HANS - 17

Hi!

Jangan lupa comment banyak-banyak ^^

 

"Kau pergi mana semalam, Shahrul Zachary Isaac?"

Ternaik kedua belah bahu Shahrul. Terperanjat. Dia mengurut pula dadanya. Melangkah masuk ke dalam rumah, dia disambut dengan soalan itu. Pakej dengan nama penuhnya disebut Dayana. Mana dia tak terkejut kalau Dayana berdiri di muka pintu. Agaknya sudah berapa lama Dayana bersedia di sini.

Dayana berdiri sambil mencekak pinggangnya.

"Semalam aku tidur dalam bilik la," jawab Shahrul acuh tak acuh. Dia berjalan melepasi gadis itu.

Tangan Dayana pantas merentap kolar baju Shahrul dari belakang. Tersekat langkah Shahrul dibuatnya.

"Kau baru balik pagi ni," nyata Dayana keras.

"Mana kau tahu? Kau pun baru bangun. Aku pergi kedai tadi." Shahrul angkat plastik di tangannya sebagai bukti dia pergi ke kedai.

"Aku nampak kau keluar dari rumah semalam," ujar Dayana kemudian menunjukkan satu rakaman video di dalam telefonnya kepada Shahrul.

Untuk beberapa saat Shahrul menonton video tu. Di dalam video itu memaparkan satu susuk tubuh membuka pintu lalu keluar dari rumah. Itu adalah dirinya sendiri. Kejadian itu berlaku pada jam 12 tengah malam. Lewat malam.

"Oh shit." Terlepas carutan Shahrul. Dia pandang muka Dayana dengan rasa tak percaya.

"Kau pasang CCTV dalam rumah ni?!"

Berpusing kepala Shahrul mencari CCTV di ruang tamu itu. Dayana merampas kembali telefonnya dari tangan Shahrul. Kemudian, Dayana menuding jarinya di satu sudut. Di situlah dia memasang CCTV tanpa pengetahuan Shahrul semestinya.

Terlopong kecil mulut Shahrul. Dia menepuk tangannya penuh rasa kagum.

"Aku tak sangka kau selicik ni."

"Kau lagi licik. Kau letak ubat tidur dalam kopi aku."

Pecah berderai ketawa Shahrul. Tidak terselit rasa bersalah.

Dayana menjeling geram. Dengan mudahnya dia terpedaya dengan kebaikan lelaki ini semalam. Shahrul memberikan dia kopi. Tanpa berfikir panjang dia menerima dan minum. Dayana tidak menyangka ada agenda di sebaliknya. Akibatnya dia tertidur selepas minum kopi buatan Shahrul.

"Jawab soalan aku. Kau pergi mana semalam? Semalam sepatutnya kita ada misi." Dayana kembali mendesak Shahrul dengan soalannya.

Shahrul memaut bahu Dayana. Dicubit pula pipi gadis itu. Tenang saja dia mengawal amarah Dayana. Bila-bila masa saja Dayana boleh mengganas dengan mencekik lehernya.

"Relax la. Malam ni kau boleh teruskan dengan misi kau. Aku janji tak bagi kau ubat tidur dah. Okay?"

Dayana menolak tangan Shahrul yang mendarat di bahunya. Lelaki ini...

Ada sesuatu yang disembunyikan.

Shahrul mengelak tidak mahu menjawab soalan utamanya. Soalannya mudah, ke mana Shahrul pergi semalam.

Di saat ini Dayana tahu dia tidak boleh mempercayai lelaki ini sepenuhnya.

────────

MISI mereka dilaksanakan dengan jayanya pada malam itu.

Dayana senyum puas.

Shahrul turut tersenyum. Dalam diam dia terpanar dengan senyuman Dayana. Kereta yang dipandunya mula bergerak beredar dari kawasan itu.

"Confirm tak kantoi kan?" soal Dayana.

"Aku confirm! Aku buat kerja clean."

