3
"Firhat."
Hat berpusing ke belakang bila dia dengar namanya diseru seseorang. Siapa lagi kalau bukan Key. Di rumah itu cuma ada mereka berdua.
"Ya?"
Key sudah mendekat. Tangkas hidung Hat menhidu haruman yang datang dari Key, lelaki ini sentiasa wangi walaupun cuma bersantai di rumah. Satu lagi sifat Key yang Hat cukup puji.
Pembersih.
Tak perlu dia jerit-jerit suruh mandi, suruh berkemas, semuanya dia akan buat tanpa perlu dikerah. Hebat ibu mertuanya mendidik Key.
"Firhat tengah buat apa?" Key dah datang berdiri di sebelahnya dengan muka yang seperti biasa, sentiasa manis tersenyum.
"Nak buat agar-agar." Ringkas Hat jawab sambil tangan cekap mengacau cairan agar-agar di dalam periuk supaya tidak berketul.
"Agar-agar apa?"
"Santan gula melaka."
"Eh, saya suka. Umi selalu buat kalau saya balik."
Hat cuma dengar tanpa memberi respon akan satu lagi fakta tentang Key yang dia baru tahu hari ini. Hanya kepala sahaja dia angguk sedikit. "Baguslah."
Key perhatikan air muka Hat, seperti biasa, langsung dia tak boleh meneka apa isi hati isterinya.
Marahkah? Bencikah? Atau sukakah?
"Kenapa Firhat tiba-tiba buat agar-agar?" Key masih tidak putus asa untuk mengajak Hat untuk berbual.
"Saja. Teringin."
"Firhat suka agar-agar gula melaka juga eh?"
"Bolehlah."
Kepala Key ligat berputar, mencari idea seterusnya untuk dijadikan modal perbualan. Erm, nak tanya apa lagi ya?
"Habis tu Firhat suka apa?"
Tangan Hat berhenti mengacau agar-agar. Api dia tutup sebelum badannya berpusing untuk memandang muka Key yang berjarak kurang semeter dengan dia. "Suka kalau awak tak duduk dekat dapur ni, sempitlah."
Dia tolak sedikit badan Key yang menyandar ke kabinet untuk ambil satu bekas untuk diisi agar-agar.
Key telan air liur bila nampak Hat macam nak marah. Oh, dia dah terlebih eh? Perlahan-lahan, dia beransur, dari berdiri di kawasan dapur, kini sudah beralih di muka pintu.
Memang dapur mereka sedikit, bukan, agak sempit pun. Seorang pun dan rasa kecil sahaja kaki boleh melangkah, kalau berdua, agak merimaskan juga.
Dia pandang Hat yang sedang Menyusun bekas-bekas kosong untuk diisi agar-agar. Bila dia nampak Hat ambil kain buruk, cepat-cepat dia pergi mendekat.
"Biar saya tuangkan."
Key nampak Hat seperti berfikir seketika sebab dia cuma pandang muka Key kosong selama beberapa saat, barulah dia serahkan kain buruk kepada Key. "Terima kasih."
Key sambut kain buruk itu dengan senyuman yang paling lebar. "Sama-sama." Dia angkat periuk, sebelum curah dia mahukan kepastian. "Nak tuang sampai penuh ke, Firhat?"
Hat geleng. "Jangan penuh, tiga suku."
"Okey." Key buat seperti yang disuruh di bawah pengawasan Hat. "Done." Ujar Key sebaik isi periuk sudah kosong.
"Terima kasih." Ucap Hat buat kali yang kedua sambil dia letak penutup dekat atas bekas-bekas berisi agar-agar, tapi tidak dirapatkan. Dia mahu tunggu agar-agarnya sedikit sejuk, baru tutup rapat dan simpan dalam peti.
Key bawa periuk yang sudah kosong ke singki. Tanpa disuruh, dia basuh sehingga bersih.
