Oren 1

Oren masih tidak pulang. Sudah masuk hari yang keempat ayah tidak nampak kelibatnya. Aku memberitahu ayah bahawa pagi tadi aku ada melihat Oren di tepi longkang di belakang rumah. Begitu juga adikku, Anis ada melihat Oren sedang bermain-main di bawah pokok tua di taman permainan di hadapan rumah dua hari yang lalu. Namun, ayah masih tidak berpuas hati kerana dia sendiri tidak melihat kelibat Oren.

"Ke manakah Oren pergi? Dia tidak makan pun makanan yang ayah sediakan. Adakah dia merajuk? Hujan-hujan begini di manakah dia berteduh?" Kami hanya mendengar keluhan ayah. Sudah seminggu, hampir setiap malam pada hujung pertengahan Disember ini hujan turun diiringi dengan guruh dan angin.

Kelabu masih di pangkuan ayah. Apabila melihat Kelabu, aku terimbas kembali tentang kucing itu yang dipungut sewaktu ayah pulang dari tempat kerja. Keadaan Kelabu yang tidak terurus dan kurus dahulu kini telah berubah. Kelabu semakin tembam. Bulunya yang berwarna kelabu menjadikannya tampak menarik seperti kucing Siam. Ayah semakin memanjakan Kelabu. Bagiku barangkali sejak kehadiran Kelabu, Oren semakin terpinggir daripada belaian dan perhatian ayah.

Jika ayah mengganggap Oren telah merajuk, mungkin ayah juga tahu sebab kucing sulungnya itu merajuk. Mungkin ayah telah sedar akan kesilapannya tetapi yang menjadi tanda tanya mereka sekeluarga sekarang adalah ke manakah Oren menghilangkan diri? Dalam diam-diam aku mengesyaki ada sesuatu berlaku kepada Oren tetapi aku hanya mampu memendamkannya. Aku bimbang ayah akan bertambah gelisah nanti. Aku juga tidak mahu menambah rasa bersalah ayah tentang sikap pilih kasihnya terhadap Oren sehingga Oren tidak pulang ke rumah. Adakah ayah juga barangkali terfikir tentang apa yang ingin aku luahkan kepadanya?

Malam itu ayah hanya menjamah makan malam sedikit sahaja dan katanya dia tidak berselera. Kami tahu akan sebabnya dan tidak menyangka bahawa ayah terlalu risau akan Oren. Apabila selesai sahaja membasuh tangannya, ayah terus ke ruang tamu. Kelabu yang memang selalu mengekori ayah tidak dipedulikan oleh ayah pada malam itu.

Ibu, aku, Azura dan Anis yang masih belium menyudahkan makan malam hanya terdiam melihat reaksi ayah tentang kehilangan Oren. Ibu sebelumnya telah berpesan kepada kami supaya tidak memberikan apa-apa pandangan yang mungkin akan menyinggung atau menambah rasa bimbang ayah.


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top