teaser MKY 2
Teaser
Mky
BEBERAPA helai kertas yang tertulis dan terlukis gambaran sesusuk separuh siap dari paras wanita atas meja langsung tidak menarik perhatian. 'Mood' melukis mendatar hari ini.
Entah apa yang sedang kalut dicerna oleh fikirannya ketika ini pun dia sendiri tidak pasti.
Tadi elok saja niatnya mahu mencipta figura dalam bayangannya untuk menambah tarikan pelanggan yang memasuki ruangan seni rekanya.
Namun entah ke mana terbang semua semangat dan tekad itu sebaik sahaja dia duduk di atas kerusi.
Arang yang terselit di tangan, diletakkan semula di atas meja kerja. Sekilas mentari dijengah. Satu keluhan kecil dilepaskan. Dia membetulkan urat saraf di bahagian leher. Lenguh.
'Puteri Nayra Hadeera...' Sebaris nama itu muncul di fikiran. Dia sentuh sisi kanan dadanya. Ada debaran hebat di situ.
'Emm...' Mudahnya pemilik nama itu menerobos ke hati dan jantungnya.
Sukmanya menyeru nama itu.
'Wahai Puteri Nayra Hadeera... hadirlah temuiku. Inginku sampaikan sesuatu padamu wahai teman kecilku, mari oh mari rindu hamba.'
Lama dia menunggu, Puteri tidak kunjung tiba menemui dirinya. Berbicara secara batin. Segugus nafas dileraikan dan menoleh ke sisi kanan apabila cupingnya menangkap bunyi kunyahan. Terlentur sengihan dari bibirnya.
Abbash, kalau dah dapat makan, bukan kata mentua... gajah lalu depan mata pun dia tak perasan.
Hampir terlepas tawa si Tuan Putera sebaik matanya menangkap satu objek yang tersisa di dagu Abbash.
"Tuan Putera, jangan tengok hamba lama-lama nanti makhluk lain ingat Putera Yamyali ni 'gay' pulak."
Kening Putera Yamyali dicantumkan. Pelik. Apa benda perkataan yang disebutkan Abbash?
"Gay? Apa tu?"
"Gay tu lelaki yang ada nafsu pada kaum sejenis. Kalau perempuan ada nafsu pada perempuan yang lain, ia digelar lesbian."
Hampir saja Putera Yamyali tersedak air minuman yang sedang dia teguk. Selisih malaikat empat pulut empat. Jiwa terunanya masih menginginkan wanita bukan kaum sejenis.
"Menurut kau, aku ni 'gay' ke?" Putera Yamyali merenung sambil menunggu jawapan Abbash yang menyudahkan kunyahannya.
Dia tahu Abbash tak akan menjawab. Sengaja dia ingin memerangkap. Manalah tahu kan kut kut sahabatnya itu ada hati pada ketampanannya ini.
Tak tertelan makanan yang baru disuap ke mulut.
Tuan Putera ni kan... ah, biarkan saja si luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!
Melihatkan Abbash meneruskan makannya tanpa peduli persoalannya, dia ubah topik.
"Mana kau belajar perkataan tu?"
Abbash angkat muka pandang Putera Yamyali. "Dari alam manusia, Tuanku."
"Bila kau ke sana? Kenapa aku tak tahu pun?" Putera Yamyali melebarkan bibir mata tenung Abbash yang sedang menghabiskan makanannya.
Tuan putera, Tuan putera, sebut saja alam manusia pasti terujanya lain macam.
"Baru dua minggu lepas hamba ke sana, Tuanku. Dalam masa dua minggu tu hamba belajar macam-macam dari alam manusia. Semua serba moden.
Tapi, tak boleh lawan dengan alam kita yang seribu kali jauh lebih moden. Kuda pun boleh terbang. Alam manusia, kereta masih merayap atas jalanan." Dia melepaskan tawa kecil di situ.
Putera Yamyali turut tersengih-sengih.
"Macam mana kau ke sana? Macam seronok je ke sana dari cara kau bercerita ni."
Abbash berhenti menyuap makanan ke mulut dan cuba bayangi semula saat-saat menyeronokkan ketika dia berada dalam alam manusia.
"Seronok tu memanglah seronok dapat healing healing santai santai tapi satu je. Tuanku kena pandai survive. Kalau tak pandai survive, Tuanku akan mereput di sana."
Ah sudah, ternganga Putera Yamyali tidak mengerti apa yang dikatakan Abbash. Perkataan pelik-pelik yang dikeluarkan dari mulut itu.
