BAB 3

“YA, ada lagi. Duit semua cukup,” kata Zink sambil suap roti canai ke dalam mulut. Lambat-lambat dia mengunyah sambil dengar suara ibunya di seberang sana tak putus meninggalkan pesan itu dan ini.

“Okey mama. Kalau Nini nak pakai duit Nini cakap. Nanti Nini call mama balik, eh? Bye, mama. Love you!”

Zink matikan panggilan kemudian telefon bimbitnya dia simpan ke dalam poket baju kemeja yang dipakainya. Dia angkat muka. Cuba teka apa yang dia nampak?

Caan, tengah berdiri depan dia menatang sepinggan nasi lemak bersama dengan Faris dan Arip. Terhenti kunyahan Zink. “Ya?”

“Zink, nak tumpang meja kau boleh tak?”

Zink pusing belakang untuk tengok kawasan kafe. Penuh dengan manusia, meja semua berisi.

Kebetulan meja dia besar dan cuma dihuni dia seorang sahaja. Laju dia memberi izin. “Boleh, duduklah.”

Tak tunggu lama untuk tiga lelaki itu ambil tempat masing-masing. “Terima kasih, Zink.”

“Sama-sama.” Zink sambung makan diam-diam roti canai yang masih banyak. Sikit pun tak bercakap, diam aje dia. Bukan apa, canggung masih tidak hilang.

Memang mereka semua rakan sekelas, tapi Zink tak berapa nak rapat lagi dengan budak lelaki kecuali Caan. Itupun dapat bercakap dengan Caan sebab minggu lepas jadi pasangan buat eksperimen dalam makmal.

Lain, kalau jumpa mereka cuma bertukar-tukar senyum ajelah.

“Kau makan sorang-sorang je ke?”

Zink tak pasti suara siapa yang bertanya buatkan dia mengangkat muka untuk cari pemilik suara. Tapi terus disajikan dengan tikaman tiga pasang mata ke mukanya buatkan dia jadi segan sendiri.

Aduhai…

“Erm, ha. Ya. Sorang.”

“Budak-budak perempuan lain?” Itu soalan daripada Faris.

“Tak tahulah sebab aku datang awal sebab nak sarapan dulu. Orang lain lambat sikit kut.” Zink jawab sekadar yang dia tahu.

So, setiap hari ke kau sarapan dekat kafe?”

Zink angguk. “Haah.”

Sepatah-sepatah dia jawab. Lepas tu Zink diam semula. Ligat otak fikir, soalan apa dia nak tanya dekat mereka bertiga untuk tidak buatkan dia nampak sombong tak nak berkawan dengan orang.

“Ada tak karipap tadi?” Zink dengar Arip ajukan soalan dekat Faris.

“Dah habis. Aku pergi juga tengok tadi, pak cik tu kata dah habis. Kalau nak, kena tunggu dalam pukul 11 nanti ada yang baru.”

“Mana sempat. Kita ada lab. Aku dah seminggu nak beli karipap, tapi asyik habis je. Sedih betul.”

“Karipap dia sedap. Aku dapat beli sekali je, itupun tinggal dua je.” Itu komen Caan.

“Kan? Hari tu aku dapat beli sekali, memang sedap. Tapi sekali itu ajelah. Lepas-lepas tu, sold out memanjang.”

Zink dengar perbualan tiga sekawan itu dari tepi. Dia jeling beg belakangnya di atas bangku yang tersandar di badannya kemudian dia pandang Caan, Arip dan Faris.

“Korang nak karipap ke?”

Malu-malu Zink tanya.

“Haah.” Tanpa segan Arip jawab. Memang dia teringin sungguh.

Zink letak sudu dan garfu, kemudian dia pusing ke tepi dan buka zip. Beberapa saat kemudian, Zink keluarkan satu plastik kecil berwarna oren yang buatkan tiga pasang mata jadi buntang. “Nah, makanlah.”

