KINI
"Assalamualaikum... Ni kelas 5 Harmoni ke?"
Erina yang sedang tekun menyapu angkat kepala. Matanya terlihat seorang pelajar lelaki yang rasa-rasanya dia tak pernah jumpa sebelum ini. Sedikit tinggi darinya. Berkulit cerah dan mata sedikit sepet. Kacak juga. Lebih kacak dari Zaharis yang putih melepak tu. Lama juga Erina terpegun di tepi pintu.
"Waalaikumsalam... Ni kelas 5 Dinamik. Awak naik terlebih tingkat. 5 Harmoni kat bawah ni je. Awak kena turun balik nampaknya. Penat sikit tak apa kan." Sedar pelajar itu menagih jawapan. Panjang lebar pula Erina jawab dengan senyuman lebar.
"Terima kasih..." pelajar itu kelihatan malu-malu.
"Sama-sama..." Mata Erina mengekori langkah pelajar tadi yang menghilang sedikit demi sedikit. 5 Harmoni kelas aliran Sains. Sah-sah pelajar baru ni bijak pandai. Kelas dia 5 Dinamik merupakan aliran ekonomi. Dari pintu belakang kelas dia terjingkit-jingkit meninjau tangga.
"Alah... aku lupa nak tanya nama dia." Erina ketuk kepala sendiri. Sibuk menilik anak teruna orang terlupa tanya nama. Kalau tidak bolehlah dia berbangga sebab menjadi orang pertama tahu nama pelajar itu.
"Hoi! Ni menyapu atau cuci mata. Siapa tu? Pakwe kau eh?"
Erina menoleh ke sebelah. Selamba sahaja Hani meletakkan tangan di bahu kanannya. Kening Hani terangkat tinggi. Erina tidak jawab soalan Hani. Manakala Hanani mengapitnya di sebelah kiri. Rafidah memeluk lehernya dari belakang. Erina hampir lemas dibuat ketiga-tiga sahabat baiknya.
"Student baru ke? Kenapa aku rasa dia lebih hensem dari Zaharis."
"Kau tau nama dia tak? Apa nama dia?"
Erina pura-pura berfikir.
"Aku lupa nak tanya nama dia."
"Weh... kau ni. Lama borak boleh tak ingat nak tanya nama."
Bergegar tubuh Erina kerana digoyangkan serentak oleh ketiga-tiga sahabatnya. Erina hanya mampu tergelak. Dalam masa sesingkat itu manalah dia ingat hendak tanya nama atau apa. Lagipun dia sibuk fikir lagu apa yang patut dia pilih untuk kumpulan dikir barat mereka.
"Weh... cikgu datanglah!" laung ketua kelas mereka dari pintu hadapan.
"Baik Ikan!" Mereka berempat menjawab serentak dengan iringan hilai ketawa.
***
"Kau tengok Aina tu... asyik mengendeng kat budak Shah tu. Selamba je dia duduk kat sebelah dia. Balik sekolah pun jalan sama-sama. Sanggup tu lari dari kelas dia turun kat 5H semata-mata nak kejar Shah." Erina mengomel sambil matanya turun naik melihat gelagat Aina yang sedang bergelak ketawa dengan Shah.
"Kalau kau berani pergilah tolak Aina tu. Kau pulak duduk sebelah Shah, lagipun kau orang pertama yang dia tegur kan. Itulah kau... kucing bersopan santun, ikan comel depan mata pun buat tak nampak." Nana mencapai air kotak dan menyedutnya. Memang dia turut menyampah melihat gelagat Aina tapi sejujurnya dia kagum. Aina begitu berani mengejar pelajar lelaki yang namanya meniti di setiap bibir pelajar perempuan.
Erina bengang. Yalah, memang dia salah sebab tidak bertanya nama Shah saat pertemuan pertama mereka dahulu. Kali kedua kali ketiga dan berkali-kali selepas itu mereka hanya bersua muka tanpa bertegur sapa. Pastinya dia akan ternampak Shah setiap kali hendak turun dari kelasnya. Dan secara kebetulan Shah duduk di tepi tingkap.
"Tak baik mengeluh. Kau sendiri yang tak nak naik satu step. Kau cuma senyum-senyum je kat dia. Aina siap tegur... kejar dia. Kalau Shah suka Aina, bukan salah dia. Salah kau." Rafidah turut bersetuju dengan kata-kata Nana tadi.
