Prolog

Prolog

"Eee budak gemuk! Badan macam badak sumbu!!! Busuk! Bau kepam!" Kedengaran suara ejekan bergema nyaring bersama tawa terbelahak daripada sekumpulan budak lelaki. Aku ketap bibir, menahan cecair yang hampir menujah keluar. Hampir setiap hari kumpulan budak nakal yang punya ketua bernama Seth itu membuli aku dengan ejekan. Meskipun tubuh ini tidak pernah diusik, namun hatiku benar-benar terluka parah. Bukan aku mahu sangat tubuh gemuk macam badak ni pun. Dah dari kecil, aku kuat makan...

"Kau rasa dia ni kahwin ke nanti? Baru form 1 pun dah gemuk kalah gajah. Bila dia jalan, dari jauh dengar. Kedeboom!!!" Berdekah-dekah mereka mengetawakan aku. Paling menjengkelkan riak dan mimik muka Seth, sangat jelas lelaki itu sangat membenci aku. Berhabis-habisan aku dikutuknya dari awal aku masuk sekolah ini. Aku tahu, dia bukan membenci aku sekadar aku gemuk tetapi ada satu penyebab yang aku sendiri kurang mengerti. Yang pasti bila aku ditindas begini, orang paling bahagia adalah Seth!

"Kejam kau... Entah-entah kau yang terkenan kat dia! Setiap malam kau gomol lemak dia! Hahahaha!" Zack berbunyi lebih kejam. Aku tertunduk menahan emosi marah dan sedih. Bergelumang lumat dalam sanubari. Sakitnya hidup sebagai perempuan berisi seperti aku. Padahal, aku tidak inginkan seperti ini pun. Dengan keberanian yang tinggal sebiji sawi, aku bangkit. Wajah mereka langsung tidak aku pandang, termasuklah Seth itu. Tubuhku sedikit bergetar ketika melepasi mereka yang sedang bertenggek di bangku kantin dengan gaya samsengnya.

"Bodoh lah kau, Zack! Dia ni jadi bini aku? Memang muntahlah aku hari-hari nak menghadap dia. Kalau malam pertama tu, komfirm badan aku patah riuk kena hempap dia. Eee, mati hidup semula pun tak hingin si badak ni."

Hampir menitis cecair jernih ini. Aku angkat wajah, panas seluruh badan dihina sebegitu rupa. Tika mata kami bertembung, nampak senyuman sinis terpamer di bibir Seth. Aku ingin sekali menampar wajah itu. Mencakar-cakar wajah kacak rupawan itu. Namun, aku sedar diri. Jika aku lakukan itu, pasti aku akan terima akibatnya. Kerana Seth bukan calang-calang orang. Dengar desas-desus Seth itu punya latar belakang orang kaya. Aku terpaksa melupakan.

"Kau pandang aku, kenapa? Dah puas hidup?" Seth menyoal dengan nada tinggi.

"Dia nak mengamuklah tu. Habislah kau, Seth. Sekali gajah ni hempuk kau, terpelanting kau." Kris menambah perisa, menghangatkan lagi keadaan. Aku segera berlalu tidak rela jadi mangsa kutukan lagi.

Sedang aku berjalan dengan hati membawa lara, satu tangan menarik aku. Pantas aku menoleh. Tak terkerdip anak mata pabila lihat gerangan itu adalah Seth. Wajah itu tidak ada secalit senyum. Merenung aku dengan begitu tajam. Mata hazelnya berjaya tenggelamkan nafasku. Sesak dada ini.

"Petang ni ikut pagar belakang. Aku ada hal nak cakap dengan kau." Keras suaranya memberi arahan. Aku pula terpinga-pinga. Hal apa pulak ni? Hendak saja aku menyoal, tapi kelibatnya sudah menjauh. Meninggalkan aku seperti tunggul. Memang tidaklah aku nak dengar cakap dia. Petang itu, aku balik tanpa peduli kata-katanya. Keesokannya, Seth tiada dan cikgu mengumumkan bahawa budak nakal itu pindah ke Kuala Lumpur. Sejak itu, aku tidak melihat dia lagi.

Peristiwa lampau itu kembali mengamit memori. Manakan tidak, gerangan di hadapanku ini adalah Seth. Atau lebih dikenali sebagai Tuan Seth Reykarl. Majikan aku. Tuan rumah kepada banglo besar ini. Sungguh kecil dunia, tidak menyangka ibu pernah berkhidmat dengan keluarga Seth. Dan, bila ibu sudah uzur, aku dengan rela hati menawar diri untuk berkerja di sini sementara keluarga Seth mencari maid baru.

"So, kau anak Mak Mah?" soal Seth mendatar. Kening lebatnya itu dimainkan, membuatkan pesonanya menyerlah. Memang wajah Seth tampan habis! Dengan gaya rambut terjuntai di atas dahi. Rambut basah lagi, baru lepas mandilah kut. Sungguh menggoda sukma! Argh, ibu! Tolong!

"Kau dengar tak?" Soalan kedua itu mengejutkan aku. Lekas aku angguk dan menjawab. Kantoi termenung. Ish, perangai entah pape. Dengan Seth tak guna ni pun kau nak berangan? Ish, biar betul! Senget dah otak aku ni.

"Ya, Tuan. Maaf, sayalah anak Mak Mah... Saya akan ganti tempat Mak Mah, tunggu sampai Tuan jumpa maid baru. Boleh, kan?" Sopan aku tutur kata. Sebab dia anak majikan. Takkanlah aku nak berkasar. Biarlah memori lama itu lenyap, sekarang aku hidup di zaman ini. Bukan di masa lalu. Ingat tu, Juwita!

"Oh, baguslah. Tapi aku musykil, dulu kau pelajar cemerlang. Takkanlah kerja sebagai maid je." Seth pandang aku atas bawah. Seakan tidak percaya dengan aku. Memang aku akui, aku adalah pelajar cemerlang. Tapi, aku kurang bernasib baik. Tempat kerja lama aku penuh toksik. Diberhentikan tanpa kerelaan dan aku pun perlukan wang yang banyak untuk membayar loan kereta. Dengan hutang PTPTN lagi. Masaklah kalau aku tidak bekerja. Tanpa fikir panjang, aku terima saja ajakan ibu yang mahu aku menggantikan dia dalam tempoh singkat. Bolehlah dalam tempoh berkerja di sini, aku apply kerja di tempat lain. Memang memerlukan masa yang agak panjang.

"Saya sementara saja kat sini." Pendek jawapan aku beri. Malas nak cerita semua kisahku pada dia.

"Sebelum ni kerja apa?"

Aku tepuk dahi, spontan reaksi aku. Iyelah, dia sibuk lagi nak tahu pekerjaan aku dah kenapa? Penting sangat ke?

"Kerja biasa je." Jawapan klishe.

"Kerja apa?"

Belum aku nak balas, deringan handphonenya bergema nyaring. Lekas dia seluk Iphonenya dan berlalu tanpa pandang aku. Macam tu je? Malas nak ambil pusing, aku bergegas ke dapur hendak buat kerja apa yang patut.







Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top