MR. Bibik - Bab 11

"EH... nak ke mana tu pengantin? Tu hah bahagian korang."

Firas dan Aulia saling berpandangan. Dia dengan Aulia sama-sama memandang timbunan periuk belanga yang belum bercuci. Keluarga Aulia sudah pulang ke Kuala Lumpur sebaik sahaja selesai kenduri.

Firas alihkan muka memandang pak ciknya. Terus dia tayang gigi.

"Takkan nak sental periuk pakai baju songket. Nanti rosak baju. Kalau pak uda tolong bayarkan, tak apa jugak."

"Hah... kalau macam tu pergi tukar baju cepat. Jangan mengelat. Nanti pak uda buat announcement panggil kamu berdua."

"Baik, Pak uda." Firas cepat-cepat tarik tangan Aulia masuk ke dalam rumah. Dapat lari sekejap pun jadilah. Tebal mukanya jadi bahan usikan hari ini. Dia hanya tersenyum bila ditegur mak cik-mak ciknya yang berkumpul di dapur.

Sampai sahaja di bilik terus sahaja dia tutup pintu dan kunci. Sebuah nafas lega dia lepaskan. Tanjak di kepala dia cabut dan letak dengan cermat di atas meja solek. Usai itu dia membuka butang baju songketnya. Tiba-tiba ekor matanya ternampak sesuatu.

"Kenapa awak pandang saya macam tu. Tak pernah tengok lelaki buka baju ke?" tanya Firas. Dia perasan mata bulat Aulia.

Aulia mulanya menggeleng tetapi tiba-tiba mengangguk pula. Kemudian menggeleng sekali lagi. Bibirnya terkunci untuk menyebut sesuatu.

"Kejap angguk kejap geleng. Mana satu awak ni?" Firas tidak jadi membuka butang bajunya. Dia pun, soalan pelik-pelik dia lontarkan kepada Aulia. Memang sahlah perempuan itu tidak pernah tengok lelaki buka baju. Bukannya Aulia ada adik-beradik lelaki. Melainkan Aulia perempuan 'nakal'.

"Kau pun kena tukar baju. Kita kena turun bawah sental periuk banyak-banyak tadi." Firas pusingkan badannya membelakangkan Aulia. Dia membuka satu-persatu butang bajunya. Selepas baju ditanggalkan dia menyarung t-shirt yang sudah sedia tergantung.

"Kena tukar baju kat sini ke? Tak boleh tukar kat bilik air?" tanya Aulia segan. Tukar baju di hadapan Firas memang tidak mungkinlah.

"Kalau rumah ni cuma tinggal kita berdua... saya tak kisah awak nak tukar baju kat bilik mandi. Kat luar sana, mak saya... saudara-mara saya. Apa pulak diaorang cakap kalau awak tukar baju kat bilik mandi? Kita dah nikah Aulia," terang Firas. Dia harap Aulia faham akan maksud kata-katanya. Tidak perlu ulang lagi.

"Awak keluar dululah. Saya tukar baju bila awak keluar."

"Kita keluar sama-sama. Awak nak semua orang tahu ke yang kita kahwin sebab kena tangkap basah?"

Aulia pandang Firas dengan tajam. Lelaki memang suka cari alasan. Apa salahnya keluar dahulu?

"Awak pandang sana," Aulia mengalah. Tidak elok pula bergaduh dengan Firas di situ. Hanya akan mengundang curiga orang kampung. Kalau setakat curiga mungkin tiada masalah. Risau kalau salah sangka seperti Ken semalam.

Firas pusingkan tubuhnya. Dia pun tidak ingin melihat Aulia menukar baju walaupun fikiran nakalnya mula teruja. Syaitan menjerit di telinganya agar mengintai Aulia menukar pakaian.

"Mana ada syaitan kacau pengantin baru..." Firas berkata kepada dirinya sendiri. Sekuat mana fikiran nakalnya menyuruh dia berpusing, sekuat itu juga fikiran baiknya menolak. Walaupun sudah bergelar suami isteri, dia harus hormat privacy Aulia.

"Firas."