Sudah dua bulan sesi persekolahan berlalu. Shah nampak pendiam tapi kalau diajak berbual tidak pernah menolak. Dan mereka berempat nampak bagaimana Aina begitu agresif mendekati Shah sejak awal lagi. Erina yang konon-konon menjadi perempuan sejati terpaksa melopong. Zaman sekarang jumpa lelaki stok menantu idaman mak bapak harus mereka sambar. Bukan zaman perempuan menunggu lelaki.
"Aku datang sekolah bukan nak bercinta okey. Pelajaran tu paling penting hokay." Erina malas untuk membalas usikan sahabat-sahabatnya. Tahun ni adalah tahun terakhir mereka dibangku sekolah dan bermakna peperiksaan SPM bakal tiba. Tumpuan harus diberikan sepenuhnya kepada pelajaran.
"So kalau macam tu aku tak nak dengar lagi kau membebel fasal si Aina dengan Shah tu. Buat tak nampak je apa diorang buat. Jangan nak sakit hati atau apa." Rafidah menepuk lembut bahu Erina. Matanya turut sakit melihat drama Aina tapi hak dia untuk mengorat sesiapa yang dia suka. Laipun Shah bukan ada steady girlfriend.
"Dah nak bunyi loceng ni. Jom..." Hani yang sudah selesai makan bangun dan membawa pinggan kotor untuk diletakkan ke dalam besen. Erina dan Rafidah turut berbuat yang sama. Hani sebagai pengawas bertugas menjaga tangga hari ni.
"Yasmin, tengah hari ni ada latihan dikir barat. Jangan lupa tu!" Erina mengingatkan sengaja kuatkan suara semasa melalui lorong kerusi yang diduduki Shah dan Aina. Shah menoleh sekilas dan menghadiahkan senyman. Manakala Aina menjeling tajam ke arah Erina.
"Orait!" balas Yasmin.
Erina mengangkat ibu jari ke atas. Senyuman Shah tadi sengaja dia tak balas. Kalau dia balas nanti ada pula yang mengamuk. Shah bagaikan hak milik kekal Aina. Malaslah dia hendak cari gaduh.
***
"Angin bayu membawa diriku sepintas lalu kuterkenangkanmu..." Erina mula menari sambil menyanyi di atas pentas. Dengan diiringi ketiga-tiga sahabat baiknya. Mereka bakal mewakili sekolah dalam pertandingan nyanyian berkumpulan peringkat daerah Gombak.
"Pewiit..." terdengar sorakan nakal dari bawah pentas. Hari ni merupakan latihan penuh untuk pertandingan yang akan diadakan lusa. Bukan sahaja Erina dan kawan-kawannya yang ada, seluruh pasukan kelab kebudayaan menjalani latihan akhir.
"Walaupun jauh pandangan mata, kuyakin kau tetap setia..." Mata Erina menangkap pandangan seseorang yang dia amat kenali dari celah-celah pelajar yang berkumpul. Buat seketika dia agak gugup. Mujur dia cepat-cepat tersedar dan menyanyi seperti biasa.
"Cintaku... Untukmu..." Erina menutup persembahannya. Matanya masih lagi melekat ke arah Shah. Entah kenapa dia rasakan lelaki itu juga sedang memerhatikannnya. Leka melihat Shah dia terlupa untuk turun dari pentas.
"Cepat... kita kena tukar baju ni. Dikir barat pulak." Hani menolak Erina agar turun dari pentas. Dia perasankan Shah di bawah sana.
Erina cepat-cepat turun. Tidak mahu sesiapapun tertangkap dia sedang memerhatikan Shah. Kumpulan tarian tradisonal sedang menunggu di tagga pentas untuk mengambil alih. Erina dan kumpulan dikir barat akan naik ke atas pentas selepas ini.
Erina menanggalkan baju gaunnya. Dia sudah memakai baju Melayu di dalam baju gaunnya. Tidak perlu buang masa untuk ke tandas menukar pakaian.
"Farah, selempang aku mana?" Erina menjeritkan nama Farah.
"Coming... nah." Farah tercungap-cungap. Tugas Farah adalah sebagai wardrobe dan juga jurusolek Pasukan Kelab Kabudayaan Sekolah Menengah Taman Melawati.
"Make-up aku ok tak?" tanya Erina.
"Aku touch up sikit."
"Aku nak pergi toilet dulu..." Erina tiba-tiba rasa nak terkucil. Cepat-cepat dia berlari menuju ke tandas.
