BAB 19
ZAIMAH tergeleng kepala, risau akan kondisi cucunya yang makin menjadi-jadi fobianya.
"Nenek... saya dan Abang Am minta maaf . Kalau kami tak suruh dia pergi ke makmal peribadi Abang Am tu tentu Encik Zafril tak jadi màcam ni. Niat kami cuma nak bantu pulihkan fobia dia je nenek. Tak ada niat lain." Bersungguh Hanis memohon maaf terhadap Zaimah dek kerana rasa bersalah dengan apa yang terjadi pada Zafril.
Zaimah memandang Hanis dan Arham silih berganti. Tika itu Nina sedang berdiri di sisi Arham. Sedang menatap sayu majikannya yang sudah terbaring lesu di atas katil.
"Tak apa Hanis, Arham. Semua ni terjadi bukan sebab kamu berdua. Dah memang Aril ada penyakit fobia sejak kecil. Semua ni gara-gara kejadian masa silam. Dia menganggap kecurangan mommy dia itulah punca kematian daddy dia. Sampai ke harini, dia masih menganggap kejadian tu adalah punca segala-galanya.
Nenek dah berkali-kali nasihatkan dia supaya lupakan kejadian dulu tu, tapi... dia cakap dia tak boleh lupakan apa yang mommy dia dah buat dekat daddy dia hingga terjadinya tragedi berdarah hingga menyebabkan dia kehilangan kedua-duanya sekali dalam hari yang sama. Màcam manalah hidup dia tak dilanda fobia terhadap wanita? Semua kerana mommy dia yang curang tu..." Tanpa sedar, Zaimah telah membuka kisah kedua ibu bapa Zafril yang menjadi punca cucunya itu fobia teruk.
Waima dia telahpun menceritakan kisah itu pada Hanis tempohari, namun entah mengapa ringan sahaja mulutnya hendak bercerita. Mungkin dia tidak mahu Hanis terus menyalahkan dirinya menjadi punca fobia Zafril kembali lagi.
Hanis menggosok perlahan bahu wanita itu dengan niat cuba menenangkannya.
"Sabarlah nenek..." Hanya itu yang mampu Hanis katakan.
Lama Zaimah mendiamkan diri sambil merenung ke arah cucunya yang masih ketiduran kerana telah menelan ubat yang diberi oleh doktor pakar psikiatri tempohari.
"Sebenarnya, sepanjang hari nenek fikirkan perkara ni. Nenek rasa perkara ni tak boleh ditangguh lagi." Setelah beberapa saat mendiamkan diri, Zaimah bersuara lagi.
Semua mata memandang tepat ke arah nenek dengan pandangan yang penuh tanda tanya di hati masing-masing.
"Maksud nenek?" tanya Nina, ingin tahu.
Kali ini Zaimah meleraikan rangkulan tangan Hanis pada lengannya. Kemudian digenggam kemas jemari runcing milik Hanis itu lama. Anak matanya menilik ke setiap sudut wajah Hanis sebelum membuka mulut.
"Hanis... jadi keluarga nenek, please?" pinta Zaimah dalam nada rayu membuatkan Hanis, Nina dan Arham tercengang.
Sungguh mereka tidak memahami maksud wanita itu.
"Nenek... sekarang ni pun nenek dah anggap saya seperti keluarga nenek sendiri. Dan saya memang anggap nenek lebih dari tu. Saya sayang sangat dekat nenek," balas Hanis, tulus dari hati.
"Ya, nenek tahu kamu sayang sangat dekat nenek. Sama màcam Aril sayang nenek, Nina, Zetty dan Zaim. Arham pun. Tapi, bukan itu yang nenek maksudkan."
"Habis tu, apa?" soal Hanis.
Berdebar Hanis hendak mendengar apa yang bakal diutarakan oleh wanita itu nanti.
"Sebenarnya... nenek cadang untuk... nikahkan kamu dengan Aril dalam bulan ni jugak. Nenek nak kamu sentiasa ada untuk ubati fobia Aril. Tolong tunaikan permintaan nenek ni, sayang..." maklum Zaimah tentang hajat dihatinya membuatkan Hanis tergemap.
