DANIALL - 03

Dia menyelusuri lorong sunyi setelah keluar dari kedai milik Andrew kerana lokasi kedai Andrew agak tersorok. Sebelah tangan dimasukkan ke dalam poket seluar. Langkah dibuka besar. Dia memandang tanpa rasa bila ada gelandangan yang merayu meminta wang darinya. Kelihatan mereka kebuluran sepertinya sudah berhari tidak makan.

Mereka pengemis. Biarkan saja mereka mencari makanan di dalam tong sampah.

Seorang budak lelaki yang usianya dalam lingkungan 6 tahun, bersungguh-sungguh mengesot badannya ingin mengejar Daniall. Bila dia berjaya, dia memegang kemas kedua belah kaki Daniall.

"To... to... tolong saya." Budak lelaki itu merintih kesakitan.

Daniall menoleh ke belakang. Kepala tunduk pandang budak itu. Wajah yang berkerut kesakitan. Dengan mudahnya dia mendapati kesakitan yang dialami budak itu datangnya dari kaki kanan yang tercedera. Sudah bernanah.

"Sa... sakit... Tolong saya." Budak lelaki itu bergantung harap sepenuhnya kepada jejaka yang asing padanya. Dia masih tidak lepaskan pautannya pada kaki Daniall. Dia sudah tidak mampu menanggung kesakitan ini.

Daniall jatuhkan sebelah lututnya di atas lantai.

Air mata budak lelaki itu menitis membasahi pipi.

"Aku tak ada masa nak layan kau," ujar Daniall penuh dingin lalu menolak badan kecil itu jatuh ke belakang.

Terlepas esakan tangisan anak itu. Dia fikirkan lelaki ini sudi menghulurkan bantuan kepadanya. Ternyata sangkaannya meleset.

"Kaki kau tak cedera teruk." Tambah Daniall lagi kemudian bangun kembali dan menyambung langkahnya. Kata-katanya tak ubah seperti memperlekehkan kecederaan yang dialami seorang budak yang berusia 6 tahun.

Langsung tidak terkesan di hati Daniall melihat keadaan budak itu. Dia teruskan berjalan tanpa menoleh ke belakang.

Pengenalan ringkas. Ini adalah negara Agujero dan ini merupakan daerah Ravage (kemusnahan). Inilah tempat di mana Daniall menetap. Daerah ini sepenuhnya dikuasai oleh keluarga Hawthorne. Mereka paling berkuasa di daerah ini. Angelina salah seorang darinya. Darah yang mengalir di dalam tubuh Angelina adalah darah keturunan Hawthorne.

Rata-rata penduduk di situ mengenali siapakah Daniall. Daniall adalah kekasih kepada bidadari yang digelar mereka iaitu Angelina. Daniall berkhidmat untuk keluarga ini. Dicurahkan segala baktinya kepada Hawthorne yang telah menyelamatkan dirinya.

Langkah dituju ke arah keretanya yang diparking jauh. Dia mahu pergi ke gudang selepas ini untuk membuat tinjauan.

"Kau... anjing," cemuh satu suara. Dia berdiri tiba-tiba di hadapan Daniall sekaligus menghalang laluan jejaka itu.

Tajam renungan Daniall untuk lelaki tua berbaju koyak sana sini. Gelandangan yang tidak sedar diri dengan siapa dia sedang berbicara.

"Kau hanyalah anjing untuk perempuan syaitan tu." Tiada terselit sedikitpun kegentaran di dalam suara lelaki tua itu. Jari telunjuknya terketar-ketar dituding ke arah dada Daniall. Badannya membongkok dibantu oleh sebatang tongkat kayu. Dia angkat kepala memandang wajah angkuh Daniall.

Daniall malas mahu melayan. Dia berjalan melepasi orang tua itu.

"Anjing."

Mata Daniall terpejam.

"Kau anjing bodoh yang patuh semua arahan perempuan tu. Perempuan tu kawal kau."

