MAKMUM YANG PALING AKU CINTA - BAB 3

MENJELANG keesokan harinya, Amru

menyarung jaket hitam dan seluar tracksuit putih. Dia

memulakan paginya dengan aktiviti joging di sekitar

kampung. Sambil memakai kaca mata hitam dan headphone,

dia memulakan langkah tanpa ditemani oleh Haji Sufian.

Pemandangan kampung yang bersawah bukan kali

pertama baginya. Melalui projek dan tender yang diperolehi,

dia banyak meredah kampung dan kawasan pendalaman.

Amru pernah terfikir untuk memiliki kehidupan nyaman di

kampung. Jauh daripada kesibukan kota raya. Ada kalanya

dia letih mengejar sesuatu yang kurang pasti. Dia buntu

menentukan matlamat sebenar yang memberi kepuasan

maksimum. Segala-galanya cukup tapi hatinya masih wujud

ruang kosong. Bukan dia tak berusaha mencari jawapan tapi

hasilnya selalu mengecewakan. Oleh sebab itu, Amru lebih

gigih bekerja. Menenggelamkan diri dalam kesibukan yang

mampu menyekat fikirannya daripada berfikir perkara yang

tak pasti.

Tersentak. Lariannya tergencat bila sebuah

motosikal melintas di depannya. 'Hesy!' Hatinya merengus.

Kurang senang dengan pertemuan yang sering berlaku sejak

kebelakangan ini.

"Abang Amru!" Namanya dilaung kuat dan mujur

headphone mampu melindungi cuping telinganya. Ikutkan

hati, Amru ingin terus berlari tanpa pedulikan gadis yang

sedang menghampirinya. Bibir menayang secebis senyum.

Headphone disangkut belakang leher. Spek hitam yang

dipakai masih melindungi mata.

"Untungnya Sara dapat jumpa abang! Tadi Sara

cari abang dekat homestay tapi abang tak ada. Sara kecewa

sangat. Tapi sekarang Sara dah tak kecewa. Tak sangka jodoh

kita kuat," tingkah gadis itu, bereaksi manja dan mesra. Tapi

Amru pula rimas dengan perhatian yang berlebihan.

"Kenapa Sara cari saya?"

"Semalaman Sara fikirkan abang sebab ayah cakap

tangan abang terseliuh. Sara sangat risau. Tidur pun tak lena.

Tangan mana yang terseliuh tu, abang?" Mata Sara meliar di

kedua-dua belah tangannya.

Amru diam sejenak. Dia agak terlupa tangan yang

dipertaruhkannya semalam. Tapi urutan Pak Cik Hamdan

telah meninggalkan kesan sengal. Amru pantas mengunjuk

tangan kirinya.

"Tangan ni, tapi dah sembuh."

Amru menarik tangannya dengan lembut bila Sara

dengan berani memegang lengannya. Bimbang perbuatan itu

diperhatikan penduduk kampung sehingga menular gosip

liar. Sementelah dia berada di kampung bukan seperti bandar

yang bebas laku dan kurang sensitiviti.

"Hari ni Sara ada buat sarapan special untuk

abang. Kalau abang nak tahu, hari ni Sara bangun awal pagi

semata-mata nak buat sarapan yang paling best dalam hidup

Sara. Khusus untuk abang."

Amru cipta senyum. Sekadar menghargai jasa baik

Sara.

"Thanks. Lain kali Sara tak payah susahkan diri

bangun pagi. Abang boleh pergi sarapan dekat Warung Haji

Sakor."

Maisarah bukanlah tak cantik bagi Amru. Gadis itu

manis dan berkulit kuning langsat. Dia mengenali Sara sejak

hari pertama tiba di kampung. Setiap kali waktu tengah hari

dan petang, Sara akan muncul di depan homestay dengan

membawa makanan di dalam mangkuk tingkat.

Selain itu, Haji Sufian selalu menjemputnya

bertandang ke rumah untuk menjamu selera. Amru perasan

anak-beranak itu berusaha mengambil hatinya. Layanan yang

diberikan sangat istimewa. Cuma perhatian yang berlebihan

menyebabkan Amru rasa rimas. Terasa gerak-gerinya sentiasa

dalam perhatian.

"Abang tak payahlah sarapan dekat warung. Makanan

dekat warung tu mana sedap. Hari-hari benda yang sama.

Sara pun dah muak. Apa kata Sara teman abang makan dekat

homestay? Boleh Sara kenal abang lebih rapat," usulnya

dengan senyum lebar.

'No way! Itu menempah bala namanya!' benak Amru

meningkah. Dia semakin lemas dengan kehadiran Sara yang

muncul bagai menembusi pintu Doraemon. Sekelip mata

mampu hadir di depannya.

"Macam nilah, apa kata Sara tinggalkan sarapan tu

dekat beranda rumah? Nanti lepas joging, saya makan."

