BAB 4


TASNIM campak beg sekolahnya di atas lantai. Kedua tangannya digenggam kuat. Janice dan Uqasha sekadar memerhati.

"Tak guna!"

Sekuat hati Tasnim menjerit. Cepat-cepat Dayang dapatkan Tasnim.

"Nim... jangan jerit. Nanti..."

"Kau diam. Ambil beg aku tu."

Tertelan air liur Dayang. Dia tunduk mengutip beg sekolah Tasnim. Disapunya beg itu agar tiada kesan kotoran. Sudahlah beg ni harga mencecah ribuan ringgit.

"Aku paling pantang orang cabar aku. Kau tunggu nasib kau. Baru pindah sini, dah berlagak."

"Siapa?" Dayang menyoal.

Uqasha bagi isyarat mata agar Dayang tak menyoal. Namun dah terlambat apabila Tasnim beri renungan tajam ke arah gadis itu.

"Err... maaf." Dayang serba salah.

Habis kelas tadi, tiba-tiba Tasnim mengamuk. Nak kata ada lelaki yang mengganggu Tasnim, macam tak ada.

Janice bisikkan sesuatu kepada Dayang. Kata Janice, Tasnim tak puas hati dengan pelajar baru di kelas mereka.

"Berani dia cakap aku bodoh. Yang bodoh tu kau!" Kepala Dayang ditunjal geram.

Terundur ke belakang tubuh Dayang. Orang lain yang buat masalah, kepala dia yang jadi mangsa.

"Aku akan pastikan lelaki tu melutut di hadapan aku. Kau orang semua jadi saksi."

Laju keduanya mengangguk. Hanya Dayang masih tak faham situasi yang berlaku. Semuanya gara-gara dia keluar ke tandas semasa Tasnim bersemuka dengan Raf.

"Dia bukan sebarangan orang. Tak payahlah usik dia." Uqasha jadi tak sedap hati.

"Aku peduli apa. Kau ingat, nak masuk sekolah diraja ni, semudah ABC ke? Lainlah macam..." Tasnim menoleh ke arah Dayang. Senyuman sinis terukir di bibirnya.

Dayang yang ralit menyapu kesan kotoran di beg sekolah Tasnim, masih belum sedar gadis itu sedang menyindirnya. Uqasha dan Janice saling berpandangan. Faham sangat perkara yang dimaksudkan oleh Tasnim.

"Aku ada idea. Memang kali ni aku nak kenakan dia cukup-cukup."

Ketiga mereka hanya memasang telinga.

"Pertama, cari almari buku dia."

"Almari siapa?" Dayang menyoal.

"Raja Raffi." Tasnim menjeling geram. Dari tadi mereka bercakap pasal Raf. Tapi gadis ini masih tak faham.

"Mana kita nak tahu almari dia dekat mana?" Dayang garu kepala yang tidak gatal.

"Bodoh tu jangan tunjuk sangat. Kau suruhlah bebudak tu carikan. Nanti aku bayar."

"Tapi..."

Tak sempat Dayang mencelah, Tasnim beri jelingan tajam.

"Ikut aje cakap aku. Yang penting, kau jangan beritahu sesiapa. Terutamanya bonda dan ayahanda aku."

Jatuh kedua bahu Dayang. Bila dia dah diberi amaran, jangan harap dia dapat membantah.

Raf...

Anak raja mana pula yang masuk ke sini?

Atau sama seperti dia. Hanya sekadar anak pengawal diraja.


DAYANG berjalan di kawasan belakang sekolah. Tiba-tiba dia rasa nak bersendirian di sana. Rakan-rakannya sudah lama pulang. Hanya dia yang terpaksa menyiapkan denda yang diberi oleh guru kelas mereka.

Mata Dayang terpaku. Agak lama dia tak berjalan di belakang bangunan ini. Tak sangka sudah ada kebun bunga. Cantik.

Dayang terus berlari anak di kawasan itu. Senyuman lebar terukir di bibirnya. Nampak bunga mawar merah yang mekar, laju tangannya memetik bunga itu.

"Wanginya."

Kagum Dayang. Melihat keadaan di sekeliling kawasan ini, pasti orang yang menjaganya sangat teliti.

Belum sempat Dayang memetik sekumtum lagi, tiba-tiba telinganya ditarik seseorang. Menjerit Dayang sambil cuba lepaskan diri.

"Sakit!"
Laju Dayang menggosok cuping telinganya. Sebaik saja dia menoleh ke sebelah, kakinya terundur ke belakang. Terkejut dia melihat wanita yang agak berusia sedang merenug wajahnya dengan tatapan tajam.

"Siapa benarkan kau petik bunga tu?"

Tertelan air liur Dayang. Bunga di tangannya dipandang seketika. Baru dia sedar perbuatannya adalah salah.

