BAB 5
Sudah sebulan berlalu. Hadif menjadi semakin tidak betah. Saudara mara Datin Ainul ada yang sukarela mahu mendermakan hati namun tidak sepadan. Arwah Datuk Herizal anak tunggal. Tiada saudara mara. Dia sudah berfikir untuk menularkan perkara itu tetapi Datin Ainul tidak bersetuju.
Pagi ini dia tercongok di hadapan rumah Adra menanti perempuan itu keluar. Demi sayangnya kepada Jannah dia sanggup berkorban. Lebih baik dia berkahwin dengan Adra demi melihat Jannah sihat. Tidak sanggup rasanya dia membayangkan Jannah akan menderita sakit.
"Kenapa kau nak jumpa aku. Dah berubah fikiran ke?"
Hadif menoleh sekilas. Seterusnya dia hanya memandang kakinya sahaja. Dia tahu Adra mendekat. Kini matanya terlihat betis perempuan itu yang terdedah.
"Tak payahlah tunjuk sangat muka jijik tu. Cakap aje apa kau nak."
Pantas Hadif angkat kepala. Bagaimana dia hendak jadikan perempuan ini yang halal untuknya kalau memandang sahaja sudah terasa jijik. Tidak dapat dia bayangkan isterinya pernah tidur dengan lelaki lain. Mungkin bukan seorang atau berpuluh orang. Dia tidak dapat menerima kenyataan ini. Tetapi demi Jannah dia harus kuatkan hati.
"Aku setuju untuk nikah dengan kau." Dengan sekali sebut sahaja dia lafazkan apa yang terbuku di hatinya. Seterusnya satu nafas lega dia lepaskan.
Adra ketawa. Tidak menyangka Hadif akan setuju dengan cadangan gilanya. "Pasti kau dah terdesak sangat kan. Sebab tu kau setuju nak kahwin dengan aku."
Dengan rasa malu Hadif angguk. Dia terpaksa tebalkan muka menghubungi Adra dan meminta perempuan itu bertemunya.
"Hadif. Sebenarnya aku tak ada niat pun nak tolong kau atau Datin Ainul. Kalau kau setuju kahwin dengan aku pun, kau kena beli aku dari Mummy Zuli. Aku bukan pelacur freelance yang tak ada mak ayam. Dan mak ayam aku tu takkan jual aku. Maklumlah aku hot stuff." Adra menolak rambutnya ke belakang. Mendedahkan bahagian leher dan dadanya pula.
Hadif telan air liur. Adra memang sengaja menggodanya. Pantas dia larikan matanya ke arah lain.
"Aku sanggup bayar berapa pun harga kau." Duit bukan masalah dia.
"Kalau macam tu ikut aku. Tunggu Mummy Zuli datang."
"Aku tak nak berdua dengan perempuan bukan halal dengan aku." Hadif menolak. Melihat Adra banyak terdedah begitu sahaja sudah membuat iman dia goyah. Apalagi kalau mereka hanya berdua.
"Baik kau masuk sebelum orang-orang Mummy Zuli datang pukul kau."
"Buat apa diaorang pukul aku. Aku bukan datang niat tak baik."
"Memang kau bukan datang dengan niat tak baik. Tapi kau datang tanpa di undang. First time dulu aku sempat bagitau Mummy Zuli. Ini kau main datang aje." Terang Adra.
"Okay aku masuk. Tapi janji... kau jangan buat apa-apa."
Adra pandang Hadif dengan muka berkerut. "Aku tak layan lelaki yang tak tunjuk duit dulu. Aku bukan lahap sangat okay walaupun kau teruna." Adra berpusing dan ayun langkah perlahan.
Hadif yang berjalan di belakang Adra cuba menoleh ke tempat lain. Perempuan ini selamba sahaja memakai seluar pendek. Sudahlah pendek, ketat pula. Manalah matanya tidak melekat ke arah punggung Adra. Ya Allah... jauhkanlah hamba-Mu ini dari godaan syaitan. Hadif berdoa sambil pejamkan mata.
