Bab 2
Seorang wanita bersanggul dengan solekan yang agak tebal sedang duduk berkipas di kaunter restoran. Gincu yang dipakainya rona merah pekat. Eyelinernya hitam tebal dengan baju kebaya ala-ala Baba Nyonya. Tangan kanannya masih mengipas diri, matanya giat memerhati pekerja-pekerjanya mengemas restoran.
"Ha, lap bersih-bersih ya. Jangan tersisa sebutir habuk pun," arah wanita itu, masih mengipas diri sendiri. Restoran itu dilengkapi dengan pendingin hawa sebenarnya, tak pasti panasnya dari mana.
"Cik Puan, Cik Namira dah sampai," sergah salah seorang pekerjanya.
"Ya ke? Okey! Okey!" Wanita bergaya retro itu bangun dari duduk, mula menyusun bekas-bekas tisu di depannya.
"Mak su! Macam mana boleh jadi macam ni?" Soalan Namira dilontar laju tanpa sempat memberi salam dulu.
"Mira, bertenang dulu." Maksu Salina mengipas Namira dengan kipas berbulu di tangannya. Acah cuba menenangkan anak saudaranya.
"Risma, buatkan Mira mangga susu," arah Maksu Salina kepada salah seorang pekerjanya.
"Mak su, Mira datang sini bukan nak minum." Namira mendesak ingin penjelasan waktu itu juga. Tidak ingin dilengahkan lagi.
"Ya, tapi sebelum dengar cerita penuh, Mira kena bertenang dulu. Mira kan suka mangga susu. Nak nak pula mangga susu restoran kita... lagi la favourite Mira kan? Haa..."
'Ada masa lagi kan mak su ni. Mesti ada sesuatu dia nak bodek aku ni,' getus hati Namira. Matanya memandang tajam pada Mak su Salina.
Kalau wanita awal 40-an yang bergaya acah glamor di depan matanya ini bukan mak saudaranya, sudah lama dia smack down. Sudahlah dia sudah cukup stres hari ini, ditambah pula dengan kerenah maksu yang suka melebih-lebih ini. Sekarang, rasa menyesal pun ada. Sepatutnya dia tak perlu susah-payah bergegas ke sini kerana kata-kata maksu bukannya boleh percaya. Lebih banyak perisa tambahan daripada fakta sebenar.
Setelah didesak Namira beberapa kali, akhirnya Maksu Salina membuka ceritanya.
"Apa dia? Maksu pinjam duit Ah Long? Lepas tu pertaruhkan restoran ni kalau tak dapat bayar? Kenapa? Kenapa maksu sanggup buat macam ni?" keluh Namira kecewa. Ralat rasa hati apabila kepercayaan yang diberikan bagaikan dipijak-pijak oleh ibu saudara sendiri. Padahal segala duit keuntungan restoran diberikan kepada Maksu Salina seratus peratus.
"Maksu tak sengaja Mira. Maksu terpaksa."
"Terpaksa macam mana maksud maksu? Tak ada istilah terpaksa kalau dah pinjam duit Ah Long tu maksu! Tu menempah maut namanya!"
"Alah, maksu terpaksa sebab..." Maksu Salina tiba-tiba jeda, tidak meneruskan ayatnya.
"Sebab apa?" desak Namira dahagakan jawapan.
"Sebab... sebab restoran kita tak untung sejak kebelakangan ni. Jadi, maksu terpaksalah..."
"Tak ada untung? Macam mana boleh jadi macam tu pula? Sedangkan masa ayah dengan mama uruskan restoran ni dulu, restoran ni ramai customer kan?" bidas Namira, menolak alasan Maksu Salina.
"Alah nak buat macam mana... zaman berubah kan?" Selamba Maksu Salina memberi alasan.
"Dalam masa lima tahun je?" soal Namira lagi.
"Ha yalah, nak buat macam mana kan benda dah nak jadi. 5 tahun tu pun boleh kira lama dah tu. Ha, mira. Sebenarnya ada satu cara untuk kita selesaikan masalah ni."
"Apa dia?" tanya Namira serius.