"Ya?" Terus sahaja dipalingkan mukanya. Dia mengharap untuk melihat sesuatu yang lain, tetapi Aulia masih lengkap berpakaian. Dia menggeleng berkali-kali. Otaknya yang suci sudah mula tercemar.

"Tolong tarik zip ni. Tak sampailah." Tangan Aulia terkial-kial mahu menarik zip baju songketnya tetapi gagal.

Firas mendekati Aulia. Perlahan tangannya menarik zip baju Aulia. Peluh memercik di dahi. Tadi fikiran nakalnya cukup gembira apabila Aulia minta tolong. Tapi sekarang dia rasa takut. Zip ditarik dengan perlahan.

Firas telan air liur tatkala mata menjamah kulit mulus tubuh isterinya. Mata menjelajah ke seluruh belakang Aulia yang terdedah. Jantungnya berdegup kencang di saat hujung jarinya tersentuh kulit Aulia. Kini seluruh tapak tangan kanannya mendarat di belakang Aulia. Mula merayap...

"Firas... apa lambat sangat tu!" terdengar laungan dari luar. Firas terus tarik tapak tangannya. Terkulat-kulat mukanya saat ini.

"Awak tukar baju cepat. Saya tunggu kat luar." Tanpa melihat Aulia dia terus keluar dari bilik.

Aulia menarik nafas lega sebaik terdengar pintu bilik ditutup. Niatnya mahu menjerit menghentikan Firas tadi tetapi risau kalau orang ramai akan tersalah sangka seperti Ken semalam. Memang malulah kalau pengantin perempuan terjerit pada siang hari.

Sebaik sahaja selesai menukar pakaian Firas sedia menantinya di luar pintu. Usai itu mereka sama-sama keluar dari rumah.

"Sental elok-elok periuk tu. Sampai nampak muka kamu."

"Baik mak uda." Firas menyengih. Tradisi pengantin baru yang masih lagi diamalkan. Itu pun kalau ada kenduri-kendara. Ramai yang lebih selesa menggunakan khidmat katering sekarang. Ibunya mahu bergotong royong memasak memandangkan dia anak tunggal.

Aulia berdiri tegak melihat timbunan periuk yang perlu mereka sental. Tidak pernah dalam hidupnya dia membasuh periuk sebesar ini. Bukan satu atau dua.

"Duduk." Firas menepuk kerusi kecil di sisinya.

Aulia tiada pilihan selain duduk.

"Tak boleh ke kalau tak cuci? Kita upah orang ke?"

"Jangan tunjuk sangat diri tu pemalas. Nanti nama siapa yang malu? Anak Tan Sri tu tak reti cuci periuk..." Firas mengajuk suara mak cik bawang. Dia mengambil span cuci pinggan lalu diserahkan kepada Aulia. Payah juga dapat isteri yang tidak tahu apa-apa.

"Ikut apa saya buat," arah Firas. Ditunjukkannya bagaimana hendak mencuci periuk.

Lama memerhatikan Firas, baru dia faham bagaimana. Bukan susah pun. Bukanlah periuk itu hitam legam dan perlu disental sekuat hati.

"Pandai pun. Awak tu bukan tak pandai. Malas aje lebih."

"Ada orang lain nak buat. Kenapa saya kena buat." Aulia berbicara sambil membuat kerja. Nasib dialah berkahwin dengan orang kampung. Tapi bukanlah kampung sangat kampung suaminya. Tiada sawah padi pun. Malah ada kompleks membeli-belah Mydin lagi.

"Awak..." panggil Firas.

"Hmmm..."

"Senyum. Ada orang ambil gambar kita." Dia perasan sepupunya merangkap jurugambar yang dia upah sedang mengangkat kamera. Firas mencuit hidung Aulia. Akibatnya buih sabun melekat di hidung isterinya.

"Firas. Apa ni? Basuh cepat."

"Kejap saya basuh. Gurau sikit pun tak boleh. Siram dengan air ni baru tau." Firas menghidupkan pili air lalu menarik paip getah. Dia membasuh tangannya sebelum membuang buih sabun di hidung isterinya. Usai itu dia membasuh periuk yang sudah siap dicuci.

"Firas."

"Kenapa?"

"Hidung saya gatal."

