BAB 3 | PART 1

BAB 3

 

UNTUK kali ke-10 Wan Furqan hantar pesanan ringkas merayu untuk aku ikut dia pergi joging pagi ni sedari selepas waktu subuh tadi. Jadi bertambah kusut otak aku nak cerita dekat mak pasal Azim yang nak berhenti belajar sebab nak tanggung bakal bini dia. Adoyai.

‘Aku tunggu kau kat luar rumah kau ni. Cepatlah keluar.’

Satu lagi pesanan ringkas masuk ke dalam kotak WhatsApp.

Aku mengeluh. Selendang hitam yang tersangkut di pintu bilik kuambil.

“Nak pergi mana?” Soal Azalea sebaik sahaja aku mengenakan tudung.

“Keluar joging.”

Berkerut dahi Azalea. “Dengan Abang Wan ke?”

Yelah. Dia dah kat depan rumah dah.” Aku tarik muka masam.

Azalea tersengih. “Kak, Abang Wan tu suka kat akak agaknya.”

“Tak mungkin.” Aku balas tak sampai sesaat Azalea menyudahkan ayat.

“Ya aje tak mungkin. Akak cubalah tanya dia.”

“Dah pernah tanya. Dia memang anggap akak sebagai bestfriend dia. Kalau dia suka akak, dah lama dia ajak akak kahwin.” Aku jawab. Duit RM 10 aku ambil dari dompet. Aku selit dalam poket. Lepas joging aku ingat nak beli sayur untuk makan esok. Malu juga tetamu datang kami tak ada makanan. Takkanlah nak hidang telur dadar kat bakal isteri Azim tu. Dibuatnya bakal isteri dia bawa lima-lima anak kecil ke mari, harulah kami. Aku tak mampu nak membayangkan keadaan itu.

“Akaklah yang ajak dia kahwin. Lea tengok Abang Wan tu dah sampai tahap tak boleh tak jumpa akak walau sehari.”

“Ajak dalam mimpi aje. Akak tak kuasa nak ajak dia kahwin. Banyak lagi lelaki baik dalam dunia ni.” Aku ambil telefon pintar dari sisi tilam kemudian terus melangkah keluar bilik.

“Akak cari yang kaya sikit. Bolehlah kami tumpang senang sekali.” Azalea tergelak.

Aku menggeleng kepala. Senang betul hati Lea walhal dia tahu abang dia nak kahwin dengan janda anak lima.

Aku buka aje pintu rumah, nampak Wan melambai aku dari dalam keretanya.

“Nak joging kat mana?” Aku menyoal selepas memakai tali pinggang keselamatan. Wan yang mula memandu tu aku pandang. Segak betul dia hari ni. T-shirt putih dengan tracksuit Adidas berwarna hitam. Jaket Adidas pula dia letak di atas ribanya. Oleh sebab Wan pakai shades, dia nampak seperti model yang tengah nak buat penggambaran. Naik menyampah pula aku dekat Wan. Dia nak tarik perhatian siapa sebenarnya? Jarang-jarang dia dress up kalau keluar dengan aku.

“Tepi pantai.” Wan tersenyum-senyum.

“Syuhada kat tepi pantai ke?” Aku menebak. Manalah tahu kut-kut Syuhada joging sebab tu dia bergaya sakan.   

“Taklah. Kau ni asyik perli aku aje. Aku dan Syuhada tak ada apa-apa hubungan lagi la.”

Yelah tu.” Aku buang pandang ke luar tingkap. Perkataan ‘lagi’ yang dia lemparkan membuat hatiku sedikit terusik. Aku memang suka nak ungkit nama Syuhada sebab dengan cara tu aje aku mampu berpijak di bumi yang nyata.

“Betullah... Aku tak jadi nak sambut salam perkenalan dia. Takut kau cemburu. Sekarang ni pun sikit-sikit melenting.”

“Astaghfirullah al-Azim...” Aku beristighfar. Lima saat kemudian aku tepuk dada dengan rasa tak percaya. Cuba menenangkan diri sendiri daripada perasaan marah.

“Aku melenting bukan sebab cemburu ya Encik Wan Furqan... Aku tengah dalam masalah keluarga. Apa kena mengena hubungan kau dan Syuhada dengan aku pula?” Aku alihkan topik kerana tidak mahu dia menghidu perasaan yang cuba kusimpan rapi selama ni.

“Bukan kau peminat nombor satu aku ke?” Dia sembunyi senyum. Aku nampak walau dia berusaha nak tahan diri dari buat muka poyonya.

“Kalau boleh aku tak nak tengok muka kau, tau. Aku tengah kusut sekarang ni. Jangan nak tambah kekusutan aku, boleh tak?”

“Melenting lagi. Aku bergurau aje, kan? Entah-entah memang kau cemburu, tak?” Wan lebih giat menduga. Mungkin pada dia gurauannya tidak membawa apa-apa makna. Tetapi padaku seolah-olah dia menolak hatiku ke tepi gaung.

