Bacaan Percuma- Bab 2

Sembilan belas tahun sebelumnya

BILAH sabit diangkat tinggi lalu disangkutkan kepada batang pokok pisang. Sekelip mata pokok yang gah berdiri tadi jatuh menyembah bumi.

Fitri potong batang pisang yang besar itu dan pelepah daunnya sekali menggunakan parang supaya menjadi potongan yang lebih kecil. Senang nak angkut letak dekat tempat membakar sampah.

Baru sahaja batang pohon pisang yang bergetah itu mahu diangkat, tiba-tiba dia dengar bunyi motor menghampiri kebun kecilnya. Fitri mengintai dari celah pokok ke luar pagar.

Kelihatan kelibat seorang lelaki pertengahan umur 50-an sedang mencabut topi keledarnya dan turun daripada motor. Fitri picingkan mata apabila dia tidak berapa pasti siapa yang datang. Oh, Pak Long Ibrahim...

Jirannya yang baru dua tahun berpindah ke kampung selepas bersara. Fitri gelarkan Ibrahim sebagai Pak Long bukan kerana lelaki itu bapa saudaranya, tetapi kerana pangkatnya sebagai yang sulung. Menjadi resam orang kampung menggelar yang lebih tua dengan pangkat sebegitu, lebih mesra bunyinya.

"Assalamualaikum Fitri!" laung Ibrahim kuat dari luar kebun.

Cepat-cepat Fitri humban pelepah-pelepah pisang yang masih berbaki di atas tanah dan pergi mendapatkan Ibrahim di luar pagar kebun.

"Fitri! Pak Long ni!" laung Ibrahim sekali lagi apabila dia tidak menerima sebarang respons. Kali ini, suaranya bergema lebih kuat daripada sebelumnya.

"Ya, Pak Long! Sekejap, saya datang!" Sempat Fitri celupkan tangan ke dalam air takungan dalam tong tadahan hujan untuk hilangkan kesan getah pisang yang melekat.

Sambil berjalan ke arah Ibrahim, Fitri lap tangan dia ke bahagian seluar di sisi paha. Apabila yakin tangannya sudah kering dan bersih, barulah dia menghulur untuk bersalam.

"Kenapa sampai ke sini, Pak Long?" tanya Fitri sedikit pelik. Selalunya kalau ada apa-apa hal mereka berurusan di masjid aje. Tak pernah lagi Ibrahim mencarinya di kebun begini.

"Saja nak tanya, ada pisang tak?" Mata Ibrahim sudah meliar memandang ke dalam kebun Fitri. Dia mahu periksa jika ada tandan pisang yang sudah matang untuk dituai di atas pokok.

Terlorek senyum kecil di bibir Fitri. "Ada, banyak lagi dekat dalam tu. Kenapa? Pak Long nak pisang ke?"

Angguk. "Haah, itu yang datang sampai ke sini. Ada tak pisang yang dah boleh ambil?"

"Ada. Kebetulan ada tiga empat pokok yang dah boleh cantas. Pak Long nak pisang apa? Nanti saya sabit."

"Nak pisang tanduk muda, ada tak?"

Kini giliran Fitri pula yang mengangguk. "Ada, Pak Long nak banyak mana?" Mereka beriringan melangkah masuk ke dalam kebun.

"Banyak, kalau boleh nak dalam dua tandan. Ada tak?"

Fitri tercengang. Dua tandan? "Banyaknya, nak buat apa tu?"

"Alah, Mak Long awak tu nak buat kerepek pisang. Nak bagi orang makan untuk kenduri hujung minggu ni, buat kudap-kudap orang merewang," jelas Pak Long sambil membelek setandan pisang tanduk yang cantik tergantung di pohon.

Gemuk-gemuk tanaman Fitri, subur tanda ia dijaga dengan baik.

