1

Seorang pemuda kelihatan tergesa-gesa mengambil wudhu. Dia fikir sepatutnya sudah di depan mimbar untuk melantunkan azan Subuh. Tugas dia. Suasana masih pekat gelap. Kemudian lampu musolla dipasang. Suis mikrofon dan speaker dihidupkan. Dia memejamkan mata. Perlahan azan subuh taranum shika dilagukan dengan penuh perasaan. Hatinya sayu. Suaranya merdu memujuk-mujuk warga Pondok Tanwiriah agar bersegera menunaikan subuh berjemaah.

Kemudian dia solat sunat rawatib. Sementara menanti pelajar yang mulai memenuhi musolla, dia membaca berzikir cara khofi, yakni senyap. Lidah ditongkat ke lelangit, tumpuan pada hati.

Dalam 10 minit, seorang pelajar bangun iqamah. Penuh tertib dia menjemput mudir (guru besar) pondok untuk mengimami solat subuh.

Selesai solat subuh, mudir mencuit pemuda itu.

"Ostad Osman, kuliah subuh ya."

Osman mengangguk. Dia bangun berdiri dengan tenang. Maudu' (topik) yang dibicarakan adalah mengenai menjaga masa. Sengaja dia menyentuh bab memandangkan ada sesetengah pelajar yang agak culas dalam solat subuh. Dia faham waktu itu amat enak menarik selimut.

"Anak-anak yang dikasihi. Jangan cuai solat subuh. Bersegeralah kamu ke musolla bila azan berbunyi. Kalau dapat ke mari sebelum azan lagi bagus. Kamu tak nak ke pahala berjemaah 27 kali ganda berbanding dengan solat seorang diri di daar (rumah) kamu?"

Ostad muda itu senyum. "Darul lena sampai cerah ni lagi rugi tau. Kena ingat semula apa tujuan kamu ke sini ya anak-anak. Ostad ni cakap pesan diri sendiri dan kamu semua. Dapat bidadari ooo solat jemaah ni. Kamu tak nak?"

"Nak." Panjang hurf 'K' nya. Tanda mereka setuju.

"Ingatkan tak nak."

Mudir Shamsul sengih. Dia tahu ostad muda ini pandai mengambil hati pelajar-pelajar. Tak lama, pelajar pun bersurai. Hari Ahad, hari cuti. Mereka bebas berbuat aktiviti apa-apa pun. Lazim kebanyakan pelajar akan membuat hafazan sekejap pada waktu pagi sebelum mencuci baju dan sebagainya.

"Ostad, ana nak jumpa kejaplah. Ada perkara ana nak cakap dengan ostad sikit. Lepas sarapan nanti anta mari rumah ana."

"Baik ustaz Shamsul nanti ana datang."

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top