BAB 16
HAIMAN dan Aisyah tersentak tatkala ada suara datang menyergah membuatkan kedua-dua mereka berpaling serentak.
"Mak?" Perkataan itu yang terluah dari bibir Haiman dan Aisyah.
"Kamu jumpa Hanis , Man?" tanya Murni yang sudah menghampiri anak menantu.
"Ya, mak. Dia datang ke butik dengan seorang nenek kaya. Dia nak kahwin dah mak," beritahu Haiman membuatkan wanita itu tersenyum gembira yang teramat.
"Syukur alhamdulillah dia akhirnya ditemui juga. Mak bahagia bila dengar Man cakap dia dah nak kahwin dengan cucu orang kaya. Tu maknanya dia hidup bahagia selama ni." Murni melafaz rasa syukur tulus dari hatinya. Hati seorang ibu.
"Alhamdulillah, akhirnya kita temui Hanis juga. Abang, kenapa tak suruh Hanis ke sini jumpa mak dengan sayang?" Aisyah mencelah. Turut rasa gembira dengan pertemuan antara suaminya dan adik ipar yang mereka cari selama ini.
"Abang tak bagitahu dia lagi siapa abang dengan dia. Dan dia tak tahu pun abang ni abang kandung dia. Abang tak nak dia terkejut nanti. Kalau boleh, biarlah dia kenal abang dulu. Sebab dia akan datang butik lagi lepas ni dengan tunang dia untuk fitting baju," kata Haiman menerangkan apa yang terjadi tadi di butik.
"Bagus Haiman. Biar dia kenal kita dulu, baru mak sendiri akan jelaskan pada dia siapa kita. Mak pun risau juga kalau kita terus bagitahu dia, dia akan terkejut dan bertindak untuk menjauhkan diri dari kita semua. Cukuplah bertahun mak berpisah dengan dia. Mak rindu sangat dengan anak mak tu..." Murni menyokong apa yang Haiman lakukan dan tertunduk sayu kerana merindui Hanis.
"Baik, mak. Man dan Aisyah serahkan pada mak je. Kami takkan bagitahu dia apa-apa hingga mak sendiri yang bongkarkan perkara sebenar." Aisyah dan Haiman menurut sahaja kemahuan Murni.
Dan mereka mula mendekati Murni. Cuba menenangkan hati sayu wanita itu . Sedih campur gembira kerana apa yang mereka inginkan selama ini bakal menjadi kenyataan.
***
ZAFRIL bersiap-siap kemas untuk ke tempat kerja.
Ketika dia tengah mengadap cermin meja solek, tersenyum dia sendiri.
"Hanis? Kenapalah kau yang jadi tunang aku? Aku tak kenal kau. Aku tak tahu dari mana asal kau. Tapi aku tahu kau gadis yang baik. Cuma aku... aku tak tahu kenapa aku fobia teruk bila kau sentuh aku. Apakah makna semua tu?" bicara Zafril di hadapan cermin.
Sebab Encik dah jatuh cinta pada saya...
Tiba-tiba suara ghaib muncul membuatkan Zafril tersentak. Lantas anak matanya meliar ke sekelilingnya di setiap genap ruang kamar itu. Mencari-cari si pemilik suara ghaib dan gemersik itu. Malangnya, tiada sesiapa. Hanya dia bersendirian di situ.
"Zafril Ashraff bin Datuk Seri Jebat! Turun makan!" Suara laungan seperti hari-hari biasa telah kedengaran membuatkan Zafril terperanjat kecil. Dan tersengih sendiri.
"Dah dengar dah suara buluh perindu nenek... ya, i'm coming!" sahut Zafril .
Elok sahaja dia berpaling dan menapak ke muka pintu keluar, ada lagi suara halus menyapa gegendang teliganya.
Encik Zafril dah jatuh cinta...
Terkedu Zafril mendengarnya.
"Jatuh cinta? Pada siapa?" Dia tertanya-tanya.
"Pada saya..." jawab seseorang dari arah belakangnya membuatkan Zafril kembali berpaling.
Terkejut lagi dek kerana bertentang mata dengan seorang gadis cantik.
