2: Bahaya Datang Berskirt

Luth Izhar tak sangka, lebih sembilan tahun lalu, waktu terserempak dengan anak rakan karib ayahnya di KLCC, Sarah akan ditabal jadi Sarah Senget, punca segala ketempangan dunianya.

Dia tak tahu yang gadis berbaju putih dan berskirt mini yang main mata dengannya di depan Dome sebenarnya makhluk asing yang gila kuasa.

Ya lah, gadis di Dome itu pakai stiletto, Luth tak nampak yang di dalam sepatu gadis itu cuma ada empat jari sahaja di setiap kakinya, tak cukup kuasanya untuk merupa seperti manusia sempurna gara-gara sibuk memproses DNA Luth yang dikutipnya.

Luth tak tahu yang gadis di Dome, atau nama sebenarnya, Ginafuwara, anak isteri kesepuluh raja Utarid yang perasan takhta planet itu milik dia, hanya mengejar mutlak kuasa bila mula main mata dengannya.

Luth juga tak tahu yang kajian in-situ pantas Ginafuwara tunjukkan, DNA manusia boleh bantu dia, tapi bukan sebarang DNA, ia mesti DNA yang spesifik, yang padan dengan DNA dia juga.

Dan ketika mengumpul sampel di Bumi dia terjumpa DNA Luth. Rambut Luth yang dikutip dan diujinya sedikit di depan Dome KLCC jadi bukti kajiannya tak sia-sia.

Memang dari segi ketampanan, Luth nampak luar biasa walaupun berdarah Melayu tanpa kacukan apa-apa.

Sarah rasa mukanya saja jadi penanda yang DNA tubuhnya, istimewa. Otaknya juga geliga, walaupun bukan ahli MENSA, gaya fikirannya kreatif macam orang seni tapi cukup objektif untuk kuasai matematik.

Ya, bodoh Luth cuma datang bila disihir dek rupa paras Ginafuwara. Macam lelaki lain di Bumi, Luth cepat terpesona dengan perempuan cantik.

Kata Casiopeia, itu kelemahan Luth, tapi Sarah punya kekuatan yang boleh seimbangkannya dan sebab itulah, Sarah paling layak jadi penjaganya.

Casiopeia tahu fakta itu bila Sarah tak cepat melatah bila Casiopeia yang baru kali pertama sampai ke Bumi, lebih tepat lagi, KLCC, mohon bantuannya untuk lindungi Luth. Rasa Casiopeia, kalau dia minta bantuan orang lain, muncul pula dalam bentuk cahaya hijau terang ala pari-pari filem Disney, belum tentu dia dapat halang cubaan pertama Ginafuwara, sembilan tahun yang lalu.

Casiopeia yakin, bukan kebetulan yang Sarah akan ke KLCC pada waktu yang sama Luth berjalan-jalan di situ, sedangkan mereka berdua asalnya tinggal di Terengganu dan cuma sekali-sekala ke KL. Sudahlah mereka berdua juga jarang berjumpa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Takdir mereka memang bertaut.

Sarah tergamam, tapi tak terus panik, pertama kali nampak Casiopeia. Ketika itu dia berseorangan di dalam tandas wanita.

Casiopeia terus nyatakan misinya pada Sarah.

"Selamat berkenalan, Sarah Aminah Sidiq. Saya Casiopeia, warga Zuhal. Saya perlu bantuan awak. Keluar saja dari tandas ni, awak akan bertembung dengan anak rakan baik Papa awak, Luth Izhar. Dia akan buat lawak bodoh tentang berat badan awak. Awak harus pura-pura marah, tolak dia masuk ke bilik air dan halang dia daripada bertemu semula seorang gadis cantik berbaju putih, skirt mini dan berkasut hitam polkadot. Gadis itu nak culik dan bunuh dia. Sambil cari Luth, dia akan makan sehelai rambut Luth yang dia kutip tadi."

Sarah terpinga-pinga. Pura-pura buat tak dengar. "Aku tak gila. Aku tak mengelamun. Aku tak dengar cahaya hijau pelik cakap Bahasa Melayu tentang anak kawan Papa. Takkan ada perempuan psiko yang nak makan rambut sesiapa.." bisiknya sendiri sambil bergegas keluar tandas.

Tapi keluar saja tandas dia terus berlaga dengan Luth Izhar seperti yang diramalkan Casiopeia.

"Aduh bulat! Eh. Haha.. Sarah! Kau dah kurus sikit sekarang eh? Makan jamu apa?" kata Luth sebaik saja mengecam gadis yang tersembam ke dadanya. Comel juga bila pakai ala Goth si Sarah ni.. komen Luth dalam hati. Sudahlah waktu berlaga tadi dia tak sengaja terpegang pinggang Sarah yang ramping tapi tersorok dek kemeja hitam labuhnya.

