BAB 6 | PART 3

AKU masuk ke bilik setelah makan malam dengan mak dan Azalea. Selesai solat isyak, aku buka telefon pintarku. Sambil berbaring, aku tergerak hati nak buka Instagram. Aku buka Instagram Wan. Dah lama dia tak update apa-apa. Entah macam mana aku tertekan bahagian tagging di wall Wan.

Aku gigit bibir menahan rasa melihat gambar yang terpapar di skrin. Dengan bodohnya aku buka gambar itu, melihat siapa yang memuat naik dan membaca caption.

‘Date with him. Thanks Furqan.’

Gambar Wan sedang makan.

Aku pujuk hati untuk bersabar tetapi air mataku mencurah-curah ke pipi. Pedihnya hanya Allah yang tahu. Bertahun-tahun aku simpan perasaan ni pada Wan. Tak mungkin aku padamkan nama lelaki itu dalam masa sehari. Kalau mudah, dah lama aku lupakan dia.

Sekarang aku dah cukup jelas. Peluang antara aku dan Wan tak pernah ada. Wan cuma sudi berkawan dengan aku, bukan untuk menjadi kekasihku.

“Kak, akak buat apa? Mak ajak kupas bilis untuk masak nasi lemak esok.”

Aku menggeleng kepala tanpa memandang Azalea.

“Akak okey?”

Aku tekup muka kerana tidak mampu menahan diri daripada menangis. Apabila Azalea menyentuh tanganku, aku keraskan diri.

“Kenapa ni?” Soal Azalea.

“Tak ada apa...”

“Jangan macam ni, kak...” Azalea mengusap bahuku.

“Wan reject akak.” Aku ucap dengan nada bergetar.

“Apa dia?” Azalea mendekatkan dirinya denganku.

“Wan reject akak...”

“Abang Wan?” Tanya Azalea seolah-olah enggan percaya.

Aku tidak membalas.

“Akak sayangkan Abang Wan?” Azalea mengendurkan suara.

Aku sembunyikan muka di bantal. Menahan diri dari terus-terusan bersedih begini. Aku hembuskan nafas beberapa kali agar tidak terbawa-bawa dengan rasa kecewa.

“Kalau Abang Wan tak nak akak, Abang Wan memang buta. Sebab tak ada orang lain yang mampu menggantikan akak dalam hidup dia.”

Aku menggeleng. “Lea terlalu yakin...”

“Lea cakap betul. Abang Wan takkan mampu lupakan akak.”

“Habis akak nak buat macam mana?” Aku teresak kembali. Pedih memikirkan yang aku bakal kehilangan dia sampai bila-bila.

Azalea diam. Tak lama lepas tu dia usap kembali lenganku.

“Akak kena lupakan dia...”

Air mataku kembali lebat mendengar kata-kata itu. Hatiku juga cukup letih. Aku hilang kira berapa tahun aku hanyut dalam rasa ‘memiliki’ Wan. Jika dari awal aku menghentikan rasa ini, adakah sakit yang aku rasa tidak sedalam ini?

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top