"Ni dia." Sebuah kotak dikeluarkan daripada laci meja di kaunter. Sebentuk cincin tersimpan di dalamnya.
"Cincin? Cincin siapa ni?" Namira hairan.
"Cincin Mira la. Maksu dah lama simpan cincin ni sejak mak ayah Mira meninggal, tunggu masa sesuai nak bagi tahu Mira perkara sebenar."
"Perkara sebenar apa?" Hati Namira jadi berdebar.
"Sebenarnya, sebelum ayah Mira meninggal, ayah Mira ada tinggalkan satu amanah terakhir."
"Amanah terakhir?"
"Ya. Amanah ayah kamu sebelum dia meninggal, kamu mesti kahwin dengan anak Tan Sri Faizul. kalau Mira kahwin dengan anak Tan Sri tu, mesti kita boleh selamatkan restoran ni," ujar Maksu Salina tanpa rasa bersalah langsung.
"What? Kahwin? Anak Tan Sri Faizul? Siapa pula dah Tan Sri Faizul ni? Tak pernah dengar pun nama tu sebelum ni? Ayah pun tak pernah sebut nama tu." Kecurigaan di hati diluah saja.
"Betul Mira. Kalau Mira tak percaya, Mira boleh tanya sendiri dekat family belah sana."
"Tak. Mira tak percaya! Kenapa maksu tak bagi tahu Mira dari awal lagi? Macam mana kalau Mira dah ada calon lain?"
"Alah, Mira kan anak yang baik, takkan la Mira ada calon lain?"
"Apa semua ni maksu? Otak Mira tak boleh terima semua kejutan ni dalam satu masa! Mira nak naik rehat dulu, nantilah kita bincang." Lantas Namira bangun dari duduknya. Tak tahan lagi rasanya dia untuk terus duduk di situ mendengar kata-kata Maksu Salina. Takut ada pula barang-barang yang melayang jadinya nanti. Sebelum dia mula bertindak kurang ajar tanpa sedar, lebih baik dia beredar saja dulu.
*
Keesokan paginya, Namira turun dari bilik dengan mata sebam. Terang lagi bersuluh, terlihat seperti orang tak cukup tidur.
"Mira, kenapa mata sebam tu? Mira tak cukup tidur ke?" Maksu Salina bertanya acah prihatin. Tak tahulah betul-betul risau atau sekadar acah saja.
"Ya. Mira tak boleh tidur semalam."
"Jadi Mira dah fikir pasal perjodohan tu?" Dah agak dah. Itu soalan yang akan ditanya.
"Mira tak boleh fikir lagilah sekarang ni maksu, Mira tengah serabut."
"Tapi Mira, kita dah tak ada masa banyak ni. Tempoh bayar balik..."
"Tempoh bayar balik hutang Ah Long maksu dah nak dekat? Jadi Mira yang kena jadi kambing hitam maksu, macam tu?" Suara Namira mula meninggi. Ternyata berehat satu malam masih tak mampu menenangkan hatinya.
"Bukan macam tu Mira..." Maksu Salina cuba mencari alasan.
"Habis tu macam mana, kalau bukan macam tu?"
"Kalau dia orang datang serang restoran ni macam mana?" tutur Maksu Salina dengan kening berkerut.
"Maksu, tu semua sebenarnya masalah yang maksu cari sendiri tau. Tapi sekarang maksu dah serabutkan hidup Mira, maksu tahu tak?" Namira meluahkan saja amarah yang terpendam. Tak mampu sudah lagi rasanya cuba bertolak ansur dengan sikap pentingkan diri Maksu Salina.
"Yalah, memang maksu ni tahu serabutkan hidup Mira je. Maksu tak pernah jaga Mira, jaga restoran amanah ayah Mira." Bukannya rasa bersalah, Maksu Salina malah mula mengungkit 'jasa'nya terhadap Namira.
'Dah agak dah, kalau cakap dengan maksu ni memang aku takkan menang pun. Sudahlah Mira!' Akhirnya Namira juga yang penat sendiri setelah meluahkan apa yang terpendam di hati.
"Okey, maksu. Maksu bagi Mira masa berfikir dulu okey?" Tahu dirinya tak akan menang, Namira mengalah saja akhirnya.
