Bab 9

WAJAH kelat Amran yang terpapar di pupil mata membuatkan senyuman terherot di bibir Nadhif. Jelas, ada riak tak puas hati terpampang di wajah perjaka itu tatkala mereka tiba-tiba saja dipanggil oleh orang atasan bagi melaksanakan sebuah operasi.

"Haih! Aku baru je jumpa buah hati pengarang jantung aku. Tak sempat lagi nak mengeratkan silaturahim di antara Tia dan mama aku. Dah kena balik pangkalan semula," keluh Amran sembari membutang baju uniformnya.

"At least kau dah selamat bertunang dengan Tiara. Tinggal tunggu kau balik dengan selamat. Relakslah. Tak ke mana pun tunang kesayangan kau tu. Lagi pun... kau jangan lupa pula yang cuti kita sebagai tentera ni hanyalah satu keistimewaan dan bukan hak milik kita. Bila-bila masa je kita boleh dipanggil," ujar Nadhif. Bahu kekar Amran ditepuk bertalu-talu. Membujuk sahabatnya yang dirundung resah meninggalkan sang kekasih di bumi Kuantan.

"Ada betulnya juga apa yang kau cakap. Aku tak payah risau sebab aku dah ikat Tia. Aku yakin dia akan setia tunggu aku pulang. Tapi, bila kau nak ikat Najla pula?"

Sekonyong-konyongnya, Nadhif menumbuk kuat bahu Amran tika perjaka itu mengenakannya semula. Nadhif kembali memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Lelah dengan soalan cepumas Amran yang sering menusuk koklea.

"Kau sukakan Najla kan sebenarnya?" soal Amran lagi. Bukannya dia tak tahu. Sahabatnya yang suka dengan aktiviti mendaki gunung itu tiba-tiba saja jadi kutu buku sepanjang cuti berehat mereka.

"Kau gelojoh sangat tanya aku dengan Najla ni apasal? Tak ada soalan lain dah ke yang kau boleh tanya selain Najla 24 jam?"

Amran mengeleweh dengan soalan Nadhif. Perjaka yang sudah bersiap itu menghampiri meja belajar Nadhif. Tersusun kemas buku karya Hamka di atas meja sahabatnya. Lantas, sebuah buku ditarik keluar lalu dibelek-belek.

"Leftenan Nadhif Firman dah jadi kutu buku lepas jumpa Cikgu Najla. Tak ke sesuatu yang sangat mengejutkan? Oh, kau mesti pelik kan macam mana aku tahu Najla suka membaca? Tiaralah yang bagi tahu aku pasal sahabat baik dia tu," ujar Amran sambil meletak semula buku Hamka di atas meja.

"Si Tiara tu tak habis-habis dengan rancangan nak kenenkan kau dengan Najla. Idea terbaik bukan? Lagi pun bolehlah kau masuk line try Najla," tambah Amran lagi. Kedua belah tangannya dimasukkan ke dalam saku seluar. Segaris senyuman terukir di bibir perjaka itu. Melihat air muka Nadhif yang sudah bisu cukup meyakinkan Amran isi hati sahabatnya. Bukan setahun dua dia kenal luar dan dalaman Nadhif Firman.

Setiap butir bicara Amran benar-benar membuatkan Nadhif terkelu. Terasa kelat liur di rangkungannya tika itu. Dinding hatinya jadi libang-libu tatkala Amran cuba membaca isi hatinya.

"Kalau suka jangan simpan perasaan tu lama-lama, bro. Nanti terlepas kau yang merana. Balik sana nanti tak pasti lagi kau boleh contact dia ke tak. Konklusinya, kau buatlah apa yang patut supaya kelak kau tak makan hati," ujar Amran lagi. Telefon pintar Nadhif yang terletak di atas meja dicapai seraya dihulurkan kepada sahabatnya yang sudah kaku seperti patung cendana.

Lambat-lambat Nadhif mencapai telefon pintarnya. Perjaka itu berdeham. Membetulkan peti suara tatkala dinding hatinya semakin direnggut dengan omongan sinis Amran. Senior merangkap sahabatnya ini memang bijak membaca isi hatinya.

