BAB 2 (Bahagian 1)
ZINK dah termengah-mengah berjalan, nak bernafas pun rasa macam nak pecah paru-paru dia. Dari tadi kerja dia tak sudah-sudah pusing dekat dalam kawasan fakulti cari makmal dekat mana.
Hari tu masa sesi orientasi senior ada ajar cara baca jadual dan cari kelas, tapi itulah… siapa suruh tak fokus?
Agaknya ada yang nampak Zink macam manusia putus harapan sangat dah kut, asyik berlari ke sana ke mari. Ada seorang hamba Allah yang datang tegur dia, tanya Zink ni sebenarnya nak ke mana?
"La, awak cari makmal ke dari tadi?"
Laju Zink angguk. "Ya, betul-betul."
"Makmal ni dekat blok A tingkat 6. Dekat fakulti kita ni kebanyakan makmal semua dekat blok A."
Cis! Bergegas Zink pergi masuk lif untuk naik ke tingkat enam.
Keluar-keluar sahaja Zink daripada lif, terus muka dia berubah jadi toya. Dekat sini ke? Dia pandang dari jauh rakan-rakannya yang sedang bersiap di tepi loker.
Tiga kali kut dia lalu depan makmal tu tadi. Lemah aje lutut dia melangkah, penat. Dia baca plat dekat atas pintu. Makmal Kimia Organik.
Zink nak hadam. Esok-esok kalau tak jumpa lagi, kasi hantuk ajelah kepala dekat dinding.
"Oi Zink, kenapa kau lambat sangat?" Alin yang sudah siap menyarung kot putih makmal datang mendekat. Di wajahnya terukir riak pelik. Tadi mereka datang sama-sama tapi berpisah di kafe sebab Zink kata dia nak pergi beli kuih.
Zink hulurkan begnya kepada Alin.
"Weh, tolong aku. Keluarkan lab coat aku. Tak larat dah ni, rasa macam nak gali tanah je tanam diri sendiri."
Zink dah duduk melunjur dekat tepi dinding macam orang baru lepas berlari seribu meter. Alin pergi mencangkung tepi Zink dan sambut huluran beg sahabatnya sambil menyengih. "Kau nak aku tolong galikan tak? Berapa dalam kau nak?"
Zink tengok aje Alin mula keluarkan kot putih dari beg dia. Iman juga datang merapat kemudian dia hulurkan kipas mudah alih miliknya betul-betul depan muka Zink. Bantuan kecemasan.
"Sesat lagi ke, Zink?" tanya Iman.
Lemah Zink mengangguk. "Ya Man... sesat."
"Ish, kau ni." Iman dah cubit lengan Zink perlahan. Tak habis-habis sesat, padahal fakulti mereka bukan besar mana. Okey, tipu. Besarlah juga. Fakulti mereka termasuk antara fakulti yang terbesar di kampus itu, tapi... tak patut dah kut sesat.
Dah tiga minggu mereka belajar di situ, tak wajar dah nak hilang daripada radar macam Zink.
"Dah, dah, pakai lab coat kau cepat. Nak masuk dah ni," ujar Iman sebelum dia letak kot putih yang Alin keluarkan dari begnya ke atas riba Zink.
Zink bangun dari bersandar dan sarungkan kot makmal ke badan. Tudung yang berjuntai dia betulkan dan sumbat masuk ke dalam kot putih, kemas. Beg dia simpan ke dalam loker sebelum mereka semua bergerak masuk ke dalam makmal.
Itu adalah kali pertama mereka semua menjejakkan kaki ke dalam makmal universiti sebagai pelajar jurusan kimia. Apa yang Zink boleh kata, dia sangat teruja. Banyak betul kebuk wasap! Zink bilang senyap-senyap, ada lapan biji. Dulu, makmal dekat matrik ada satu sahaja.
Dia ambil tempat di meja depan sekali dekat dengan pintu keluar. Senang kalau ada apa-apa jadi, boleh dia lari dulu. Orang putih kata apa? Safety comes first?
Dia baru nak panjangkan leher nak tengok sekeliling, tiba-tiba ada seorang lelaki masuk ke dalam makmal dengan muka yang tak tahulah Zink nak tafsirkan bagaimana.
Kerek?
Ya, itu perkataannya. Kerek.
Dengan mata separuh sepet dia tu, lelaki itu pandang mereka semua dari atas ke bawah kemudian dia ukirkan senyuman yang pada pengamatan Zink nampak… sinis.
"First year ke?"
"Ya," jawab mereka semua serentak.
"Pernah masuk makmal ni?"
Mata Zink tanpa dapat dikawal terjuling dengan spontannya sebaik dia dengar soalan lelaki itu. Dah nama pun pelajar tahun pertama, memang tak pernah masuklah dekat dalam makmal ni cerita dia. Perlu ke tanya lagi?
"Tak pernah." Yang lain dah tolong jawabkan soalan lelaki itu.
"Kenal apparatus? Measuring cylinder? Beaker? Apa semua? Kenal?"
Masa tu, Zink dah main mata dengan Alin dengan Iman. Mereka semua pelajar daripada matrik dan asasi kut. Soalan dia tu sama aras dengan tanya pelajar kulinari kenal tak sudu dengan garfu?
"Kenal!" Suara Zink paling kuat kedengaran bergema di sekeliling makmal. Geram pula dia dengan Encik ‘Kerek’ itu.
Zink tak kira, mulai detik ini dia mahu panggil lelaki itu Encik Kerek. Tak kisahlah kejap lagi dia kenalkan diri dia sebagai apa pun, nama dia tetap Encik Kerek!
