My Crush Shah - Bab 11

SURAT khabar segmen Hiburan itu dicapai. Wajah adiknya yang terpampang pada muka hadapan itu ditatap lama. Tumpuannya beralih pula pada wajah pelakon lelaki yang bergandingan bersama Yusra. Segak. Sesuai berganding dengan adiknya.

Dia tahu Yusra kini sudah mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan pula. Dia sendiri tidak menyangka Yusra mempunyai bakat untuk berlakon. Namun dia yakin, Yusra pasti mampu melakukannya. Yusra memang berbakat dalam bidang seni. Memang sudah tertulis Yusra akan berjaya dalam bidang seni, cuma abah yang tidak mahu terima hakikat itu.

Harris mendekati Sarah yang nampaknya sedang hanyut dalam lamunan sehinggakan kehadirannya tidak disedari langsung. Perlahan-lahan bahu isterinya disentuh. Dia hanya mampu mengulum senyum apabila Sarah jelas tersentak dengan kehadirannya.

"Jauh menung. Fikirkan apa?" tegur Harris sambil melabuhkan duduk di sebelah isterinya di sofa.

Muka hadapan surat khabar yang berada di riba sang isteri menarik perhatiannya. Nafasnya ditarik dalam-dalam. Dia tahu rindu Sarah terhadap Yusra tiada penghujungnya. Cuma Sarah sahaja yang masih berdegil untuk terus memendam rindu itu.

"Sampai bila nak macam ni? Kita jumpa dia ya?" Harris cuba memujuk Sarah buat kesekian kalinya walaupun dia tahu apa jawapan yang bakal diterimanya nanti.

Melihat gelengan Sarah membuatkan hatinya rasa sebu. Bagaimana lagi harus dia bercakap dengan Sarah agar isterinya itu benar-benar faham dengan niatnya? Sebagai suami, pastinya dia mahukan yang terbaik buat Sarah.

"Yaa dah bahagia dengan hidup dia yang sekarang. Saya tak nak kenangan dengan kami dulu buat dia rasa bersalah," ujar Sarah. Dia benar-benar berharap agar suaminya mengerti sebab dia mengambil keputusan untuk tidak bertemu dengan Yusra.

"Awak fikir terlalu jauh, Sarah. Ada kemungkinan dia masih nak berhubung dengan awak, cuma mungkin dia takut? Tak salah kalau awak yang mulakan langkah, kan?" Harris memujuk lagi.

Dia tahu Sarah bimbang seandainya keadaan akan memburuk sekiranya isterinya itu cuba menghubungi Yusra kembali. Namun baginya, isterinya itu terlalu banyak berfikir sehingga timbul fikiran yang bukan-bukan. Tidak salah sekiranya mencuba, kan?

"Ya, bang. Tapi bukan sekarang. Saya belum bersedia nak jumpa Yaa. Saya takut dia akan pergi lagi jauh lepas ni. Saya takut saya berada dalam golongan orang yang dia nak lupakan sampai dia mati!" tegas Sarah sambil melarikan wajahnya daripada pandangan suaminya.

Lambat-lambat air matanya luruh juga. Kenyataan terakhir itu membuatkan rasa takutnya semakin menghimpit jiwa. Itulah sebenarnya ketakutan terbesar yang sedang dia alami.

Harris beristighfar panjang mendengar kata-kata isterinya. Tidak sangka sebegini jauh isterinya berfikir. Benarlah, wanita kalau berfikir sehingga adakalanya tersasar jauh dari sempadan sebenar. Kepalanya digelengkan perlahan. 'Sarah... Sarah...'

Perlahan bahu Sarah dipaut agar isterinya lebih dekat dengannya. Air mata Sarah yang masih mengalir diseka lembut menggunakan ibu jari.

"Syhh... jangan menangis, sayang. Abang tak kahwin dengan Sarah untuk tengok air mata ni. Abang dah janji dengan diri abang untuk bahagiakan Sarah sebaik sahaja abang angkat Sarah sebagai isteri abang. Sarah pun tahu kan abang akan buat apa sahaja untuk kebahagiaan Sarah," pujuk Harris dengan lembut.

