BAB 5
SUARA pensyarah lantang bergema di sekeliling bilik kuliah tetapi itu tidak membuatkan mata-mata mereka yang duduk melihat tulisan-tulisan yang ada di papan putih itu segar sebaliknya makin layu seperti didodoi untuk lebih rapat tertutup.
"Okay, look at the slide. As you can see here, this is the nucleophile. Lepas tu nucleophile ni dia akan pergi attack this proton, forming another bond. Lepas nucleophile tu dah buat bonding, the proton akan keluar. Yang tinggal cuma oksigen. Lepas tu oksigen akan membentuk double bond, baru buat resonance structure. Senang aje, kan? Siapa kata organik susah tadi?"
"Memang, senang sangat." Caan menggumam perlahan dengan mata yang sedikit terjuling ke atas. Berpinar mata dia tengok gambar rajah yang pensyarah lukis di papan putih. Mulut yang terbuka kerana menguap dia tekup dengan tangan.
Mengantuk. Kelas Kimia Organik sentiasa buatkan Caan mengantuk, tanpa gagal. Jujur sahaja, dia langsung tak faham apa yang pensyarah dia bebelkan dalam kuliah sejak awal semester lagi.
Matanya melirik ke seluruh kelas lalu jam di dinding dia lihat. Kelas sudah bermula selama lima belas minit, tapi ada seorang lagi pelajar yang belum masuk.
Zink. Tak datang ke hari ni? Kenapa? Zink sakit ke? Ke bangun lambat?
Senyum nipis tercongek di bibir Caan apabila teringatkan wajah si gadis yang seorang itu. Macam-macam hal. Minggu lepas, Zink buat onar datang makmal tapi dia pakai selipar crocs. Memang cari pasal namanya.
"Asalammualaikum." Pintu tiba-tiba terkuak dari luar buatkan perhatian seisi kelas tertumpu di muka pintu.
Ada Zink di situ dengan nafas yang termengah-mengah. Pensyarah mereka dah berdiri sambil mencekak pinggang pandang Zink seraya menurunkan kaca matanya sedikit. "Pukul berapa dah ni? Baru masuk?"
Zink nampak seperti tergamam.
"Kenapa lambat?" Pensyarah teruskan lagi soalannya apabila Zink tidak memberikan sebarang respon.
"Maaf doktor." Zink tundukkan kepalanya sebagai tanda meminta maaf.
Caan setia memerhati dari belakang.
"Lambat lagi sekali, saya kunci pintu."
Zink hulur senyum sebelum bergegas ambil tempat duduk di belakang sekali di mana ianya adalah bersebelahan dengan Caan. Itu sahaja tempat yang tinggal, yang lain dah penuh.
Caan pandang Zink yang kalut keluarkan nota syarahan. Segala pen, kertas, fail semua dia lambak habis dekat atas meja. Sekelip mata ruang yang tak berapa nak besar sebelah dia jadi bersepah.
Zink ni kan... dia punya kalut tu memang tak boleh bawa berbincang.
Dia sengetkan badan sedikit dekat ke sebelah kiri lalu dia berbisik perlahan dengan mata yang masih lagi melihat hadapan dan tangan yang bergerak mencatit nota. "Kenapa lambat?"
Zink pandang Caan beberapa saat sebelum dia buat muka kasihan. "Aku turun awal dah, pukul 7.20 aku dah naik bas tahu tak?"
Caan jongketkan keningnya. 7.20 dah naik bas? Sepatutnya dalam pukul 7.40 Zink boleh sampai fakulti dah. "Habis tu kenapa lambat bukan main?"
"Aku salah naik bas..." Lirih suara itu kedengaran bercerita buatkan fokus Caan terus hilang merata. Dia pandang gadis kalut disebelahnya untuk beberapa ketika sebelum dia hadapkan semula mukanya ke depan.
Bimbang ketahuan bersembang nanti dalam kuliah. "Hah? Kau naik bas apa?"
"Bas E. Dia keluar pergi seksyen berapa entah dulu, baru dia masuk balik. Bangang betul! Aku baca dekat kertas tu, dia tulis Bas E berhenti dekat Seroja. Pak cik bawa bas tu pun membohong aku. Kata berhenti dekat Seroja tapi tak berhenti pun!"
Dahi Caan hampir berlipat membentuk alur mendengar cerita sedih ringkas Zink. "Bas E?"
"Yalah, Bas E."
"Weh, Zink. Aku rasa yang bangang tu kau, bukan bas. Bas E memang lalu Seroja, lepas Seroja baru dia keluar."