Bukan sahaja Hanis, bahkan Nina dan Arham juga dalam keadaan yang sama.
"Tapi nenek..." Tak sempat Hanis menghabiskan ayatnya, Zaimah telah mencantasnya.
"Bantu nenek pulihkan Aril. Tolonglah... Hanis... nikah dengan cucu nenek, tolonglah... kamu akan ada dengan dia selalu. Tolong nenek..." Bersungguh Zaimah mengharapkan bantuan Hanis.
Hanis terkaku. Termati kata. Setujukah dia? Bagaimana dengan Zafril?
***
SG PETAI TAIPING PERAK.
"KAMI di sini tak kisah, Puan Zaimah. Tapi, tak terlalu awal ke untuk mereka bernikah? Hanis pun saya rasa tentu dia belum bersedia lagi." Nasharuddin bersuara setelah Zaimah mengutarakan hajatnya ke situ bersama Nina dan Hanis. Arham turut ada sama.
Zafril kerja tika itu. Zaimah yang menggesa Nina dan Arham membawanya ke kampung Nina untuk perbincangan nikah kahwin.
"Saya dah tanya Hanis, Hanis pun dah setuju dengan cadangan saya ni. Cuma kami perlukan persetujuan dari Encik Nasharuddin sekeluarga sajalah," kata Zaimah.
"Betul ke kamu setuju, Hanis?" tanya Fahizah, mahukan kepastian dari Hanis yang duduk disisinya tika ini bersama Nina.
Hanis terdiam seketika sebelum mengangguk mengiakan kenyataan Zaimah. Kemudian tertunduk.
"Kami ni ikut kamu je. Jika ini keputusan Hanis, ibu dengan ayah ikutkan je. Cuma sebelum buat keputusan tu ibu dengan ayah harap Hanis dah fikir masak-masak," nasihat Fahizah.
"Betul tu Hanis. Nikah kahwin ni bukan perkara yang mudah," sokong Nasharuddin.
Hanis memandang kedua ibu bapa angkatnya itu silih berganti.
"Ibu... ayah... saya buat keputusan untuk terima cadangan nenek sebab saya nak bantu untuk pulihkan fobia Encik Zafril. Dia perlukan bantuan saya. Dia sendiri minta saya bantu dia. Jadi jalan yang terbaik untuk sentiasa bersama dia adalah kahwin..." jelas Hanis membuatkan kedua pasangan suami isteri itu mengangguk faham.
"Kalau dah itu keputusan dan niat kamu, kami ikutkan je. Janji kamu bahagia dengan apa yang kamu buat," ujar Nasharuddin.
"Ibu pun macam tu jugak," celah Fahizah.
"Terima kasih ibu dan ayah sebab restui keputusan saya," ucap Hanis tulus.
"Sama-sama..." jawab Nasharuddin dan Fahizah serentak.
"Syukur alhamdulillah akhirnya encik dan puan setuju jugak," ujar Zaimah, tersenyum lega.
"Kami menghormati keputusan Hanis. Lagipun buat perkara kebaikan tak menjadi salah. Niat Hanis tu mulia untuk membantu pulihkan Tuan Aril. Semoga Allah berkati niat tulus Hanis tu," tutur Fahizah seiring dengan senyuman.
"Ibu... ayah, jangan risau pasal Hanis. Lagipun, Tuan Zafril tu baik orangnya. Dia takkan melukai hati Hanis. Dan sama-sama kita doa semoga Hanis berjaya ubati penyakit fobia tuan," pintas Nina, cuba meyakinkan kedua ibu bapanya.
"Aamiin. Mudah-mudahan. Tapi sempat ke kita nak tempah pelamin apa semua tu?" Nasharuddin bersuara.
"Jangan risau pasal tu. Semua saya dah settle. Baju pengantin diorang pun dah tempah, cuma tunggu nak pergi fitting je nanti. Rasanya minggu depan dah siap semua. Dan... pasal kenduri kahwin tu nanti jangan risau, sebab pihak kami akan tanggung semua. Kita buat persandingan di dalam hotel je, boleh? Sebab cucu saya tu tak boleh ada keramaian jika melibatkan lelaki dan perempuan bercampur. Dia fobia." Zaimah memulakan perbincangan hal nikah kahwin.