Sarah menyembamkan wajah ke dada suaminya. Air matanya semakin lebat. Kali ini bukan air mata sedih, tetapi air mata syukur. Syukur dengan suami terbaik kurniaan Allah kepadanya.

"Kita belum usaha lagi, takkan dah nak berputus asa? Kita cuba ya?" Harris cuba melembutkan hati Sarah agar tidak terus berdegil.

Lama Sarah diam. Akal dan hatinya cuba menimbang keputusan yang mahu diambil. Adakah peluang untuk dia merapatkan kembali jurang antara Yusra dengan keluarga? Kalau bukan dengan abah pun, setidak-tidaknya hubungan mereka sesama adik-beradik dapat dipulihkan.

6 tahun. Masa yang telah menjarakkan hubungan mereka adik-beradik selepas Yusra dihalau keluar dari rumah gara-gara amarah Haji Ebrahim dan kedegilan Yusra. Terlalu lama baginya dan dia tidak tahu sama ada dia mahu terus menunggu Yusra kembali dengan sendirinya ke pangkuan keluarga.

Sarah yang berada dalam pelukan Harris menjarakkan kedudukannya dengan suaminya. Dia mahu berbicara dengan selesa. Dia sudah buat keputusan.

"Okey, kita jumpa dia. Saya akan cuba hubungi pengurus dia. Nanti apa-apa, saya update abang," ujar Sarah dengan penuh semangat. Laju sahaja dia mencapai telefon pintarnya sebelum berlalu ke balkoni. Rasa berdebar-debar dalam hatinya membuatkan nafasnya tidak teratur. Moga-moga urusannya dipermudahkan.

Harris tersenyum sahaja melihat keterujaan isterinya. Ucapan syukur meniti di bibir. Alhamdulillah. Mahu juga Sarah dengar kata-katanya hari ini. Dia bingkas bangun dari tempat duduknya apabila menyedari jam sudah menginjak ke 1.30 petang. Mahu bersiap ke tempat kerja pula.


NAJMI MERENUNG ke arah sahabatnya yang sedang melelapkan mata di atas bangku panjang di bilik rehat. Botol kosong yang sudah dihabiskan airnya tadi dilemparkan ke arah Haidhar. Dia tahu lelaki itu tidak tidur.

Terasa sesuatu mendarat di perutnya, Haidhar buka mata. Botol yang sudah bergolek di atas lantai dipandang sepi. Tanpa berniat mahu memarahi orang yang mengganggunya, dia kembali memejamkan mata.

"Oi, kenapa?" tegur Najmi apabila Haidhar tidak mempedulikan usikannya.

Jawapan daripada Haidhar dinanti namun temannya itu tetap mendiamkan diri. Mati akal juga Najmi dibuatnya. Dia cuba membantu, tetapi kalau yang hendak dibantu tidak mahu dibantu bagaimana? Najmi menggaru kening.

Dia sedar akan perubahan sikap Haidhar yang nampak lebih pendiam sejak akhir-akhir ini. Selalunya Haidhar tidak akan menyendiri begini ketika waktu rehat. Waktu rehat pasti digunakan untuk berbual dengan teman sepasukan. Jadi, apabila Haidhar berubah sikap sebegini, sedikit sebanyak merisaukan hati ramai orang.

"Kau ada masalah dengan siapa ni? Okay, let me guess. Yusra? Kenapa? Dia ada lelaki lain ke?" tanya Najmi sekadar menebak.

Najmi mengambil keputusan untuk tidak berputus asa dengan sikap pendiam yang ditunjukkan oleh Haidhar. Haidhar mungkin tidak mahu berkongsi dengan teman lain, tetapi Haidhar perlu sedar bahawa dia tidak akan membiarkan sahabatnya menghadapi masalah sendirian.

Haidhar meraup wajahnya. Najmi masih berkeras mahu mengorek rahsia gamaknya. Dia bangkit dari tempat dia berbaring. Penjaga gol kebangsaan yang merupakan teman baiknya dipandang. Tebakan Najmi membuatkan dia mahu bersuara.

"Mungkin," kata Haidhar perlahan. Wajahnya diraup lagi. Ah, serabut dia mengenangkan kekasih hatinya yang semakin hari semakin jauh daripadanya.

