BAB 14

"OH MAK KAU!" Zafril terjerit spontan dan terus termuntah di situ.

Terperanjat Hanis dengan respon lelaki itu. Niatnya mahu menghilangkan fobia lelaki itu. Tetapi, lain pula jadinya. Kelam kabut Hanis. Panik.

"Encik? Encik okey tak? Maaf, maafkan saya! Encik..." Hanis serba salah , tak tahu nak buat apa.

Takkan dia nak tolong gosok belakang lelaki itu pula? Nanti lain pula jadinya.

"Uwerk! Bluerk!" Teruk Zafril muntah di situ membuatkan Hanis gelabah.

Tanpa menunggu, dia terpaksa menggosok belakang lelaki itu. Dengan niat mahu meredakan loya lelaki itu.

"Jangan! Jangan sentuh!" Spontan Zafril menepis tangan Hanis dari menyentuhnya.

Tersentak Hanis dengan tindakan lelaki itu. Langsung perbuatannya terhenti. Tika itu, nenek dan yang lain masih berada di dalam rumah. Berbual lagi agaknya.

"Maaf, maaf, maafkan saya, encik!" Bertalu-talu Hanis memohon maaf, kerana merasakan bahawa dirinya punca lelaki itu termuntah teruk sebegitu.

"Tak apa, tak apa. Pergi pergi. Saya saya saya... saya tak boleh. Saya tak boleh ... tak boleh terkena sentuhan dengan perempuan. Maafkan saya. Saya saya fobia..." Menggigil Zafril di situ seraya menerangkan pada Hanis mengapa dia jadi begitu.

Dan dia cuba fahamkan Hanis agar tidak menyentuhnya lagi. Dia mahu bersendiri.

Hanis mengangguk faham.

"Saya faham encik fobia dengan perempuan. Tapi... encik kena lawan perasaan tu. Encik tak boleh layan perasaan tu. Saya yakin, encik boleh."

Zafril hanya menggeleng dalam keadaan termengah-mengah dan lembik kerana muntah teruk tadi. Dadanya diurut-urut cuba menghilangkan rasa loya.

"Tak apalah. Nak saya bantu ke?" Hanis yang berdiri di belakang Zafril cuba menjengahkan kepalanya untuk melihat keadaan lelaki itu.

Zafril yang tersedar terus menahan tangannya ke hadapan muka Hanis tanpa memandang wajah itu.

"Jangan dekat!" tegah Zafril, tegas.

"Tapi... encik teruk ni. Saya bantu encik bawa masuk ke dalam ya? Saya risau encik jatuh pengsan nanti." Hanis risau.

"Tak payahlah. Saya cakap pergi!" Zafril mula meninggikan suaranya yang menggetar itu kerana menggigil.

Hanis terkedu dimarahi Zafril.

"Encik nak saya panggil nenek atau Encik Zaim?"

Zafril mengurut pelipis dahinya dan lehernya yang masih terasa mual dan perit tanpa menjawab persoalan Hanis.

"Saya pergi ambil air kejap," kata Hanis, dan terus berlalu dari situ meninggalkan Zafril sendirian berpaut pada batang pokok manggis di halaman rumah itu.

Setelah Hanis berlalu dari situ, Zafril mencuri pandang ke arahnya. Jantungnya berdegup laju. Rasa itu tak ada pada wanita lain jika mendekatinya. Tetapi Hanis? Entah mengapa dia rasa lain màcam sampai termuntah. Apa yang pasti, Zafril tahu Hanis tak sama seperti arwah mommynya mahupun Izara. Hanis gadis luar biasa. Ya, hanya itu yang dia rasa. Cuma satu, dia tak mampu mengawal perasaan fobianya bila berdepan dengan wanita.

Namun Zafril tidak perasan bahawa dirinya juga sedang diperhatikan dari jauh. Siapa?

Nazrin berdiri di belakang rumah itu menyaksikan adegan Zafril dan Hanis tadi.

Jantungnya juga berdegup laju dengan tidak semena-mena. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia harus merasai itu.