Zafril memalingkan wajahnya ke arah lain. Jantungnya berdegup laju. Nafasnya berhembus laju.
"Encik dah jatuh cinta pada saya..." ungkap gadis itu lagi dan lagi berulang-ulang tanpa jemu hingga membuatkan Zafril gelabah.
Tidak lama menunggu, dia terus mengatur langkah keluar dari situ. Tidak betah berlama di situ. Takut gadis itu bakal mendekatinya dan menyentuh dirinya yang akan membuatkan dia muntah hijau.
Suara itu masih bergema. Zafril berlari dengan pantas menuruni anak tangga dalam keadaan tertoleh-toleh ke belakang dek kerana perasaan gerun menghantui dirinya. Bayangan gadis itu sungguh misteri baginya yang fobia pada wanita itu.
Tika dia kelam kabut turun tangga hendak menuju ke meja makan...
Gedebuk!
Tak terduga Zafril terlanggar seseorang membuatkan dia jatuh tersembam ke bawah.
"Aduh!" Kedengaran suara orang mengaduh sakit.
Zafril yang pening-pening lalat terbangun duduk setelah mendengar suara seseorang mengaduh sakit.
Elok sahaja Zafril mengangkat kepala, wajah Hanis terpacul di situ. Apa lagi? Kalut di dada lelaki itu makin bergulung-gulung resah dan terus bingkas lari keluar dari rumah. Teruk betul fobianya. Tercengang Hanis di situ.
Nina yang terdengar bunyi bising itu terus keluar dari ruang dapur. Mahu menjengah apa yang berlaku.
Tersentak dia di situ tatkala terlihat Hanis sudah terdampar di atas mozek dalam keadaan terkial-kial hendak bangun duduk. Mungkin pening akibat jatuh terlentang .
"Ya Allah Hanis! Kenapa ni? Ish ish ish..." Nina terus membantu membangunkan Hanis.
"Tadi berlanggar dengan Encik Zafril tu," beritahu Hanis dengan wajah menyeringai sakit kepala, terhantuk agaknya tadi.
"Lah, yeke? Mana dia?" tanya Nina terjengah-jengah mencari kelibat majikannya itu.
"Dia nampak je muka saya, terus lari keluar. Pergi kerja agaknya," tutur Hanis yang sudah bangkit berdiri.
"Pergi macam tu je? Aduhai... tak tolong kau pun? Kau kan tunang dia... tak sempat breakfast dah," bebel Nina.
"Kak Nina tahu ajelah Encik Zafril tu pantang nampak perempuan, paniklah dia. Nak nak lagi jatuh tersembam atas saya tadi. Dia tertengok muka saya, terus lari. Terkejut punya pasal." Hanis memuncung sakit.
"Ish ish ish teruk betul dia tu!" decit Nina sambil tergeleng kepala.
"Ni kau okey tak? Nak pergi klinik?" tanya Nina prihatin.
"Tak payah. Okey je ni." Hanis tersenyum semula.
"Ha, ada apa ni?" Zaimah yang baru turun dari kamarnya menyapa mereka berdua. Memang sengaja dia meminta Nina membawa Hanis kerana ada sesuatu yang dia mahu lakukan pada Hanis.
Apakah? Adalah tu agendanya tersendiri yang telah dirangka lebih awal tanpa pengetahuan sesiapa.
Hanis dan Nina memandang ke arahnya. Tersengih kedua-dua mereka.
"Tak ada apa nenek," bohong Hanis . Tidak mahu nenek tahu bahawa dia dan Zafril jatuh tersembam di hadapan tangga itu tadi.
"Ish, mana ada tak ada apa-apa. Dia jatuh dengan Tuan Aril tadi nenek. Dah tu tuan lari keluar lepas tertengok muka Hanis. Terus ke tempat kerja kot. Fobia teruk betul!" sangkal Nina dengan kenyataan Hanis tadi membuatkan gadis itu terlongo.
"Kak... kenapa bagitahu nenek? Sikit je pun. Bukannya ada apa-apa," tegur Hanis dengan bibir memuncung.
