BAB 3

Adra berdiri sambil memerhatikan drama bakal keluarga bahagia Hadif. Lelaki itu sedang berbual-bual dengan Jannah. Perempuan yang konon-kononnya harus dia bantu. Dia sudah menjalani pemeriksaan dengan doktor. Mereka perlu menunggu keputusan doktor sebelum boleh menjalani pembedahan.

Jannah bukan mahu menegurnya, sebaliknya memandang dia dengan sangat tajam. Dia faham kalau Jannah cemburu melihat dia muncul bersama Hadif. Dia pun malas hendak bertegur sapa dengan 'anak sulung' wanita yang melahirkannya itu. Hadif dan Jannah sakan bergelak-ketawa bagaikan dia tidak wujud di situ.

"Berapa lama aku kena berdiri kat sini tengok drama korang. Aku anak balik."

Hadif angkat muka. "Kita tunggu Datin Ainul sampai."

"Kau tunggulah sorang. Aku nak balik." Adra membuka pintu dan terus keluar. Dia tidak pedulikan panggilan Hadif. Terus sahaja dia berjalan menuju ke lif. Juga dia tidak mempedulikan beberapa pengunjung yang berpapasan dengannya. Terus sahaja dia menonong.

"Adra tunggu." Hadif menarik tangan gadis itu.

"Buat apa kau kejar aku. Pergilah bercinta dengan tunang tersayang kau tu. Aku boleh balik sendiri." Adra menolak tangan Hadif. Nampaknya lelaki itu sudah hilang segan atau mungkin kerana berlapik, Hadif berani menarik lengannya tadi.

"Aku hantar kau balik. Datin Ainul kan dah sampai." Hadif menekan butang lif.

"Mana?" Adra menoleh ke belakang.

"Takkan kau tak kenal mak kau sendiri. Perempuan yang pakai tudung kuning tadi." Mata Hadif melihat tingkah Adra dengan rasa tak percaya. Tapi nampaknya Adra tidak berpura-pura. Tidak mungkin gadis itu tidak kenal dengan wanita yang melahirkannya. "Kau nak jumpa mak kau dulu ke?"

"Lain kali. Aku nak balik. Aku lapar."

Kebetulan pintu lif terbuka. Adra terus meluru masuk. Dia mencari kaca mata hitam dari beg tangannya dan terus pakai. Dia bersandar sambil menunggu lif tertutup.

Hadif masuk dan menekan butang G. Sekali lagi Adra memakai kaca mata hitam. Tadi di butik pun sama. Dan anehnya Adra tiba-tiba menjadi pendiam seperti tadi. Dia mahu bertanya lanjut tapi dia batalkan.

"Kau nak makan apa? Aku belanja kau makan."

"Aku nak pergi tandas." Adra tidak menjawab soalan Hadif sebaliknya dia terus mencari di mana letaknya tandas berpandukan papan tanda.

Hadif mengekori langkah Adra dengan matanya. Dia merasa sedikit aneh. Adra yang dia jemput pagi tadi sangat berbeza dengan Adra yang sekarang. Baru dia terfikir sesuatu. Bukan sahaja Adra tidak mengenal Datin Ainul. Sebaliknya Datin Ainul juga kelihatan tidak mengenali Adra. Kedua-duanya saling berpapasan seperti tidak mengenali antara satu sama lain.

"Abang long."

Hadif menoleh. "Angah. Daus."

"Abang long baru lepas jumpa along ke?"

Hadif angguk.

"Ada jumpa mama tak." Tanya Firdaus pula. "Mama tu sampai terus nak naik. Risau sangat dengan kakak. Sampai tak menyempat tunggu Daus parking kereta. Dahlah mama suruh Daus drive laju-laju. Macamlah waktu melawat nak habis." Firdaus mengadu seperti anak kecil.

"Mama risaukan kakak." Ucap Hadif sambil meninjau lorong yang Adra masuk

"Kak Adra dah buat pemeriksaan?" tanya Nurain. Dia perasan bakal abang iparnya asyik tertinjau-tinjau. Mungkin juga Adra masih ada di sini."

"Dah. Ni nak hantar dia balik. Mama pun dah sampai. Korang naik dululah." Hadif jadi risau. Kenapa lama sangat Adra di dalam tandas. Atau Adra senyap-senyap keluar tanpa menunggu dia.

"Kalau macam tu kitaorang naik dulu." Nurain menarik tangan Firdaus. Kelihatannya bakal abang ipar mereka bagaikan mengharap mereka segera beredar. Dia pun tidak mahu adiknya bertembung dengan Adra. Firdaus seakan membenci kakak mereka itu.

Firdaus bersalam dengan Hadif lalu beredar bersama Nurain. Hadif pula terus menuju ke arah lorong yang Adra masuk tadi. Papan tanda tandas perempuan besar terpampang di situ. Terus dia berpatah balik dan menunggu di tepi.

Tidak lama kemudian kelihatan Adra keluar dengan muka yang kelihatan basah. Sempat mata mereka bersabung sebelum Adra mengenakan kembali cermin mata hitamnya.

"Kau nak makan apa?" Hadif mengekori Adra menuju ke lif yang akan membawa mereka ke parking.

"Aku tak ada selera. Aku nak balik." Adra menekan butang lif.