Dia letak plastik itu di tengah-tengah meja bulat, buatkan senang untuk dicapai oleh semua orang.

“Weh! Mana kau dapat?!” Sedikit tinggi nada suara Arip akibat teruja.

Zink sengih tayang gigi. “Beli.”

“Kita orang datang awal juga, tapi tak ada pun? Macam mana kau boleh beli banyak macam ni?” Caan soal penuh kagum.

“Aku datang… lagi awal?”

“Terbaik la Zink!” Arip tunjuk ibu jari dia dekat rakan sekelasnya yang bernama atom kimia itu. “Aku nak satu boleh?”

“Eh, makan je. Ambil la banyak mana kau nak. Ada banyak tu, aku beli lima ringgit tadi.”

“Aku pun nak satu boleh, Zink?” Faris pula yang minta izin.

“Ambil je. Aku dah selalu makan,” kata Zink lantas tersenyum manis.

Kembang hati dia dapat jadi ‘penyelamat’ karipap. Dia pandang Caan yang sedang tersenyum melihat Arip dan Faris buat muka terharu sambil makan kuih tradisi itu.

Cepat aje mulut dia bertanya. “Caan, tak nak ke karipap?”

“Tak apa Zink, terima kasih. Dah kenyang makan nasi lemak,” ujar Caan lantas muncungkan bibirnya tunjuk pinggan yang tadi menimbun dengan nasi kini sudah lesap. Tidak tinggal sebutir pun nasi, licin.

“Okey.” Zink balas senyum Caan dengan senyum juga. Dia pandang roti canainya dalam pinggan. Masih banyak tapi dia sudah kenyang. Mana tidaknya, tadi beli sampai tiga keping, murtabak lagi sekeping. Konon lapar, takut tak cukup.

Tamak, macam itulah.

Seolah tahu apa yang bermain di fikirnya, tiba-tiba Faris ajukan satu soalan. “Zink, kau tak habis ke?”

Zink angguk lantas tersengih. “Haah. Kenyang. Terbeli banyak pula.”

“Dah tak nak makan dah?”

Geleng dia beri sebagai jawapan.

“Bak sini bagi aku. Biar aku habiskan.”

Terkejut Zink dengar permintaan selamba Faris. “Eh, tak usahlah. Lebih-lebih aku.”

“Kau makan pakai sudu kan? Tak apa, bak sini aku habiskan. Sayanglah kalau nak buang, banyak lagi tu.” Faris tetap berkeras mahu Zink serahkan pinggan roti canainya kepada dia.

Zink terkebil-kebil sendiri. Segan dia jadinya. “Tak apa ke? Kau tak geli ke makan lebih aku?”

“Bagi ajelah Faris habiskan. Daripada kau buang? Membazir.” Pujuk Arip pula.

Zink pandang muka Faris, jelas dia memang bersungguh nak tolong habiskan roti canainya. Kebetulan dia  terpandang  Caan, lelaki itu seperti kebiasaannya, manis mencoret senyum nipis seolah terhibur dengan apa yang dia lihat.

“Bagi aje, Zink. Kalau kau segan, kau bagi karipap jadi upah Faris tolong habiskan makanan kau.” Caan yang sejak tadi jadi pemerhati situasi, akhirnya bersuara.

Kasihan juga tengok Zink terkulat-kulat bila duduk dalam kalangan mereka. Tapi comel!

Lepas Caan cakap macam tu, barulah tegang di wajah Zink jadi kendur.

Lambat-lambat, dia nampak sejuring senyum sudah bertamu di wajah comel itu. “Okey, kau habiskan roti canai aku. Aku upah karipap.”

“Cun! Kau memang terbaik, Zink!”

Caan tunduk menyembunyikan senyum tengok gadis itu yang dah senang hati tolak pinggan pergi ke Faris. Nampaknya macam dah boleh rekrut Zink jadi geng mereka.

Seperti namanya, tak salah lagi Zink memang cool.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top