"Luth?!" terkejut Sarah. Betul kata cahaya hijau tu. Siap buat lawak bodoh tentang berat badannya! Di belakang Luth namun agak jauh, seorang gadis seksi berkasut polkadot sedang asyik meneliti sesuatu di tangannya.

Sarah bertindak ikut gerak hati. "Hei. Kau tu yang langgar aku. Ini kan laluan masuk ke tandas perempuan. Kau yang silap makan jamu kot pagi ni?"

Ternganga Luth. Dia selalu juga jumpa Sarah di majlis keluarga. Tapi Sarah jarang bersembang dengannya. Luth pun lebih suka bersembang dengan abang Sarah, usahawan muda itu peramah.

"Heh. Aku cari oranglah. Nampak tak awek cun berbaju putih, skirt dan kasut tumit tinggi hitam putih?" tanya Luth.

Dari ekor mata Sarah, dia nampak gadis yang tadi asyik membelek objek apa entah di tangan, mula tercari-cari sesuatu.

"Ada! Sini," kata Sarah lalu tarik Luth masuk ke dalam tandas wanita yang mahal yang baru dia tinggalkan sekejap tadi.

Petugas tandas yang sedang sibuk mengemas stesennya tak perasan mereka masuk. Sarah ambil kesempatan itu untuk mengunci Luth dalam salah sebuah kamar kecil. Lelaki itu mengamuk, mengejutkan seorang lagi pengguna tandas yang segera bergegas keluar. Terus Sarah kunci pula pintu utama tandas.

"Alamak... Kalau orang lain masuk dengar Luth ni terjerit-jerit.. Habislah aku..." keluhnya. Dia sendiri tak sangka dia ikutkan juga arahan cahaya hijau tadi.

Baru mengomel sedikit, cahaya hijau itu muncul semula. "Jangan risau. Aku boleh perlahankan suara Luth," jaminnya.

Dan Luth menyepi! Sarah tak sempat persoal bagaimana suara Luth boleh diredakan.

Sarah mencuri pandang keluar. Memang sempat dia nampak, gadis itu memasukkan sehelai rambut ke dalam mulutnya. Kemudian matanya memutih sekilas sebelum dia tersenyum dan beredar.

Waktu itu memang Sarah panik sekejap. Betul kata cahaya hijau tu!

30 minit kemudian, selepas cahaya hijau itu beri kepastian yang si gadis berkasut polkadot sudah meninggalkan KLCC, Sarah lepaskan Luth.

Tentu saja dia jadi bahan hambur Luth!

"Kau ni senget ke apa?!"

"Maaf Luth. Nak bergurau je. Tak sangka pintu betul-betul tersekat. Aku pergi cari petugas tandas, tapi mereka tak jumpa pula kunci..." Sarah beri alasan tak masuk akal.

"Cakaplah kau pergi cari kunci. Setengah jam aku pekik, sengaja kau buat pekak ya? Dah lah tandas tu tandas perempuan!" marah lagi Luth.

"Tapi bersih kan?" Sarah cuba redakan Luth. Dahlah mereka jarang bersembang.

"Kau ni gila tahap apa? Peduli apa bersih ke, atas langit ke?" Luth berlalu geram.

Gadis Dome yang dicari sudah lama menghilang.

Sarah yang senget tu punya pasal lah ni! Hamburnya dalam hati sambil melangkah ke Madam Kwan untuk bertemu sepupunya Izzat Affan yang bercuti semester.

Hilang mood Luth nak berbincang tentang universiti tempat Izzat sambung pelajaran yang dia teringin nak masuk juga tu.

Bila dia ceritakan pada Izzat apa yang Sarah dah buat, Izzat tak percaya kerana Izzat juga biasa bertemu Sarah di majlis keluarga.

"Biar betul. Sarah tu aku tengok baik je, berbudi-bahasa. Walaupun aku tak pernah sembang panjang dengan dia, tapi ish, tak mungkinlah. Kalau iya pun dia buat, mesti sebab kau yang buat hal dulu. Hal berat badan ni boleh buat perempuan mengamuk tau," perli Izzat yang Luth anggap macam abang sendiri itu.

Mencuka muka Luth jadinya.

Sarah yang menyorok di hujung restoren yang agak terbuka itu, mula rasa nak menangis.

Casiopeia segera hubungi dia melalui telepati. "Terima kasih, Sarah, awak dah bantu saya halang seorang makhluk kejam daripada menggandakan lagi kuasanya untuk cita-citanya yang buruk. Saya, bagi pihak planet Zuhal berterimakasih."

Berlari pulang Sarah saat itu juga. Dia sangka dia sudah gila. Puas dipujuk Casiopeia dalam bilik rumah hinggap keluarganya di Bukit Bandaraya, barulah dia tenang dan terima.

Itulah sejarah hari pertama Sarah Aminah Sidiq jadi Srikandi Bumi.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top