BAB 8
SUDAH masuk minggu kedua dia bersekolah di sini. Hari ini, baru pertama kali dia melakukan aktiviti di luar kelas.
Raf hembus nafas kasar. Dia fikir aktiviti ini hanya perlu dia pelajari di istana. Tak sangka di sekolah dia perlu belajar memanah juga.
"Puteri Tasnim."
"Ya, saya."
Raf pandang ke arah gadis berlagak itu. Tasnim berjalan membawa busur bersamanya ke tengah padang. Tingkah laku gadis itu hanya diperhatikan dari jauh.
"Hari ni kita akan mulakan latihan memanah. Tasnim akan tunjukkan cara yang betul untuk memanah."
Suara guru mereka bergema di padang.
"Awak mulakan dulu." Arah Cikgu Maryam.
Tasnim tayang senyuman bangga. Dia mula memastikan kedudukan anak panahnya adalah tepat. Setelah yakin, dia lepaskan anak panah itu ke papan sasaran.
Zap!
Sasaran tepat mengena di bahagian tengah bulatan. Suara sorakan dan tepukan bergema di padang. Raf tergamam.
Zap!
Sekali lagi anak panah Tasnim tepat di sasaran tengah.
"Hebatnya..." Tak sedar ayat itu meniti di bibir Raf.
"Dia memang hebat. Boleh dikatakan semua sukan di sekolah, dia boleh dapat mata yang tinggi. Lelaki pun tak mampu lawan dia."
Terkejut Raf apabila ditegur seseorang. Dia toleh ke sebelah.
"Aku Jack." Tangan dihulurkan kepada Raf.
Raf sambut huluran itu.
"Aku baru balik dari bercuti. Tak sangka ada kawan baru."
Raf tersenyum. Patutlah sebelum ini mereka tak pernah berjumpa.
"Memang wajib ke kita belajar permainan bodoh ni?"
Tergelak Jack.
"Perkara ni wajib untuk asas kemahiran bersenjata. Kalau masa berperang, dah tentu kita perlukan alat ini untuk pertahankan diri."
Raf tarik nafas berat. Dia tak pernah ambil tahu perkara yang berkaitan tentang peperangan. Selama ini aman aje negara mereka.
"Raja Raffi."
Tegak kepala Raf saat namanya disebut.
"Giliran awak. Cikgu nak awak cuba."
Gulp!
Habislah...
Dia manalah pandai bermain.
"Cepat."
Raf akur. Lambat-lambat dia berjalan di tengah padang. Cikgu Maryam berdiri di sebelah.
"Awak tahu memanah?"
"Tak, cikgu." Kali ni memang dia tak menipu. Tak pernah-pernah dia menyentuh alatan memanah.
"Dengar arahan saya. Pastikan di bahagian tengah busur, selaras dengan bahu awak. Gunakan kekuatan tiga jari tengah untuk menarik tali busur. Semasa awak laraskan, jangan bergerak. Pastikan anak panah berada di antara jari telunjuk dan tengah. Dan setiap kali awak lepaskan panah, pastikan kedudukan awak masih sama."
Panjang lebar wanita itu cuba memberi tunjuk ajar. Namun semua itu perkara itu tak masuk ke otak Raf. Memanah adalah sukan yang paling dia benci.
Busur diangkat. Dia cuba lakukan perkara yang diarah oleh Cikgu Maryam. Setelah dia yakin, barulah dia lepaskan anak panah itu ke papan sasaran.
Zap!
Anak panah melantun ke tanah. Paling memalukan, anak panah itu hanya jatuh tidak jauh dari Raf.
Bergema gelak ketawa Tasnim dan rakan-rakannya. Panas hati Raf. Sekali lagi Raf mencuba. Kali ini lagi teruk. Anak panah terpelanting ke arah kiri. Mujurlah tiada sesiapa di sana.
Cikgu Maryam menggeleng sambil mengambil alatan itu dari tangan Raf.
"Awak kena banyak berlatih. Seminggu ni, saya akan buat latihan asas bersama awak."
"Baik, cikgu."
Raf keluar dari padang. Bukan dia tak dengar ada suara mengejek gara-gara dia tak pandai memanah.
Tasnim masih ketawa terbahak-bahak. Memang puas hati dia dapat mengenakan Raf.
"Nim..."
Mati ketawa Tasnim. Dia toleh ke sebelah.
"Aku dah tahu almari budak tu." Tersengih-sengih Dayang. Kebetulan dia ternampak lelaki itu menyimpan barang di almari pagi tadi. Jadi dapatlah dia tahu di mana lokasi barang Raf.
"Bagus. Kejap lagi kita geladah almari dia."
"Kau nak cari apa?" Soal Uqasha.
"Apa-apa ajelah. Tahulah aku kenakan dia nanti."
Tasnim pandang ke arah Raf. Lelaki itu kelihatan rancak berbual bersama Jack. Siap ketawa lagi. Hati Tasnim bertambah panas melihat senyuman lelaki di sebelah Raf.
"Ketawalah. Nanti aku nak tengok, sampai bila kau nak ketawa?"
Uqasha, Janice dan Dayang saling berpandangan. Tak tahu sekarang Tasnim marahkan siapa? Dengan Tasnim jangan dibuat main. Kalau dia dah marah, memang dia akan kenakan orang itu sehingga hatinya puas.
SETELAH 15 minit mereka mencuba, akhirnya mereka berjaya membuka almari Raf. Berpeluh dahi Dayang. Almari itu segera dibuka.
"Ini beg dia." Dayang keluarkan beg Raf.
Laju Tasnim merampas beg itu. Beg itu dibuka rakus. Selamba dia jatuhkan kesemua barang-barang Raf di atas lantai.
"Ini aje barang dia." Tasnim rasa nak tergelak. Tak ada barang berharga yang dia nampak. Semuanya barang biasa.
"Bosannya dia ni. Buku aje ada." Tambah Janice.
Dayang tunduk. Dia capai buku yang kelihatan menarik di matanya.
"Buku ni nampak unik," kata Dayang.
"Tak ada maknanya. Aku nampak biasa aje. Semua barang-barang ni kau campak dalam tong sampah tu."
Terpinga-pinga Dayang menerima arahan itu.
"Aku ke?" Soal Dayang inginkan kepastian.
"Yalah. Cepat sikit. Aku tunggu kau dekat pagar." Tasnim bagi isyarat mata kepada Uqasha dan Janice untuk mengikutnya.
Hilang kelibat ketiga gadis itu, Dayang bertambah cuak. Tak pernah lagi dia buat kerja seperti ini.
Cepat-cepat Dayang mengutip barang-barang Raf dan disumbat ke dalam beg. Perutnya dah berbunyi. Cepat dia buat kerja, cepatlah dia makan.
Beg itu dibawa ke tong sampah. Penutup tong sampah dibuka terlebih dahulu.
"Sayangnya nak buang beg ni." Serba salah Dayang.
"Buat apa tu?"
"Buang beg. Tadi kau kan yang suruh..."
Eh, kejap...
Kenapa suara Tasnim berubah garau?
Perlahan-lahan dia berpaling ke belakang. Bulat mata Dayang. Beg di tangannya terlepas ke lantai.
Raf pandang beg sekolahnya di atas lantai. Rahangnya terketap-ketap menahan marah.
"Apa yang kau buat ni?" Jerkah Raf.
Dek terlalu marah, kolar baju Dayang dicekak sehingga wajah gadis itu terdongak ke atas.
Menggeletar tubuh Dayang. Dia rasa nak menangis. Suaranya tersekat gara-gara terlalu takut.
Janganlah Raf apa-apakan dia di sini.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top