"Janganlah macam tu. Aku belanja kau makan."

Adra berpusing menghadap Hadif. Tidak faham dengan lelaki itu. Kenapa tiba-tiba mendesak dia. Rasanya tadi lelaki itu begitu jijik dengan dia.

"Aku nak makan western."

"Nak makan apa?" Hadif bertanya sambil membelek menu. Agak lama menunggu namun soalannya belum bersambut. Dia turunkan menu untuk melihat Adra. Kelihatannya gadis itu sedang melamun.

Hadif mengambil kesempatan menilik wajah gadis itu. Sukar untuk dia percaya yang gadis manis berbaju kurung itu menyara hidup dengan menjual tubuh. Dan lebih memeningkan kepalanya bagaimana anak Datin Ainul, tokoh yang terkenal boleh berakhir begitu.

Sejak keluar dari tandas tadi Adra membisu. Malah cermin mata hitam yang Adra pakai tadi masih belum ditanggalkan. Lagaknya seperti menyembunyikan sesuatu. Malah menu di atas meja pun Adra tidak belek walaupun tadi merungut lapar.



"Cik Adra. Awak nak makan apa?" sekali lagi Hadif bertanya.

"Kita balik aje boleh tak. Tak ada selera nak makan." Adra menjawab perlahan.

"Tadi awak kata lapar. Kenapa pulak tiba-tiba tak ada selera nak makan. Awak ni buang masa saya aje tau. Kalau awal-awal cakap tak ada selera makan kan senang. Saya pun boleh balik pejabat," bebel Hadif. Mereka tinggal mahu membuat pesanan sahaja. Tiba-tiba Adra tiada selera untuk makan.

Hadif memerhatikan Adra. Tiada balasan dari gadis itu sebaliknya Adra seakan memerhatikan sesuatu. Hadif tolehkan muka melihat ke belakangnya. Satu keluarga dengan sepasang suami isteri dengan seorang anak. Si suami dan si isteri bergilir-gilir menyuap anak mereka makan. Tiada apa yang menarik pun bagi dia pemandangan itu. Mungkin si suami itu pernah 'pelanggan' Adra.

"Customer kau ke? Kenapa kau pandang macam tu? Cemburu." Sinis sahaja pertanyaan Hadif. Rasanya dengan gadis itu dia tidak perlu menjaga hati atau tunjuk baik. Kerana gadis itu pun bukannya orang baik.

"Kau ada masalah ke kalau aku cemburu." Adra tanggalkan cermin matanya. Dia mengambil tisu untuk mengelap matanya.

"Aku tak ada masalah kalau kau cemburu. Bukan hal aku pun. Jangan kau bercakar dengan wife orang tu sudahlah. Aku jugak yang malu nanti." Hadif memberi amaran. Tapi jika benar lelaki itu salah seorang pelanggan Adra, sudah tentu lelaki itu juga akan tersalah sangka terhadapnya. Tapi biarkan sahaja, dia buat semua ini untuk Jannah.

"Aku profesional. Hubungan kami setakat kat bilik tidur aje. Dekat luar kami tak kenal."

Hadif mencebik. Kalau ada cara lain memang dia tidak mahu hati gadis kotor ini untuk tunangnya Jannah. Kata doktor tadi boleh sahaja mereka mencari hati yang lain kerana kanser hati yang dihidap Jannah masih di peringkat awal. Namun dia tidak mahu mengambil risiko. Bimbang jika kanser terus merebak.

"Kau tak nak jadi pelanggan aku ke?" tanya Adra tiba-tiba. Dia perasan cebikan Hadif tadi. Tipikal lelaki. Konon alim tetapi kalau diberi peluang memang tidak akan menolak.

"Aku setia dengan tunang aku. Lagipun kau tak layak jadi isteri sesiapapun." Hadif tanpa berkata tanpa berselindung. "Tolong jangan jual badan kau kat aku, hubungan kita setakat sampai kau selesai pembedahan aje. Lepas tu jangan muncul depan mata aku."

"Jangan lupa bank in duit yang kau janjikan."

"Bagi nombor akaun. Lagi cepat selesai benda ni lagi bagus. Sekarang kau nak makan atau tak nak."

"Makanlah... bukan senang nak dapat orang belanja." Adra membelek menu. Sakit hatinya mendengar hinaan lelaki itu. Tetapi dia tahu semua itu benar.

Adra mengangkat kepala sebaik terdengar suara kanak-kanak tadi. Tersungging senyum melihat keletah kanak-kanak itu. Merajuk kerana diusik oleh bapanya. Perlakuan sekeluarga itu mencuit hatinya.

Hadif bagaikan terkena renjatan elektrik melihat senyuman Adra. Perkara di butik tadi berulang lagi. Perlahan dia sentuh dadanya. Rasa ini tidak pernah hadir saat dia bersama Jannah. Senyuman itu menyebabkan jantungnya tidak tentu arah. Kenapa setiap kali Adra tersenyum jantungnya akan berdegup laju.

"Cepatlah order. Aku dah kebulur ni. Nak makan apa?" Hadif keraskan suara sedikit. Melindungi gugupnya.

"Sekarang ni I lapar nak makan you aje. Aumm." Adra kenyit mata.

Hadif tergamam.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top