Bab 1
SAYUR yang baru dipetik dari kebun ayah, diserahkan kepada peraih. Berpeluh wajahnya gara-gara berjalan kaki ke sini.
"Biasanya ayah kamu yang hantar. Dia tak sihat ke?"
"Sihat. Hari ni saya nak dia rehat. Kebetulan hari ni, hari lahir saya."
"Berapa umur kamu?"
"18 tahun." Tersengih-sengih anak muda itu.
Orang tua itu mengangguk faham.
"Banyak juga kamu bawa sayur hari ni."
"Tak adalah banyak sangat. Ini pun, ada lagi yang saya tak sempat petik."
Lelaki itu menimbang sayur tadi di atas dacing. Dapat saja bacaan yang tepat, orang tua itu mengira jumlah wang yang perlu diserahkan kepada pemuda itu.
"Nah, ini untuk sayur kamu."
Lebar senyuman lelaki itu. Boleh tahan banyak juga wang yang dia dapat hari ini.
"Saya balik dulu."
"Tunggu. Nama kamu apa?"
"Raffi. Panggil saya Raf aje."
Raf terus berjalan sambil mengira wang di tangan. Sesekali dia mengesat peluh di dahinya. Dengan duit ini, dapatlah dia beli seekor ayam untuk juadah makan malam mereka.
Setelah membeli bahan mentah, Raf berjalan laju pulang ke rumah. Kebiasaannya ibu dan ayah suka mengadakan majlis kecil untuknya. Hanya dengan makan malam bersama, sudah cukup menggembirakan Raf.
Langkah Raf terhenti sebaik saja dia berdiri tidak jauh dari rumahnya. Dia nampak ada beberapa orang di luar rumah. Dari gaya pakaian tetamu itu, Raf dapat agak mereka bukan orang sebarangan.
"Siapa pula yang datang tu?"
Berdebar jantung Raf. Risau juga ahli keluarganya ada buat kesalahan. Sebaik saja dia berdiri di hadapan pintu rumah, beberapa orang di situ tiba-tiba memberi tunduk hormat ke arahnya.
Berkerut dahi Raf. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan. Tanpa mengendahkan tetamu itu, Raf pantas berjalan masuk ke rumah.
"Ayah!"
Raf terus meluru ke arah Zulfan. Wajah ibu di sebelah ayah dipandang silih berganti.
"Siapa mereka ni?" Bisik Raf.
Zulfan tarik tangan anaknya. Dia kemudian menyuruh anaknya duduk di kerusi.
"Ini... pengawal istana."
Terbeliak biji mata Raf.
"Kenapa mereka datang ke sini?"
Zulfan serba salah nak menjawab. Manakala Daria di sebelah, sudah mula menangis tersedu sedan.
"Ibu... kenapa ni?" Cemas Raf. Manalah tahu keluarga mereka ada melakukan kesalahan besar dan bakal dihukum.
"Saya Yousof. Ditugaskan untuk membawa tuan muda ke istana."
Tercengang Raf.
"Tolong bagi saya masa sehari untuk bersama anak saya. Hanya sehari aje." Zulfan tiba-tiba melutut.
Raf cepat-cepat menyuruh ayahnya bangun.
"Bangun, ayah."
Zulfan tepis tangan si anak.
"Saya janji akan pulangkan dia esok. Tolong." Bergetar nada suara orang tua itu.
Yousof memandang rakan-rakannya. Dia kemudian berbincang sesuatu dengan rakannya. Melihat anggukan salah seorang dari mereka, barulah Yousuf menggesa Zulfan berdiri.
"Baik. Kami akan datang dalam masa seminggu lagi."
Wajah Zulfan jelas kelihatan lega. Terpinga-pinga Raf mendengar perbualan ayah bersama mereka. Hilang kelibat tetamu itu, Raf pantas mendekati ibunya.
"Ibu... apa sebenarnya berlaku? Ayah nak pulangkan apa?" Bertubi-tubi soalan diberikan. Sungguh dia keliru dengan apa yang berlaku tadi.
Daria menyentuh kedua pipi anaknya. Sungguh dia berat hati untuk berpisah dengan si anak. Namun dia tiada kuasa untuk ingkar arahan Raja.
"Ibu minta maaf. Ada perkara penting ibu dan ayah perlu beritahu. Dah sampai masanya Raf tahu siapa diri Raf yang sebenarnya."
Tak sedap hati Raf. Jantungnya semakin berdebar.