Nazrin pula tiada di situ. Sudah mula bekerja. Nashriq? Entah. Pulang ke kampung tapi tak lekat di rumah. Asyik keluar sahaja. Entah ke mana.
***
SEJAK hari itu, Hanis dan Nenek Zaimah sibuk ke hulu ke hilir ditemani Nina dan Zetty untuk persiapan perkahwinan mereka. Hanis yang tak tahu apa-apa hanya menurut sahaja apa sahaja yang dipilih oleh mereka.
Manakala Zafril pula sibuk dengan pengeksportan produknya ke luar negara.
Namun begitu, adakala dia termangu sendiri apabila terkenangkan apa yang diutarakan neneknya beberapa hari lalu. Pernikahan? Ya, tentang tarikh pernikahan yang mahu dipercepatkan itu yang difikirkannya.
"Macam mana aku nak bersanding nanti? Aku pandang dia pun tak mampu. Apa perlu aku lakukan?" Zafril mengurut pelipis dahinya.
Setelah puas berfikir akhirnya dia menghubungi Dr. Raden yang merawat fobianya itu.
"Hello, assalamualaikum doktor..."
"Hello, waalaikumussalam Encik Zafril."
"Maaf jika saya mengganggu doktor. Saya cuma nak tanya doktor sikit ni."
"Eh, tak mengganggu pun. Cuma kejap lagi saya ada patient. Nak tanya apa ya?"
"Oh ye, màcam ni... saya dah nak kahwin hujung bulan ni. Macam mana cara untuk saya kawal perasaan fobia tu ya? Macam darah gemuruh ke... apa yang patut saya lakukan ya?"
"Wah! Tahniah dah nak kahwin... okey masalah darah gemuruh atau fobia untuk bersentuhan dengan wanita adalah suatu perkara yang jarang terjadi . Untuk menanganinya juga agak sukar. Tapi tak mustahil ia mampu dilakukan jika semangat Encik Zafril untuk kawal fobia tu kuat. Jadi saya sarankan encik berzikir banyak-banyak mengingati Allah. Minta air penawar dari ustaz-ustaz untuk kawal perasaan fobia encik sebelum akad nikah dan bersanding," saran Dr. Raden.
"Oh baik doktor. Saya cuba. Doktor ada kenal dengan mana-mana ustaz tak? Kalau ada, saya nak nombor dia boleh?"
"Ada. Nanti saya sent mesej nombor ustaz tu. Dan encik jangan lupa tarikh perjumpaan dengan saya tu hujung minggu ni."
"Baik, doktor. Terima kasih ingatkan saya. InshaAllah saya tak lupa."
"Oh ya, apa-apapun selamat menjadi bakal suami ya encik," ucap Dr. Raden, ramah.
"Terima kasih doktor. Doakan saya supaya dengan pernikahan ni, mampu menghapuskan fobia saya."
"Aamiin. InshaAllah saya doakan encik berjaya harungi fobia tu nanti. Dan kalau boleh, encik tolong buang segala perkara negatif tentang perempuan. InshaAllah lama kelamaan encik boleh kawal perasaan fobia tu."
"Saya akan cuba. Harap segalanya berjalan lancar. Em... doktor, saya ada kerja ni. Saya minta diri dululah ya."
"Baik-baik. Saya pun dah ada patient menunggu tu. Jumpa nanti ya. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam..."
Talian dimatikan. Baru sahaja Zafril mahu menyambung kerjanya, Zaim muncul.
Tersengih lebar lelaki itu memandang Zafril.
"Selamat pengantin baru, Tuan Zafril!" ucap Zaim membuatkan Zafril tersengih. Malu disakat lelaki yang dianggap seperti abangnya.
"Belum kahwin lagilah. Haisy," sangkal Zafril.
"Ya, tapi bakal kahwin. Tak lama dah. Berapa hari saja lagi," kata Zaim.