Hat nampak perbuatan Key, senang sungguh dia melihatnya, tapi dia tak mahu tegur.
"Firhat dah cari baju untuk malam ni?" Soalan tiba-tiba daripada Key berjaya buatkan Hat terkedu. Dia lupa! Tapi semestinya Hat tidak akan tunjuk reaksi yang berlebih di depan Key. Muka bekunya dia kekalkan.
"Belum."
"Firhat nak pakai baju yang mana?"
"Tak tahu. Tengoklah nanti."
"Nanti kalau nak suruh saya gosok, Firhat letak je dekat iron board tu, saya pun tak gosok lagi baju melayu saya." Kata Key sambil lap tangan yang basah dengan tuala dapur sampai kering.
Sejurus usai berkata-kata, Key keluar dari situ meninggalkan Hat dengan satu rasa yang... aneh.
Kenapa?
Kenapa Key perlu layan dia seperti itu?
Kenapa Key harus buatkan dia rasa begini?
Keluhnya terlepas tanpa dia sedar.
* * *
"Firhat nampak tak-" Mulut Key terkatup rapat sebaik mata dia merakam apa yang Hat sedang lakukan di dalam bilik baju.
Hat sedang menggosok baju, lebih tepat lagi baju melayunya yang dia gantung di tombol pintu gara-gara kecemasan hendak ke bilik air.
Bila dia keluar, baju sudah hilang. Puas dia cari, rupanya...
"Nampak apa?" Hat tanya sambil menggosok. Dia pandang Key sekilas sebelum mata Kembali ke papan penggosok.
"Baju saya. Saya ingatkan salah letak, rupanya Firhat yang ambil." Bibirnya sudah mula melebar. Kerana ini Key selalu keliru dengan Hat. Kadang dia seperti tidak kisah langsung dengan Key, tapi kadang pula, perbuatannya sangat bertentangan.
Lebih mudah jika Hat terang-terangan menunjukkan rasa benci dia, daripada berkelakuan begini. Key jadi bingung sendiri. Ini bukan apa yang baca dan lihat di kaca TV mahupun novela cinta.
"Betulkan nak pakai baju ni?"
Key angguk. "Terima kasih, Firhat."
"Sama-sama." Dah, cuma itu yang Hat balas, tapi tetap buatkan hati Key berbunga-bunga. Hat ini nampak sahaja beku, tapi dia ada sisi manisnya yang tersendiri.
Macam orang dungu, Key berdiri menyandar di muka pintu sambil tersenyum simpul melihat bidadari dunianya melakukan kerja.
"Firhat pakai baju mana?" Tanya Key bila dia lihat Hat sedang sangkutkan bajunya ke penyangkut baju, lalu dia gantung ke tombol almari.
Hat tanpa suara, buka salah satu pintu almari dan keluarkan sehelai baju kurung putih bermotifkan bunga ungu. Dia tunjuk dekat Key sebelum dia gosok.
Key terpana untuk beberapa saat, sebelum pipinya terasa kebas dengan senyuman. Dia pandang baju melayunya, juga berwarna ungu.
Hat pilih baju yang sedondon dengan dia!
Tanpa sebarang kata, Key melangkah pergi mendekat dengan Hat, dia tundukkan badannya.
Bibir sudah mendarat ke pipi Hat untuk beberapa saat sebelum badannya tegak semula. "Terima kasih gosokkan baju saya."
Key nampak pipi Hat sedikit kemerahan, tapi seperti biasa, dia tak jawab apa-apa. Cuma anggukan kecil dia balas.
"Sama-sama." Halus suara itu kedengaran, pun dah cukup buatkan Key bahagia. Sekurang-kurangnya Hat masih beri dia respon, walaupun kecil, dari dia langsung tak bercakap?
Tak apa, dia tak akan putus asa, untuk buatkan Hat suka dengan hubungan ini.
Tak suka, bukan untuk selamanya. Key percaya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top