"Menatang apa kau sebut tadi? Healing? Sur... apa?"
Abbash tergelak lagi melihatkan muka terpinga-pinga Putera Yamyali.
"Oo... tu healing dan survive. Healing tu kesunyian. Alam manusia gelar healing bila jiwa terasa kesunyian dan pergi mencari penawar kesunyian dengan ke tempat-tempat yang menenangkan jiwa.
Survive ni yang terselamat. Survive untuk memastikan kita bertahan dan meneruskan kelangsungan hidup."
Lama baru Putera Yamyali terangguk-angguk.
"Oh... faham. Ajarlah aku macam mana cara nak masuk ke alam manusia."
Abbash garu kepala. Ini kalau Maharaja mereka tahu, habislah dia. Dia rakyat biasa, jadi terbebas untuk ke mana-mana. Lain pula dengan lelaki di sebelahnya ini.
Sesusuk berdarah diraja, mesti ada pantang larangnya. Bukan boleh keluar masuk ke alam manusia sesuka hati tanpa asbab yang munasabah.
"Kalau Maharaja tahu, habislah hamba dihukum nanti."
"Tak yahlah bagitahu dia. Kau dengan aku je. Kata kawan..." Putera Yamyali cuba memujuk Abbash yang sudah libang-libu, kebimbangan diketahui Raja mereka.
"Okey, Tuanku ikut hamba. Nanti hamba akan tunjuk tempat tu. Tapi, bukan sekarang. Nanti malam bila semua dah tidur baru kita pergi."
"Baik, nanti malam kita pergi. Agak-agaknya kalau kita terus masuk ke alam sana malam ni, boleh ke?"
Tersedak Abbash mendengar soalan Tuan Puteranya.
"Tuanku, dah lewat ni. Apa kata kita balik?" Apalah nasibnya hari ini. Sudahlah kena 'seret' ke sana ke mari tanpa kerelaan hati, sekarang ditanya pula soalan yang tak akan pernah ada jawapan.
Lebih baik dia segera ajak Putera Yamyali pulang sebelum soalan mengarut yang lain lagi timbul.
"Abbash, kau nak tahu sesuatu tak?" Putera Yamyali sengaja mahu membangkitkan rasa ingin tahu dalam diri insan di hadapannya.
"Apa dia, Tuanku?" Pandangan Abbash terarah pada suasana di sekeliling mereka.
"Abbash..." panggil Putera Yamyali lembut. Jari telunjuknya diletak ke pipi.
Abbash bingung. Takkanlah lelaki di hadapannya ini minta dicium? Ah! Kacau macam ni. Lama dia pandang wajah Putera Yamyali. Rasa nak bagi pelempang pun ada. Tak kira Putera atau Maharaja.
Ada ke pula meminta yang bukan-bukan dengan kaum sejenis. Inilah akibatnya bila lama sangat membujang! Sampai tak tahu membezakan lelaki atau perempuan.
Semua hendak dibedal jadikan pasangan. Cis! Tak sanggup aku! Abbas geleng geli-geleman.
"Tuan Putera ni dah kenapa? Tak malu ke dengan rakyat yang lalu-lalang dekat sini?" Suara Abbash agak meninggi tetapi masih di dalam nada yang terkawal. Hilang sudah sabarnya dengan permintaan lelaki itu.
"Malu? Aku rasa kau dah salah sangka ni. Takkanlah aku seteruk tu."
Putera Yamyali bangun lalu dengan berani mengambil sisa makanan yang melekat pada dagu Abbash dan ditunjukkan pada sahabatnya itu.
"Lain kali cakap biar terang." Abbash geleng kepala. Buat malu diri sendiri saja.
Nasiblah dia tak teruskan apa yang dia fikirkan tadi kalau tidak naya Pak Karim la dia hari ni dan Tuan Putera pula terpaksa menerima habuan percuma.
Tak dapat nak bayangkan kalau semua itu benar-benar terjadi. Mana dia nak sorokkan muka. Pasti lepas ini dia lenyapkan diri dari terus muncul di hadapan Putera Yamyali lagi.
Putera Yamyali melepas tawa sebaik ingatannya kembali. Dia terhibur dengan sikap bersahaja Abbash.
Mereka meninggalkan galeri lukisan setelah mengemas dan pulang ke kediaman masing-masing. Bersiap sedia untuk terokai dunia baru malam nanti.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top