"Tulah. Aku pun tak sangka. Tapi aku ni... kau tahu ajelah aku ni fobia dengan perempuan. Tapi entahlah. Aku risau kalau aku tak boleh nak bersanding dengan Hanis walau majlis secara tertutup, tidak diwar-warkan. Fikiran aku ni macam-macam ada. Hm..." luah Zafril apa yang dirasainya tika itu.
"Tenanglah. InshaAllah aku percaya kau boleh harunginya nanti... kau boleh kawal perasaan tu. Aku yakin," ujar Zaim, memberi semangat terhadap Zafril.
Zafril hanya terdiam di situ. Resah memikirkan hari perkahwinan mereka yang semakin hampir.
***
"ARIL, tadi staf 'M' Design Boutique call nenek bagitahu, baju pengantin yang nenek tempah tu dah sampai. Diorang suruh kamu dengan Hanis pergi fitting baju. Kalau okey dah boleh bawak balik. Kalau tak okey diorang nak adjust balik," maklum Zaimah terhadap Zafril ketika mereka sedang menonton siaran kegemaran di kaca TV.
Zafril memandang Zaimah.
"Nenek pergi ajelah dengan Hanis. Aril tak bolehlah."
"Kenapa pulak?" soal Zaimah, tertanya-tanya.
"Nenek pun tahu Aril ni fobia dengan perempuan. Macam mana Aril nak pergi fitting baju bagai? Tambah nak berdepan dengan Hanis lagi. Aduh. Lemah jantung ni nenek..." Zafril memberi alasan.
"Tak apalah. Nanti kamu kahwin kena mengadap muka dia jugak. Lagipun kamu cakap kamu nak lawan penyakit fobia kamu. Jadi inilah masanya. Kamu kena lawan fobia tu dengan keluar dengan Hanis. Pergi berdua je. Nenek percaya, bila kamu cuba beranikan diri untuk dekat dengan wanita, inshaAllah suatu hari Allah akan matikan rasa fobia yang membelenggu diri kamu tu selama ni," nasihat Zaimah, berharap cucunya itu mendengar nasihatnya.
Lama Zafril terdiam. Mungkin memikirkan semula kata-kata nasihat neneknya tadi. Dan akhirnya dia tersenyum nipis.
"Saya cubalah nenek . Tapi kena bawak Abang Zaim sekalilah," putus Zafril membuatkan wanita itu tergeleng kepala.
"Terpulanglah. Janji kamu pergi ke butik tu dengan Hanis. Jangan kami tak ambil dia pulak," akur Zaimah.
Zafril mengangguk faham. Zaimah tersenyum.
***
'M' DESIGN BOUTIQUE.
ZAFRIL membawa Hanis masuk ke situ seperti yang nenek mahu. Tetapi dia berjalan dengan Zaim. Dibiarkan Hanis berjalan dengan Zetty.
Sungguh Zafril tak boleh dekat dengan Hanis secara rapat. Takut bersentuhan. Jika bersentuhan dengan para wanita, maka darah gemuruh datang. Dia tidak mahu itu terjadi.
Tika itu muncullah pemilik butik itu menemui mereka berempat.
"Assalamualaikum," ucap salam darinya membuatkan Hanis dan yang lain menjawab salam serentak.
"Waalaikumussalam."
Lelaki itu kelihatan asyik merenung Hanis. Hanis tidak perasan kerana anak matanya ralit meliar ke segenap ruang sudut butik itu .
"Hm, kami datang nak fitting baju. Kata staf dah siap," beritahu Zafril.
"Oh ya, betul. Saya yang suruh dia hubungi nenek encik semalam. Jadi, bolehlah kalau nak tengok baju tu."
"Boleh juga," balas Zafril .
"Mari kita tengok," jemput lelaki itu. Ramah.
Setelah itu mereka mula fitting baju untuk melihat kesepadanannya. Keluar sahaja dari bilik fitting itu, Zaim, Zetty dan pemilik butik itu terkaku melihat kedua-dua bakal pengantin itu.
Zafril tidak berani memandang Hanis. Gugupnya itu usah dikata. Jenuh dikawal rasa itu sehabisnya.
"Wah! Cantiknya... bagai pinang dibelah dua. Cantik sangat..." puji Zetty dan Zaim.
