Bab 4
"Nampaknya hati Cik Adra sihat dan sesuai dengan hati Cik Jannah. Jadi kita boleh jadualkan pembedahan pemindahan hati secepat mungkin."
Hadif dan Datin Ainul tersenyum gembira mendengar keputusan doktor. Adra beriak biasa sahaja. Matanya berlaga dengan mata Nurain. Senyuman di bibir gadis itu mati sebaik sahaja bertembung dengannya. Pantas Adra alihkan pandangan.
"Mama nak sampaikan berita ni kat Jannah." Datin Ainul buru-buru keluar setelah mengucapkan terima kasih kepada doktor.
"Abang long pun nak jumpa kakak." Hadif bangun mengekori Datin Ainul.
Tinggal Adra sendirian di situ. Perlahan dia bangun. Namun sekali lagi matanya bertembung dengan mata Nurain.
"Jom kak. Kita pergi bilik kak long sama-sama." Nurain sudah membukakan pintu.
Adra hanya mengangguk lalu keluar terlebih dahulu. Dia tidak tahu apa yang harus dia bualkan dengan gadis itu. Semua orang tidak sabar-sabar hendak berjumpa Jannah untuk menyampaikan keputusan itu. Tiada siapa bertanya jika dia bersetuju untuk menjadi penderma atau tidak.
"Alhamdulillah. Terima kasih Kak Adra."
Langkah kaki Adra terhenti. Dia menoleh ke arah Nurain. "Aku belum bagi persetujuan pun nak jadi penderma. Tak payah nak ucap terima kasih dulu."
"Kak Adra tak boleh buat macam ni. Mama happy..."
"Dia mak kau bukan mak aku. Dia happy atau sedih tak ada kena mengena dengan aku." Adra sambung melangkah. Kenapa perlu dia gembirakan Datin Ainul. Bukan tanggungjawab dia pun.
"Kak Adra tunggu." Nurain menarik lengan Adra. "Akak boleh mintak berapa aje kat mama. Atau apa aje pasti mama akan tunaikan. Mama sayang sangat dekat Kak Long."
Adra menolak tangan Nurain di lengannya sambil tersenyum sinis. "Apa sahaja. Well aku ada sesuatu yang aku nak sangat. Tapi aku yakin mama kau atau sesiapapun tak akan mampu tunaikan. Tak payahlah buat lawak dengan cakap 'pasti mama akan tunaikan'. Kau pun tak payahlah rayu aku macam ni."
Nurain terus melutut di hadapan Adra. Dia tidak pedulikan pandangan orang yang melihat mereka. "Kak Adra... tolong selamatkan kak long. Saya sanggup buat apa saja untuk akak. Akak nak harta saya... saya bagi semuanya."
"Bukan kau yang sepatutnya merayu macam ni. Tuan punya badan pun tak sanggup nak tegur aku. Kau ingat dia sanggup ke terima hati dari seorang perempuan yang menjijikkan macam aku ni. Bangun."
Perlahan Nurain bangkit. Dia pun tahu perkara itu. Firdaus dan Jannah tidak habis-habis mengutuk Adra. Sehingga dia sendiri naik rimas. Kak longnya, memang dia tahu jenis mulut celopar dan cakap lepas. Tapi tidak perlulah menghina satu-satunya orang yang bakal membantu dia saat ini.
"Apa sebenarnya yang terjadi antara Kak Adra dengan mama? Kenapa..."
"Simpan aje semua soalan tu. Kalau satu hari nanti Allah nak bongkar, semua orang akan tahu. Dah jom kita pergi bilik kak long kau." Adra terus berlalu.
Nurain berkerut dahi. Dia sudah tanyakan kepada mama kenapa nama Adra baru muncul. Namun mamanya hanya mendiamkan diri. Tapi dia pasti apa yang terjadi antara kedua-duanya bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Dia terus berlari mengekori Adra.
"Aku tak nak duit. Aku nak dia kahwin dengan aku." Jari telunjuk Adra lurus ke arah Hadif. Tergelak dia melihat reaksi Hadif. Pasti terkejut dengan permintaan dia. Ya... dia bukan mahukan wang. Dia mahukan apa yang sepatutnya jadi milik Jannah.
"Kau gila. Dia tunang anak aku!" Melengking suara Datin Ainul.