"Biarlah nenek tahu," balas Nina dan terus menapak ke ruang dapur. Mahu menyediakan ubat nenek dan sarapan pagi untuk si tua itu. Sengaja meninggalkan nenek berdua dengan Hanis .
"Hm, Hanis? Kenapa bohong nenek?" Zaimah sudah mendekati Hanis dengan pandangan yang serius kerana gadis itu telah membohonginya.
"Ha? Er... saya tak nak nenek risau je..." Hanis mencipta alasan.
"Ish ish ish... lain kali jujur je dengan nenek. Nenek okey. Tak makan orang lagi. Ha, ada sakit di mana-mana ke?" Wanita itu membelek-belek tubuh Hanis membuatkan gadis itu tersengih lucu.
"Tak ada apa-apalah nenek. Saya okeylah. Pening sikit je." Hanis meyakinkan wanita itu berkali-kali. Barulah Zaimah menghentikan perbuatannya.
"Kalau macam tu, jom kita pergi breakfast dulu. Dah tu nanti, ada sesuatu yang nenek nak Hanis lakukan," ujar Zaimah seraya mengepit lengan Hanis dan dibawa ke ruang makan.
Terpinga-pinga Hanis dibuatnya.
Selesai sarapan pagi, Zetty muncul. Zaimah yang menghubunginya tadi mahu dia ke situ. Ada urusan katanya. Apakah?
Kini, semua menunggu di ruang tamu mengadap Nenek Zaimah .
"Assalamualaikum semua," ucap salam dari wanita itu sebagai pembuka kata.
"Waalaikumussalam nenek..." jawab mereka serentak.
"Tujuan nenek panggil kamu semua ke sini sebab... nenek nak kamu semua bantu nenek untuk ubah Hanis. Dari segi jalan, pakaian, dan percakapan... semuanya. Sebab dia dah nak jadi isteri CEO. Takkan berperwatakan màcam budak-budak lagi?" terang wanita itu panjang lebar tujuan dia memanggil mereka ke situ.
"Macam budak-budak?" Wajah Hanis berubah mendung.
"Maksud nenek... biar perwatakan kamu tu be like isteri CEO. Bukan lagi pakai pakaian dan berperwatakan orang biasa. Ha gitu..." Zaimah membetulkan ayatnya kerana tidak Hanis salah faham maksudnya.
"Oh... okey dah faham... " Baru Hanis mengangguk faham dengan penerangan Nenek Zaimah .
"Jadi, nenek nak kami bantu nenek untuk ubah Hanis? Itu tujuan nenek panggil kami ke mari?" tebak Zetty pula.
"Ya, tepat sekali!" sahut Zaimah bersama senyuman dengan gaya wanita berkarisma membuatkan mereka tersengih dengan aksinya.
"Jadi nenek nak kami buat apa?" Nina pula menyoal, ingin tahu.
Zaimah memandang mereka seorang demi seorang. Kemudian menjongket-jongketkan keningnya.
"Pertama! Ajar cara Hanis bercatwalk ala-ala model." Wanita itu mula memberi tugas dan merangka apa yang perlu mereka lakukan pada Hanis hari itu.
Hanis terlongo. Terkebil-kebil matanya mendengar arahan nenek.
"Itu mudah je. Nina pun boleh ajar. Tapi kalau bab fesyen serah pada Kak Zetty. Dia pakar kalau bab fesyen muslimah gitu..." kata Nina dengan cerianya. Bersedia untuk membantu mengubah Hanis seperti yang nenek mahu.
"Good girl. So, tunggu apa lagi? Let's start now!" Zaimah menepuk tangan tanda mahu mereka segera menjalankan tugas masing-masing sementara Zafril tiada di rumah.
Bukan main lagi Zaimah speaking.
Cucu-cucunya kelam kabut bingkas bangkit dari kerusi. Bersedia untuk jalankan tugas masing-masing.
Dan mereka mula memadankan baju yang sesuai untuk Hanis. Zetty menghias wajah Hanis menjadi ala-ala supermodel. Kemudian tugas Nina pula mengajar Hanis berjalan ala-ala lenggok kucing dan model terkemuka itu. Hanis pada awalnya terkial-kial untuk belajar. Dengan buku diletakkan ke atas kepalanya dan cuba mengimbanginya.