"Raf..." Zulfan tepuk bahu si anak.
Raf angkat kepalanya ke atas. Wajah ayah yang nampak suram, meresahkan dia.
"Nama sebenar Raf... Raja Raffi."
Raf tergamam. Lantas dia berdiri tegak di hadapan ayah.
"Dan Raf... bukan anak kami."
Raf hampir pitam mendengar kenyataan ini. Selama 18 tahun dia hidup di sini, baru hari ini dia diberitahu tentang asal usulnya.
RAF kelu seketika. Dia masih terkejut dengan permintaan kedua ibu bapa angkatnya. Lagi seminggu dia perlu pulang ke istana. Kononnya sudah tiba masanya dia pulang ke sana.
"Kenapa sekarang?"
"Umur Raf dah 18 tahun. Memang itu perjanjian ayah dengan ibu bapa kandung Raf." Daria terpaksa juga menceritakan hal sebenar.
Raf pandang ke arah ibu. Wanita yang sudah menjadi ibu susuannya sejak dia berusia tiga hari. Semua itu telah diceritakan oleh ibu dan ayah kepadanya. Tak ada satu pun yang tertinggal.
"Ibu..." Raf melutut di hadapan Daria.
"Raf tak nak ke sana." Kepalanya jatuh ke riba Daria. Mustahil untuk dia tinggalkan ibu dan ayah.
Selama 18 tahun, dia hidup susah di sini. Tiba-tiba saja dia diberitahu dirinya berdarah raja. Agak tak masuk akal bila difikirkan.
"Ibu pun tak nak Raf ke sana tapi... ibu tak ada kuasa." Daria masih menangis. Rambut Raf diusap lembut.
Berkaca mata Raf. Kepalanya diangkat dan mencari wajah si ayah.
"Ayah... tolong Raf. Raf nak tinggal di sini. Raf sanggup hidup susah asalkan ada ibu dan ayah."
"Tak boleh. Raf bukan hak kami. Kami perlu pulangkan Raf bila tiba masanya."
Bengang Raf. Kenapa dia rasakan kedua ibu bapa kandungnya terlalu kejam? Sejak kecil dia dicampak ke sini. Bila dia dah besar, semudah abc dia diarah pulang.
"Baliklah ke sana. Raf satu-satunya pewaris Raja Arshad di Negara Andanika. Kali ini Raf perlu jalankan tanggungjawab sebagai bakal pengganti raja di negara mereka."
Laju Raf menggeleng.
"Raf lebih suka jadi rakyat biasa. Boleh berkawan tanpa ada jurang. Kalau Raf ke sana, dah tentu kehidupan Raf dikawal. Raf tak nak semua tu."
Raf terus berdiri tegak. Dia tak sanggup nak tinggalkan kawan-kawan di sini.
"Tolonglah Raf, ayah. Raf nak tinggal di sini. Dengan ibu dan ayah." Sekali lagi Raf merayu dengan meraih tangan Zulfan.
Dia tak malu menangis di hadapan ibu dan ayahnya. Sungguh dia tak sanggup berpisah dengan kedua orang tuanya.
"Dengarlah nasihat ayah. Kami pun berat hati nak lepaskan Raf. Tapi kami tak boleh pentingkan diri sendiri. Kami dah cukup bersyukur diberi peluang membesarkan Raf."
Sebak dada Zulfan. Orang yang paling sedih, sudah tentu isterinya. Mereka berdua menjaga Raf dengan penuh kasih sayang. Ada hikmah mereka tidak dikurniakan rezeki anak sendiri. Mereka reda. Kehadiran Raf di dalam hidup mereka dulu, satu perkara yang berharga.
"Jangan risau. Ratu Harleen dah setuju untuk benarkan kami melawat Raf di istana. Nanti kalau ada masa lapang, ayah dan ibu ke sana." Pujuk Daria.
Raf terduduk lemah di kerusi. Rambutnya diramas kuat. Jika diberi pilihan, dia tak nak dilahirkan dari keturunan diraja.
"Raf jaga diri baik-baik di istana. Jangan malukan kami. Banggakan ibu dan ayah ya." Bergetar nada suara Zulfan.
Raf pantas memeluk tubuh si ayah. Gugur juga air mata lelakinya di hadapan lelaki itu. Hanya tinggal beberapa hari lagi dia di sini. Selepas ini, dia perlu berhadapan dengan dunia baru. Sebagai...
Raja Raffi.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top