BAB 2 (Bahagian 2)
"WEH, Zink!"
Entah dari mana Caan datang, tak ada salam tak ada apa, terus sergah orang.
Zink yang tadi baru nak membongkok untuk buka pili corong pemisahan terus jadi tegak semula badan dia. "Apa?"
"Kau buat part mana tu?" Caan dah berdiri dekat sebelah dia. Tangan kiri dia pegang spatula, sementara di tangan kanan ada satu bikar kecil. Mata pandang manual di atas meja.
"Nak discard yang layer bawah ni." Zink jawab sambil tunjuk radas yang berisi dengan beberapa lapisan bahan kimia berbeza warna di depannya.
"Berapa kali dah kau discard?"
"Baru sekali."
"Yang first discard solution tu mana?"
Zink muncungkan bibir dia pada bikar kecil yang dia dah asingkan di hujung meja. "Dalam beaker tu."
Caan tepuk tangan dia dengan riak kagum. Semua prosidur yang penting Zink dah siap buat. "Baguslah, Zink. Aku tinggal kejap je pergi timbang chemicals kau dah siap extract. Hebatlah!"
Zink rasa macam hidung dia dah kembang semacam, nasib baik separuh muka dia bertutup dengan pelitup muka. Kalau tidak mesti Caan nampak dia dah tersipu-sipu.
Aduhai, Caan ni memberikan puji-pujian pula…
"Biasa-biasa je." Zink lambaikan tangan dia depan Caan. Sebelah lagi tangannya dibawa pergi mencekak pinggang.
Caan duduk atas kerusi di tepi Zink. Tangannya dibawa menongkat dagu pandang corong pemisahan yang sedang menitiskan cecair berwarna keruh, tengok Zink buang larutan yang tidak diperlukan.
Mereka dah sampai ke prosidur terakhir. Habis sahaja Zink buat kerja dia, mereka dah boleh kemas dan basuh segala radas dan balik. Laju sungguh kumpulan mereka buat eksperimen. Semua sebab Zink.
"Kau memang minat kimia ke, Zink?" tanya Caan tiba-tiba. Ini pertama kali sebenarnya mereka bercakap. Sebelum ni jumpa setakat senyum-senyum sahaja di dalam kelas.
"Kenapa tiba-tiba tanya soalan tu?"
"Taklah, kau nampak macam minat sungguh dengan kimia. Sebab tu aku tanya.”
Zink gelak dulu dengar Caan cakap macam tu. "Karutlah. Nak tahu tak, aku daripada sekolah bawa sampai matrik, subjek yang paling aku benci tu, kimialah."
Sebelah kening Caan terjongket tinggi. "Serius?"
"Ya."
"Tipulah."
"Tak tipu. Dulu memang aku benci dengan kimia.”
“Sekarang? Dah tak benci?”
“Pernah dengar tak orang kata, kalau kita tak dapat apa yang kita suka, kita kena suka apa yang kita dapat?”
Oh. Caan mengangguk perlahan. Faham. “Habis tu kau suka subjek apa?”
“Seni.” Tersengih-sengih Zink apabila teringatkan subjek kegemarannya ketika sekolah dahulu.
“Seni? Mesti kau pandai melukis, kan?” Sebaik habis ayatnya, Caan tiba-tiba terpandang buku catatan Zink yang penuh dengan lakaran radas dan prosidur. Zink pula seolah tahu ke mana mata itu menghala, kalut dia tutup buku.
Oh.
“Minat tak semestinya berbakat. Kau apa tahu?!”
Caan dah gelak mengekek tengok reaksi spontan gadis itu. “Aku tak cakap apa-apa, okey?”
Zink tak balas apa-apa. Dia tutup semua buku dia yang ada unsur lukisan, baru dia pergi semula ke tempat dia buat kerja tadi. Buat segan aje. “Kau minat kimia juga ke?”
“Tak juga. Sama macam kau. Aku pun minat benda lain.”
Pernyataan Caan berjaya buatkan Zink tertarik. “Kau minat apa?”
“Kau rasa?” Caan tidak terus nyatakan rasanya, sengaja mahu berteka-teki dengan gadis kelakar itu.
