BAB 9
KAKI Dayang terundur ke belakang. Terketar-ketar tubuhnya melihat wajah Raf yang bengis.
"Aku tanya. Kau buat apa dengan beg aku?"
"Saya... saya..." Tergagap-gagap Dayang.
"Kejap. Kau kawan budak tak betul tu kan?" Mata Raf mengecil sedikit.
Dayang pandang ke arah lain. Dia tak nak rakan-rakannya dipersalahkan juga.
"Dia ke yang suruh kau buat kerja bodoh ni?" Jerkah Raf.
Terpejam rapat kedua mata Dayang. Habislah dia kali ni. Macam mana dia nak lepaskan diri?
"Saya... saya yang buat. Tak ada sesiapa yang suruh."
"Kau dah kena tangkap dengan aku, masih nak menipu." Kolar baju gadis itu dilepas kasar. Ikutkan hati, dekat sini juga dia kenakan gadis itu. Tapi dia bukan lelaki dayus yang diajar untuk memukul perempuan.
Laju Dayang gelengkan kepala.
"Saya tak tipu. Saya... saya yang rancang untuk kenakan awak." Terpaksalah Dayang berbohong. Nanti tak pasal-pasal, Tasnim marahkan dia.
"Atas alasan apa kau nak kenakan aku? Setahu aku, aku tak pernah ada masalah dengan kau. Kita kenal pun tidak."
"Sebab... sebab..."
"Sebab apa?!"
"Sebab saya suka awak!"
Raf tergamam. Wajah Dayang dah bertukar merah. Boleh pula dia bagi alasan yang paling tak masuk akal itu.
Beberapa saat kemudian, Raf tersenyum senget. Dia tak bodoh. Dia tahu semua ini kerja perempuan berlagak bagus itu. Tubuh Dayang ditolak ke dinding.
Menyeringai wajah Dayang menahan rasa perit di belakang tubuhnya.
"Kau suka aku tapi buat kerja bodoh ni." Raf mendekati gadis itu.
Dayang serba tak kena. Wajahnya hanya menunduk di atas lantai. Tak berani nak pandang muka Raf.
"Kesalahan yang kau buat ni boleh dianggap jenayah. Aku boleh heret kau masuk dalam penjara istana."
"Ha? Jenayah!" Spontan wajah Dayang mendongak ke atas.
Ketika itu Dayang tak sedar wajah Raf sedang menunduk disebabkan dia lebih rendah berbanding lelaki itu. Keduanya saling berpandangan.
Lama.
Sedar yang kedudukan mereka terlalu rapat, Raf jauhkan diri dari gadis itu. Dia berdeham menghilangkan rasa janggal.
"Ikut aku jumpa pengetua." Raf pandang ke arah lain.
"Tolong jangan beritahu pengetua. Saya... saya cuma nak bergurau. Ha, betul. Nak bergurau dengan awak." Tersengih-sengih Dayang.
Raf tergelak kecil.
"Tadi kau cakap suka aku. Sekarang nak bergurau pula. Lepas ni apa? Nak ajak aku kahwin."
Merah muka Dayang. Tahu sangat lelaki ini cuba menyindirnya.
"Saya minta maaf. Tolong jangan bawa saya jumpa pengetua."
"Patutnya kau fikir banyak kali sebelum nak buat kerja bodoh ni."
"Yalah. Saya mengaku saya bodoh."
Raf capai beg sekolahnya. Berdecit lidahnya setelah melihat keadaan beg sudah kotor.
"Habis kotor beg aku."
"Saya bersihkan."
"Tak payah!"
Dayang mencebik.
"Orang nak tolong pun tak bagi. Sombong."
Panas telinga Raf mendengar bebelan gadis itu. Dah buat salah tapi berani nak mengata dia.
"Aku boleh lepaskan kau tapi..."
"Tapi apa?" Laju Dayang menyoal.
Raf berjalan mendekati Dayang. Dayang masih berdiri tegak di hadapan lelaki itu. Belum sempat Raf berikan jawapan, dari jauh dia sudah ternampak kelibat Tasnim. Dia dah agak. Perempuan di hadapannya sekarang memang orang suruhan Tasnim. Timbul idea nakal nak mengenakan gadis ini.
Raf semakin bergerak ke arah Dayang. Selangkah juga Dayang berundur ke belakang sehingga tubuhnya bersandar di dinding. Tertelan air liur Dayang apabila tubuhnya terperangkap di antara dua lengan Raf.