Dayana mencebik. Riak pula bunyinya. Beberapa minit kemudian, dia menepuk bahu Shahrul berulang kali. Ingin mengatakan sesuatu. Shahrul angkat kening pandang Dayana. Nak apa?

"Berhenti depan sana."

Sebaik saja Shahrul memberhentikan kereta di tepi jalan, tergesa-gesa Dayana keluar dari kereta dan melangkah masuk ke dalam sebuah restoran. Nak membuang air kecil mungkin dari gayanya. Dia turut keluar dari kereta dan berjalan ke arah bertentangan.

Beberapa minit berlalu...

Dayana keluar dari restoran itu dengan perasaan yang lega. Dia kembali semula ke kereta. Keningnya berkerut bila mendapati tiada Shahrul di dalam kenderaan itu. Tangannya mula mencekak kedua belah pinggangnya.

"Dia pergi mana?"

Keluhan kasarnya terlepas. Baru sekejap dia tinggalkan Shahrul, lelaki itu sudah menghilang. Dia berjalan ke arah but kereta. Sebelum dia membuka but kereta, dia memastikan tiada sesiapa di kawasan itu. Diperhatikan sekelilingnya. Penuh berhati-hati dia membuka but kereta.

Ada sehelai kain hitam yang besar menutupi sesuatu. Perlahan-lahan Dayana menyingkap sedikit kain itu. Bahagian wajah seorang lelaki.

Mata dan mulutnya diikat dengan kain hitam. Tangan pula diikat dengan tali. Begitu juga bahagian kaki. Si mangsa tidak sedarkan dirinya. Dibaringkan secara mengiring.

Dayana memperbetulkan kembali kain hitam itu lalu menutup but kereta. Lebih kurang 5 minit dia menanti Shahrul di luar kereta. Lamanya. Ke mana Shahrul ni pergi? Dia mula berjalan di kawasan sekitar itu mahu mencari Shahrul.

"Dayan!!!"

Suara yang cukup familiar itu menyapa pendengaran Dayana. Terlihat dari jauh susuk tubuh itu berlari laju. Lagaknya seperti sedang menyertai acara lumba lari. Mata Dayana mengecil cuba mengesan sesuatu yang aneh pada Shahrul. Statik dia berdiri di tempat yang sama.

Shahrul semakin menghampiri Dayana. Automatik mata Dayana membulat.

"Tolong aku!!!"     

Dayana pantas membuka langkah laju. Dia turut berlari.

"Apa kau dah buat ni, gila?!" Dayana menjerit kuat ketika Shahrul sudah berlari di sisinya.

Kuat bunyi salakan anjing. Seekor anjing liar mengejar Shahrul.

Dan kini, mengejar Shahrul dan Dayana.

"Aku tak tahu! Lari jelah selamatkan diri!" Suara Shahrul sama naik kuat. Sesekali dia memandang ke belakang. Anjing liar itu tetap mengekori mereka. Mampuslah dia...

Larian diperlajukan lagi. Dayana tolak sebuah tong sampah ke belakang, menghalang laluan anjing itu. Mereka menyeberangi pula jalan untuk ke tempat kereta diparking tadi. Menyesal dia jalan jauh ke sini demi mencari Shahrul.

Dayana nampak sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka. Sempat dia toleh ke belakang mahu memastikan jarak anjing itu dengan mereka. Dayana menarik tangan Shahrul masuk ke dalam sebuah lorong yang sangat sempit. Lorong yang boleh memuatkan satu tubuh manusia saja. Mereka terpaksa berhimpit dengan berdiri bersebelahan.

Kuat bunyi nafas masing-masing. Shahrul meninjau keadaan di luar kemudian menoleh memandang Dayana di sebelah. Terlanggar hidung mereka memandangkan ketinggian mereka tidak jauh beza. Ini kerana Dayana seorang gadis yang tinggi. Rapatnya kedudukan mereka di saat ini. Tiada jarak yang memisahkan.