"Nak garu ke?" Firas berhenti membasuh periuk.

"Tak... ha... ha... chum!"

"Oh hacum kau!" Firas terkejut lalu termelatah.

Secara automatik tangannya menghalakan paip getah ke tubuh Aulia. Habis basah lecun isterinya. Mujur Aulia memakai baju hitam.

"Firas!" Aulia tergamam dengan tindakan suaminya. Sudahlah semua mata memandangnya. Jurukamera pun sedang asyik mengambil gambar.

"Ampun." Firas rapatkan kedua-dua belah tangan meminta maaf. Namun maafnya bagaikan tidak ikhlas kerana diselangi ketawa.

"Siap awak!" Aulia merampas paip getah tadi lalu dihalakan ke tubuh suaminya. Puas hati bila melihat Firas turut basah.

"Saya tak sengaja. Sorry... sejuklah." Rayuan Firas bagaikan di angin lalu. Aulia terus menghalakan paip getah tadi sambil ketawa. Kali ini dia lebih berani. Kepala Firas turut jadi mangsa paip getahnya. Kini Firas basah lencun dari hujung rambut sampai hujung kaki.

"Padan muka, buat orang lagi." Aulia ketawa puas.

"Awak ketawakan saya..." Firas bangun dan mahu merampas getah paip di tangan Aulia. Tidak adil jika dia basah seorang diri.

"Firas, janganlah!" Aulia tidak dapat mengelak. Kepalanya sudah basah.

"Ya Allah, orang suruh cuci periuk, yang kamu buat penggambaran drama pukul 7 buat apa?" Mak uda mencekak pinggang dengan riak marah. "Ni bila nak siap ni?"

"Mak uda..." Firas hanya tersenyum malu.

"Nak bermanja sekalipun bukan kat depan orang macam ni. Tahulah kamu tu baru kahwin. Budak-budak sekarang, tak ada segan-silu." Usai membebel, mak uda mengayun langkah menuju ke khemah.

Firas dan Aulia sama-sama tersengih. Asyik bergaduh. Tidak sedar banyak mata yang memandang. Mujur yang tinggal hanya saudara-maranya. Dia memberi isyarat kepada isterinya agar sambung membuat kerja.

"Mak ingatkan kenapalah korang terjerit-jerit tadi. Takpe, takpe. Tak adalah saudara-mara tahu kamu kena kahwin paksa." Puan Salbiah yang baru muncul berkata dalam nada berbisik. Dia tersenyum simpul melihat anak dan menantunya sama-sama basah lencun.

"Mak."

"Habiskan kerja cepat. Lepas tu tukar baju. Karang demam payah pulak." Puan Salbiah mengekori kakaknya ke bawah khemah.

"Awaklah simbah saya dulu."

"Saya tak sengaja okey. Awak tu yang tiba-tiba bersin." Firas mempertahankan diri.

"Kalau saya demam, siap awak!" ugut Aulia.

"Ehem."

Aulia dan Firas sama-sama menoleh. Mereka tidak perasan jurugambar masih berada di situ merakam semua yang terjadi.

"Dah siap nanti mesti lawa gambar korang main simbah-sambah air," ucap Mahmud sambil memerhatikan skrin kameranya. Tersenyum sengih dia melihat paparan imej yang diambil.

"Romantik jugak korang ni. Tadi tu memang saja buat malu-malu ke apa?"

Firas menggaru tengkuk. Memang dia malu-malu saat mengambil gambar di pelamin tadi. Bukan malu yang dibuat-buat. Kejadian sebentar tadi sebenarnya pergaduhan secara senyap mereka berdua. Tapi ramai yang tersalah tafsir.

"Rare shoot macam ni. Boleh tunjuk kat anak cucu nanti." Mahmud beredar dari situ.

"Dah, sambung kerja," gesa Firas.


*** BOLEH DAPATKAN DI PASARAN ATAU DI KEDAI-KEDAI BUKU BERHAMPIRAN ANDA. BOLEH JUGA HUBUNGI @ WHATSAPP NO DI BAWAH ***

019-3729676 (CIK SHIDA) / 013-4888095 (KAK PEAH)

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top