"Abang Arin harap Hanis bahagia dengan dia. Walaupun dia fobia, abang yakin Hanis mampu mengubahnya..." bicara Nazrin sendirian.

Tanpa sedar, dirinya menjadi tatapan Nina dari pintu belakang.

"Adik tahu, abang sukakan Hanis. Tapi... ada sesuatu menjadi penghalang. Adik harap abang mampu harunginya nanti." Baru sahaja Nina ingin melangkah ke ruang tamu...

Buk!

Bunyi sesuatu jatuh mengejutkan Nina. Lantas dia menoleh. Terbuntang biji matanya dengan apa yang terhidang di ruang matanya.

"Abang Arin!" Hanya itu yang meniti keluar dari bibirnya.

Apa yang terjadi?

***

NAZRIN yang baru tersedar meliar ke sekeliling. Bertaut keningnya, hairan. Dia berada di tempat yang begitu asing baginya. Yang pasti, itu bukan bilik tidurnya. Lantas dia ingin bangkit duduk, namun dengan tidak semena-mena kepalanya terasa berpinar. Keadaan itu automatik telah membantutkan niatnya.

"Aduh!" Nazrin menyeringai sakit yang menyengat pada kepalanya sendirian dalam keadaan mata terpejam rapat. Cuba menahan rasa.

"Abang Arin?" Nama Nazrin diseru telah menyentakkan lelaki itu.

Lalu kelopak matanya dibuka perlahan, cuba mencari tuan si empunya suara yang menyerunya tadi.

Wajah sugul Hanis yang terpacul di situ membuatkan Nazrin terperanjat kecil.

"Ha... Hanis?" Tergagap-gagap Nazrin hendak bersuara, menyebut nama Hanis.

"Abang berehatlah. Tak perlu bangkit," tahan Hanis setelah melihat Nazrin mencuba untuk bangun duduk.

Nazrin tidak jadi bangkit. Dan kembali berbaring.

"Abang kat mana ni?" tanya Nazrin, ingin tahu keberadaannya.

"Kat hospital. Abang pengsan tadi. Nasib baik Nina yang jumpa abang. Kalau tak..." Hanis tertunduk seketika setelah menerangkan apa yang terjadi terhadap lelaki itu sebelum dihantar ke hospital.

"Kalau tak, apa?" soal Nazrin apabila mendapati gadis itu menyepi. Wajah itu masih menjadi tatapannya tanpa jemu.

Hanis mengangkat wajahnya memandang seraut pucat milik Nazrin.

"Kenapa Abang Arin tak bagitahu saya yang abang sakit?" Soalan Nazrin tadi tidak dijawab. Sengaja dibiarkan tergantung.

Malah, dia terus mengajukan soalan lain yang sejak tadi bermain dibenaknya.

Nazrin tersentak mendengar soalan itu.

'Dia dah tahu ke?' desis Nazrin di dalam hati.

"Jadi, Hanis dah tahu?" Soalan Hanis dibalas soalan pula oleh Nazrin.

Hanis hanya menjawab dengan anggukan sahaja. Tanda dia sudah tahu.

"Doktor bagitahu ke?" tanya Nazrin lagi. Inginkan kepastian.

"Tak. Nina bagitahu. Sebab dia yang hantar abang ke hospital tadi. Saya baru sampai lepas tunang saya balik dengan rombongan dia tu. Tunang saya pun muntah teruk tadi. Dan saya tak sangka pula abang pengsan. Itu yang terkejut bila Nina bagitahu kami abang pengsan dekat belakang rumah tu. Abang migraine ye?"

"Migraine?" Berkerut dahi Nazrin mendengar perkataan 'migraine' yang disebut Hanis tadi. Kenapa?

"Ha'ah, Nina cakap abang ada migraine. Itu yang sampai pengsan," sahut Hanis.

Tersengih Nazrin mendengarnya.

'Dia tak tahu rupanya...' bisik hati kecil Nazrin.