“Itulah masalahnya. Kau tak pernah serius masa aku sedang serius.” Aku sandar tubuh dan pejamkan mata.

“Jangan panjang sangat tayang muncung tu, Jenny. Aku saja aje... Apa salahnya aku hiburkan hati kau? Masalah kau pun masalah aku juga. Aku gurau ni sebab nak kau lupa dengan masalah kau sekarang,” ucap Wan dengan nada yang agak rendah.

Barulah aku faham kenapa dia beria-ia mengusikku dari tadi. Tapi silapnya, dia usik aku dengan kebenaran. Kerana itu, aku semakin rasa tak tentu arah.

Entahlah. Kadang-kadang aku rasa cara Wan layan aku sedikit berlebihan dan melanggar batas-batas yang sepatutnya ada antara kami. Segala tindak-tanduk dia, sikap prihatin dia, kadang-kadang membuat hatiku terlebih perisa. Sukar untuk aku tetapkan hati agar tidak mudah tersentuh. Sekali kena, jangan kena lagi. Cukuplah aku termalu sekali.

Sepanjang bertahun-tahun aku berkawan dengan Wan, aku dan dia macam ini lah. Apabila dia menyakat, kononnya nak jadikan aku isteri dialah, kekasih dialah, aku cuba buat-buat pekak dan buta. Aku tahu dengan perempuan lain dia tak macam ni. Dia begini dengan aku saja. Kadang-kadang terfikir juga mahu mempergunakan rasa selesa Wan untuk aku supaya tak ada perempuan lain yang berani dekat dengan Wan. Post aje gambar Wan dan aku di media sosial setiap minggu supaya orang silap anggap tentang kami berdua. Tapi apabila aku fikir-fikir, perkara tu lebih banyak buruk dari baik. Aku tak nak jadi tamak. Dan aku rasa tak berbaloi bila aku rasa insecure disebabkan aku tak setanding dengan dia.

“Sejak akhir-akhir ni, aku perasan kau makin nak jauhkan diri dari aku.” Tiba-tiba dia luahkan perasaan.

“Kau nak aku menghadap kau 24 jam ke?” Perliku.

“Kalau boleh...” Dia sengih.

“Kalau boleh? Kita ni dah dewasa. Dah ada life masing-masing. Cara kau cakap ni macam nak simpan aku jadi gundik aje.” Aku perli lagi dengan harapan Wan sedar antara kami masih ada batas yang perlu kami hormati. Tak bolehlah dia nak menyibuk tentang hal aku sepanjang masa.

Wan angkat bahu sambil tersenyum lebar. “Kalau boleh...” Sekali lagi dia balas dengan ayat yang sama.  Sengaja nak menjengkelkan hati aku aje gayanya.

Selfish tahu tak?” Aku tercakap. Tapi alang-alang dah tercakap, biarlah Wan mampu hadam apa yang ada dalam hatiku.

Selfish?” Dia seperti keliru.

“Kau. Kau tak suka aku tapi beria nak aku layan kau macam raja.”

“Siapa cakap aku tak suka kau?” Wan betulkan cermin mata gelapnya.

Aku mengeluh. Dia cuba highlight kan ayat terakhir aku berbanding ayat di hadapan.

Yelah kau suka aku. Tapi aku tak suka kau, tau?” Ucapku bersahaja.

“Sampai hati kau cakap macam tu... Cuba kau bayangkan kalau aku tak ada...”

“Oh indahnya duniaaa....” Aku sengaja leretkan suara.

“Gundik kenalah layan raja elok-elok.” Laju Wan memotong kata-kataku.

Aku menjuih. “Minta maaflah. Aku tak sudi jadi gundik Wan Furqan.”

“Kejap lagi aku datang rumah kau meminang kau. Biar kau tak dapat lari dari genggaman aku sampai bila-bila.” Ugutnya seperti sedang menahan geram.

“Aku lagi sanggup terima pinangan Mat susun selipar kat masjid dari kahwin dengan kau.”

Wan tergelak. “Kau buat lawak ke? Nak dibandingkan aku dengan Mat tu... Aku seribu kali lebih sesuai dengan kau. Aku ni dahlah kacak, pemurah, baik hati, sopan santun...” Dia puji diri melambung-lambung.

“Diamlah. Bernanah telinga aku ni, kau yang kena nanti.” Aku potong kata-kata Wan sambil membentak. 

Wan senyum. Lama juga dia diam tanpa kata sebelum pandangan matanya dihalakan semula ke arah aku. Kereta waktu itu juga berhenti seketika di hadapan lampu isyarat yang bertukar merah.

“Jenny, janji kau happy, aku sanggup buat apa aje.” Ucapnya serius.

Aku buat-buat pekak sambil menyibukkan jari dengan skrin telefon pintar. Walhal jantung aku dah berdegup laju bila dia cakap begitu. Pada dia, penting sangat ke kalau aku gembira? Tapi kalau betul penting pun, bukannya dia ada perasaan cinta pada aku pun. Dia cuma anggap aku sebagai kawan aje. Tak ke?

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top