BAB 2 | PART 2
BAB 2
SELESAI mandi, aku terus ke ruang tamu. Bekas makanan aku buka dan kuletak di atas lantai.
Pinggan yang aku bawa dari dapur tadi, aku isi dengan lauk pemberian Kak Fiza.
Aku tadah tangan nak baca doa. Tapi tak sempat lagi aku buka mulut, tiba-tiba mak muncul dari bilik dia dengan air muka yang cukup keruh.
“Kenapa mak?” Aku tanya.
Mak duduk bersimpuh di depanku.
Cepat-cepat aku hulur pinggan yang sudah berisi nasi dan lauk kepada mak. Aku ambil satu lagi pinggan untuk diri sendiri. Adik-adik lain dah masuk bilik. Dia orang dah makan tadi.
“Azim buat hal. Mak tak sangka dia macam tu.”
“Kenapa dengan Azim?” Jarang-jarang nama Azim menjadi sebutan mak. Dari dulu Azim menjadi anak kebanggaan mak. Dia cemerlang dalam pelajaran dan menjadi harapan keluarga kami. Dalam adik-beradik, Azim juga yang paling rapat dengan mak. Orangnya soft spoken dan tahu cara melayan orang tua. Rasa aneh pula apabila mak menyebut nama Azim dengan nada marah.
“Dia telefon mak, katanya nak menikah.”
Aku yang baru menyuap makanan ke mulut terus tak jadi. Wajah mak aku pandang dengan rasa keliru. Mak ni biar betul?
“Mak cakap pasal Azim yang mana satu?”
“Azim mana lagi? Yang tengah belajar itu lah.”
Ah sudah... Kenapa dia nak kahwin tiba-tiba?
“Mak pasti ke dia nak kahwin? Dia nak bagi bini dia makan apa?”
Mak mengerut dahi. “Hujung minggu ni dia bawa bakal isteri dia ke rumah kita.”
Aku membulatkan mata. “Dia serius ke nak kahwin?” Sukar untuk aku percaya. Awalnya aku ingatkan mak main-main aje.
“Tak pun Azim main-main kut?” Bibirku menggumam.
“Dia kata bakal isteri dia tua 10 tahun.”
Nasi yang ada di tanganku terjatuh ke pinggan semula. 10 tahun? Tua dari aku 6 tahun?
“Hah?” Aku tercengang.
“Janda anak lima.”
Aku tersedak air liur. Cepat-cepat aku mencapai air minum apabila terbatuk keras. Padanlah muka mak berkerut-kerut dari tadi.
“Ya, kak... Mak tak mampu nak cakap apa dah dengan budak tu. Katanya dia kesian kan janda tu. Dia kata dia nak tolong janda tu.”
“Tolong apanya mak? Dia hidup kat universiti tu pun kita yang hantar duit untuk dia!” Aku terjerit gara-gara tidak mampu mengawal rasa terkejut bercampur marah.
Aku boleh terima kalau dia nak kahwin dengan kekasih dia. Tapi dia kahwin sebab nak tolong orang? Sepatutnya dia cermin diri sendiri. Dia tu yang perlukan bantuan orang lain untuk teruskan kehidupan.
“Itulah mak dah cakap dengan Azim. Tapi dia berdegil nak kahwin juga dengan janda tu. Jenny pujuklah si Azim tu untuk tukar fikiran. Janda anak lima tau... Mana dia nak tanggung isteri lagi, anak-anak tiri dia lagi... Takkan kita yang kena tanggung?” Mak tolak pinggan nasi.
Aku pun dah tak berselera untuk menjamah makanan. Rasa kelat tekak ni memikirkan masalah Azim.
“Azim dah gila ke?” Tanpa sedar bibirku sudah menyebut perkataan gila. Aku bukan apa. Selalu aku dengar kes-kes macam ni di media sosial sahaja. Apabila terkena dekat keluarga sendiri, aku tak mampu nak terima. Kat mana akal logik Azim yang dulu pernah berikrar mahu mengubah ekonomi keluarga kami? Sekarang ni dia dah belakangkan keluarga sendiri demi keluarga orang lain!
“Mak pun rasa macam tu.” Mak mengeluh.