"Awak... awak nak buat apa?"
"Kau cakap suka aku. Kenapa kau nak malu dengan aku?"
Dayang cemas. Tak akanlah lelaki ini boleh percaya dengan kata-katanya tadi.
"Awak... jangan dekat."
"Kalau aku tak nak?" Raf dekatkan wajah mereka. Wajah mereka berdua hanya berjarak beberapa inci saja.
Kali ini giliran Dayang yang terpegun.
"Wooii!"
Serentak keduanya berpaling.
"Nim!"
Dayang tolak tubuh Raf. Baru beberapa langkah dia berlari ke arah Tasnim, tangannya ditarik kuat oleh Raf sehingga wajahnya tersembam ke dada bidang Raf.
Raf pusingkan tubuh Dayang dan memaksa gadis itu berdiri di hadapannya. Selamba dia memeluk leher gadis itu. Keras kejung tubuh Dayang.
"Lepaskan dia." Arah Tasnim. Patutlah lama sangat Dayang di sini. Tak sangka perbuatan mereka terbongkar.
"Kau yang suruh budak ni buang beg aku kan?"
"Kau ada bukti ke aku yang suruh?" Tasnim tenang menjawab.
"Tak payah nak berlakon. Budak ni memang hamba kau."
Hati Dayang sakit mendengar perkataan hamba dari mulut Raf. Nak menafikan, memang dia hamba di mata Tasnim.
"Dia memang hamba akulah. Kalau dia buat kesalahan, itu dia yang pilih."
Sakit pula hati Raf. Dalam keadaan begini, Tasnim masih enggan mengaku salah.
"Baik. Aku akan bawa hamba kesayangan kau ni jumpa pengetua."
Tasnim dah tak senang duduk. Dia yakin Dayang tak akan dedahkan nama dia kepada pengetua. Tapi tak mustahil ibu bapa Dayang akan menyiasat hal ini.
"Tapi sebelum tu, aku rasa nak berhibur dulu dengan budak ni. Dia pun mengaku sukakan aku tadi."
Bulat mata Dayang. Raf bertindak berani dengan mengelus pipi Dayang. Dia nak tengok sejauh mana Tasnim nak berbohong.
"Aku cakap lepaskan dia. Jangan kau nak menggatal!"
"Kalau aku tak nak?" Kali ini Raf menarik pinggang Dayang rapat ke tubuhnya. Dagunya disangkut ke bahu Dayang.
Hampir tercekik Dayang gara-gara lehernya dijerut dengan lengan Raf. Terbatuk-batuk Dayang cuba melepaskan lengan itu. Raf acah-acah dekatkan bibirnya ke wajah Dayang.
Turun naik nafas Tasnim. Dek terlalu marah, dia terus meluru ke arah Raf. Tangan lelaki itu ditarik dan tubuhnya membelakangi Raf. Sekali rentap saja, tubuh Raf terhumban ke hadapan.
Raf yang tak bersedia tercampak di atas lantai. Berkerut dahinya menahan rasa sakit di belakang tubuhnya.
"Aku dah cakap. Kau sentuh dia, memang sakit kau dapat."
Raf bangun dengan wajah yang tegang. Hatinya panas. Ikutkan hati, boleh saja dia membalas tapi dia tak nak memalukan diri sendiri dengan memukul perempuan.
Dia berjalan mendekati kedua gadis itu. Beg sekolahnya diambil. Tajam dia merenung wajah Dayang.
"Sekali lagi kau buat kerja bodoh ni, aku tak akan bagi muka. Ingat tu." Amaran itu ditujukan kepada Dayang.
Tertelan air liur Dayang. Dia langsung tak berani nak membalas renungan lelaki itu. Sebaik saja lelaki itu beredar, kedua lutut Dayang jatuh ke lantai. Tangisan yang ditahan sejak dari tadi, akhirnya terlepas juga.
Tasnim hembus nafas kasar. Dia duduk mencangkung di hadapan Dayang.
"Tak payah menangislah. Kau dahlah buruk. Makin buruk muka kau tu sekarang." Sapu tangan dikeluarkan dari poket baju seragamnya. Selamba dia mengesat muka Dayang dengan kasar.
"Aku takut. Dia... dia tu menyeramkan."
Teringat ugutan Raf tadi. Sangat mengerikan. Tak dapat dia bayangkan apa yang bakal berlaku jika Tasnim tak muncul.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top