"Oh Nina cakap macam tu? Ya, abang ada migraine. Tapi tak selalu. Kejap je ni. Nanti okeylah. Hanis ni yang buat muka monyok macam tu kenapa?" akui Nazrin dengan apa yang dikatakan Hanis.

"Yelah, risau tengok abang pengsan tadi. Saya ni jenis mudah risaukan orang. Tambahan dengan orang yang saya suka..." Hanis tertunduk lagi bila ayat hujung diluahkan .

Termati senyuman Nazrin.

"Hanis... Hanis dah tunang. Sepatutnya Hanis kena sukakan tunang Hanis. Bukan abang. Abang harap Hanis faham," nasihat Nazrin sebagai seorang abang kepada adiknya. Itu yang dia rasa kini.

Benarkah itu yang dia rasa?

Kata-kata nasihat dari Nazrin itu membuatkan Hanis termalu sendiri. Malu lagi. Dua kali dia dapat malu disebabkan suka pada lelaki itu.

"Abang Arin jangan ingat saya tak tahu. Abang tak nak saya sukakan abang sebab abang sakit tu, kan?" tembak Hanis .

Nazrin terpempan.

"Taklah. Abang anggap Hanis sama macam Nina. Hanis tolong jangan salah faham. Mana Nina? Abang nak jumpa dia." Nazrin cuba menafikannya dan segera menukar topik perbualan mereka.

Sungguh dia tidak mahu Hanis terus berbicara soal hati dengannya.

Hanis sedih. Namun dalam hati dia tahu, dan dapat merasakan. Lelaki itu menolak cintanya kerana sakit. Rasa sakit itu menjadi puncanya. Itu yang Hanis tanam dalam fikirannya. Nafasnya dihela kemudian dihembus kuat sebelum berlalu keluar dari wad itu bersama hati yang membungkam.

Nazrin tidak pula menahan. Hanya menghantar kepergian gadis itu dengan ekor matanya sahaja. Dia tahu Hanis terluka. Tetapi, apa yang dia mampu lakukan melainkan hanya berdiam diri di situ. Menelan rasa sendiri.

Akhirnya, Nazrin mengeluh berat sendirian di situ setelah Hanis hilang dari pandangan.

Tidak lama kemudian, Nina pula yang masuk ke situ dengan ibunya.

"Abang Arin? Macam mana? Dah okey? Sakit lagi tak?" sergah Nina dengan bertalu-talu soalan yang diajukannya.

Bimbang benar dengan kondisi abangnya itu. Begitu juga dengan Fahizah yang sudah beriak risau.

"Alhamdulillah dah okey sikit. Hm, terima kasih adik, ibu," ucap Nazrin setelah menjawab pertanyaan adiknya itu.

"Terima kasih untuk apa?" tanya Fahizah, pelik.

Mereka berdua melabuhkan duduk di atas kerusi pelawat di sisi katil pesakit mengadap Nazrin.

"Sebab bantu Arin tadi. Kalau tidak, lagi banyak persoalan Hanis tu. Arin tak tahu nak jawab apa nanti," jelas Nazrin.

"Untuk Arin, ibu sanggup lakukan apa saja. Tapi soal hati ni, ibu nak nasihatkan Arin... jangan terlalu memendam. Takut nanti ia memakan diri. Ibu tak nak Arin sakit parah di kemudian hari kerana cinta. Perasaan kita apa yang kita rasa, tak boleh dibuat main. Tak boleh diabaikan. Arin faham maksud ibu, kan?" nasihat Fahizah dalam nada lembut.

Rambut Nazrin yang sedikit serabai itu dibelainya lembut. Nina pula hanya mengangguk menyokong kata-kata nasihat ibunya terhadap lelaki itu.

Nazrin tersenyum pahit.

"Ibu... janganlah risau. Arin tahu apa yang Arin buat. Hati dan perasaan Arin tak penting. Yang penting Hanis bahagia nanti. Dan yang paling penting sekali, Arin ada ibu, adik, ayah dan Ariq yang sayangkan Arin. Itu dah cukup buat Arin. Ariq tu walaupun dia lain sikit perangainya tu, tapi Arin tahu... dia ambil berat pasal Arin."