"Ya ke?" Zink dah lain macam, mata dia dah pandang atas tanda dia cuba mengingat kalau-kalau dia yang terlepas pandang apa-apa maklumat.
"Yalah! Aku selalu je naik bas tu kalau balik daripada Seksyen 2, memang berhenti dekat Seroja."
"Habis kenapa pak cik tu tadi tak berhenti pun?"
Caan mengeluh dengar soalan polos si puteri kalut. "Berhenti... confirm berhenti. Kau ni main telefon lepas tu tak perasan," kata Caan sambil menyalin apa yang pensyarah mereka tulis di papan putih.
Zink langsung tak berbunyi buatkan Caan terpanggil untuk menjeling ke sebelahnya. Gadis itu masih merenung siling bilik kuliah dengan kening yang hampir bertaut. Tak habis imbas kembali lagilah tu.
Gelaknya terlepas juga melihat gelagat aneh Zink. Sah, yalah tu! Zink yang tak perasan bas ada lalu Seroja, tak pasal-pasal pak cik bas yang salah.
"Sudahlah Zink. Salin nota tu, nanti tak sempat copy. Kau dah la datang lambat."
Dengan ekor matanya, Caan nampak Zink mula menulis. Dah mula terima hakikat mungkin? Caan cuba tumpukan semula perhatiannya kepada pengajaran pensyarah di hadapan bilik kuliah tapi tak sampai sepuluh minit dia dah menguap balik.
Ish, mengantuknya!
Caan liarkan matanya untuk tengok rakan sekuliahnya yang lain. Semua muka lebih kurang macam dia, nak tak nak aje bernyawa.
Maknanya Caan tidak bersendirian. Dia seorang pelajar yang normal.
Dia toleh ke kiri. Zink sedang menyalin nota, khusyuk. Jelas dia sangat fokus dengan apa yang disampaikan oleh pensyarah. Riak bosan langsung tidak terlakar di raut wajah itu.
Hurm, Zink ni... pelik. Dalam ramai-ramai pelajar di dalam jurusan mereka, dia sorang sahaja yang boleh 'go' dengan gaya mengajar pensyarah yang tengah bercakap sekarang.
Pensyarah tanyalah soalan apa pun, Zink sorang aje yang menyahut, orang lain semua diam macam batu. Zink kata dia main teka aje jawapan kepada setiap soalan yang para pensyarah ajukan, tapi... nak teka pun kena ada ilmu.
Walaupun kadang Zink teka jawapan memang macam haram, merapu, tapi kebanyakannya betul dan tepat. Lain tembak rawak gaya komando dengan amatur.
Caan sengetkan sikit badan ke kiri. "Zink."
"Mende?"
"Ada gula-gula tak?"
"Ada. Nak ke?"
Angguk. "Nak satu." Caan memang sangat perlukan gula-gula ketika itu.
Zink angkat beg yang tadi tersadai di atas lantai bawa naik ke riba. Dia buka zip beg seluas mungkin menyerlahkan isi dalamnya buat tatapan Caan. Kening yang awal-awal tadi sudah kendur kini jadi bertaut semula.
"Nah." Zink letak dua biji gula-gula Dynamite depan Caan.
Caan ambil. Plastiknya dia buka lalu gula-gula berwarna putih itu dia sumbat ke dalam mulut, tapi keningnya masih tidak kembali ke tempat asal. "Weh, Zink."
"Apa lagi?"
"Kau tak bawa lab coat ke?" Langsung tak bertapis Caan bertanya, sebab dia tak nampak langsung kot putih itu di dalam beg si puteri kalut itu.
"Lab coat? Bawa lab coat nak buat apa pula? Buat semak beg aku je."
Caan jadi tercengang sendiri hingga terhenti dia mengepat gula-gula berangin itu. Zink boleh tanya dia kot putih tu nak buat apa? "Lab coat untuk buat lab la, kan lepas ni kita ada lab."
Sesaat selepas dia tuturkn ayat itu, Caan nampak badan Zink jadi kejung. Muka tu tak payah cakap, stern terus.
"Lab apa lagi? Kan kata minggu ni tak ada lab? Ganti minggu depan sebab madam tak ada?"
Okey, Caan tahu mana arah perbualan mereka akan menghala. Untuk itu, Caan lepaskan keluhannya siap-siap. "Allahu. Zink, yang tak ada lab tu untuk subjek physical chemistry la. Esok punya lab. Bukan yang hari ni, lab untuk analytical chemistry ada macam biasa. Kan hari ni kita ada lab test?"