“Fizik?”
Geleng. “Mainstream betul budak sains minat fizik.”
“Habis tu?”
“Aku minat musik,” kata Caan sambil tanggalkan kot putih daripada badan.
“Mesti suara kau sedap, kan?” Caan cuma diam tidak balas apa-apa buatkan Zink terkebil-kebil sendiri.
“Ke kau termasuk dalam minat tanpa bakat macam… aku?”
Akhirnya tawa yang Caan simpan sejak tadi pecah juga. "Kelakarlah kau ni," kata Caan sambil cabut sarung tangan getah yang sejak tadi dia pakai.
Zink pandang Caan dengan muka tak percaya. "Aku kelakar?"
Angguk. Ya, gadis itu lucu orangnya.
Zink jadi terleka dengan pujian yang tidak disangka-sangka itu sampai tak sedar yang dia terlanggar corong pemisahan yang dah dibersihkan di tepi meja. Tanpa sebarang halangan, radas itu pun bergolek lalu jatuh ke atas lantai dan... bersepai.
Prang!
Satu makmal jadi terdiam. Zink apatah lagi, bibirnya terkatup rapat tengok lantai yang dah penuh dengan serpihan kaca. Mukanya berubah pucat.
Semua mata tertumpu ke bahagian belakang makmal.
"Weh, aku tak sengaja! Weh... macam mana ni, lailahaillallah... mak...." Zink dah menggelupur, kejap dia mencangkung nak kutip kaca, kejap dia bangun.
"Sabar Zink. Aku ambil penyapu dulu, bersihkan kaca." Caan berlalu pergi dan kembali membawa penyapu dan penyodok. Tenang sahaja dia buat kerja sementara Zink dekat tepi dah macam kucing hilang anak pandang Caan bersihkan serpihan kaca.
"Weh Caan, macam mana ni? Matilah aku nak kena bayar, aku mana ada duit."
Zink nak menangis. Dulu dekat matrik mana pernah jumpa radas macam corong pemisahan tu. Zink ingat benda tu mahal.
Caan gelak. "Mana ada kena bayar, paling-paling kena tulis nama je. Tak payah risau."
"Kalau kena bayar macam mana? Barang makmal kan mahal. Aku nak berhenti belajarlah macam ni."
"Astaghfirullah..." Caan semput gelak.
"Caan, tak lawaklah! Janganlah gelak!" Zink jadi bengang tiba-tiba. Dia sudahlah tengah takut, Caan boleh pula gelak macam Zink itu sebuah rancangan hiburan.
Dalam pada kalut dia tu, tiba-tiba Encik Kerek muncul di tepi Caan sambil bercekak pinggang. "Apa yang pecah?"
Zink kejung sendiri.
"Separatory funnel, encik." Caan tolong jawab.
"Dah sapu lantai ni? Sapu betul-betul takut nanti ada serpih kaca kawan-kawan awak terpijak.”
“Dah sapu dah, encik.”
“Sample awak tumpah tak?"
"Sample okey. Dah siap eksperimen baru funnel tu pecah," jawab Caan lagi.
"Kalau dah siap tak apa. Kalau belum siap eksperimen, awak kena buat balik. Nanti nak buat report tak ada result. Kaca pecah tu nanti buang dalam tong kaca. Saya ada label glass waste dekat tong sampah. Jangan campur dengan sampah biasa."
"Baik, encik." Sopan Caan beri respon.
Dan… Encik Kerek pun berlalu pergi begitu sahaja tanpa melakukan sebarang drama sinetron seperti sangkaan Zink.
Caan pandang Zink lalu dia tersenyum. "See? Settle."
Zink kehilangaan kata untuk beberapa saat sebelum dia buka mulutnya dan lontarkan soalan buat Caan. "Kau nak tau something tak, Caan?"
"Apa?"
"Aku pernah pecahkan pinggan free beli ubat gigi kakak aku, sampai sekarang dia ungkit. Aku pecahkan apparatus custom made, abang tu suruh bersih kan je? Kakak aku yang melebih ke abang tu yang terlebih tenang?"
Dan... Caan tunduk menekan perut. Ada-ada sajalah Zink ni!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top