Fahizah hanya membatukan diri di situ. Akur dengan kehendak Nazrin sendiri. Wajahnya berubah mendung. Sedih mendengar luahan Nazrin.

"Abang tak bagitahu perkara sebenar ke dekat Hanis? Diorang baru bertunang. Belum kahwin lagi. Masih sempat kalau abang nak adik terangkan perkara sebenar," celah Nina yang sejak tadi mendiamkan diri.

"Jangan. Biarkan begitu je," halang Nazrin.

Nina berubah riak muram.

"Haih, apa ni? Ziarah orang sakit sepatutnya kena bagi senyuman. Biar hati pesakit tu happy. Ini semuanya muram dan sedih je, kenapa? Tak syioklah macam ni. Senyum please?" tegur Nazrin setelah menyedari ibu dan adiknya berubah riak sedih.

Dengan perlahan mereka menghadiahkan senyuman untuknya.

"Macam tulah. Ha, Ariq dengan ayah mana?" Kepala Nazrin menjengah ke arah pintu masuk bilik wad yang didudukinya itu.

"Ada di luar tu. Tadi diorang pergi solat kejap. Dah waktu asar ni, kan..." beritahu Fahizah, senada.

"Oh, Arin pun nak pergi solat kejap," kata Nazrin dan mula bangun duduk . Berkira untuk pergi mengambil wudhuk dan solat asar.

"Boleh. Tapi solat dalam bilik ni je. Tak payah keluar. Nanti pengsan lagi, susah," jawab Nina.

"Ye, abang tahulah," sahut Nazrin siap pakej menjeling adiknya lagi.

Tersengih Nina dengan respon abangnya itu.

Entah apalah yang mereka sedang sembunyikan dari Hanis.

Namun, mereka tidak sedar, Hanis telah mendengar perbualan mereka dari sebalik pintu . Dan tanpa menunggu, dia terus berlalu pergi dari situ apabila mendapati Nazrin ingin keluar ditemani oleh Nina.

***

ZAFRIL termangu sendirian di hadapan televisyen, menonton rancangan di kaca TV. Hanya matanya menatap di situ. Tetapi hati dan fikirannya, entah ke mana.

Adegan dia bertembung dengan Hanis diulang tayang berkali-kali. Dari hari pertama dia bertemu Hanis lagi. Tika itu, dengan tidak semena-mena jantungnya berdegup lagi. Tangan Zafril dinaikkan dan melekap ke dada. Cuba mengawal debaran yang maha hebat.

Zafril cuba pejamkan mata serapatnya. Fikirannya cuba dikosongkan. Sebolehnya dia tidak mahu mengingatinya lagi.

"Encik Zafril? Encik... encik rindu saya ya?" Sekali lagi suara itu datang menyapa gegendang telinga Zafril mengejutkan lelaki itu.

Lantas kelopak matanya dibuka luas. Anak matanya meliar ke segenap ruang tamu itu. Kosong. Nafasnya turun naik.

"Siapa tu?" tanya Zafril, waima dia tahu itu hanya ilusinya. Tetapi dia tetap mahu tahu.

"Encik Zafril sayang..." Suara itu masih bergema.

Tertoleh ke kiri dan sekejap ke kanan. Sekejap pula ke belakang. Tercari-cari arah datangnya suara itu.

"Cari apa sayang?" Lembut nada suara itu menangkap halwa telinga Zafril membuatkan lelaki itu terbangun dari duduknya. Gelisah. Takut pun ada.

"Siapa kau? Kenapa kau ganggu aku?"

"Saya gadis yang encik cintai..." jawab suara ghaib itu bersama tawa halus.

"Jangan main-mainlah! Aku fobia dengan perempuan. Aku takkan jatuh cinta dengan mana-mana perempuan. Siapa kau? Kenapa kau ganggu aku? Apa kau nak?" nafi Zafril dalam nada keras kerana terasa jiwa dan emosinya terganggu.

"Jangan marah sayang..."