Muka Zink jadi pucat seperti tak berdarah macam kena sedut hantu raya. "Sumpah la? Tak lawak tau, Caan."
"Ya Allah, sumpah! Buat apa aku nak tipu?"
Satu, dua, tiga!
"Weh! Macam mana ni, Caan? Aku tak bawa lab coat! Jotter tak buat lagi, manual apa semua aku tak bawa!" Zink mula menggelupur seperti cacing kepanasan.
Berdenyut dahi Caan dibuatnya nak melayan karenah si Zink ni. Macam manalah dia boleh salah faham? Rasanya elok dah Meor buat pengumuman semalam, terang satu-satu tentang perubahan jadual mereka pada minggu itu.
Bukan main semalam, dia yang pertama respon. Eh, alih-alih salah faham!
"Caan! Habislah aku! Mati tahu tak, mati? Kosong markah lab test aku. Dah la aku tak baca apa-apa langsung nak buat test kejap lagi. Lab coat tak bawa, nak masuk lab pun tak boleh. Macam mana nak lulus final? Aku tak nak repeat, Caan."
Zink dah mula cakap yang bukan-bukan buatkan Caan rasa serabut. Nak aje dia salotape mulut Zink bagi diam. Apa jauh sangat dia fikir? Sampai ulang subjek bagai, ish!
Caan tunduk sedikit untuk tengok bawah meja, dia tilik kaki Zink. Bagus, pakai kasut bukan selipar buaya berlubang dia tu. Kalau pakai selipar itu, memang tak dapatlah Caan nak tolong.
"Kau boleh bertenang sikit tak, Zink? Jangan gelabah boleh tak?" Pinta Caan seikhlas hati.
"Bro, nak bertenang amende? Semua benda aku tak bawa!"
Caan menggeleng lagi. Memang tak boleh buat apa dah dengan dia ni. Dia ambil begnya yang tersandar di atas lantai, lalu dia keluarkan sekeping kertas dari dalam fail lalu kertas itu dia letak di depan Zink. "Kau copy jotter aku dulu."
"Tapi..."
"Salin ajelah dulu, jangan banyak cakap!" Tak habis pun lagi ayat Zink, Caan terlebih dahulu memotong percakapannya.
"Yalah, yalah." Zink tunduk dan buka begnya. Dua minit, dia buat operasi mencari sesuatu buatkan sekali lagi perhatian Caan berpindah daripada papan putih kepada Zink.
"Cari apa?" Caan bertanya lagi, macam banyak sangat harta dia ada dalam beg itu.
"Kertas A4. Aku rasa aku dah bawa dah tadi, mana pula aku letak dia?"
Entah buat kali yang keberapa pada pagi itu sahaja, Caan lepaskan keluhannya penuh pasrah. Pap! Sehelai kertas putih sudah dibentangkan di depan Zink. "Dah, cepat buat jotter!"
"Terima kasih, Caan." Perlahan sahaja suara Zink keluar sambil pura-pura tersipu.
Caan perlahan-lahan capai telefonnya di dalam poket. Berhati-hati dia buka aplikasi Whatsapp. Mata curi-curi menjeling ke hadapan, bimbang dia bakal ketahuan membuka telefon ketika belajar.
Caan cari nama sahabatnya. Apabila jumpa, pantas jari-jemarinya menari di atas skrin menaip mesej SOS.
-Bro, kau ada lab ana kan pagi ni?
+Ada, kenapa?
-Nak pinjam lab coat, aku lupa bawa.
+Oh, ambillah. Lab kau pukul berapa?
-Kejap lagi, pukul 11.
+Okey, kau nak jumpa dekat mana ni ambil benda ni?
-Lepas ni aku lab ana juga, so pass dekat depan lab je la.
+Okey, nanti roger-roger.
Caan sepantas mungkin simpan telefon dalam poketnya apabila pensyarah berhenti menulis di papan putih lantas berpusing dan menghadap mereka. Fuh! Nasib baik tak nampak.
"Zink," panggil Caan dalam bisiknya.
"Apa?" Zink angkat kepala daripada menunduk, tekun meniru lukisan di dalam buku catatan Caan. "Masalah dah settle. Janganlah pandang aku, pandang depan!" Caan marah apabila Zink tanpa selindung pandang dia seolah berbual. Zink ni pun, jelas sangat bersembang!