Berapa kali terjatuh. Dan akhirnya berjaya berjalan ala-ala model seperti yang Nina ajar. Walaupun tak sehebat model sebenar. Bolehlah dari tak ada bagi yang baru belajar seperti Hanis.
"Okey, sekarang ni nenek nak Nina dan Zetty ajar cara dia berjalan pakai heel," arah Zaimah.
"Baik nenek..." akur Nina dan Zetty serentak.
"Heel tu apa?" tanya Hanis tak faham.
"Maksud nenek, kasut tumit tunggi tu sayang..." terang Zetty pula membuatkan Hanis membulat matanya dengan gelengan tanda tidak setuju.
"Tak naklah nenek, kak... saya takut jatuh. Saya tak reti nak kawal nanti. Buatnya saya jatuh depan Encik Zafril tu nanti, macam mana? Malu mendapat nenek..." Respon dari Hanis itu membuatkan Zaimah dan yang lain tersenyum.
"Kau kena cuba dulu, Hanis. Aku tahu kau boleh!" pujuk Nina.
"Nenek nak kamu belajar pakai heel sebab nanti lepas kahwin, Aril tu selalu dapat jemputan ke majlis-majlis besar. Dan Syarikat Jebat Corporation tu pun selalu adakan event . Kamu perlu hadir dengan heel untuk berjumpa dengan ahli korporat. Biar nampak elegance dan berkeyakinan tinggi. Nanti orang atasan tak pandang lekeh pada kamu, faham?" Giliran Zaimah pula memujuk.
Hanis terdiam akur setelah mendengar leteran si tua itu.
"Ha tunggu apa lagi? Pergi ambil heel yang kita beli semalam tu," arah Zaimah pada kedua cucunya itu.
Nina yang pergi.
Tidak sampai 5 minit, Nina kembali bersama kasut tumit yang mereka belikan untuk Hanis.
"Ha... dah sampai pun. Hanis, cuba pakai dulu," suruh Zaimah.
Mahu tak mahu, Hanis terpaksa turuti kehendak si tua itu.
Hingga ke petang mereka melatih Hanis. Menjadi ke tidak? Nantikan...
***
"SHERRY, masuk kejap," pinta Zafril melalui mesin interkom.
"Baik, tuan," jawab Sherry.
Butang interkom dimatikan .
Zafril memeriksa akaun jualan keluar masuk bulanan dari syarikat itu.
Tidak sampai 2 minit, Sherry masuk ke situ seperti yang diarahkan. Zaim pula sibuk membuat kerjanya di bilik pejabatnya.
"Ada apa tuan?" tanya Sherry setelah berdiri di hadapan meja kerja Zafril.
Seperti biasa Zafril takkan sesekali bertentang mata dengan wanita berbadan agak gempal itu. Nama sama dengan Sherry Al-Hadad. Wajah pun nak iras juga.
"Duduk," arah Zafril sambil menyemak kertas kerjanya.
Sherry hanya menurut.
"Ada apa tuan?" tanya Sherry lagi.
"Em... saya nak awak tolong tempahkan dinner untuk dua orang malam ni." Zafril memberi tugasan pada Sherry tanpa memandang wajah itu.
Berkerut dahi Sherry .
"Tempah untuk siapa tuan?"
"Adalah. Tapi tempah atas nama saya. Lepas tu, pergi ke 'M' Design Butik. Tanya staf atau pemilik butik tu, baju yang saya nak tempah tu dah siap ke belum? Kalau dah siap bagitahu saya, saya akan datang ke sana."
"Baik, tuan. Tapi baju apa yang tuan tempah? Untuk siapa?" Sherry mula menyibuk hendak tahu.
"Tak payah sibuklah nak tahu. Saya suruh buat tu buat jelah. Lagipun, awak bukan buat apapun. Asyik bertiktok je. Jadi saya bagi awak kerja."
"Mana ada tuan. Saya buat kerja!" nafi Sherry sekerasnya.