Renungan saling berkunci.

Mata Shahrul jatuh pada bibir Dayana yang terbuka.

"Apa kau dah buat kat anjing gila tu..."

Shahrul menelan air liur sekali. Dia mengalih pandangannya.

"Aku tak buat apa-apa." Masih mahu berdalih.

"Tipu."

"Aku cuma nak selamatkan seekor anjing ni. Niat aku baik. Anjing gila tu dia ada buat something kat..."

"Kau kacau dia mengawan ke, Shah?!" Dayana menempik di tepi telinga Shahrul.

Shahrul termati kata. Err... dia kacau anjing tu mengawan ke tadi? Rasanya macam ya. Rasanya macam tak.

"Memang patut la dia kejar kau! Sebab kau terlebih bijak dan kononnya berniat baik! Kau ni memang menyusahkan!"

────────

SEHARIAN Anayra cuba untuk menghubungi Damien. Namun, tidak berjaya. Damien tidak menjawab panggilannya walau satu pun. Dia risaukan keadaan Damien.

Anayra mula berprasangka buruk bila Damien mendiamkan diri sehari suntuk. Damien tak pernah buat dia begini. Sekurangnya Damien akan balas mesej dia. Tidak membuat dia ternanti-nanti seperti sekarang ini.

"Abang Damien. Tolong jawab call Nayra." Berulang kali ayat itu keluar dari mulut Anayra. Dia mundar mandir di dalam biliknya. Ketika ini suaminya tiada di rumah.

Kemas Anayra memegang telefon di tangannya. Dapat dengar sedikit suara Damien pun jadi la. Betapa dia berharap akan ada panggilan dari Damien. Kemudian dia duduk di pinggir katil sambil mengusap perutnya yang masih belum menunjukkan bentuk yang ketara.

Dia berdiri secara mendadak apabila menerima video call daripada Damien. Perasaanya bertukar menjadi lega bercampur teruja. Senyuman melebar.

"Abang!" Sapaan Anayra disambut dengan wajah tidak bermaya Damien. Senyuman dia perlahan-lahan memudar. Keningnya melengkung sedih. Dia tidak silap melihat, kan?

"Kenapa... muka abang Damien pucat?" Hampir tidak keluar suara Anayra bertanya soalan itu.

Damien tersenyum penuh terpaksa. Kering bibirnya. Redup pandangannya buat Anayra.

"Tutup rambut kau dengan kain," pinta Damien lembut.

Cepat-cepat Anayra mencari kain untuk menutup rambutnya seperti yang disuruh. Setelah itu dia kembali memandang wajah Damien.

"Kenapa dengan abang? Abang sakit ke?" Soalan Anayra dijawab dengan batukan kasar dari Damien.

Damien batuk tanpa henti. Kelihatan perit buatnya. Tangan menggosok dadanya. Untuk seketika hanya kedengaran bunyi batuk Damien.

"Sorry Nayra. Aku tak jawab call kau. Aku..." kata Damien dengan payahnya. Dia memicit dahinya bersama mata yang terpejam.

"Abang dah makan ubat? Abang kena makan ubat. Nayra tengok batuk abang teruk. Abang buat Nayra risau. Abang jauh dari semua orang." Bertubi-tubi Anayra menyerang Damien dengan soalan. Dengan sekali nafas saja.

"Aku okay Nayra..." Damien menghalang Anayra daripada tanya banyak soalan.

"Tak! Abang tak okay! Abang tak perlu pura-pura kuat depan Nayra..." Anayra menelan air liurnya sekali. Air mata sudah mula bertakung.

Damien banyak tersenyum meskipun dia sedang sakit. Aneh sekali kerana mengenali seorang Hans Damien, dia bukan lelaki yang suka tersenyum. Setitis air mata Anayra mengalir melihat keadaan Damien. Abangnya jarang sakit. Sangat jarang. Ini sangat membimbangkan dia.

