7
"We need to talk."
Key yang dengar ni, tiba-tiba rasa macam bulu roma belakang tengkuknya naik berdiri. Seram, sebab suara Hat serius semacam.
"Okey... Firhat cakap saya dengar?" Key cuba pura-pura biasa.
"Duduklah." Hat dah datang duduk di birai katil, dia muncungkan sedikit bibirnya tunjuk kawasan di sebelahnya yang masih kosong, memberi isyarat agar Key duduk di sebelah dia.
Key buat tanpa banyak soal. Luarannya dia nampak tenang, tapi dalam hati...
Macam-macam Key fikir. Kali terakhir Hat ajak dia bercakap macam ni, seingat Key masa sebelum mereka bernikah. Key ada buat salah ke? Sampai Hat tunggu dia segala.
Key duduk, tapi kejap-kejap dia pandang Hat di sebelah. Kalau orang tengok keadaan Key ketika ini, mesti orang cakap Key takut isteri. Ya, memang Key takut, dia tak nafikan.
"Syauqi."
"Ya?"
Key nampak Hat dah pandang dia, tepat memanah matanya. "Tadi mama call."
"Mama?"
"Hurm."
"Kenapa mama call?" Key jadi tertanya-tanya, ibu mertua dia memang rapat dengan Hat, boleh kata dalam seminggu, mungkin lebih tiga kali mereka berhubung di telefon. Setakat ini, tak pernah lagi Hat sampai tunggu dia masuk bilik untuk bercakap macam sekarang.
"Mama ajak balik kampung hujung minggu ni."
"Kampung?"
"Haah."
"Kampung Firhat?"
"Ya."
"Dekat mana?"
"Kedah."
Key tanya, Hat jawab. "So, Firhat tunggu saya nak cakap pasal balik kampung ni?"
Lambat-lambat Hat angguk. "Boleh tak?"
Key lepaskan nafas yang tertahan sejak tadi. Jatuh bahu dia yang tegang sejak dia masuk bilik. Ya Allah, Hat ni... buat cuak orang saja! Key ingatkan apa!
"Kenapa?" Hat tanya bila nampak reaksi Key lain macam.
Key laju-laju geleng. "Tak ada apa-apa. Saya ingatkan Firhat nak cakap pasal apa tadi. Boleh je, ada apa-apa ke dekat kampung?"
Hat mengangguk. "Ada, kenduri tahlil arwah tok dengan wan."
Key mula tersenyum bila dengar Hat bercakap walaupun cuma sebaris ayat. "Nak balik hari apa?"
"Kenduri hari Jumaat."
"Eh, Jumaat?"
"Kedah kan cuti Jumaat."
Oh ya! Key lupa. "Faham, faham. So, kita kena balik Khamis?"
"Syauqi boleh minta cuti ke Khamis tu?" Hat takut-takut bertanya. Sesungguhnya, dia lupa untuk beritahu Key awal-awal, bila Bainun ingatkan dia tadi baru Hat ingat.
Puas Hat duduk bertenggek dekat meja solek tadi, perah otak cari ayat untuk cakap dengan Key tentang hal ini. Bimbang je Key akan naik angin bila beritahu benda-benda penting macam ni di saat-saat akhir.
"Boleh je, esok saya hantar borang cuti. Firhat? Dah minta cuti ke?"
Hat kemam bibir dia sedikit sebelum senyum tawar dia ukir. "Dah." Minggu lepas lagi dia dah mohon cuti, tapi itulah, lupa nak bagi tahu Key. Itu yang malam ni dia gelabah semacam je.
Key tak berkelip mata untuk beberapa saat sebelum ketawanya pecah. Okey... sekarang baru Key faham.
Aduhai... Hat ni comel lah!
Sampai terbaring-baring dia ketawa, mukanya dia sembamkan ke tilam sampai timbul-timbul urat dekat dahi.
Hat yang tengok, dah melongo hebat. Kenapa dengan suami dia? Tiba-tiba ketawa pula.
Key bangun dari baringnya bila gelak dia sudah reda. Muka dia cuba seriuskan, lalu dia pandang wajah Hat yang jelas sedang pelik itu, dengan sendiri dia tersenyum lagi.
"Firhat."
Hat tak jawab dengan suara tapi dia respon dengan cara mengangkat kening. Apa?