Farah yang sudah mengeluarkan make-up hanya menggeleng.
"Farah... touch-up sikit muka aku ni." Hani yang sudah berpakaian lengkap menghampiri Farah.
Sementara itu ditandas, Erina sudah selesai membuang hajat. Selepas memabasuh tangan dia cepat-cepat keluar dari tandas. Tak disangka-sangka matanya bertembung dengan seseorang yang baru sahaja keluar dari tandas lelaki yang letaknya berhadapan dengan tandas perempuan.
Senyuman dia lemparkan. Dalam hati Erina berdoa agar tujuan mereka tidak sama. Dia perlu kembali ke dewan untuk menyambung latihan. Erina betulkan selepang di bahunya. Namun doanya sekan tidak dimakbulkan bila kaki Shah turut melangkah ke arah tangga. Erina pura-pura tidak nampak lelaki tu.
"Hai..."
Erina toleh ke sebelah. Sejak bila pulak lelaki itu bersaing dengannya. Kalau Aina nampak mahu dia kena humban dek gadis gempal itu. Tapi takkan dia nak sombong pula dengan Shah. Lagipun Shah yang tegur dia dulu. Jadi Shah yang gatal kat dia. Erina gelak dalam hati.
"Hai..." jawab Erina pendek. Dah Shah tegur pendek dia jawab pun pendek.
"Suara awak sedap... pandai awak nyanyi dan menari."
Bunga-bunga mekar dalam taman hati. Erina bagaikan diawangan. Bukan tiada yang memuji sebelum ini tapi pujian dari jejaka yang dia minat lebih bermakna. Erina senyum lebar. Perlahan kaki meniti anak tangga. Kalaulah dia tidak perlu tergesa-gesa.
"Terima kasih."
"Awak pakai baju Melayu cute... ni rembat siapa punya?"
Erina tergelak. Pertanyaan Shah agak lucu bagi dia.
"Baju ni saya pinjam dari kawan sekelas saya... Asyraf." Jawab Erina jujur.
"Lain kali awak pinjam baju saya je... tak payah pinjam baju orang lain. Saya tak suka."
Langkah Erina terhenti. Dia menoleh ke sebelah mencari wajah Shah. Namun lelaki itu selamba sahaja berjalan meninggalkan dia. Erina seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya tadi. Betul ke apa yang keluar dari mulut Shah. Tapi kenapa tak suka? Erina kebingungan di situ.
"Erina... cepatlah. Tarian dah nak habis tu."
Erina mendongak. Farah bersama Hanis berada di anak tangga paling atas. Laju-laju dia langkah anak tangga. Shah punya fasal lah ni. Sebaik sahaja sampai ke tingkat tiga, Farah menyapu bedak di pipinya manakala Hani meletakkan tanjak di kepala. Dekat tangga juga Erina bersiap.
"Jom.. diaorang dah habis tu." Hani menarik tangan Erina.
Mereka bertiga berlari menuju ke tangga dewan. Erina sempat lagi mencari wajah Shah. Terlihat lelaki itu tersenyum manis ke arahnya. Adakah ini permulaan kisah cinta monyet mereka. Erina sendiri pun tidak tahu.
***
"Hoi pompuan!" Aina bercekak pinggang marah.
Erina yang sedang berehat di bawah pokok bersama Nana memandang Aina dengan muka hairan. Tak ada angin tak ada ribut tiba-tiba marah. Apa pula yang tak kena ni. Mereka berdua bangun serentak.
Aina memang tidak tahu malu. Bukan mereka berempat sahaja di situ tetapi ramai lagi pelajar lain. Erina dan Rafidah membantu pasukan rumah sukan mereka dalam perbarisan.
"Apa yang kau cakap kat Shah sampaikan dia warning aku jauhkan diri dari dia. Aku tau kau cemburu kan. Kau marah sebab Shah tak layan kau."
"Aku tak ada masa nak campur urusan orang. Banyak lagi kerja lain yang lebih berfaedah aku boleh buat daripada terhegeh-hegeh kat lelaki. Lagipun umur kita ni bukan masa untuk bercinta." Erina tak puas hati.
Berani betul Aina menuduh dia. Kali terakhir dia bercakap dengan Shah sebulan lepas semasa latihan akhir kelab kebudayaan. Selepas itu hubungan mereka sama seperti dulu. Hanya senyuman menjadi medium perantaraan. Dia pula sibuk membantu kapten pasukan rumah hijau untuk melatih perbarisan.