"Hei perempuan jijik. Kau memang melampau!" Jannah bersuara. Bukan dia seorang terkejut dengan permintaan melampau Adra. Hadif juga kelihatan terkejut. "Dia tunang aku tau. Bukan barang yang kau boleh mintak sesuka hati."
"Kalau macam tu kau carilah perempuan suci murni. Pergi mintak nak beli hati dia. Lagipun kanser kau tu masih peringkat awal. Belum bahaya lagi. Tak terdesak sangat kan." Adra menjawab sinis. Salah kalau mereka semua fikir dia akan setuju dengan mudah.
"Tapi kau dah janji untuk setuju..."
"Hadif, aku setuju nak buat pemeriksaan aje. itu pun dengan bayaran sepuluh ribu. Ini aku nak gadaikan seluruh nyawa aku. Takkan tak boleh aku mintak sesuatu yang berbaloi untuk aku. Lagipun kau sendiri cakap yang aku tak layak jadi isteri sesiapapun. Apa salahnya aku manfaatkan benda ni untuk sesuatu yang berguna. Bukan senang nak dapat suami anak Tan Sri." Kata-kata Adra disulami ketawa sinis. Baru padan muka Hadif. Lelaki itu boleh sahaja mengutuknya sesuka hati. Tetapi ada harga yang harus dibalas.
"Semuanya dah selesai. Aku nak balik." Adra bangun dari duduknya dan terus menuju ke pintu. Sempat lagi dia menghadiahkan senyum sini buat Nurain. Sudah dia beritahu tadi yang tiada sesiapapun mampu menunaikan apa yang dia mahu.
"Nanti."
Adra menoleh. Hadif yang tadi duduk di sebelah Jannah berdiri.
"Kau memang perempuan licik. Memanfaatkan kesusahan orang lain untuk diri sendiri. Tak ada sikit simpati ke dalam diri kau untuk adik kau sendiri. Darah daging kau."
Adra pusingkan tubuhnya lalu ayun langkah mendekati Hadif. "Aku tak nak dengar kau membebel. Aku cuma nak dengar yes kau akan kahwin dengan aku dan kita akan suruh doktor jadualkan pemindahan hati ni secepat mungkin atau... no, tak ada pemindahan hati. Itu aje."
"Apa kau fikir kau akan hidup dalam rumah tangga bahagia ke kalau paksa aku macam ni. Kau fikir aku akan jatuh cinta dekat kau. Aku jijik dengan kau. Pelacur!" Hadif naik angin. Permintaan Adra sangat mengarut.
"Jadi jawapan kau no. Semoga kita tak berjumpa lagi." Adra senyum dan melambaikan tangan di hadapan muka Hadif. Terus sahaja dia pusingkan tubuh lalu terus beredar keluar.
"Jangan layan dia Hadif. Kita boleh cari orang lain." Datin Ainul meyakinkan Hadif.
"Betul tu sayang. Kita akan dapat cari orang lain."
Hadif tersenyum pahit.
Adra sedang menunggu teksi di perhentian bas saat seorang lelaki berdiri di hadapannya. Dia sedang bercakap dengan seseorang di talian. Tidak berani hendak mengangkat muka. Pantas dia bergerak menjauh.
"Kenapa kau buat aku macam ni?"
Selepas mendengar suara itu, Adra mendongak. Dia menarik nafas lega sebaik terlihat wajah itu. Sebuah senyuman dia ukirkan. Fikirnya lelaki itu tidak akan muncul lagi di hadapannya.
"Buat apa?" Adra berpura-pura tidak faham. Sedangkan dia memang menunggu lelaki itu menyerangnya.
"Kenapa kau buat syarat bodoh tu?" Hadif labuhkan punggung di sebelah Adra.
Adra membetulkan rambutnya. Dia menoleh ke arah Hadif dan lemparkan senyuman sinis. "Saja je aku nak tengok sejauh mana cinta kau kat dia. Kalau cinta sangat terima ajelah."
"Kau fikir aku akan suka kau yang kotor ni."
"Kau fikir aku nak sangat tolong kau. Hati ni dalam badan aku. Jadi suka hati aku nak letak syarat apa," balas Adra dengan suara sedikit meninggi.
Hadif raup wajahnya. Dia buntu. Untuk menerima syarat Adra memang mustahil. Tetapi dia risaukan kesihatan Jannah. Doktor juga menggesa pemindahan hati dibuat cepat.