"Oh, lupa pula Sabtu ni Pak Long ada buat kenduri. Pak Long nak bila? Kalau nak sekarang saya sabitkan kejap, tapi muat ke nak bawa? Setandan je dah penuh motor." Bimbang pula Fitri nak biarkan Ibrahim bawa pisang-pisang itu pulang sendiri.

"Ha, itulah fasal. Lepas ni Pak Long nak pergi Lanchang kejap, nak minta tolong awak hantarkan ke rumah boleh tak?"

"Boleh. Kejap lagi saya nak balik saya hantar, boleh? Ke Mak Long nak buat kerepek cepat?"

"Tak adalah. Tak cepat pun. Bila-bila awak dah siap kerja, hantarlah." Putus Pak Long Ibrahim.

"Okey, kejap lagi saya hantar. Ada sikit lagi kerja nak buat, lepas tu saya pergi rumah Pak Long."

"Okey, cantik! Nanti hantar, ya? Pak Long balik dulu, ada hal lain pula ni. Nak pergi minta pinjam kawah besar untuk masak nasi." Dia sudah berada di atas motor, enjin dihidupkan. "Terima kasih, Fitri!"

Beberapa saat kemudian kelibat lelaki tua itu berserta motornya sudah hilang daripada pandangan, disembunyikan pepohon yang memayungi tepian jalan.

"Pisang tanduk dua tandan..." Fitri menyanyi perlahan. Sabit yang tadi dia sandarkan di perdu pokok dia ambil, sedia untuk bekerja semula.

"MA, mana pisangnya tak sampai-sampai ni? Sempat ke nak buat kerepek tu? Kan Amal dah cakap kita beli je yang dah siap, senang. Bukan mahal mana."

Suhailah hanya mampu gelengkan kepala mendengar rungutan anak bongsunya itu. "Allah, sabarlah. Ada tu... kejap lagi si Fitri hantar. Buat kerepek bukan lama mana pun, sekejap aje."

"Kalau beli lagi sekejap." Amalina mengomel kecil tapi sempat singgah di telinga Suhailah.

"Itu la dia, semua benda nak beli. Buat sendiri lagi sedap. Lagi seronok nak bagi orang makan. Bukan susah mana pun, simpan-simpanlah sikit duit tu jangan habis semua benda nak dibeli," bebel dia kembali kepada Amalina.

Spontan Amalina menjulingkan matanya mendengar kata-kata si ibu. "Yalah... memang kerepek buat sendiri tu lagi sedap. Masalah sekarang ni, mana pisangnya?"

"Kenapalah awak ni tak sabar sangat? Kan ma kata, kejap lagi adalah tu Fitri hantar. Cuba sabar sikit!"

Amalina garu kepala yang tiba-tiba rasa gatal akibat dimarahi Suhailah. Dia bukan apa, takut tak sempat aje nak buat semua benda dalam masa yang suntuk.

Kenduri akan berlangsung pada hari Ahad, hari ini sudah Jumaat. Tinggal hari ini dan esok sahaja untuk buat kerepek itu. Esok pula orang dah mula datang merewang pada sebelah petang. Amalina tak rasa mereka sempat nak buat kerepek esok sebab nak layan orang yang datang merewang lagi... bila nak siap?

"Amal takut tak sempat aje. Ha yalah, yalah. Kita tunggu sampai pisang sampai." Amalina capai telefon dia dan labuhkan duduknya di atas sofa. Malas nak bertekak lebih-lebih. Dah tahu dia tak akan menang.

Suhailah mengeluh kecil. Amalina ni, kalau boleh semua benda dia nak buat cepat-cepat. Memang langsung tak reti bersabar. Semua nak mudah, orang berduitlah katakan. Buka dompet, selesai semua perkara.

"Awak duduk luar ni. Ma nak mandi kejap. Mana tahu kejap lagi Fitri datang hantar pisang. Duit ada dekat atas TV, nanti bagi dia." Sempat Suhailah menitipkan pesan sebelum masuk ke dalam bilik.