Sara ketap gigi sebelum bibir mengoyak lagi

senyuman.

"Okey, Sara tinggalkan sarapan ni dekat beranda.

Tapi abang jangan lupa makan tau. Penat Sara bangun awal

pagi semata-mata nak masak untuk abang," ucapnya penuh

santun yang dibuat-buat. Dalam hatinya, dia terasa geram

dengan Amru yang suka jual mahal. Langsung tak pedulikan

usahanya yang sudah terang lagi bersuluh cuba menggoda.

Sara berusaha semata-mata ingin buktikan kepada

ayahnya bahawa dia juga mampu memikat lelaki berduit.

Kebelakangan ini Sara banyak makan hati bila Haji Sufian

selalu membandingkan dirinya dengan Siti Nailufar.

Walaupun serba kekurangan, Lofa mampu

memancing perhatian golongan berstatus VIP. Malah ingin

dilamar oleh seorang Dato'. Sara cemburu dengan rezeki Lofa

yang tak dijangka. Cuma Lofa yang masih berat memberikan

kata putus kerana lelaki itu sudah beristeri. Sebaliknya Sara

tak kisah jika ditakdirkan menjadi isteri kedua, ketiga atau

keempat. Yang penting kesenangan dan kemewahan berada

di hujung jarinya. Ekoran itu, Sara nampak Amru sebagai

lubuk emas. Ayahnya juga menggalakkan dia memikat Amru.

Lantas Sara berusaha memancing perhatian pemuda itu.

Namun hasilnya tak memberangsangkan. Amru langsung tak

pedulikan kehadirannya.

"Sara baliklah dulu. Saya nak sambung joging."

Kemudian Amru berlalu pergi. Meninggalkan Sara bersama

motosikalnya di tepi tali air.

Amru hela nafas lega setelah berjaya melarikan diri.

Terasa segar udara sekeliling bila kelibat Sara di belakangnya

semakin menghilang. Dia terus mengatur larian menuju ke

kawasan yang dikelilingi pokok-pokok tinggi. Melihat denai

yang kehijauan.

Apabila lelah menghimpit dada, dia mula berjalan.

Tatkala itu pandangannya bertaut sesuatu. Seekor kucing

sedang melilau-lilau sambil mengiau-ngiau. Amru perasan

kucing putih bertompok hitam itu sama jenis dengan kucing

yang berada di sebelah Pak Cik Hamdan semalam.

"Hemo-Hemo." Dia sekadar menyeru panggilan

yang didengarnya semalam.

Amru tercengang bila kucing itu mendekatinya.

Menggesel-gesel di batang kakinya sambil terus mengiau.

Lantas dia mengendong kucing tersebut. Namun Amru agak

pelik bila kucing itu masih mengiau. Dan bunyinya semakin

kuat dan nyaring.

Dia terkejut bila kucing itu tiba-tiba melompat

turun dari tatangannya. Suara mengiau si kucing masih

kedengaran. Kali ini kepala kucing itu menyondol belakang

kakinya seperti mahu dia bergerak. Lantas Amru mara ke

depan dan kucing itu turut berjalan sama.

Tatkala Amru terus melangkah, kucing itu melencong

ke arah lain. Menuju ke kawasan pokok-pokok pisang. Bila

Amru hentikan langkah, kucing itu turut hentikan langkah.

Masih mengiau-mengiau tanpa henti. Menyedari kucing itu

seperti sedang memberikan suatu isyarat, Amru jadi aneh.

Dia menjejaki langkah kucing itu sehingga jauh ke dalam

kawasan kebun.

Pandangannya menimpa sehelai tudung yang

tersadai di tanah. Kucing itu berputar-putar sekitar tudung

tersebut tanpa berhenti mengiau.

"Mana kau nak lari, hah?"

Amru tersentak. Tergencat kakinya. Suara seorang

lelaki bergema kasar. Dia kenal suara itu! Seraut wajah

bertamu di mata. Mereka pernah makan semeja dan

bertentang mata!

"Cubalah menjerit, Lofa. Aku nak dengar suara kau

menjerit minta tolong." Kemudian berdekah-dekah lelaki itu

ketawa.

Lofa! Jantung Amru serta-merta berdetak kencang.

Berganda rasa terkejut. Kaki dan matanya lekas mencari

kelibat manusia di sebalik daun dan batang pokok pisang

yang menyukarkan pandangan.

Sah! Tak syak lagi lelaki itu Nabil, anak lelaki Haji

Sufian! Giginya terketap kuat tatkala terpandang seorang

gadis yang tersedu-sedan menangis. Siti Nailufar! Kepala

gadis itu tergeleng-geleng, wajahnya dihujani tangis dan

kedua-dua belah telapak tangannya bersatu seperti merayu

dilepaskan.