"Kau jangan nak pandai-pandailah, Amran. Aku..."

"Aku kenal kau dah 10 tahun, Nadhif. Jangan nak simpan apa-apalah daripada aku. Kita ni dah macam adik beradik lain mak bapa je. Dahlah! Aku tunggu kat depan. Jangan lambat dari lima minit. Kalau tak... komando rest sejam!" pintas Amran seraya melangkah keluar dari kamar Nadhif. Memberikan ruang kepada sahabatnya yang masih menidakkan perasaan sendiri.

Tatkala itu, Nadhif menggali nafas sedalamnya. Skrin telefon yang gelap dipandang tanpa berkelip. Pelipis yang tak gatal digaru. Dalam diam, Nadhif membenarkan omongan Amran. Andai dalam jangka masa enam bulan ini Najla menjadi hak milik orang lain, pasti dia yang kecewa.

Namun dalam masa yang sama, perkenalannya bersama Najla masih terlalu awal. Bahkan, baru tiga kali mereka bertemu. Itu pun secara kebetulan. Tiada yang menarik tentang pertemuan mereka.

Dek itu, meluahkan perasaan bukanlah waktu yang sesuai bagi Nadhif tika ini. Nadhif juga tidak mahu terburu-buru dalam mendalami seorang Najla. Oh sungguh, rumit benar tika sang hati mula bergayut dengan nama Najla Fakhira.

AMBIEN di ballroom Hotel The St. Regis Kuala Lumpur pada malam itu kelihatan meriah. Lampu chandelier yang bergemerlapan menambahkan lagi suasana yang mewah. Ditambahkan pula dengan persembahan Mozart daripada kumpulan orkestra. Bunyi sudu dan garpu yang saling berlaga turut kedengaran.

Kelihatan golongan korporat memenuhi majlis ulang tahun yang ke 20 Syarikat BizCorporat. Masing-masing dengan pakaian bertemakan black and gold yang kelihatan begitu elegan.

Tatkala figura seorang lelaki berusia akhir 50 an yang mengenakan sepasang tuxedo hitam dan berkaca mata naik ke atas pentas, kesemua mata-mata tetamu mula tertumpu ke arahnya. Inilah acara yang dinantikan. Ucapan daripada si pemilik syarikat penghasilan seramik yang ternama di seantero Malaysia.

Pada masa yang sama, seorang wanita bergaun hitam sendat dengan rambut yang diikat sanggul mengulum senyum tatkala suaminya menyebut namanya bersama tatapan yang penuh dengan renjana.

Sudah tentunya dia bangga menjadi isteri kepada Tan Sri Ibtisam. Si pengusaha ternama dan terkaya di Malaysia. Namanya dijulang tinggi dengan setiap kejayaan yang dimilikinya.

"Mana anak you, Maria?" soal Datin Sri Mustika tatkala kelibat Haifa dan Ifwat tak kelihatan.

"Haifa datang lambat sikit. Ada discussion katanya. Ifwat pula outstation. Clash dengan ulang tahun syarikat daddy dia," ujar Datin Sri Maria.

Wajah Datin Sri Mustika dipandang silih berganti dengan anak gadisnya yang kelihatan manis bersama sepasang gaun hitam berlengan pendek. Rambut perangnya yang diikat gaya braid hippy menambahkan kecantikan gadis berusia akhir 20 an itu.

"Anak you yang seorang tu dah lama I tak nampak. Satu sekolah dengan Tisha dulu. I dah lupa nama dia."

Sebaik saja perihal Nadhif dibicarakan, air muka Datin Sri Maria sontak berubah keruh. Namun, sebaik mungkin dia cuba memaniskan wajah di hadapan rakan kongsi suaminya. Tak mahu konflik keluarga diketahui oleh orang luar.

"Nadhif Firman," jawab Tisha. Bibir merahnya terus mengulum senyum tika sebaris nama itu meluncur daripada bibir mungilnya.

"Tisha ingat lagi pasal Nadhif?" soal Datin Sri Maria. Kaget tatkala Tisha masih ingat tentang Nadhif yang sudah 13 tahun tidak tinggal bersama keluarganya.