"Nayra pergi sana." Terburu-buru Anayra membuat keputusan.

Damien menggeleng kepala. "Jangan... Kau ada keluarga. Aku boleh jaga diri aku sendiri."

"Abang Damien pun keluarga Nayra. Siapa nak jaga abang kalau bukan Nayra. Dulu setiap kali Nayra sakit, abang Damien yang jaga Nayra. Abang jangan fikir tak ada orang peduli dan sayangkan abang. Nayra akan sentiasa jadi orang yang peduli dan sayangkan abang. Nayra takkan biarkan abang lalui semua ni seorang diri."

Kini, pandangan Anayra di telefon hanya kelihatan bahagian dahi Damien. Kuat bunyi nafas Damien. Selang beberapa saat kemudian, Damien menjarakkan telefon dari mukanya. Dia tersandar lemah di sebatang tiang, tempat dia berehat sejak tadi. Pakaiannya serba putih. Kelihatan orang lalu lalang di belakangnya.

"Kenapa bukan mummy yang cakap semua ni. Kenapa bukan mummy yang risaukan aku?"

Damien menarik nafas dalam.

"Mummy memang anggap aku dah mati ke?" kata Damien lagi diselangi dengan batuk kasarnya.

"Mummy sayang abang. Nayra akan cuba slow talk dengan mummy. Mummy mesti risau kalau tahu keadaan abang sekarang." Bersungguh-sungguh Anayra mahu meyakinkan Damien.

Damien tersenyum lagi. Anayra tidak akan berhenti menjaga hatinya. Dia tahu Anayra banyak berbohong demi menjaga hatinya.

"Nayra nak abang janji dengan Nayra. Abang akan makan ubat. Wajib makan. Abang kena banyakkan rest. Badan abang perlukan rehat. Jangan fikir terlalu banyak sampai bebankan fikiran abang. Banyakkan minum air! Jangan skip waktu makan. Abang tak ada selera sekalipun, abang kena jamah sikit makanan tu. Abang tak boleh biarkan perut abang kosong. Ingat semua pesanan Nayra ni!"

Damien mengangguk lemah. Anayra kelihatan seperti 'mak-mak' sangat. Sudah hilang sikap kebudakan Anayra yang dia kenal. Anayra banyak berubah. Makin matang selari dengan usianya.

"Betul kata kau... Aku tak okay. Aku lemah. Nak berjalan pun aku tak larat." Akhirnya Damien mengakuinya. Dia tidak mahu duduk di dalam bilik hotel. Digagahkan dirinya datang ke sini. Dalam keadaan sakit masih ada kedegilannya.

Anayra menangis teresak-esak mendengar aduan Damien. Dia tidak boleh buat apa-apa sekarang ini melainkan melihat keadaan Damien di dalam skrin telefon ini.

"Teruknya aku ni. Aku selalu buat kau menangis. Kalau Hero tahu ni... mesti dia akan marah. Aku buat isteri dia menangis." Suara Damien berbunyi mengusik.

"Abang jangan banyak bercakap," tegah Anayra sambil mengelap air matanya.

"Semalam Niall datang dalam mimpi aku. Dia peluk aku."

Anayra tersentak. Damien masih belum tahu sesuatu yang penting. Damien tidak tahu kembarnya masih hidup.

Hidup dengan identiti baru.

Damien hanya tahu seseorang menemui lelaki yang iras dengan Daniall sahaja. Tiada kepastian sama ada itu benar-benar Hans Daniall atau tidak.

Anayra teragak-agak untuk sampaikan berita itu kepada Damien. Beritahu Damien kebenaran atau rahsiakan dulu buat sementara?

"Aku rindukan dia sangat-sangat. Agaknya dia rindukan aku tak..."

***


Maaf lama tak update. Saya akan cuba update selalu lepasni!

1.5k vote to unlock next chapter.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top