Dengan pergerakan yang pantas Daniall keluarkan sepucuk pistol yang terselit di dalam kotnya. Senjata yang sentiasa di bawa ke mana-mana saja. Muncung pistol itu diacukan kepada dahi orang tua itu. Ditekan kuat. Perlahan-lahan muncung pistol itu turun melepasi hidung dan akhirnya dimasukkan ke dalam mulut yang terbuka.

Terbeliak luas mata lelaki tua itu.

Picu ditarik.

"Mulut kau terlalu lancang. Kau sendiri menempah maut dengan aku."

Sejurus itu Daniall melangkah masuk ke dalam keretanya dan berkelakuan seperti tiada apa-apa yang berlaku. Hidupkan enjin kereta lalu bergegas beredar dari kawasan itu. Dia memandu laju di atas jalan raya. Cermin tingkap kereta dibiarkan turun membenarkan angin luar masuk ke dalam kereta. Dia hanya menggunakan sebelah tangan mengawal stering kereta. Sebelah lagi tangannya direhatkan pada bahagian cermin kereta membuatkan bahagian sikunya terkeluar sedikit dari kereta.

Kata-kata orang tua itu masih terngiang di telinganya.

Dia tidak melepaskan tembakan pada orang tua itu, sebaliknya dia menghentakkan pistol pada kepala orang tua itu sehingga berdarah. Dia tahu orang tua itu tidak mati sebelum dia meninggalkan tempat itu tadi.

Anehnya ada sesuatu yang menghalang Daniall daripada membunuh lelaki tua itu.

Dia lelaki yang kejam. Kekejaman dia setanding dengan Angelina. Disebabkan itu ada desas desus mengatakan mereka pasangan yang secocok. Namun, apa yang terjadi tadi membuatkan Daniall hentikan niatnya. Dia membiarkan lelaki tua itu hidup.

Kereta berhenti di lampu isyarat. Kereta Daniall berada di kedudukan paling hadapan sekali pada ketika itu.

"Niall..." Suara itu datangnya dari kenderaan di sebelahnya.

Daniall alihkan pandangan pada jejaka yang berada di dalam kereta tidak berbumbung itu. Jejaka berkaca mata hitam itu mengangkat tangan kepadanya tanda menegur.

Zach.


────────


DIA melihat wanita itu sedang melakukan aktiviti memanah. Pada papan sasaran berdirinya seorang gadis berpakaian seragam pembantu rumah. Dua kata dari Olivia buat Angelina adalah wanita itu 'semakin gila'. Ayat yang mampu disebut di dalam hatinya saja. Dia tidak mahu mati lagi jika secara terangan dia berkata begitu di hadapan Angelina.

Wanita itu gemar membuli mental dan fizikal seseorang.

Lihatlah betapa seronoknya Angelina memanah dengan meletakkan seseorang di tengah-tengah papan sasaran. Dia tidak mengikat Leah iaitu mangsanya pada kali ini. Katanya dia tidak mahu berlaku kejam terhadap Leah.

Bukankah sama saja? Leah tetap dipaksa berdiri di situ. Situasi yang dihadapi Leah bagaikan meletakkan dia di ambang maut.

Dari kejauhan Olivia nampak riak ketakutan yang terpancar di wajah Leah. Siapa saja yang tidak takut. Ditambah pula dengan sikap 'gila' seorang Angelina.

Olivia simpati melihat nasib Leah. Gadis berusia 17 tahun itu baru seminggu bekerja di sini. Gadis yang hanya tinggal sebatang kara setelah keluarganya dibunuh dengan kejam. Leah tidak rapat dengan mana-mana pekerja kecuali Olivia. Ini kerana Olivia menganggap Leah seperti adiknya.

Olivia merasa rasa bersalah kerana dia tidak mampu menolong Leah pada ketika ini. Dia bukan sesiapa untuk menghalang perbuatan Angelina.

"Kau tahu apa kesalahan Leah?" Tiana yang sejak tadi berdiri di sebelah Olivia mula bersuara. Mereka berdua kebetulan melakukan tugas di kawasan itu. Dalam kesempatan itu mereka melihat aktiviti memanah yang sedang dilakukan Angelina.