"Seriuslah, dia ada lelaki lain? Kau yakin? Mana kau tahu?" Laju Najmi bertanya. Barangkali dia terlalu terkejut mendengar cerita itu. Bukankah hubungan Yusra dengan Haidhar baik-baik sahaja sebelum ini?

Haidhar tidak menyalahkan Najmi untuk bereaksi sebegitu. Ya, dia akui dia paling rapat dengan Najmi, namun sekali pun dia tidak pernah bercerita hakikat sebenar hubungannya dengan Yusra selama ini hanyalah lakonan sahaja. Apa yang Najmi tahu, dia dengan Yusra bahagia sahaja seperti pasangan lain.

"Panjang ceritanya, Mi. Tapi yang pentingnya, lepas dia berlakon dengan pelakon mana entah tu, dia dah semakin jauh daripada aku," ujar Haidhar dengan muka yang serabut. Memang dia serabut kerana masalahnya dengan Yusra seperti tidak akan menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat.

"Aku tanya ni, kau jangan ambil hati pula. Erm, bukan kau dah lamar dia ke?" tanya Najmi berhati-hati. Dia maklum akan niat Haidhar untuk memperisteri Yusra, namun sehingga kini dia tidak mendengar apa-apa berita gembira daripada sahabatnya itu.

Mendengar soalan itu, keluhan Haidhar memberat. Soal lamaran itu sudah lama tidak diungkit. Dia tidak mahu mendesak Yusra lagi memandangkan gadis itu semakin menjarakkan diri selepas dia menyatakan hasrat hatinya.

Gelengan Haidhar membuatkan Najmi bertambah kaget. 3 tahun menyulam cinta dan Yusra masih belum mahu menerima lamaran Haidhar? Biar benar!

Dia dan Aisha pun bercinta setahun sahaja sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. Masakan Yusra tidak mahu menamatkan hubungan percintaan itu dengan sebuah ikatan yang halal? Najmi semakin keliru.

"Dia tak pernah suka aku selama ni, Mi. Kami tak pernah bercinta pun. Cuma sekarang aku dah sukakan dia. Betul-betul cintakan dia dan aku nak jadikan dia isteri aku, ibu kepada anak-anak aku," luah Haidhar sepenuh hati.

Dia tahu, Najmi memahaminya. Mereka sudah berteman sejak di sekolah sukan sehinggalah mereka berjaya mendapat tempat dalam skuad bola negara. Kerana itu dia tidak malu untuk berkongsi apa yang bersarang dalam hatinya sekarang.

"Yusra tak pernah suka kau? Macam mana boleh jadi macam tu pula? Selama ni aku tengok korang berdua happy aje." Najmi semakin keliru dengan cerita Haidhar yang baginya terlalu sukar untuk difahami dalam masa yang singkat.

Haidhar menarik nafas panjang sebelum melepaskan keluhan berat. Dia sendiri tidak tahu bagaimana harus dia ceritakan kepada Najmi. Otaknya bekerja keras untuk menyusun cerita agar Najmi dapat faham keadaannya.

"Senang cerita, kami bercinta kontrak. Syarat utamanya, aku tak tak boleh jatuh cinta dekat dia. Tapi sekarang ni, aku sukakan dia. Dan melamar Yusra merupakan kesalahan paling besar pernah aku buat dalam hubungan kami. Bodohnya aku ni!"

Haidhar mengurut belakang tengkuk. Beban masalahnya dengan Yusra semakin memberat apabila umi asyik membebel menyuruh dia memutuskan hubungannya dengan Yusra. Lagilah dia stres!

"Ya Rabbi, aku ingat kahwin aje orang buat kontrak. Ni bercinta pun nak kontrak? Aduhai, apa kau dah buat ni, Haidhar?" bebel Najmi sambil bercekak pinggang. Tidak sangka pula pemain posisi penyerang dalam skuad bola negara ini terlalu pendek akalnya sehingga sanggup bercinta kontrak.

Merah telinga Haidhar mendengar kata-kata Najmi yang membuatkan dia terasa dirinya sangat kurang cerdik apabila menjalinkan hubungan bersyarat dengan Yusra. Kini syarat itu pula memakan dirinya.