"Keluarlah kalau berani! Kenapa tak munculkan diri? Kau pengecut! Hanya berani mengganggu emosi manusia je. Tapi untuk memunculkan diri, kau tak berani. Kau penakut!" cabar Zafril.

"Encik Zafril pun pengecut. Nampak perempuan cantik je takut. Bila bersentuhan dengan perempuan cantik, encik termuntah hijau dekat situ jugak. Kalau saya muncul, encik berani ke pandang muka saya? Encik lupa ke yang encik tu fobia pada perempuan? Sebenarnya, enciklah seorang yang pengecut. Kerana memori silam, encik pendam dan dendam hingga ke hari ni. Bahkan takut untuk mendekati wanita. Uh, encik seorang yang pengecut!" ejek suara itu, memulang buah paku keras.

Ejekan suara itu telah berjaya mencabar keegoan Zafril.

"Aku bukan pengecutlah! Kalau kau berani munculkan diri. Muncullah! Kita bertentang mata sekarang!" Zafril cuba beranikan diri mencabar suara itu kembali kerana tidak mahu dikatakan pengecut.

Sepi. Tiada lagi suara yang muncul berbalas kata dengan Zafril.

Pandangan Zafril dihala ke seluruh sudut ruang penjuru rumah itu. Mencari kelibat suara ghaib tadi.

Dalam tengah mencari-cari...

Pap!

Terasa bahunya disentuh oleh seseorang membuatkan Zafril tersentak. Lalu menoleh seiring dengan memalingkan tubuhnya ke belakang.

Terkejut Zafril apabila figura Hanis yang muncul di situ. Terbelalak matanya merenung gadis itu. Dengan sepantas kilat, dia melarikan pandangannya.

"Kenapa? Tadi encik cabar saya mahu saya muncul di hadapan encik. Jadi, sekarang saya dah sahut cabaran encik... pandanglah saya kalau encik berani." Ternyata gadis itu benar-benar muncul.

"A... awak buat apa kat sini? Macam macam... macam mana awak boleh masuk ke sini?" Tergagap-gagap Zafril menyoal Hanis tanpa memandang gadis itu.

"Saya akan muncul bila encik teringatkan saya," jawab gadis itu dengan senyuman termanis.

Namun sayang, senyumannya itu langsung tidak dapat dilihat oleh Zafril kerana lelaki itu memalingkan wajahnya ke arah lain.

"Mana ada. Saya tak ingatkan awak pun. Mana ada. Tak ada tak ada!" Zafril menafinya keras.

Walhal dalam hati hanya Allah yang tahu, setiap detik bayangan Hanis datang. Gila bayang agaknya. Dia sendiri tidak pasti.

"Encik rindu saya..." dakwa gadis itu lagi.

"Tak!" sangkal Zafril berlalu dari situ meninggalkan Hanis di situ.

"Ya!" Tiba-tiba gadis itu muncul mengejut di hadapan muka Zafril telah memeranjatkan lelaki itu.

"Oh nenek aku! Kurus semangat aku!" bentak Zafril seraya menutup mukanya sendiri kerana tidak mahu bertentang mata dengan gadis itu.

"Encik rindu saya?" tanya gadis itu.

"Ish, tak! Baliklah. Pergilah pergi! Jangan ganggu aku!" usir Zafril, benar-benar tegas dalam keadaan masih menutupi wajahnya .

Sepi. Dalam seminit dua Zafril kembali menurunkan tangannya dari terus menutupi ke wajahnya gara-gara fobianya. Disangkanya gadis itu telah pergi.

"Fuh! Dah pergi pun... lega!" Zafril menarik nafas lega setelah memastikan gadis itu memang benar-benar sudah menghilang.

"Encik Zafril!" sergah gadis itu membuatkan Zafril terperanjat besar hingga terloncat ke belakang.

"Encik Zafril... takdir itu milik kita..." Suara itu berbisik ke telinga Zafril tanpa bertuan membuatkan lelaki itu menerkup telinganya . Resah.

Kepalanya tertoleh-toleh ke sana sini mencari tuan empunya suara yang sudah tidak kelihatan.

