula, mak cik. Diorang tu memang budak-budak jahat. Selalu kacau orang. Nell cuma pertahankan diri dia je," balas Leon yang sudahpun duduk di atas kerusi kayu di tepi pintu dapur. Pantas dia mencapai sebiji epal ranum di atas meja berhampiran dan terus menggigit buah itu.
"Dia ada pilihan untuk lari, kan? Dia boleh biarkan je, tak payah layan. Kenapa dia pun kena jadi macam diorang? Pukul orang sana sini?" Irena masih tidak menerima alasan itu.
"Saya dah cuba lari. Tapi diorang kejar. Diorang yang cari pasal dulu..." Nell membela dirinya sambil memerhatikan belakang wanita itu. "Diorang yang selalu buli saya. Kenapa saya jugak yang salah?"
Irena berhenti membuat kerja. Dia menghempukkan pisau di atas para dan terus menoleh. "Oh, sebab diorang kacau kau, jadi kau pun boleh pukul orang, gaduh sana-sini, jadi samseng?" Wanita itu merenung Nell dengan anak mata hijaunya yang membulat. "Ini ke yang aku ajar kau selama ni?"
Nell menggenggam erat hujung bajunya. Dia tunduk menahan rasa. "Minta maaf... Minta maaf sebab saya dah menyusahkan mak cik..." Budak itu terus berlalu dengan langkah yang sebal ke biliknya. Pintu biliknya ditutup rapat dan dia tersandar membelakanginya. Perlahan-lahan dia duduk di lantai, cuba memujuk dirinya yang sedang ditenggelami perasaan kecewa.
Irena menghampiri meja makan dan duduk dengan longlai. Sikunya disangkutkan ke meja. Dia menekupkan wajahnya sambil menggeleng. Perempuan itu melepaskan satu keluhan berat. Jelas ada rasa bersalah di wajahnya.
Leon berhenti mengunyah buah yang sudah tinggal separuh itu. "Apa yang dia bagitau semua betul. Dia tak bohong."
"Aku tau..." Irena bersuara perlahan.
"Mungkin belajar kat rumah tak sesuai untuk dia. Mak cik patut bagi dia pergi sekolah, berkawan dengan budak-budak yang sebaya dengan dia. Siapa tau, bila dia dah banyak kawan nanti, orang takkan kacau dia lagi..."
"Kalaulah boleh..." Perempuan itu mengurut-urut kepalanya. "Tapi apa akan jadi kalau orang dapat tau yang dia tu tak sama dengan budak yang lain? Aku tak sanggup nak fikir apa akibatnya..."
"Dia akan okay je, Mak Cik. Dia dah besar, dah boleh jaga diri sendiri. Mak cik patut lebih percayakan dia..." Leon berkata lembut.
"Leon... aku percayakan dia. Aku yang besarkan dia. Jadi aku memang kenal dia. Tapi... aku tak percayakan orang lain. Tak semua orang akan ikhlas berkawan dengan dia macam kau. Percayalah, ada orang yang akan gunakan dia demi kepentingan sendiri. Lagipun, sejak lima tahun yang lepas, kerajaan makin kerap buat operasi untuk hapuskan orang macam dia. Kau tau kan, apa akan jadi kalau diorang dapat tau tentang dia?"
"Ya..." Leon cukup arif tentang itu.
Irena tunduk. "Aku tak kisah kalau dia nak anggap aku jahat. Aku cuma nak dia selamat..."
Leon sedar, Irena bertindak sebegitu kerana terlalu sayangkan Nell. Namun pada masa yang sama, dia berasa kasihan kepada budak itu kerana hidupnya agak terkongkong.
"Saya pergi pujuk dia." Leon bangun dari kerusi.
"Terima kasih..." ucap perempuan itu. Dia bersyukur kerana setidaknya ada orang seperti Leon dan keluarganya yang dapat menjaga Nell dan menyimpan utuh rahsia tentang budak itu.
Irena sedar, mungkin langkahnya itu membuatkan Nell tertekan. Namun pada masa ini, itulah sahaja jalan untuk melindungi anak saudaranya yang merupakan seorang Parabrid.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top