"Okay, let's forget about the stupid relationship. Tapi bro, kalau kau betul-betul ikhlas nak jadikan dia isteri kau, satu aje nasihat aku, usaha dan doa. Jangan putus asa, jangan putus doa. Yakin dengan jodoh. Kalau betul dia jodoh kau, akan tetap untuk kau."

Najmi teringat saat dia hampir berputus asa dengan hubungannya bersama Aisha dulu apabila Aisha terlebih dahulu dipinang oleh seorang ustaz kenalan keluarga isterinya. Apabila Aisha menyatakan bahawa dia tidak ada pilihan selain mengikut sahaja kata-kata keluarga, Najmi patah hati. Mujur dia tidak terus melayan rasa kecewanya dan bertindak untuk bertemu dan berbincang dengan keluarga Aisha bagi menyatakan hasrat hatinya. Dan mujur juga keluarga Aisha masih belum memberi jawapan kepada pihak keluarga ustaz yang bercita-cita mahu memperisteri Aisha. Alhamdulillah, dia kini bahagia dengan Aisha sebagai isterinya.

"Rezeki dan jodoh itu dah ditetapkan untuk kita. Cepat atau lambat, bergantung juga pada usaha kita. Satu lagi, tak ada perkataan mengalah dalam kamus hidup seorang hero, bro," sambung Najmi memberi semangat. Wajah lesu Haidhar dipandang. Moga temannya itu faham dengan kata-katanya.

Haidhar memikirkan kata-kata Najmi. Ya, takkan sebegini mudah dia mahu berhenti berjuang. Dia sudah lama bersama Yusra dan pastinya dia mempunyai kredit lebih berbanding pelakon itu. Dia pasti mampu memenangi hati Yusra! Haidhar memasang tekad.

"Tapi Mi, kau tak kenal Yusra tu macam mana. Kau nampak aje dia tu mesra dengan semua orang, tapi sebenarnya dia anti lelaki. Aku tak tahulah kenapa dia jadi macam tu, tapi dia memang tak percaya lelaki. Kau ingat senang ke nak tundukkan dia?"

Luntur sedikit semangat yang baru muncul tadi mengenangkan sikap Yusra yang lain daripada yang lain. Yusra ini sejenis wanita yang sukar ditemui dalam era moden sebegini. Kalau fikir normal, mana ada gadis yang sanggup menolak lelaki yang kacak macam dia. Yusra sahaja yang suka menolak tuah.

"Rumit betullah masalah kau dengan Yusra ni. Tak suka lelaki? Erm, there must be a way, man. Bagi aku, paling utama, kau kena tahu dulu puncanya. Takkanlah dia tiba-tiba boleh jadi macam tu. Mesti ada sebab yang buatkan dia benci lelaki." Najmi cuba memberikan pendapatnya. Tidak sangka pula dia berbakat menjadi kaunselor.

Kata-kata Najmi dihadam cepat. Punca? Ermm, dari mana dia boleh dapatkan maklumat terperinci tentang Yusra? Selang sesaat, dia tersenyum sendiri. Fitri! Ya, pastinya pengurus Yusra tahu banyak tentang gadis itu.

"Thanks, Mi. Berhikmah juga bercakap dengan kau ni, kan?" seloroh Haidhar sambil berjalan ke arah lokarnya. Dia mahu mandi dan menukar pakaian sebelum menghubungi Fitri.

Pastinya, dia akan mengadakan satu pertemuan rahsia dengan Fitri agar pertemuan itu tidak diketahui oleh Yusra. Jika Yusra tahu, tidak mustahil untuk keadaan menjadi semakin buruk.

Melihat Haidhar sudah kembali bersemangat, Najmi ketawa sendiri. Tadi bukan main panjang muncungnya, kini bercahaya sungguh wajah temannya itu. Telefon yang berbunyi menandakan ada panggilan masuk dicapai. Pasti Aisha!

"Sayanggg..." sapanya dengan hati yang senang dan senyuman meleret.


*** BOLEH DAPATKAN DI PASARAN ATAU DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA. BOLEH JUGA HUBUNGI @ WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (CIK SHIDA) / 013-4888095 (KAK PEAH)

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top