"Dah lama aku sukakan kau, Lofa. Aku minta bapak

aku pinang kau, dia tolak mentah-mentah. Sekarang bapak

aku sibuk nak kahwinkan kau dengan Dato' miang. Bapak

aku sanggup tolak permintaan anak sebab Dato' tu tawarkan

banyak duit semata-mata nak kahwin dengan kau. Tapi

sebelum Dato' tu dapat tubuh kau, baik aku rasmikan dara

kau dulu. Sekurang-kurangnya aku tak kempunan."

'Damn it!' sumpah hati Amru. Dia mula mengatur

gerak perlahan. Berselindung di sebalik batang pokok pisang.

Dia enggan dikesan oleh Nabil yang sedang menggila.

"Nasib aku baik hari ni. Mujur hari ni ayah kau

tak datang kebun. Dapatlah aku lapah kau puas-puas. Biar

seumur hidup aku terkenang saat ini."

Amru naik radang. Nabil telah merentap rambut

Nailufar sekali gus menyauk gadis itu ke dalam rangkulan.

Tubuh kecil itu dihenyak. Nailufar langsung rebah ke tanah.

Amru kehairanan. Sekalipun dia tak mendengar jeritan

Nailufar walaupun diperlakukan sebegitu kasar. Hanya

tangisan lebat tanpa suara mencemari wajah itu.

Amarah mengalir ke setiap penjuru hati. Darah merah

menyerbu serata wajah. Amru pantas bertindak. Menyerang

dari belakang Nabil. Kakinya naik menujah pinggang Nabil

yang sedang gigih menanggalkan tali pinggang.

"Celaka kau, Nabil!"

Nabil putarkan tubuhnya yang tertiarap ke tanah.

Mencari manusia yang berani membuat serangan hendap.

Berair matanya menanggung kesakitan. Pedih menusuk ke

tulang belakang.

"Hoi, orang luar jahanam! Kau jangan masuk

campur!" pekik Nabil lalu bangkit menyerang.

Dia menepis tumbukan yang disasarkan ke wajahnya.

Amru lebih cekap memandu tangannya ke bawah rahang

Nabil. Menumbuk padu sehingga Nabil terkulai sekali lagi ke

tanah.

Namun Nabil enggan berputus asa. Dia menarik

sebelah kaki Amru sehingga Amru ikut jatuh di atas

tanah. Nabil lantas cuba menindih tubuh Amru. Dia ingin

menumbuk bertubi-tubi wajah Amru sebagaimana bibirnya

mampu merasai pedih dan darah.

Sebaliknya Amru lebih dulu menolak tubuh Nabil ke

tanah. Mereka berpusing dan bergelut di atas tanah. Amru

mencekak kolar baju Nabil. Manakala kedua-dua belah tangan

Nabil berusaha mencekik batang leher Amru.

Bila mendapat peluang, Amru lekas bercelapak

antara tubuh Nabil. Dia berjaya lepaskan lehernya daripada

cengkaman Nabil. Lantas beberapa tumbukan dilepaskan ke

wajah itu. Serta-merta Amru bangkit lalu kakinya memasang

kuda-kuda. Bersiap sedia untuk melawan Nabil lagi.

Dengan kudrat masih bersisa, Nabil cuba berdiri.

Tubuhnya terlalu lelah dan sakit. Tiada daya untuk berentap

lagi. Dengan tenaga yang berbaki, Nabil berusaha merangkak.

Dia terbongkok-bongkok menahan sakit di dalam

tulang-temulang. Akhirnya Nabil terkocoh-kocoh selamatkan

diri bila Amru datang dari arah belakang.

Amru sekadar membiarkan Nabil lari. Lantas

tubuhnya berpusing mencari Nailufar. Matanya mengesan

sekujur tubuh yang masih menangis ketakutan. Amru

perasan lengan baju kemeja yang dipakai oleh Nailufar

terkoyak. Mendedahkan kulitnya yang putih.

Jaket yang tersarung pada badannya segera

ditanggalkan. Amru tunduk seraya memakaikan jaket

miliknya ke tubuh Nailufar.

"Kau tak apa-apa?"

Gadis itu sekadar mengangguk.

"Tapi kenapa kau tak menjerit minta tolong? Kenapa

senyap bila Nabil buat kau macam tu?" soal Amru agak

bengang. Persoalan itu mengasak mindanya sebelum dia

menyerang Nabil tadi.

Gadis itu mendongak. Melihat wajahnya dalam

tatapan yang merah dan berkaca-kaca. Telunjuk Nailufar

menuju mulut sebelum kedua-dua belah tangannya bersilang.

Amru terpinga-pinga kurang mengerti.

"Apa maksud kau?"

Sekali lagi Nailufar mengulangi perbuatan tadi

dan kali ini Amru terdiam lama. Terenjat. Tegak belakang

tubuhnya. Mustahil!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top