Prolog
"ArgghhH!" Dia menjerit kuat saat tangannya menarik keluar kayu yang sudah berlumuran darah merah pekat.
Luqman dan Faiz berlari cemas, demi terdengarkan jeritan kuat suara wanita. Mereka sangat pasti itu ialah Zulaikha. Rasa cemas yang bukan main-main lagi. Entah berapa banyak doa yang mereka pohonkan dalam hati. Paling berharap gadis itu dalam keadaan selamat. Masih hidup.
"Zulaikha! Zulaikha!" jerit Luqman dan Faiz berganti-ganti.
"Sini... Sini!" Sebaik sahaja mendengar namanya diseru, antara kuat dengan tidak sahaja dia menjawab. Rasa lega yang amat. Air mata dihapuskan. Luka di kaki disembunyikan. Dia tak mahu orang lain risau dan yang paling dia tak mahu, dia akan dimarahi. Kaki seluar diturunkan. Mujur dia memakai seluar hitam, taklah nampak darah yang meleleh-leleh.
Dia memaksa bibirnya untuk mengukir senyum dalam gigil, walaupun berbagai-bagai rasa yang dia alami sekarang. Hujan masih lagi terus membasahi dirinya. Sekaligus menutup air matanya yang tumpah juga ke pipi. Paling tidak, kini dia tahu dia tak bersendirian.
Namun bila terpandangkan wajah garang Luqman, dia rasa alangkah baiknya dia pengsan sekarang. Lelaki itu menggelongsor turun bukit untuk mendekatinya dan matanya seperti ingin menerkam mangsa.
"Kau ni dah kenapa hah, Zulaikha?!" Suara itu bagaikan halilintar membelah langit. Serentak tubuhnya rasa terangkat. Ya benar, sebab kolar bajunya dicengkam kuat tangan kanan Luqman.
"Kalau kau lelaki, dah lama aku bagi penumbuk supaya kau tahu nak dengar arahan!" marah benar lelaki itu. Rahang Luqman jelas diketap kuat.
Jelas, kerana jarak wajah mereka hanya beberapa inci sahaja. Jelas juga pada mata Luqman yang wajah gadis itu ada luka-luka kecil dan berdarah. Tapi, belum ada simpati yang mengetuk hatinya, yang ada cuma rasa marah yang membuak-buak.
Zulaikha menelan liur. Dia nampak tangan kiri lelaki itu sudah mengepalkan buku limanya. Dia rasa memang dia patut dapat 'hadiah' daripada lelaki itu.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top