"Kau ni perasan aje kot. Entah-entah Shah takde hati kat kau agaknya." Nana menyampuk perbulan Aina dan Erina.
"Kau tepi sikit cikeding... aku tak cakap dengan kau pun." Dengan selamba Aina menolak tubuh Nana yang kurus hingga terdorong ke belakang.
"Nana..." Erina cepat-cepat membantu Nana.
Hani dan Rafidah yang juga sedang berlatih terus meluru ke arah Nana. Mujur Nana tidak apa-apa. Hanya siku tercalar sedikit.
"Kau datang sini cara gangster... kau tolak kawan aku sampai jauh. Kau ingat aku nak diam je." Erina memandang Aina dengan tajam. Perlahan dia mendekati Aina. Di belakangnya ada Nana, Hani dan Rafidah. Menunggu kalau-kalau Aina bertindak ganas lagi.
"Aku nak tau apa kau cakap kat Shah sampai tinggalkan aku. Kau memang kejam kan!" Aina masih lagi tidak puas hati.
"Kau dengar sini Aina, aku tak minat nak bercinta kat sekolah tau. Aku nak belajar, nak dapat keputusan cemerlang... jadi aku tak hairan pun dengan hubungan korang." Entah kenapa Erina rasa tidak selesa dengan jawapan yang keluar dari mulutnya. Jujur pada diri, kehadiran Shah banyak membuatkan dia bermimpi indah.
"Aku tak percaya!"
"Lantak kaulah! Percaya atau tak!" Erina sudah naik angin. Aina tak habis-habis menuduh dia menghasut Shah. Mana dia dapat cerita karut ni.
"Tapi..."
"Lebih baik kau blah sebelum aku humban kau kat longkang sana!" Erina menghalakan jari telunjuknya ke longkang. Panas hati dengan muka tidak percaya Aina.
Aina masih tegak berdiri. Ada sesuatu yang ingin dia perkatakan.
"Aina... blah. Jangan cari fasal kat sini. Jangan sampai aku report hal ni kat Cikgu John. Ramai orang nampak kau tolak Nana tadi."
Mendengar amaran dari Hani, Aina jadi kecut perut. Tak sanggup dia berhadapan dengan guru disiplin bermisai lentik tu. Lebih baik dia cabut sekarang.
"Aku angin betullah... spoil mood aku hari ni." Erina kibas muka yang berbahang. Rasa nak cekik-cekik saja budak debab tu.
"Mana dia dapat cerita tu?" Hani duduk bersila di hadapan Erina.
Erina mahu membuka mulut. Tapi melihat pelajar lain dengan muka penuh tanda tanya dia tak jadi.
"Chong... bawa budak-budak pergi minum. Nah duit." Erina mengeluarkan not lima puluh ringgit dari dompetnya.
"Baik kak..."
"Rehat setengah jam... belikan akak milo ais. Korang nak minum apa?"
***
"Erina sekejap..." Shah menarik hujung lengan baju kurung Erina. Membawa gadis itu ke sudut tersorok perpustakaan.
"Kenapa ni?" Erina terpinga-pinga.
"Awak tak apa-apa ke?" Shah membelek muka Erina. Mencari kalau-kalau ada sebarang kecederaan.
"Tak apa-apa kenapa?" Erina pelik. Dan kenapa pulak lelaki ni. Dia tolak tubuh Shah. Selamba saja lelaki ini dekat-dekat dengan dia.
"Yasmin cakap Aina belasah awak kat padang semalam." Shah menjarakkan sedikit kedudukannya. Kalau ada yang terlihat pasti salah sangka nanti
"Apa?" Erina kerutkan dahi. Mengarut sungguh berita yang Yasmin bawa. Atau Aina yang sengaja bawa berita palsu. Perempuan tu pun boleh tahan mulut busuk.
"Saya minta maaf..."
"Apa awak cakap dekat Aina sampai dia marah sangat? Kenapa awak putuskan hubungan dengan dia? Sebab dia debab atau tak comel." Pelbagai andaian singgah dikepalanya sebaik sahaja Shah hulurkan kata maaf. Kenapa lelaki itu mesti minta maaf.