Hanis tersipu malu. Zafril tidak beriak kerana berusaha mengawal fobianya.
"Jom bergambar!" ajak Zaim.
Dan mereka bergambar bersama. Menggigil Zafril dibuatnya bila bergambar dengan Hanis. Nasib tak bersentuhan. Jika tidak, mahu muntah hijau.
Tanpa mereka sedar, Haiman perhatikan mereka. Bahagia dihatinya melihat keceriaan Hanis. Bibirnya tidak lekang dek senyuman.
***
MAJLIS di dalam dewan hotel yang tertutup itu agak meriah juga. Namun hanya dijemput kenalan rapat sahaja dan juga staf dari Jebat Corporation.
Masing-masing menantikan ketibaan pengantin ke situ.
Manakala, Zafril pula yang baru tiba di hadapan hotel itu sudah gementar.
"Nenek... Aril takutlah. Aduh... gemuruh semua ada," adu Zafril terhadap neneknya.
"Tenang... tarik nafas dalam-dalam. Hembus perlahan. Berzikir banyak-banyak. Ni, minum air penawar gemuruh yang ustaz bagi tu. Minum ni. Baca bismillah dan selawat. Niat untuk hilangkan gemuruh dan fobia kamu tu," ujar Zaimah cuba tenangkan cucunya itu.
Zafril mengambil air botol penawar dari tangan neneknya. Dan minum setelah membaca doa.
Dalam waktu yang sama, Zaim dan Zetty muncul. Mereka terlewat tiba ke situ. Hanis dan Nina juga Arham turut sampai.
Datang berasingan kerana selepas akad nikah malam itu, mereka tidur asing. Hanis tinggal dengan Nina sementara kerana tidak mahu Zafril terkejut. Dan fobia menyerang. Lepas bersanding baru akan tinggal bersama. Itu perancangannya.
Tika Hanis keluar dari perut kereta, berhias cantik. Zafril yang terpandang ke arahnya tergemap.
Hingga tidak sedar Hanis berdiri di hadapannya. Punya terkaku.
"Aril! Zafril Ashraff!" Seruan neneknya itu telah menyentakkan lamunan Zafril. Lantas lelaki itu mengalihkan pandangannya. Loya mula terasa.
"Ha! Ha! Sabar. Jangan muntah dulu. Tenang. Kawal perasaan." Zaim menegah.
Zafril terus pejamkan matanya dan menarik nafas sedalam-dalamnya. Setelah hatinya mula tenang, barulah kelopak matanya dibuka.
"Tuan? Dah tiba untuk masuk ke dalam," sergah Sherry yang tiba-tiba muncul ke situ.
"Ha?" Zafril gelabah.
"Jangan risau. Yang ada dalam tu semua kenalan Aril dan klien syarikat juga staf. Tak ada oran luar pun. Yang ada lagi pun keluarga Nina dari kampung. Itu je. Jangan gelabah. Tenang..." Zaimah cuba sabarkan Zafril.
"Baik baik baik. Aril cuba," gugup Zafril di situ.
"Cepatlah encik. Masa dah tiba untuk ketibaan pengantin," gesa Sherry.
"Ya, baik-baik," akur Zafril.
"Ha, tunggu apa lagi? Kepit tangan isteri tu bawa masuk ke dalam," suruh Zaimah membuatkan Zafril teragak-agak untuk pandang Hanis.
Tersengih Hanis di situ.
"Encik? Saya percaya, encik boleh lakukannya. Lawan fobia tu!" kata Hanis.
Lama Zafril termangu. Dan akhirnya dia mengangguk tanpa memandang Hanis. Dengan teragak-agak dia membenarkan Hanis memaut lengannya. Saat itu jantungnya berdegup laju usah dikata.
"Ha, pengantin dah tiba. Kompang!" Suara datang dari pintu masuk hotel.
Kompang dipalu sederet beratur mengiringi pengantin. Nina dan Arham adalah pengapit mereka hari itu. Tersenyum Zaimah menyaksikan Hanis yang berjaya mengawal fobia Zafril hari itu.
Apa akan jadi?
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top