"Aduh!" Hadif menggosok dahinya yang terkena pintu gril.
Adra ketawa terbahak-bahak sambil membuka pintu. "Tak payahlah jadi ustaz sangat kat sini. Kau nak tengok, tengok aje. Tapi jangan usik."
"Tak payahlah tutup pintu. Aku tak selesa." Ucap Hadif saat Adra mahu menutup pintu. Kurang sikit rasa gemuruhnya berduaan dengan perempuan itu.
"Kau tak selesa atau kau takut."
"Aku mengaku aku takut. Kalau boleh kau pun jagalah aurat kau selagi kita belum halal." Kali ini dia berterus terang. Biarlah Adra menganggap dia kolot atau apa. Selagi mampu dia akan pertahankan imannya.
"Kau memang stok lelaki beriman. Bertuah Jannah dapat cinta kau. Kau duduk dulu aku naik atas call Mummy Zuli. Kau jangan risau. Cuma aku aje yang ada. Kawan-kawan aku yang lain pergi kerja."
Hadif angguk lalu melabuhkan duduk. Matanya melihat sekeliling ruang tamu banglo itu. Entah berapa ramai perempuan-perempuan yang disimpan di situ dia tidak tahu. Melihat Adra sahaja dia sudah gerun apatah lagi melihat sekumpulan perempuan yang seksi. Terus dia beristighfar dalam hati.
Sudahlah rumah banglo itu terletak agar tersorok berhampiran kaki bukit. Memang sesuai menjadi lubuk maksiat. Hendak masuk pun terpaksa melalui pemeriksaan pengawal keselamatan. Jangan harap pegawai pencegah maksiat boleh masuk.
"Mummy cakap tak lama lagi dia sampai. Dalam 10 minit lagi." Adra muncul dari tingkat atas.
Hadif menarik nafas lega. Adra memakai baju kurung yang dia belikan tempoh hari. Tapi masih mendedahkan rambutnya. Bolehlah matanya bernafas lega. Dia mengangguk.
"Kau nak minum ke?" Adra melabuhkan duduk di hadapan Hadif.
Hadif menggeleng.
"Aku tahulah aku ni hina."
"Adra bukan macam tu. Aku cuma fikirkan Jannah sekarang. Kalau fikirkan bab jijik memang aku tak nak jumpa kau lagi. Tapi aku tebalkan muka jumpa kau sebab Jannah."
Adra angkat tangan memberi isyarat agar Hadif hentikan kata-katanya. Sakit hati dia mendengar Hadif asyik sebut nama Jannah. Jannah itu, Jannah ini. Lelaki ini memang obsesi dengan Jannah agaknya.
"Jannah izinkan ke kau nikah dengan aku. Kau kena ingat aku dengan dia adik-beradik. Jadi selagi kau jadi suami aku, kau tak boleh kahwin dengan dia."
"Aku sanggup buat apa saja asalkan dia sihat." Dia tidak memberitahu sesiapapun akan perkara ini. Dia tahu semua orang akan menentang niatnya jika dia beritahu.
Adra jadi cemburu dengan Jannah. Dia tersenyum pahit.
"Kenapa?" Hadif perasan perubahan riak wajah Adra.
"Dia beruntung dapat bakal suami macam kau. Ha tu Mummy Zuli datang..." Adra terlihat sebuah kereta masuk ke perkarangan. Dia bangun dan terus berdiri di jenang pintu. Terukir senyum tatkala terlihat wanita separuh umur itu.
"Mummy." Dia mendapatkan wanita itu dan bersalaman. Mereka berdua berpelukan. "Jom mummy. Adra kenalkan dengan Hadif."
Mummy Zuli mengikut langkah Adra masuk ke dalam rumah. Terus sahaja dia duduk di sofa bertentangan dengan Hadif. Matanya turun naik memerhatikan lelaki itu. Banyak yang dia hendak tanyakan tetapi tidak terluah.
"Tiga puluh ribu." Setelah agak lama barulah Mummy Zuli bersuara.
