bergerak namun masih mengingat
Ironinya, aku sudah memilih jalan baharu bersama manusia baru, tetapi mengapa rasa ini masih sebegini.
Adakah kerana aku belum cukup sembuh? Kalau iya, bagaimana pula untuk aku tahu bahawa aku sudah betul-betul sembuh. Ataupun mungkin kerana aku masih cintakan dia? Dia, manusia lama yang pernah hadir di dalam hidupku.
Oh mustahil. Lalu dengan itu, bagaimana kamu mahu jelaskan rasa sakit dan kecewa yang merobek jiwa ini apabila aku memikirkan perpisahan di antara aku dan manusia baru? Aku tahu, aku sukar untuk merasakan cinta dengan manusia baru, tetapi bukankah rasa sakit ini sudah cukup untuk menjadi bukti bahawa aku mungkin memang benar sudah membuka hatiku kepada manusia baru?
Oh, betapa kelirunya aku.
---
Disember, satu lapan.
Sebenarnya, yang di atas merupakan sesuatu yang menjadi rangka kepada apa yang sepatutnya aku terbitkan. Tetapi, setahun sudah berlalu. Hubungan aku dengan manusia baru, walaupun mustahil untuk aku katakan sempurna, percayalah, yang sebenarnya, adalah lebih dari sempurna.
Memikirkan manusia lama yang aksara kelahirannya lewat sehari dari aku, aku yakin, bahawa perasaan aku padanya sudah menjadi kosong dan tiada membawa sebarang erti. Dia, kini aku lihat sebagai hanya sebuah bab ceraian dari sebuah buku kehidupan aku.
Tuhan, meski aku masih belum pasti adakah ini adalah tanda yang menjadi saksi bahawa aku semakin membaik serta semakin pulih, sesungguhnya aku berjanji, yang aku tak akan berhenti dari menerokai seisi dunia ini.
Terima kasih, Tuhan.
Kerana aku, akan tetap menjadi aku. Aku percaya bahawa setiap babak duka, suka ketawa dan menangis duka, adalah perlu untuk mencorakkan seorang aku.
Maka, oleh itu, aku akan terus memilih.
Untuk bergerak, namun masih mengingat.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top