Tinggallah Amalina bersendirian di ruang tamu, menunggu si pekebun bernama Fitri untuk menghantar pisang. Ralit dia bermain dengan telefonnya sehingga tak sedar ada orang memberi salam.

"Assalamualaikum, Mak Long!"

Amalina jenguk ke luar tingkap, samar-samar dia melihat ada seorang lelaki berdiri di sisi motor di halaman rumah. Tudung yang memang tersidai di birai kerusi dia sarungkan ke kepala. Duit di atas TV dia capai kemudian pintu gelangsar dibuka.

Kabur sahaja wajah lelaki itu di mata Amalina kerana dia tidak memakai kaca matanya. Ramah mulutnya bertanya untuk mendapatkan kepastian. "Hantar pisang ke?"

Amalina nampak lelaki itu seperti mengangguk. "Nak letak mana pisang ni, ya?"

Amalina pandang sekelilingnya, mana ya? "Oh, letak je dekat sini. Boleh tak?" Dia tunjuk ke arah gazebo kayu di tepi laman. Nantilah, dia angkat masuk ke dalam usai lelaki itu pulang.

"Boleh."

Dia nampak lelaki itu angkat dan letakkan seguni pisang ke tempat yang ditunjukkan. Apabila semua pisang sudah siap dipindahkan, laju dia hulurkan tangan yang memegang sekeping duit berwarna ungu. "Ini duit pisang. Terima kasih tolong hantarkan."

Huluran duitnya tidak segera disambut, sebaliknya Amalina dengar suara lelaki itu seperti pelik.

"Eh, duit pisang?" Terkejut dia menyoal.

"Haah, tu hantar pisang banyak-banyak. Saya nak bayarlah ni." Tangan masih di posisi tadi, tetap menghulur walau sudah terasa lenguh.

"Tak payahlah, saya bagi aje. Cakap dengan Mak Long, tak payah bayar-bayar," ujar lelaki itu lagi dengan tenang, buatkan Amalina hampir tercengang. Dia tak berapa nak nampak wajah lelaki itu akibat rabun yang teruk, tapi rasanya bibir itu sedang lebar tersenyum.

Dia pandang pula gazebo yang sudah dipenuhi dengan dua guni yang kembung berisi. Kecil sahaja mata dia memandang ke pondok kecil itu. Kabur tapi dia yakin pisang itu banyak, bukan sesikat dua nak diberi percuma sahaja. Mana boleh macam tu? Orang berniaga, masakan dia mahu ambil tanpa bayar apa-apa.

"Ambil la duit ni, banyak pisang yang awak hantar ni. Bukan sesikat dua. Dua guni, tau?" Duit makin ditolak mendekat dengan lelaki itu.

"Tak apa, tak apa. Saya sedekah je pisang tu. Simpan duit." Amalina nampak lelaki itu sudah pergi ke motornya. Duit tetap tidak diambil.

"Tapi..." Tak habis lagi ayat Amalina, lelaki itu terlebih dahulu memotong hingga dia jadi terkelu.

"Tak apa, simpan. Betul, saya sedekah aje. Nak bagi orang merewang makan, kan? Bolehlah saya tumpang sekali pahala tu nanti." Sambil berkata-kata, lelaki itu hidupkan enjin motornya.

Sekelip mata ruang yang tadi hanya dihiasi dengan bunyi unggas kini sudah bersaing dengan bunyi kenderaan dua tayar itu.

"Oh." Hanya itu yang mampu keluar daripada bibir Amalina.

"Balik dulu, nanti kirimkan salam dekat Mak Long. Assalamualaikum." Lelaki itu langsung tak tunggu sesaat pun untuk pusingkan motornya dan keluar dari perkarangan rumah ibu dan bapa Amalina.

Duit di tangannya dipandang berselang seli dengan dua guni pisang di atas gazebo. Sedekah? Dua guni pisang? Macam tu je?

"Baiknya hati..." bisik dia perlahan.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top