"Mestilah. Abang Nadhif tu kan senior sekolah Tisha. Siapa je yang tak kenal abang Nadhif yang kaki gaduh, kaki ponteng sekolah tu," jawab Tisha. Seketika, ruang memorinya menyingkap perihal Nadhif ketika berada di zaman sekolah. Perjaka itu memang bermasalah. Namun, masih menjadi harapan sekolah tatkala Nadhif aktif dalam bidang sukan.

Mendengar hal itu, seyuman Datin Sri Maria semakin sirna. Ya, Nadhif bermasalah. Sehinggakan dia dan suaminya sering dipanggil oleh pihak sekolah atas kesalahan yang dilakukan oleh anak sulungnya itu. Semuanya berlaku dek Nadhif protes tatkala dia berkahwin dengan suami barunya.

"Dia masuk tentera lepas tamat diploma. Sejak dia masuk dalam bidang ketenteraan tu, Nadhif dah tak tinggal dengan kita orang lagi," jelas Datin Sri Maria. Memberikan jawapan ringkas kepada Datin Sri Mustika yang tertanya tentang Nadhif Firman.

"Sanggup eh Nadhif kerja macam tu. Padahal daddy dia tu kaya," ujar Datin Sri Mustika seraya mengunyah puding kastad. Ada sinis di sebalik bicaranya. Anak tiri kepada seorang usahawan ternama hanya bekerja sebagai anggota tentera? Sangat rendah martabatnya bagi wanita korporat itu.

"Mestilah sanggup. At least kerja abang tu mulia. Berkorban nyawa demi kedaulatan negara. Melindungi negara dari ancaman. Di saat kita berteduh, abang berpanas dan berhujan. Tapi, dia tak kesah pun semua tu. Asalkan, keselamatan negara kita terjamin," pintas Haifa seraya melabuhkan duduk di sebelah Tisha. Geram pula bila golongan kayangan seperti mereka seakan memperlekehkan tugas abangnya sebagai seorang tentera.

Omongan Haifa membuatkan dinding hati Datin Sri Maria naik berang. Kecil besar saja direnungnya wajah manis Haifa yang berselendang putih dipadankan dengan gaun berwarna kuning cair.

"Abang Nadhif apa khabar?" soal Tisha tatkala kehadiran Haifa menimbulkan suasana canggung di antara mereka. Senyuman di bibirnya tak lekang tika berbicara perihal Nadhif.

"Abang? Sihat. Bahagia dengan cita-cita dia," jawab Haifa senada.

"Tisha sukakan Nadhif lagi ke?"

Sekonyong-konyongnya, soalan daripada Datin Sri Maria membuatkan tiga pasang mata sudah mengalihkan pandangan ke arahnya. Kaget dengan soalan cepumas ibu kandung Nadhif Firman itu.

"Err..."

"Tisha, aunty pun perempuan. Of course dari mimik muka Tisha tu pun aunty tahu isi hati Tisha. Aunty boleh tolong adjust..."

Mendengar omongan ibunya membuatkan Haifa tertawa kecil. Tercuit hati dengan setiap diksi yang meluncur keluar daripada mulut ibunya. Wajah Tisha dan Datin Sri Maria dipandang silih berganti. Ada kesinisan di sebalik sorotan mata bundar gadis itu.

"Tak belajar daripada kesilapan lama ke, Kak Tisha? Dah lupa ke macam mana abang reject akak?" sindir Haifa. Ada ketegasan di sebalik nada suara gadis itu. Tubuhnya dipeluk seraya mengalihkan pandangan ke arah ayah tirinya yang masih memberikan ucapan.

Kenapalah dia harus hidup bersama keluarga kayangan seperti keluarganya ini? Jauh di sudut hatinya, ingin saja Haifa mengikut jejak Nadhif. Berdikari dan berjuang demi kelangsungan hidup tanpa menyusahkan keluarga tirinya yang terlajak kaya itu.

Tapi, demi menurut kehendak ibunya, terpaksalah Haifa menurut. Tinggal bersama mereka.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top