Dahi Olivia berkerut pandang Tiana. Kesalahan apa yang telah dilakukan Leah sehinggakan Angelina jadikan dia mangsa?

"Kesalahan Leah satu je. Dia cantik. 'Bidadari' kita tak suka sesiapa lagi cantik dari dia. Semua mangsa dia... orang seperti kau dan Leah. Satu keuntungan untuk diri kau bila wajah kau hodoh." Tiana menyatakan fakta. Jarak mereka dan Angelina agak jauh. Mana mungkin wanita itu boleh mendengar perbualan mereka. Disebabkan itu dia berani berkata begitu.

Harus Tiana akui Angelina seorang wanita yang sangat cantik. Kulitnya cerah, rambut berwarna hitam beralun cantik. Dia memiliki sepasang foxy eyes. Lirikan mata yang penuh tajam. Mata berwarna amber.

Tiana sentuh pula muka Olivia.

"Lihatlah apa yang dia dah buat pada kau semalam, Oli. Ini baru sikit. Dia berikan kau amaran pertama." Tiana memaksudkan pada garisan sepanjang 5 cm pada pipi Olivia. Itu kesan gurisan dari kuku panjang Angelina. Dia menyaksikan kejadian itu di depan matanya kerana dia salah seorang pembantu rumah yang bersama dengan Olivia semalam ketika waktu makan Angelina.

"Kau tahu kan tahap obses dia pada Tuan Daniall."

"Aku tahu."

"Jadi jangan cabar dia kalau kau nak hidup lama." Pesanan Tiana mendalam. Dia tak mahu rakannya ada yang terkorban lagi. Kerana suatu ketika dahulu dia ada seorang rakan yang mati angkara perbuatan Angelina. Vienna namanya. Vienna bertindak berani meletakkan racun di dalam makanan Angelina.

Entah bagaimana Angelina tahu makanan itu beracun, mungkin ada mata-mata yang sampaikan pada wanita itu. Angelina terus menghukum Vienna dengan memberikan Vienna makanan beracun itu. Dipaksa makan.

Olivia memandang belakang tubuh Angelina. Wanita itu belum puas menyeksa mental Leah. Kedengaran bunyi sorakan dari Angelina bila dia melepaskan anak panah di tepi kepala Leah.

"Dia takkan bunuh Leah. Dia cuma nak seksa Leah."

"Leah sayang! Kau nak aku sasarkan pada dada kau tak!" Angelina melaung kuat.

Olivia dalam diam mengepal penumbuknya. Wajah Leah yang basah dengan air mata bersungguh-sungguh menggeleng kepalanya. Bilakah semua ini akan berakhir?

Angelina ketawa keji.

"Baiklah. Aku sudah puas berlatih. Aku mahu pergi memburu haiwan."

Olivia segera berlari mendapatkan Leah setelah Angelina beredar dari kawasan itu. Olivia sempat menyambut tubuh Leah sebelum jatuh menyembah tanah. Sudah tidak terdaya kedua kaki Leah untuk berdiri.

"Leah..." Olivia bersuara terkejut bila mendapati bahu Leah luka. Pasti terkena sipi-sipi anak panah yang disasarkan Angelina. Dan dia tahu Angelina sengaja.

"Mari. Aku rawat luka kau."



────────



"KENAPA kau diam? Tak sedap ke daging tu?" tanya Angelina ketika dia dan Daniall makan malam bersama.

"Sedap." Sepatah Daniall menjawab. Dia memotong daging kepada potongan kecil.

"Itu daging manusia. Aku buru dia di hutan petang tadi," beritahu Angelina selamba.

Daniall angkat kepala pandang wajah Angelina. Dia cuba mengesan sama ada Angelina sedang bercakap jujur atau bohong.

"Angel..." Suara berbunyi amaran.

"Kenapa? Bukankah kau suka? Itu bahagian..."

"... daging rusa." Akui Angelina. Dia sengaja nak bergurau dengan Daniall.

Angelina sentuh tangan Daniall yang ada di atas meja.

"Aku nak kahwin dengan kau. Jadi isteri kau. Itu impian aku."

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top