Namun dengan tidak semena-mena...

"I love you!" lafaz seseorang dan merangkul tubuh Zafril dari arah belakang, membuatkan lelaki itu terpempan. Mulutnya terlohong.

Berkali-kali Zafril meneguk air liur kerana terasa mual yang maha teruk. Rasa itu lebih teruk apabila anak matanya melorot ke bahagian abdomen perutnya. Ada tangan berkulit putih melekap elok di situ. Lantas jantungnya kembali berdenyut laju.

"Zafril..." Dengar sahaja namanya diseru, Zafril terasa angin dari perutnya melonjak naik ke atas dan...

"Bluerk! Uwerk!" Termuntah lagi dia di situ.

"Aril! Kenapa ni?" Pada waktu yang sama kedengaran suara seseorang panik menyergah Zafril.

Belakang Zafril digosok.

"Ya Allah cucu aku... apahal ni boleh termuntah teruk ni? Salah makan ke apa?" Suara itu amat dikenali Zafril . Lantas dia menoleh memandang ke arah suara itu.

Tersentak Zafril tatkala bertentang mata dengan neneknya.

"Nenek? Fuh! Terkejut Aril. Sejak bila nenek ada kat sini?" tanya Zafril setelah puas menghabiskan muntahnya dan mula berpaut pada bahu neneknya.

"Baru je turun tadi. Nenek nak ke dapur minum air, tiba-tiba dengar suara kamu terjerit-jeritlah bagai. Itu yang nenek terus ke sini. Tengok kamu dah termuntah teruk ni. Kenapa?" Bertalu-talu soalan yang Zaimah ajukan dek kerana terlampau risaukan keadaan Zafril yang sudah lemah .

        "Nenek? Tadi... tadi Hanis ada datang ke?" Teragak-agak Zafril menyoalnya untuk mendapatkan kepastian.

         Bertaut kening Zaimah mendengar soalan itu.

        "Hanis? Tak adalah. Buat apa dia nak datang sini malam-malam macam ni? Dia kan dekat kampung Nina. Apa kamu tanya soalan merepek macam tu?" Pelik si tua itu dengan Zafril .

          Terkedu Zafril mendengarnya. Ternyata, dia hanya berkhayal. Memang benar gadis itu datang dalam dunia ilusinya. Parah betul. Zafril menghela nafas berat.

          "Hm, kenapa tiba-tiba tanya Hanis ni? Rindu dia ke?" Sekali Zaimah mengutarakan soalan cepumas pula.

           Zafril menggelengkan kepalanya.

           "Taklah. Tanya je. Nenek pergilah masuk tidur. Maaf Aril mengganggu nenek tidur. Nanti Aril cuci muntah ni sendiri. Nenek pergilah tidur," suruh Zafril dengan sengaja mengubah topik.

          Tidak mahu nenek tahu soal hatinya yang diganggu oleh bayangan Hanis.

          "Hm, betul ni tak rindu Hanis?" Sengaja Zaimah mahu menduga Zafril.

           "Nenek..." rengek Zafril. Tidak suka neneknya menyoal tentang itu lagi .

           "Okey okey okey. Nenek naik tidur sekarang lepas minum air masak. Kamu tu jangan berjaga lama sangat. Esok kamu ada appointment dengan pakar fobia tu kan?" Sempat Zaimah mengingatkan cucunya tentang temu janji untuk rawatan penyakit fobia Zafril sebelum berlalu ke ruang dapur.

         "Ye ye ye nenek. Aril tahu. Esok Aril pergi dengan Abang Zaim. Dah, pergi masuk tidur," desak Zafril mahu wanita itu segera naik tidur kerana tidak mahu neneknya terhidu sesuatu yang Zafril cuba sembunyikan.

          "Ye ye ye ye nenek masuk tidur dulu," ejek Zaimah, meniru gaya Zafril tadi dan terus berlalu ke ruang dapur. Meninggalkan Zafril terlohong sendiri.

          "Eh nenek ni, ejek kita pulak," omel Zafril sambil tergeleng kepala.