"Sementara instructor awak masuk, pergi tengok-tengok dulu makmal ni. Cari apa-apa yang patut untuk buat eksperimen kejap lagi. Jangan nanti instructor suruh start masa itulah awak baru nak tercari-cari apparatus, lambat. Lagi satu, eksperimen buat in pairing ya, saya tak nak serabut-serabut banyak sangat ahli dalam satu kumpulan. Dua orang je dah cukup. Nanti bukan buat eksperimen pun kalau ramai-ramai, semua jadi mandur."
Lepas aje Encik Kerek habis bercakap, terus dia beredar pergi tinggalkan mereka semua tercengang sendiri.
"Siapa dia tu?" Alin tanya sambil berbisik perlahan dengan nada yang tak puas hati.
"Entah, kerek nak mampus." Iman tambah rencah.
Zink tak payah cakaplah, dari tadi lagi dia dah buat muka. Tak mesra pelanggan langsung! Orang ni baru nak kenal dunia, apa salahnya kalau ajar mereka elok-elok. Cakap lembut-lembut, ‘adik-adik boleh tengok apa yang patut, nanti kalut’.
Kan boleh?
Zink dan rakan-rakannya bukan apa, nak meneroka lebih-lebih buat pandai sendiri nanti kena marah. Jadi mereka duduk sajalah dekat situ diam-diam tunggu arahan selanjutnya. Eh, alih-alih kena perli pula.
"Habis tu weh, kita ni macam mana?" Soalan daripada Alin membuatkan perhatian Zink kembali ke realiti.
Masalah baru, satu kumpulan boleh dianggotai oleh dua orang ahli sahaja.
Jumlah pelajar lelaki dan perempuan dalam kelas mereka pula ganjil. Perempuan tiga belas orang dan lelaki tujuh orang.
Makanya, nak ke tak nak, mesti akan ada satu pasangan campur lelaki dan perempuan. Zink tengok Alin dengan Iman, muka dah risau semacam.
"Tak apalah. Kau orang buatlah eksperimen berdua. Biar aku pair dengan budak lelaki." Zink angkat siap-siap buku catatannya sekali dengan pen, sedia untuk pindah meja.
"Tak apa ke Zink?"
Zink buat isyarat tidak kisah dengan melambai-lambai tangan dia di depan Alin dan Iman. "Alah, pindah meja buat eksperimen je. Tak ada hal langsung. Aku pergi dulu, bye."
Zink lambai tangan dan pergi ke meja paling hujung dan letakkan semua barangnya. Kerusi dia tarik dari bawah meja dan labuhkan duduknya di situ. Sesiapa pun yang datang untuk jadi pasangannya, Zink akan terima dengan tangan dan hati yang terbuka.
Cewah... Tapi kalau dapat Caan…
"Kau sorang eh?"
Zink terkedu. Suara tu... jangan kata... Dia toleh ke tepi. Ada Caan yang sedang berdiri bersama barang-barangnya. Betul-betul di tepi meja yang Zink tengah huni ketika itu.
Ya Allah… mengapa Kau sungguh baik terhadap Zink?
Setelah beberapa saat terpaku, Zink cuba untuk berlakon seperti dia tidak terapa-apa dengan kehadiran Caan. Mukanya diseriuskan serta-merta.
"Ya, ya. Aku sorang, kau tak ada partner juga ke?"
"Haah. Lelaki kan ganjil juga. Kita partner sekali ajelah kalau macam tu, kau okey tak?"
Zink angkat bahu sambil mengangguk dengan muka yang sehabis daya dia tahan dari mempamerkan riak yang tidak sepatutnya. "Tak kisah pun."
Zink nampak Caan mengulum senyum nipis. Ya Tuhan...
Manis sekali!
"Okey. Set." Caan dah letak buku catatan dia di tepi buku catatan milik Zink.
Zink ambil kesempatan itu untuk mengintai harta benda kepunyaan lelaki kacak itu. Kemas, tulisan Caan lagi cantik daripada Zink. Lukisan radas dia pun... lagi lawa. Lukis bikar pun pakai pembaris. Lurus sahaja tiada bengkok-bengkok.
Zink tengok pula buku catatannya yang tadi terbuka luas. Cepat-cepat dia tutup. Segan pula dia jadinya. Lukisan Zink senget-benget, bikar kejap kecil kejap besar, tu belum cerita tulisan cakar ayam lagi.
"Zink, macam mana kau lukis separatory funnel? Nak tengok jotter kejap boleh?"
"Apa dia?"
"Nak tengok jotter kau kejap, boleh?"
"Oh, ambillah." Seperti dipukau, deras dia sorong buku kecil itu pergi ke meja bahagian lelaki itu.
Caan pun ambil dan mula membandingkan buku catatannya dengan Zink.
"Comelnya kau punya separatory funnel." Caan tergelak tengok lukisan Zink yang macam haram tu. Mukanya berubah, mati terus senyuman dia tadi.
Cis, berani-berani Caan permainkan hasil seni dia? "Okeylah tu, dah aku tengok dalam Google macam tu bentuknya." Zink bela diri.
"Eh, aku bukan kutuk, aku kata comel. Puji apa?" Caan bercakap dengan gelak yang tertahan-tahan.
Spontan bibir Zink tercebir dengan sendiri. Terus dia ambil buku catatannya dan bawa jauh dari gapaian Caan. Boleh tahan kuat membahan ya lelaki bernama Caan ini.
"Sudahlah kau. Jom cari apparatus."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top