"Saya tak ada hubungan dengan dia... saya layan dia macam saya layan kawan-kawan yang lain. Saya tak kisah pun dia debab atau tak comel, boleh je kawan dengan dia." Shah cuba menjelaskan semuanya. Dia angap Aina hanyalah kawan biasa. Namun bila Aina bawa mulut tentang hubungan mereka, dia bertindak meminta gadis itu menjauhkan diri.
"Habis tu yang awak rehat sama-sama, balik sekolah sama-sama... apa tu maknanya tu kalau bukan couple." Erina seakan tidak percaya dengan kata-kata Shah. Dia bukan buta sampaikan tidak nampak.
"Ada tak awak nampak saya tunggu dia masa rehat atau masa nak balik macam si Zaharis tunggu si Juli... ada tak?"
Erina terdiam. Memang dia tidak pernah nampak situasi tu. Selalunya Shah akan berjalan seorang diri barulah Aina datang. Semasa rehat pun Shah makan seorang, Aina yang selamba duduk sebelah.
"Tak ada kan..."
Erina tunduk malu. Tuduhan dia tak berasas rupanya.
"Erina... tengok saya."
Erina angkat muka.
"Saya suka awak."
Zapp! Aliran arus elektrik seakan merenjat jantung Erina. Mulutnya menganga. Terkejut dengan luahan hati Shah sebentar tadi. Betul ke apa yang dia dengar. Dia tidak bermimpi ke. Terkelip-kelip matanya memandang wajah redup Shah.
"Saya suka awak sejak kali pertama kita berjumpa... saya harap awak akan tegur saya lepas pertemuan pertama kita. Tapi awak sombong."
Lidah Erina kelu. Apa jawapan yang perlu dia berikan.
"Shah... rasanya kita tak patut bincang soal hati dan perasaan ni. SPM makin hampir. Lebih baik kita tumpu pada pelajaran." Akhirnya dia luahkan juga. 'Maaf Shah... bukan tidak mahu sambut cinta awak, saya harus utamakan cita-cita dahulu.
"Saya tak minta awak balas... cukup untuk awak tahu saya suka awak bukan Aina atau perempuan lain. Bukan saya minta rasa ni hadir. Saya pun ada cita-cita yang perlu saya kejar. Satu hari nanti kalau rasa ini bersambut awak bagitaulah saya... saya akan berdoa untuk jodoh kita." Tenang sahaja bicara Shah.
Hati Erina bergelodak. Tak pernah dia fikirkan soal jodoh saat ini. Tapi kalau Allah tentukan mereka bertemu jodoh dia tak akan menolak.
"Erina... saya balik dulu."
Erina termangu-magu melihat Shah melangkah pergi.
***
"Hari ni hari last paper kita... aku rasa patut kau bagitau Shah isi hati kau." Hani perasan Erina seakan tiada mood sejak pagi tadi. Selesai sahaja kertas Ekonomi Asas pagi ini mereka merdeka.
"Tapi..."
"Kalau kau segan tulis je surat... aku rela jadi posmen. Upah aku makan KFC dah lah." Nana menawarkan diri.
"Nantilah aku fikir." Erina tersenyum malu. Peperiksaan sudah hampir tamat. Bolehlah dia fikirkan soal hatinya pula.
"Jangan nanti-nanti... hari ni pun last paper dia kan. Aku dengar family dia nak pindah ke London. Ayah dia sambung belajar." Rafidah mencelah perbualan Erina.
"Kalau macam tu last paper dia pagi ni lah." Erina baru tersedar sesuatu. Shah kelas aliran sains. Dan paper terakhir kelas sains adalah hari ini.
"Rasanya diorang habis sama dengan kita kan."
Rafidah mengangguk mengiyakan kata-kata Hani. Dewan sebelah sudah lama kosong, bermakna semua pelajar aliran sains sudah balik. Mungkin juga Shah sudah balik.
"Jom kita cari dia kat kantin. Aku dengar Man dengan geng dia nak celebrate."
Mendengar kata-kat Hani, Erina lajukan langkah. Dia berdoa agar Shah masih belum balik. Dia mahu luahkan isi hatinya. Dari jauh dia ternampak Shah sedang bersalaman dengan kawan-kawannya yang lain. Erina berasa lega. Namun kelegaan dia hanya sekejap bila terlihat Shah sudah melangkah pergi. Ada sebuah kereta Mercedes menunggu di perkarangan sekolah.