Hadif tanpa banyak soal mengeluarkan buku cek dan tuliskan jumlah yang diminta wanita itu. Tidak mahu banyak tanya, dia tahu semuanya selesai dengan cepat. Selepas itu cek diserahkan kepada Mummy Zuli. Jika dia terpaksa gunakan semua simpanannya pun dia sanggup.
"Kau tunggu sini." Mummy Zuli memberi isyarat kepada Adra agar mengekorinya naik ke atas.
Adra tanpa banyak soal terus mengekori Mummy Zuli. Berdebar-debar dadanya memikirkan apa yang Mummy Zuli hendak katakan. Sebaik sahaja naik ke atas dia terasa tubuhnya dipeluk.
"Kenapa dia sanggup bayar. Dia fikir Adra..." Mummy Zuli berhenti. "Kenapa Adra buat macam ni? Kenapa Adra sanggup? Mummy tak sanggup lepaskan Adra." Berjuraian air mata wanita itu. Mahu sahaja dia koyak cek itu. Adra bukan barang yang boleh dijual beli.
"Mummy. Janganlah menangis macam ni."
"Adra tau tak apa yang Adra buat ni."
"Mummy... Adra tak akan dapat peluang ni lagi lain kali. Mummy tau kan perempuan macam kita ni akan kotor buat selama-lamanya walaupun berapa banyak taubat kita. Adra tau risiko jalan yang Adra ambik ni tapi Adra dah sedia." Adra cuba meyakinkan Mummy Zuli. Sebenarnya dia sendiri pun takut. Dia tidak menjangka Hadif sedia memenuhi syarat yang diberikan.
"Dia tak akan cintakan Adra. Dia cintakan orang lain."
"Mummy. Adra sanggup. Adra sedia." Sekali lagi Adra meyakinkan wanita itu.
"Adra... bukan sikit luka yang Adra bakal dapat nanti. Mummy tak nak anak mummy sedih. Tolong jangan ambik keputusan ni. Adra mintak aje duit. Lepas tu kita pindah mana-mana dan mulakan hidup baru. Lupakan aje dendam ni." Mummy Zuli masih terus merayu agar Adra batalkan niatnya.
"Mummy... jangan risau. Adra sedia."
Mummy Zuli akur. Dia tidak mampu menyekat kemahuan Adra. "Kalau tiba-tiba dia buang Adra jangan teragak-agak datang kat Mummy. Rumah Mummy sentiasa terbuka untuk Adra. Jangan lupa... kentalkan hati."
Adra angguk. Dia memeluk wanita itu. Sejak l5 tahun lalu dia hidup atas perlindungan Mummy Zuli. Berat hatinya untuk meninggalkan wanita itu.
"Cek ni."
"Untuk Mummy... anggaplah pemberian dari seorang anak untuk ibunya. Mummy kan dah niat nak keluar dari semua ni. Nak mula hidup baru."
Sekali lagi pecah tangisan wanita itu. Dia memeluk Adra dengan lebih erat. Tidak sanggup melepaskan gadis itu pergi.
"Mummy... doakan Adra." Adra meleraikan pelukan. Dia mengambil beg yang berisi pakaiannya. Dia sudah menyiapkan semuanya selepas menelefon Mummy Zuli tadi.
Tanpa menoleh dia terus turun. Hatinya tidak kuat mendengar tangisan Mummy Zuli. Sebelum dia berubah hati, lebih baik dia pergi.
"Mana mak ayam kau." Hadif tercari-cari kelibat perempuan tadi.
"Dia tengah happy dapat duit. Tengah call pakwe dia. Jomlah. Kau kena carikan aku tempat tinggal sementara kita nikah. Aku dah kena halau dengan mak ayam aku." Adra menarik bagasinya dan ayun langkah keluar.
"Kau tak nak duduk dengan Datin Ainul."
Adra terhenti. Terus dia palingkan muka memandang Hadif. "Kau kena carikan aku tempat tinggal. Bahagian mana yang kau tak faham. Ada aku cakap aku nak duduk dengan Datin Ainul."
Hadif pelik. Namun dia angguk sahaja.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top