Aku sentuh dahi yang terasa berat. Tak pasal-pasal perasaan aku yang tadinya sedih dan terkilan kerana sikap Wan Furqan terus berubah 360 darjah jadi marah dan geram pada Azim, adik bertuah aku tu. Sia-sia aje aku berkorban selama ini demi Azim. Aku kumpul duit gaji 3 bulan demi nak belikan dia komputer riba. Aku sanggup berkorban tak makan sedap-sedap untuk bagi dia duit beli mesin cetak demi kemudahan dia belajar.
Air mata menitis cepat-cepat aku seka. Aku tak nak mak nampak kekecewaan aku kerana aku tahu kecewa mak lebih lagi berbanding diriku.
Memang tak ada ke seorang lelaki dalam hidup aku ni yang boleh aku pandang tinggi? Aku dah putus asa dengan kaum lelaki. Lebih baik aku bergantung dengan diri sendiri. Aku tak nak menanam harapan pada Azim atau adik-beradik aku yang lain. Cukuplah. Aku tak mahu berkorban demi orang yang tak menghargai pengorbananku!
“Mak, kakak dah tak nak dah bagi duit belanja kat Azim. Pandai-pandailah dia.” Aku merajuk.
Mak diam tak cakap apa-apa.
Kesian mak. Dari awal pagi memasak dan menjual kuih-muih untuk membesarkan kami adik-beradik. Tapi lihatlah, seorang pun tak ada yang mampu memberikan dia kesenangan di hari tuanya.
AKU hantar pesanan ringkas kepada Azim disebabkan aku tak dapat melelapkan mata.
‘Kau fikir panjang sikit boleh? Mak kita tu nak kau dan adik-adik lain berjaya. Ni kau tak kerja lagi nak balas jasa dia... Macam mana kau boleh terfikir nak kahwin? Kau harapan keluarga kita tahu?’
‘Aku tetap akan balas jasa mak, jangan risau.’
Aku ketap bibir menahan hati yang sedang berapi.
‘Senang betul kau cakap. Habis anak-anak kau, bini kau, siapa yang tanggung? Kau ingat senang ke nak dapatkan kerja lepas habis pengajian?’
Aku tekan skrin telefon beria-ia. Kalau boleh aku nak tekan biji mata Azim sekali.
‘Jangan cakap macam tu, rezeki Allah yang tentukan. Dia orang pun ada rezeki dia orang juga.’
Ya Tuhan...
Memang sah Azim dah gila bayang. Sampai macam tu sekali dia fikir.
‘Aku bukan tak tahu Tuhan bagi rezeki dekat makhluk Dia, Zim. Tapi Tuhan pun bagi otak untuk berfikir. Kalau betul kau nak tolong bakal bini kau tu, kau tunggu sampai kau dapat kerja. Jangan esok-esok kau minta duit dari aku dan mak nak menanggung hidup kau orang anak-beranak. Aku kerja selama ni untuk kau dan adik-adik. Kalau macam ni orang buat kat aku, lebih baik aku simpan duit aku dan buat bisnes sendiri.’
‘Esok-esok bila aku dah berjaya, aku bayar balik duit yang kau dah keluarkan untuk aku.’
Air mata aku jatuh ke pipi. Tak ada guna aku mesej panjang-panjang pada Azim. Aku tak rasa aku mampu tukar fikiran dia.
‘Kalau kau dah rasa keputusan tu terbaik untuk kau, teruskan. Tapi aku mohon sangat-sangat... Nanti jangan susahkan mak. Belanja kau kahwin, anak-anak kau, bini kau, tolong jangan minta kami keluar duit. Tahu tak apa yang mak, aku dan adik-adik lain makan tiap hari? Telur tiga biji kami dadar dan bahagi. Sebab apa? Sebab kami nak kau cukup makan dekat sana. Lepas ni, aku tak hantar dah duit belanja untuk kau. Aku nak belikan mak makanan yang sedap sikit. Pandai-pandailah kau nak cari duit kat mana. Rezeki Allah bagi kat makhluk-Nya. Janji ada USAHA.’
Tak sampai seminit dia balas.
‘Okey.’
Aku pejamkan mata rapat-rapat. Patutlah mak sakit hati... Kalau beginilah balasan Azim terhadap mesej-mesej mak, pasti hati mak terluka.
Aku tak tahu apa angin Azim sampai sanggup layan aku dan mak macam ni sekali.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top