"Kenapa comel sangat?"
Serta-merta pipi Hat rasa berbahang. Dia tak tunggu lama untuk naik ke atas katil lalu merangkak ke bahagian katil tempat selalu dia berbaring, tanpa suara dia tarik selimut hingga menutupi bahagian kaki yang terdedah hingga ke bahagian pinggang.
"Tidurlah, esok kerja." Kata Hat sambil menepuk-nepuk bantal.
Key mengulum senyum. Tengok? Malas nak mengusik lebih-lebih, Key bangun dan pergi ke tepi dinding. Dia tutup suis lampu, sekelip mata bilik mereka dah gelap.
Key naik ke atas katil.
Sama seperti Hat, dia tarik selimut. Terpejam mata dia kenikmatan saat belakang badan menyentuh permukaan tilam yang empuk. Lega! Seharian dia cuma berdiri dan duduk, baru sekarang dapat luruskan pinggang.
Key toleh Hat di sebelah, masih belum tidur sebaliknya ralik merenung skrin. Muka dia bercahaya disimbah cahaya daripada telefon pintar itu. Kepala Key tegak ke atas pandang siling bilik yang gelap.
"Firhat..."
"Hurm?"
Tak payah menoleh pun Key tahu mata isterinya sedang melekat di muka dia.
"Kedah tu dekat mana?"
"Pendang."
"Ada padi?"
"Ada."
Key dah senyum dalam gelap membayangkan kawasan yang menghijau dengan pokok seakan lalang itu. "Macam dalam TV tu?"
"Bolehlah. Rumah arwah wan tengah-tengah sawah. Depan rumah ada tali air."
"Mesti cantik." Walau sekadar bayangan sahaja Key dah dapat rasa, mesti rumah milik arwah wan kepada Hat itu cantik.
"Hurm."
"Lama dah ke wan dengan atok meninggal?"
"Wan meninggal dalam lima tahun lepas, tak lama dalam empat bulan macam tu, tok pula ikut."
"Siapa lagi ada dekat kampung nanti?"
"Selalunya semua ada. Tiap-tiap tahun memang semua akan balik, sebab raya dia orang tak berkumpul, semua balik kampung lain."
"Macam ganti raya lah kan?"
"Bolehlah."
"Mesti seronok."
"Kinda."
Key mengangguk, baru dia tahu. Apa yang Key suka tentang Hat, dia memang tak akan suka-suka buka mulut bercerita tentang diri dia, keluarga dia, apa kesukaan dia dekat Key macam sesetengah orang.
Tapi kalau Key tanya, tak pernah lagi Hat tak jawab, walau hanya sepatah perkataan. Tetap dia akan buka mulut.
Mereka kembali diam, Key tak tengok tapi dengan ekor mata pun dia nampak Hat kembali menatap skrin telefon dia.
Badannya mengiring ke arah Key, sementara Key pula baring menelentang menadah muka menghadap malam.
"Firhat."
"Erm."
"Saya nak confess satu benda." Kali ini Key sudah baring menghadap Hat, yang memisahkan muka mereka sekarang hanya telefon Hat. Dari biasan cahaya biru dari entah gambar apa yang sedang Hat tonton, Key nampak kening cantik itu sedikit berkerut.
"Confess apa?"
Hat dah matikan telefon dia, bilik mereka tiba-tiba gelap gelita. Tapi mereka masih bertatapan. Hanya cahaya dari luar tingkap jadi teman mereka, masih nampak tapi samar-samar.
"Sebenarnya saya tak tunggu Firhat lama pun. Saya tertidur dekat surau, lepas tu baru saya jemput Firhat."
Dalam cahaya yang agak malap itu, Key tak pasti dia lihat dengan betul atau tidak tapi yang buatkan Key terpaku, dia nampak Hat mengoyak senyum.
Sumpah, Key rasa macam masa dia seakan terhenti.
"Okey." Ucap Hat ringkas sebelum dia lonjakkan kepalanya sedikit untuk temukan bibirnya dengan Key, kemudian Hat kembali ke posisi asalnya. Telefon dia letak ke tepi, bantal golek yang berada di hujung kaki kini sudah Hat dakap hingga menutupi muka.
"Tidurlah Syauqi, esok kerja."
Jangan jerit malam-malam ni, nanti mak marah!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top