"Err... saya... saya... suka bunga."

"Ini hak milik sekolah. Aku boleh beritahu pengetua kau dah rosakkan taman ni."

Jatuh rahang Dayang. Tak akan sampai begitu sekali.

"Tapi saya ambil sekuntum aje. Tak rosaklah bunga ni."

Pap!

Kali ini dahinya pula yang dijentik. Dayang jauhkan diri dari wanita itu. Risau tubuhnya akan disakakiti sekali lagi.

"Cara kau petik bunga tadi tu boleh rosakkan pokok ni. Lain kali, jangan memandai nak ambil bunga dekat sini."

"Ambil satu aje pun nak berkira." Hampir tak terkeluar suara Dayang.

"Kau cakap apa?"

"Tak ada. Tak ada cakap apa-apa." Dayang berdeham perlahan.

Wanita tua itu menjeling ke arahnya dan terus menyambung kerjanya. Dayang memerhati gerak geri wanita itu.

Ini kali pertama mereka bertemu. Tak pernah pula dia nampak wanita itu di sekolah sebelum ini.

"Mak cik baru kerja sini ke?"

"Kau panggil aku apa?"

"Err... mak cik." Salah ke dia panggil? Nak kata muda, nampak lagi tua darinya.

"Aku ni nampak tua sangat ke?"

Dayang angguk. Buat apa dia nak menipu. Memang jelas wanita itu nampak lebih berusia darinya.

Tiba-tiba wanita itu ketawa kecil. Pelik pula Dayang. Tadi bukan main lagi garang.

"Nama aku Suri."

"Ooo... Acik Suri."

Suri hembus nafas kasar.

"Suka hati kaulah nak panggil aku apa. Sekurang-kurangnya kau tak panggil aku mak cik."

Suri menabur baja di atas tanah. Sesekali Dayang cuba mengintai wajah wanita itu yang ditutup dengan topi besar. Dia perasan di wajah itu ada parut yang agak panjang.

"Kenapa tak balik lagi?"

"Saya baru habis kelas denda. Nak balik, cuaca panas. Kejap lagilah saya balik."

"Selalu ke kau kena denda?" soal wanita itu sambil menarik getah paip ke kawasan kebun bunga.

"Ehmmm... selalu juga." Tersengih-sengih Dayang. Boleh dikatakan, dialah yang paling kerap didenda gara-gara gagal dalam peperiksaan.

Itu belum lagi tugasan kelas. Selalu juga dia tak dapat siapkan kerana tidak faham dengan mata pelajaran di sini.

"Jadi aku boleh agak kau ni bodohlah ya."

Bulat mata Dayang. Sentap juga dia dengar.

"Saya bukan bodoh. Tak faham aje dengan apa yang mereka ajar."

"Sama ajelah. Kalau dah tak reti, berhenti ajelah. Buat apa nak paksa diri?"

Mudah betul wanita itu bercakap. Kalau diberi pilihan, memang Dayang tak ingin susahkan diri ke sekolah.

"Saya dipaksa."

Suri tergelak sinis.

"Umur dah 18 tahun, masih tak boleh buat keputusan sendiri. Lemah."

Bengang pula Dayang. Nak marah, dia perlu sabar. Tak akanlah dia nak bergaduh dengan orang yang lebih tua.

"Saya hormat keputusan umi dan walid saya. Mereka dah bersusah payah besarkan saya. Tak akanlah saya nak bantah kehendak mereka. Walid saya hanya pengawal istana. Saya nak jaga maruah walid. Dah cukup baik Raja Taha benarkan saya bersekolah di sini."

Suri tegakkan kepala. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah gadis itu. Lama wajah Dayang dipandang.

"Kau bukan keturunan raja ke?" Jelas dahi wanita itu sedikit berkedut. Boleh jadi dia hairan dengan latar belakang Dayang.

"Tak. Walid saya guru di istana. Dia ajar memanah, seni pertahankan diri dan berkuda. Walid cakap, walaupun dah banyak perkara yang baru, di istana masih menitik beratkan lagi perkara lama."

Tak berkelip mata Suri.

"Eh, lama pula kita berbual. Saya kena balik dulu."

Dayang berlari anak. Tak sedar dia dah terlalu lama berbual di situ. Tiba-tiba langkahnya terhenti. Dia menoleh ke belakang.

"Nama saya Dayang. Acik Suri jangan lupa nama saya tau."

Dayang terus berlari tanpa menoleh ke belakang. Suri masih berdiri tegak di siti. Topi di kepalanya ditanggalkan. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan perlahan-laham.

"Dayang..."

Suri tersenyum kecil. Tak sangka di sekolah ini, ada pelajar dari kalangan rakyat biasa.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top