Cepat-cepat Zink pusing kepala menghadap depan. Badan dia sengetkan ke arah Caan untuk bercakap. "Masalah apa?"
"Masalah kaulah."
"Aku mana ada masalah." Dengan bangganya Zink bercakap buatkan Caan rasa macam nak pukul orang.
"Sudahlah! Malas aku cakap dengan kau ni!"
CAAN tepuk bahu sahabatnya sejurus kot putih berpindah tangan. "Terima kasih. Nanti balik kolej aku pulangkan, eh?"
"Takde hal."
Caan hantar kelibat sahabatnya pergi hanya dengan pandangan mata sehingga lelaki itu menghilang di sebalik dinding bangunan. Dia pusing ke belakang dan terus menuju ke satu arah. Caan nak serahkan kot putih itu kepada Zink!
"Nah."
Zink pandang kain putih yang tersidai di hujung tangan Caan. "Apa tu, Caan?"
"La... apa tu? Kain buruk Zink, kain buruk. Untuk guna buat lap apparatus dekat dalam lab kejap lagi." Sinis daripada Caan. Matanya sengaja dijulingkan.
Oh. Jawapan sarkastik Caan menguntumkan satu sengihan di bibir Zink. Lambat-lambat dia hulurkan tangan untuk menyambut huluran lelaki itu. "Kau ambil dekat mana lab coat ni, Caan?"
"Kawan aku punya."
"Kau pinjam, eh?"
"Taklah, aku curi."
Pap! Lengan baju kot putih sudahpun selamat singgah membadai lengan Caan tanpa sebarang amaran.
"Sakitlah, gila!" Caan gosok-gosok kawasan lengan dia yang terasa berbirat. Inikah balasan yang dia dapat atas pertolongan yang dia hulurkan kepada Zink? Cis betul!
Zink tayang senyum tak bersalah. Dia sarungkan kot putih itu ke badan. Baru separuh jalan, muka Zink dah berubah habis. Terus kot putih itu dilorotkan dari badannya.
Perbuatan kecil Zink itu menarik perhatian Caan. "Kenapa, Zink?"
"Bau perfume dia kuat sangat! Kepala aku pening." Zink muncungkan bibir dan kerutkan hidungnya dek kerana bau yang tiba-tiba menerjah hidung. Kuatnya bau, menyengat!
Tahu tak bau lelaki punya deodorant ke, minyak wangi ke, macam mana? Bau yang keras tu? Yang orang kata bau maskulin tu?
Ya, bau seperti itulah yang melekat dekat kot putih kawan Caan. Zink memang tak berapa nak tahan dengan bau-bau seumpama itu. Terus rasa pening kepala kalau terhidu. Keras sungguh aromanya.
Caan lepaskan keluh tanpa dia sedar. Pula dah...
"Habis tu boleh ke tidak kau pakai lab coat ni?" Caan sesekali menjengukkan kepalanya ke dalam makmal, amali masih belum bermula. Orang lain semua dah masuk, tinggal mereka berdua sahaja yang masih tercegat di luar.
Tak bercadang untuk menipu, pantas sahaja Zink menggeleng. Kalau Caan rasa nak tengok nasi lemak yang Zink makan tadi keluar semula, cubalah suruh dia pakai.
Melihat gelengan Zink, Caan tanpa banyak kata langsung tanggalkan kot putihnya daripada badan. "Nah. Pakai yang aku, bak sini yang kau tu." Caan dah hulur kot putih miliknya kepada Zink.
"Kau nak tukar ke?"
"Iya, cepatlah."
"Caan..." Zink dah terharu.
"Cepatlah, Zink. Tak payah nak berdrama pula!"
Cepat-cepat Zink ambil kot putih yang dihulur Caan dan berikan pula kotnya kepada lelaki itu. Caan tanpa soal terus sarungkan kot itu ke badannya.
Zink lalukan kain putih itu ke hidungnya. Bau tadi tiada, tapi ada satu bau lain. Tetap maskulin, tapi tak menyakitkan hidung. Wangi.
"Apa kau cium-cium? Lab coat aku wangi, okey?" Caan dah bercekak pinggang depan Zink buatkan gadis itu tersengih apabila dia tertangkap menghidu.
"Saja je nak check. Berapa lama tak basuh ni?"
"Sorry sikit, baru semalam aku basuh. Aku basuh lab coat aku seminggu sekali, okey!"
"Terima kasih, Caan!"
Caan tak dapat tahan bibirnya daripada melepaskan senyum. "Sama-sama. Dah, jom masuk."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top