Oren 3

    Sekarang, dia hanya menunggu kepulangan Oren. Dia ingin mengotakan janjinya kepada dirinya dahulu sewaktu membawa Oren pulang. Dahulu, dia berjanji untuk memelihara Oren seperti anaknya sendiri. Janjinya itu adalah menebus kesalahan dirinya yang mengakibatkan Oren kehilangan ibunya. Segala egonya dahulu yang tidak membenarkan anak-anaknya memelihara kucing telah dipadamkan. Sebaliknya, dia membawa Oren pulang ke rumah.

    Tetapi dia tidak menyangka bahawa selepas kehadiran Oren dia akan membawa pulang Kelabu sebagai sebahagian daripada ahli keluarganya. Kelabu ditemukan sewaktu anak kucing jantan itu mengekorinya yang sedang menuju ke kereta dan hendak pulang ke rumah. Dia memungut Kelabu untuk menjadi teman Oren bermain.

    Pada mulanya dia menyamaratakan kasih sayangnya kepada kedua-duanya. Setelah dia melihat Kelabu menunjukkan reaksi yang lebih manja daripada Oren dan sering menarik perhatian, mereka sekeluarga lebih suka akan Kelabu. Oren yang lebih suka menyendiri dan pendiam semakin tersisih.

    Hari terus berlalu, Kelabu terus menjadi perhatiannya kerana pada setiap kali dia pulang ke rumah, Kelabulah yang selalu menyambutnya sedangkan Oren hanya mengangkat kepala apabila melihatnya dan melihat tingkah laku Kelabu.

    Sejak kedatangan Kelabu juga, Oren selalu membiarkan Kelabu menjamah makanan dahulu dan setelah selesai barulah Oren makan sisa-sisa makanan yang ditinggalkan oleh Kelabu. Dia juga tidak pernah melihat Oren dan Kelabu bermain apatah lagi bergaduh.

    Adakah Oren cemburu akan kehadiran Kelabu di rumah ini? Tetapi tabiat Oren memang begitu sejak dia menghuni rumah ini. Segala tindakannya agak pasif berbanding dengan perilaku Kelabu.

    Oren juga selama berada di rumahnya seperti tetamu yang selalu menjaga sikapnya. Keberrsihan dirinya juga sering diurus sendiri. Oren tidak membuang najisnya di dalam rumah. Oren sentiasa ke tandas atau ke longkang jika ingin membuang najisnya. Tabiat Oren seperti kucing yang telah dididik sebelum dia memungutnya. Namun, dia tidak dapat memulangkn Oren kepada tuan asalnya kerana dia tidak tahu tuannya siapa. Dia juga tidak sanggup membiarkan Oren begitu sahaja kerana dia telah menyebabkan kematian ibu Oren.

    Kelabu pada awalnya selalu juga membuang najisnya di merata-rata tempat, tidak terkecuali di dalam rumah sehingga rimas mereka untuk mengajar Kelabu supaya mengikut cara Oren.

    Tiba-tiba dia terdengar Oren mengiau-ngiau di luar pintu rumah. Dia lantas bangun menuju ke muka pintu lalu membukanya. Di hadapannya kelihatan Oren dengan raut wajahnya yang sayu. Dia membongkokkan dirinya untuk mengangkat Oren.

    "Ke manakah engkau pergi, Oren?" soalnya sambil mengusap-usap belakang kucingnya itu. Dia kehairanan kerana bulu Oren terjaga bersih walaupun telah beberapa hari kucingnya itu tidak pulang ke rumah seolah-olah ada orang yang membersihkannya.

    Kemudian, dia membawa Oren ke dapur. Dia mengambil susu dari peti sejuk dan disuanya kepada Oren, namun Oren hanya membiarkan susu itu. Dengan manjanya Oren kembali kepadanya sambil menggeselkan badan di kakinya. Selepas itu, dia kembali mendukung Oren. Oren memandangnya dengan lembut. Lantas dia mencium pipi Oren. Perbuatannya itu tidak pernah dilakukannya sebelum ini walaupun kepada Kelabu.

    "Mengapa, Oren?" Dia tidak tahu akan sebabnya dia menanyakan soalan itu tetapi dia dapat merasakan perasaannya sayu setiap kali mata Oren dan matanya bertemu. Dia cuba untuk menepis perasaan sayu dan bersalah kerana mengabaikan Oren setelah kehadiran Kelabu.

    Dia membawa Oren ke ruang tamu rumahnya semula. Sambil duduk di Sofa dia membelai-belai Oren dengan manja. Dia mencuba untuk berbual-bual dengan Oren, iaitu perbuatan yang jarang-jarang dilakukannya. Oren membalasnya dengan mengiau-ngiau.

~~~~~~~~~~~

    Aku melihat ayah terpinga-pinga keluar dari biliknya lantas ke ruang tamu. Ayah bertanya tentang Oren. Aku mengatakan bahawa aku tidak melihat kelibat Oren pada pagi itu. Ayah seakan-akan baru tersedar sambil menggeleng-geleng kepalanya beberapa kali.

    Di meja makan pada pagi itu ayah bercerita kepada kami bahawa dia bermimpi Oren pulang ke rumah semalam, dan hampir semalaman Oren bersama-sama ayah di ruang tamu.

Tiba-tiba Anis muncul di ruang dapur. Kami semua terperanjat kerana di tangannya ialah Oren yang kami tunggu kepulangannya tetapi pada saat itu Oren sudah tidak bernyawa lagi. "Anis jumpa Oren di celah pokok tua yang tumbang semalam di taman permainan." Sebaik-baik sahaja habis kenyataan itu, mata kami sekeluarga terus tertumpu kepada ayah. Ketika itu mata ayah mulai berkaca.




Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi, 2008

Dewan Bahasa dan Pustaka

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top