*
Malam itu, sekali lagi matanya sukar dilelapkan. Masih saja terngiang-ngiang di ruang fikiran segala kata-kata maksu. Setelah satu, satu masalah yang menimpa dirinya. Baru saja dikhianati teman lelaki untuk yang kesekian kalinya, sekarang dikhianati pula ahli keluarga sendiri. Siapa pula selepas ini? Adakah satu dunia akan mengkhianatinya? Siapa lagikah yang tersisa untuk dirinya menyandar rasa percaya?
Jam dinding dikerling. Pukul dua pagi. Matanya masih segar seperti baru dua petang. Kaki diatur berjalan menghampiri almari. Kardigan hitam ditarik keluar dan disarung pada t-shirt yang dipakainya.
Jalan raya di sekitar kawasan perumahan sunyi. Mana taknya, sudah pukul dua pagi. Entah keberanian daripada mana yang ditiup pada Namira sehingga dia sebegitu beraninya berjalan seorang diri malam-malam buta begitu. Sudah dikira pagi pun sebenarnya.
Namira terus melangkah tanpa hala tuju, khayal dibawa arus fikirannya. Tak sedar sebuah motosikal sedang bergerak menghampirinya yang berjalan sudah agak ke tengah jalan raya.
"Hoi, nak mati ke?!" jerit penunggang motosikal.
Namira tersentak. Mukanya diraup kasar.
"Kalau nak mati buat cara lain la weh! Jangan menyusahkan orang!" marah penunggang motosikal lagi.
*
"Kalau nak mati buat cara lain la weh! Jangan menyusahkan orang!"
"Go on with life or else, go die!"
Mati? Sudah beberapa kali dia mendengar perkataan itu. Entah kenapa kata-kata lelaki tadi asyik terngiang-ngiang di ruangan fikirannya. Kata-kata Azhar, kawan baik Shahrul ketika menghalaunya dari majlis perkahwinan Shahrul juga datang bersama.
Mati!
Ya, mati!
Bayangan kedua orang tuanya menerpa dinding fikiran. Hatinya berkecamuk rasa sedih dan pilu. Rindu yang teramat sangat pada kedua-dua penyeri hidupnya. Hanya rasa rindu yang Namira punya saat ini, bersama segala memori mereka berdua. Dulunya Namira seorang anak yang sangat manja, tiba-tiba saja dia harus berubah menjadi berdikari serta-merta apabila ayah dan ibunya pergi buat selama-lamanya dengan serentak. Maksu Salinalah yang Namira mampu percaya dan bersandar ketika itu. Tak sangka Maksu Salina hanya memanfaatkan dirinya.
"Ayah, mama... Mira rindu... Mira nak jumpa ayah, mama... Kenapa ayah dengan mama pergi tinggalkan Mira sorang-sorang kat sini? Mama dengan ayah kejam!" Tak sedari, air matanya mula jatuh bercucuran. Esakan mula kedengaran tanpa diundang. Namira sudah tidak kuat lagi dengan semua ini.
*
"Eh, Mira nak pergi mana tu?" tanya Maksu Salina, jelas terkejut dengan apa yang dilihatnya. Namira berjalan menghampiri pintu bersama dengan bagasi.
"Mira nak pergi trip cruise untuk tenangkan fikiran. Lepas tu Mira akan bagi maksu jawapan."
"Tapi Mira..." Maksu Salina cuba menghalang.
"Maksu, please! Tolong hormat keputusan Mira kali ni." Tegas. Namira tak ingin dihalang kali ini.
"Berapa hari Mira pergi?" Maksu Salina terpaksa akur juga.
"Tak tahu lagi." Jawapan Namira datar. Ekspresi yang ditayang juga tegang.
"Okeylah kalau macam tu. Tapi jangan lama-lama sangat tau."
Tanpa memberi respons untuk permintaan maksunya, Namira terus saja bergerak meneruskan langkah kaki. Tak sekalipun dia berhenti untuk menoleh pada maksunya.
*
"Cruise... Ya, tempat nilah yang terbaik." Namira memandang cruise yang bakal dinaikinya itu dari jauh.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top