           Elok sahaja Zaimah menghilang di balik pintu gerbang dapur, Zafril kembali ke riak asalnya . Riak cuak. Terkejut masih tersisa. Terkejut kerana menyangka dia dipeluk oleh Hanis. Parah.

           Tidak lama dia termangu di situ,  kakinya dihayun menuju ke bilik air. Mahu mengambil batang mop dan baldi.

           Tanpa sedar Zafril, dirinya menjadi perhatian nenek dalam diam dari sebalik pintu dapur.

          Bibirnya tersungging senyum.

          "Nenek tahu, aura Hanis mampu mengubati fobia kamu. Nenek yakin, suatu hari nanti fobia kamu akan hilang dek kerana hilang ditenggelami oleh cinta Hanis," ujar Zaimah sendiri dengan penuh yakin.

            "Aku perlu lakukan sesuatu. Aku nak percepatkan tarikh perkahwinan diorang. Aku nak Aril cepat pulih. Itulah rawatan yang terbaik sebenarnya. Berdepan dengan isteri setiap hari. Lama kelamaan, dia akan pulih. Aku yakin," sambung Zaimah lagi.

            Dan dia berlalu dari situ kerana dahaga air.

***

HANIS melangut sendiri di halaman rumahnya. Mahu menikmati udara malam yang segar.

         Ibu angkatnya tiada kerana menjaga Nazrin di hospital.

         Kejadian siang tadi kembali bermain di ruang ingatannya.

          Zafril yang muntah teruk bila bersentuhan dengannya.

          "Kalau macam ni gayanya, macam mana nak kahwin? Nanti aku kena duduk jauh-jauh dari dia. Sampai bila kena jadi macam tu?" Hanis mengeluh sendiri.

          "Tapi, kesian betul dengan dia. Teruk jugak penyakit dia. Hm... aku harap suatu hari nanti dia akan pulih," doa Hanis tulus dari hati.

          Dalam waktu yang sama, ingatannya tidak semena-mena terarah pada Nazrin. 

          Kata-kata Nazrin yang hanya menganggap dia seorang adik itu benar-benar tidak meyakinkan Hanis kerana dia tahu, lelaki itu bohong kerana sakit.

          "Setakat sakit migraine tu apalah sangat. Boleh diubati. Bukannya parah pun sampai abang sanggup tipu diri sendiri. Aku tahu Abang Arin pun sukakan aku. Cuma..." Hanis terhenti di situ dan tertunduk menekur ke bawah.

          Saat itu dia sedang duduk di atas tangga batu rumah itu.

         

         Lama dia melamun sendiri hingga tidak sedar akan kehadiran Nashriq di situ. Entah sejak bila dia pulang, Hanis tidak perasan.

       "Minah ni... aku dah suruh blah dari sini, tapi dia datang balik. Memang sahlah kau sukakan lelaki kaya untuk mengaut harta diorang kan? Buktinya kau dah bertunang dengan mamat kaya tu. Baguslah. Cepat sikit kau berambus dari rumah ni. Meluat aku tengok muka kau perempuan!" monolog Nashriq sendirian .

         Dia hanya berdiri di situ sambil mendongak ke langit. Ada bintang-bintang bertaburan . Entah apa yang buat dia tidak sukakan Hanis.

         Tanpa diduga, Hanis juga dalam keadaan yang sama. Sedang mendongak langit. Mencongak bilangan bintang di langit. Dan mula membayangi dua lelaki . Zafril dan Nazrin. Dua watak yang berbeza tetapi masing-masing mempunyai personaliti dan gaya tersendiri yang mampu menarik minat kaum hawa untuk mendekati mereka. Tapi sayang ... Hanis bukanlah gadis seperti itu.
          
        Dalam diam, Nina sedang perhatikan Nashriq dan Hanis dari sebalik tingkap biliknya di tingkat dua. Masing-masing sedang memikirkan masalah tersendiri. Apakah?

annecayunk
Maeny23Hasami
sayang_manja78
nurdayinizarifah

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top