"Awak lupa ke yang bilik saya ni jenis berdinding kaca lutsinar? Saya boleh nampak apa yang awak buat. Awak korek lubang hidung tu pun saya nampak tau. Inikan pulak berjoget main tiktok, ingat saya tak nampak? Kerja yang saya bagi, kelaut dalam. Fail-fail dah susun ke?" bebel Zafril berjela membuatkan Sherry terkedu.
"Aik? Tuan nampak semua tu? Tuan nampak saya korek hidung jugak?" Membulat mata Sherry.
"Lebih dari tu saya nampak. Saja saya tak tegur je sebab nak tengok gelagat awak. Awak ni beruntung tau sebab saya tak pecat awak. Awak pun tahu penyakit saya yang fobia dengan perempuan. Disebabkan awak orang lama dekat sini, dan hanya awak yang tahu selok belok kerja di sini, saya tak jadi nak pecat awak. Tapi bila saya bagi peluang pada awak, awak main-main dalam kerja. Tengoklah haritu masa perjumpaan dengan client saya. Saya suruh awak buat lain, lain yang awak buat. Saya suruh awak sediakan pembentangan tentang produk minuman terbaru kita pada client dalam pendrive. Tapi apa yang awak buat?
Awak save gambar awak dalam tu. Malu saya dengan diorang tau masa saya bentangkan pada diorang, bukan minuman terkini dari syarikat ni yang keluar. Tapi gambar dan video tak senonoh awak tu yang keluar. Saya malu tau! Nasib baik client saya tu faham yang awak tersilap. Jika tidak, habis semua pelanggan dari syarikat ni lari disebabkan sikap cuai awak ni." Panjang lebar Zafril tazkirahkan Sherry membuatkan gadis itu menggumam bibir malu .
"Maafkan saya tuan. Saya janji Tak buat lagi perangai macam tu. Tuan percayakan saya ya?" Sherry memohon maaf atas khilafnya.
"Jangan minta maaf saja tapi tak buat. Buktikan. Dan lain kali alert! Saya nak sekali saya suruh awak dah faham. Jangan buat blur sangat. Kalau tak, saya potong gaji awak." Zafril memberi amaran terhadap Sherry.
Laju sahaja gadis itu mengangguk faham dan akur dengan amaran itu.
"Bagus. Awak boleh pergi," arah Zafril membuatkan Sherry tersenyum sumbing dan terus meminta diri pergi dari situ untuk menjalankan tugasnya .
Elok sahaja Sherry keluar, Zaim masuk.
"Apahal tu? Monyok je..." tanya Zaim.
"Kena bebel dengan aku tadi memanglah monyok." Zafril memandang Zaim tanpa riak.
"Oh patutlah. Kenapa?" Zaim melabuhkan duduknya di hadapan Zafril.
"Aku tegur dia tu jangan blur dan cuai. Rajin-rajin buat kerja bukan asyik bertiktok je. Tu yang monyok tu."
"Hahaha tu la . Cuai la dia tu. Malu dengan pelanggan kita. Cari setiausaha lainlah senang. Tak payah serabut fikir pasal dia," saran Zaim.
"Tak boleh, bang. Aku fobia. Aku tak boleh. Aku dah selesa dengan Sherry. Jadi biarkan dia. Tu aku dah bagi tugas luar dekat dia. Aku nak tengok, dia jalankan tugas tu ke tak," balas Zafril.
"Tugas apa?" Zaim pelik.
"Aku suruh dia pergi ke butik dengan tempah annual dinner untuk malam ni," jawab Zafril selamba.
"Untuk siapa?"
"Kau ingat tak, kau pernah cakap yang kau cabar aku untuk keluar dengan Hanis tu lepas kita balik dari jumpa pakar tu?"
Zaim mengangguk tanda dia ingat. Memanglah dia ingat sebab dia yang mencabar Zafril tika itu. Hanya kerana dia geram dengan lelaki itu yang tak habis-habis dengan fobianya.
"So? Maksud kau?" Soalan Zaim itu hanya dibalas sengihan dari Zafril sahaja.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top