Pantas Erina pusingkan langkah kakinya ke perkarangan sekolah melalui koridor. Berharap dia tidak terlambat. Dapat melihat senyuman Shah buat kali terakhir pun jadilah. Takdir Allah tidak mampu dia halang. Matanya hanya mampu melihat kereta hitam yang dinaiki Shah keluar dari kawasan sekolah.
"Sabar Rin..." Hani memaluk Erina.
"Mungkin bukan jodoh kami." Erina tersenyum pahit. Sedikit kesal kerana gagal membalas cinta Shah. Mungkin ini yang dinamakan cinta monyet.
***
20 tahun berlalu.
Erina membelek kad jemputan yang baru sampai ke mejanya pagi tadi. Perlahan dia lepaskan keluhan. Kehadiran kad itu membuatkan dia terimbas peristiwa 20 tahun lalu. Tiba-tiba nama Shah yang sudah bertahun-tahun dia lupakan muncul kembali.
Sudah 20 tahun juga langsung tiada khabar berita dari Shah. Bukan sahaja dia tetapi rakan-rakan mereka yang lain. Tahun ini usia mereka masuk 37 tahun. Entah bagaimana rupa Shah agaknya. Tapi adakah Shah akan muncul pada majlis reunion mereka nanti. Kalau muncul mungkin bersama isteri dan anak-anak. Dia baru setahun menjanda kerana suaminya berkahwin lain. Sepuluh tahun berumah tangga tanpa zuriat. Dia sendiri yang minta dilepaskan. Tak tahan dengan mulut-mulut orang.
Trett!Treet!
"Assalamualaikum... ye Hani tersayang aku pergi reunion. Jangan risau. Besok kita pergi cari baju sama-sama. Ajak Nana dengan Rafidah."
Setelah berbual agak lama. Erina tamatkan perbualan. Selesai perkara baju. Tinggal tunggu hari langsungnya. Tema back to school. Terpaksalah dia cari baju sekolah besok.
"Man ni nak kena ketuk kepala." Erina mengomel seorang. Kenapa mesti mereka pakai baju sekolah. Azman ketua pengawas yang mencadangkan tema back to school ni.
***
"Tuan Shah Haikal... muncul jugak akhirnya."
Erina kerut dahi. Siapa Shah Haikal. Kenapa macam tak pernah kenal pelajar lelaki dengan nama itu. Dari senyuman lebar Azman tadi sah lelaki itu sudah lama dia tidak temui. Melihat isyarat dari Rafidah dia segera berpaling. Jantungnya bagaikan hendak gugur di situ.
Melihat seorang perempuan cantik di belakang lelaki itu Erina tersenyum pahit. Perlahan dia menjauhkan diri dari Azman dan juga Shah yang sedang berpelukan. Walaupun cinta 20 tahun dulu hanyalah cinta monyet, tetap meningglkan kesan di hati dia. Erina mencedok air laici dan keluar dari dewan. Lemas dia melihat senyuman Shah dan perempuan itu.
Erina tarik nafas dalam-dalam. Diusia hampir senja ini lebih baik dia lupakan soal cinta sesama manusia. Cinta kepada Yang Esa lebih utama.
"Assalamualaikum Erina."
Hampir tersedak air laici yang diminumnya.
"Wa...alaikum...salam..." jawab Erina gugup. Dia mahu lari tapi kenapa lelaki ada di sebelah dia.
"Bila awak nak balas cinta saya... 20 tahun saya tunggu jawapan awak tau."
"Takkan saya nak kacau rumah tangga orang lain."
"Siapa yang berumah tangga. Setahu saya awak solo... awak ni dari dulu tak pernah berubah. Apa awak nampak tak semestinya kenyataan. Isteri saya dah 5 tahun meninggal dunia. Awak tak tahu ke?"
Erina termalu sendiri. Dia tunduk memandang lantai. Bagaimana Shah tahu dia solo. Dan peliknya dia tak tahu pun yang Shah solo.
"Kalau macam tu, saya hantar pinangan dulu. Lepas nikah nanti awak bagitau saya isihati awak. Boleh kan."
Bulat mata Erina pandang Shah. Lelaki itu masih sama seperti dahulu. Wajah dan senyuman yang sama. Cuma kedutan dia dahi yang bertambah.
"Erina..."
"Shah... saya suka awak juga." Erina tersenyum malu. Kini, dia buang segala ego dan malu. Mungkin ini hikmahnya perceraian dia. Melihat senyuman Shah dia yakin lelaki itu jujur mencintainya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top