"Jom aku hantar kau balik." Hadif bangun.
"Aku boleh balik sendiri."
"Aku ambik kau dari rumah tadi. Sekarang biar aku hantar kau balik."
Adra hanya angguk sahaja. Lagipun dia takut untuk menaiki teksi seorang diri. Dia turut bangun dan mengekori Hadif ke kereta.
"Hadif... aku tak akan tukar hati aku dengan duit. Aku nak sesuatu yang berbaloi untuk hidup aku. Kalau kau tak terima syarat tu. Aku tak paksa," ucap Adra sebaik mereka berdua masuk ke dalam kereta.
Hadif hanya angguk.
"Kasih sayang dan cinta aje tak cukup. Kau kena berdoa, mintak pada Allah. Hati aku milik Dia. Kalau Dia izinkan, mana tau aku boleh bagi percuma. Kau tak cukup berdoa ni. Kau doa ya..." Adra tersenyum sambil menghadap Hadif.
Hadif menoleh. Kata-kata Adra menyelinap ke tangkai hatinya. Perempuan kotor begini berpesan agar dia berdoa. Sedangkan dia sememangnya terlupa untuk meminta dari Allah agar dipermudahkan semua urusan Jannah.
"Kenapa Hadif termenung ni. Dah dapat keputusan dari doktor." Puan Sri Alinah duduk di sebelah anak terunanya. Bila Hadif enggan makan malam dan duduk termenung di tepi kolam renang. Dia tahu anaknya pasti punya masalah besar.
"Doktor cakap hati perempuan tu padan."
"Itu berita gembira. Kenapa Hadif termenung macam ni."
"Masalahnya perempuan tu setuju untuk dermakan hati dia dengan syarat Hadif nikah dengan dia. Macam mana..."
Fahamlah Puan Sri Alinah kenapa Hadif begitu terganggu. "Siapa nama perempuan tu?"
"Adra... Adra Najwa." Jawab Hadif. "Dia penyanyi kelab dangdut. Dia jugak mungkin... kerja jual badan."
Ternaik kening Puan Sri Alinah. Sesiapapun tidak mahu perempuan begitu menjadi menantu. Jangan kata buat menantu. Buat kawan pun dia tidak mahu.
"Datin Ainul tolak permintaan Adra." Tambah Hadif lagi.
"Eloklah kalau macam tu. Mama tak dapat bayangkan kalau dia masuk dalam keluarga kita. Mana kita nak taruk muka kalau semua orang tahu status dia."
Hadif angguk. Tetapi dia tetap risau. Bagaimana kalau mereka tidak menemui calon yang sesuai untuk buat pemindahan hati. Kata doktor itu satu-satunya cara untuk menyembuhkan Jannah saat ini. Mujur kanser tunangnya masih di peringkat awal. Tapi berkemungkinan akan bertambah parah. Semua ini membuatkan dia kusut.
"Jangan fikir sangat. Mama nak naik dulu. Papa pun dah tidur agaknya."
Hadif angguk. Dia bersalam dan mencium pipi mamanya.
"Hadif pun jangan tak tidur. Kalau mengantuk kat office, nanti papa marah."
Sekali lagi Hadif angguk. Dia memerhatikan mamanya masuk ke dalam. Semua orang menyuruh dia agar melupakan cadangan mengarut Adra. Tetapi semua orang tidak tahu yang dia begitu risaukan Jannah. Dia sanggup korbankan hidupnya demi gadis yang dicintainya itu.
Ting! Hadif mengambil telefon bimbitnya. Pesanan WhatsApp dari Nurain lagi. Sejak petang tadi dia berbalas pesanan dengan bakal adik iparnya itu. Membincangkan permintaan Adra.
'Tadi Kak Adra ada cakap dia nak sesuatu tapi yakin abang long atau mama tak akan dapat tunaikan.'
Hadif meraup wajahnya. Memang Adra rancang semua ini dari awal atau... tiba-tiba dia teringat sesuatu. Mungkin ini tindak balas Adra terhadap hinaan dia tempoh hari. Dia mengatakan yang gadis itu tidak layak untuk menjadi isteri sesiapapun. Tidak sepatutnya dia menghina satu-satunya insan yang dapat membantu menyelamatkan tunangnya.
'Kalau terpaksa, abang long sanggup kahwin dengan dia.'
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top