Bab 6

SEBAIK saja kereta diparkir di hadapan sebuah rumah kayu, Najla terus menghela nafas berat. Bebola matanya dikalih ke tempat duduk penumpang. Memerhatikan Iftiyah yang sudah dibuai lena. Seharian Najla membawa Iftiyah ke pasar raya untuk membeli baju dan kasut sekolah yang baru. Jelas, terbias keletihan di sebalik roman wajah gadis yang sedang nidera.

Tika itu juga, kotak memori Najla mula mengimbas perbualannya bersama Iftiyah dalam perjalanan ke rumah. Nyata, Iftiyah datang daripada sebuah keluarga yang daif. Ibu bapanya bercerai. Paling tragis apabila ayah kandung Iftiyah merupakan seorang penjenayah yang sedang menanti hukuman undang-undang akibat membunuh.

"Cikgu, ayah saya tu memang penjenayah ke?"

Tika soalan itu terngiang di koklea, Najla terus mengalihkan pandangannya dari menatap laman wajah Iftiyah. Jeladeri emosi mula bergayut di dinding hati. Seakan, Najla pernah berada di tempat Iftiyah. Dihina dan dicaci hanya kerana kejahatan seorang ayah.

Najla membuka pintu kereta seraya melangkah keluar. Hal peribadinya diletak ke tepi buat seketika. Sebagai seorang pendidik tak seharusnya Najla terbawa dengan hal peribadi. Dia harus professional.

Tugasnya bukan sekadar memberikan ilmu pengetahuan. Malah, Najla juga bertanggungjawab menjaga kebajikan muridnya.

"Assalamualaikum!" ucap Najla sembari mengetuk pintu rumah. Sesekali, pandangannya menerawang memerhatikan rumah kayu yang kelihatan daif. Bumbungnya sudah kelihatan bocor. Persekitarannya dipenuhi dengan rumah setinggan. Kelihatan anak-anak kecil sedang bermain di perkarangan rumah pada petang itu.

"Assalamualaikum, Puan Rohayu," ucap Najla lagi tatkala tiada sahutan daripada penghuni rumah.

"Cik ni siapa?"

Sebaik saja seseorang menyapanya, Najla terus kalih ke belakang. Terpampang seorang wanita dengan parut kesan terbakar di seluruh wajah. Seorang kanak-kanak lelaki dipimpin oleh wanita itu. Najla anggarkan budak tersebut dalam lingkungan lima tahun. Tubuhnya kelihatan cengkung seakan tidak cukup zat.

"Saya Najla. Guru kelas Ifitiyah. Puan ni Puan Rohayu ke?"

Seketika, wanita berambut perang itu kematian langkah di sisi kereta. Pandangannya bersatu dengan Najla. Sesekali, sorotan mata wanita itu tertancap ke arah tingkap kenderaan. Wajahnya bengis tanpa segaris senyuman.

"Budak ni mengadu apa je dengan cikgu?"

Mendengar saja soalan dingin itu membibitkan intuisi negatif di sudut hati Najla. Sorotan pandangan wanita itu benar-benar menimbulkan syak wasangka dalam diri Najla. Seakan berselirat dengan amarah. Namun, bibir Najla masih terukir dengan senyuman.

"Iftiyah tak mengadu apa-apa dekat saya. Tapi, saya nak bincang sikit pasal Iftiyah, boleh?"

"Bincang apa? Bincang nak buang anak aku dari sekolah lepas cikgu tahu bapa dia pembunuh?"

"Bukan..."

Belum sempat Najla menoktahkan bicara, kelihatan Iftiyah sudah melangkah keluar dari kenderaan. Mereka berpaling memandang figura Ifitiyah yang sudah tertunduk sambil menghampiri emaknya.

"Saya cuma nak bantu..."

"Kita orang tak perlukan bantuan apa-apa cikgu. Terima kasih sebab prihatin dengan anak aku. Tapi lebih baik cikgu jaga tepi kain cikgu sendiri daripada sibuk hal orang lain," pintas Puan Rohayu seraya mengheret Iftiyah masuk ke dalam rumah. Sungguh, dia tak mahu orang luar memberikan simpati ke atas keluarganya.

Puan Rohayu sudah lali dihina angkara suaminya yang dayus!

"Tapi puan..."

Pintu ditutup dengan kuat tika Najla masih bertegas mahu berdiskusi tentang Iftiyah. Hampir saja pintu terkena pada pucuk hidung mancungnya. Melihat keengganan Puan Rohayu benar-benar membuatkan Najla mati kutu.

"Nah! Ambil balik barang-barang yang kau dah beli untuk anak aku. Aku tak perlukan simpati daripada kau!" marah Puan Rohayu seraya melempar plastik berisi kasut sekolah dan baju sekolah yang dibelikan buat Iftiyah.

Melihat tingkah Puan Rohayu, Najla tersentak. Kakinya seakan terpasak di atas bumi. Kaget dengan keangkuhan Puan Rohayu yang tidak mahu dibantu. Malahan, kekasaran wanita itu membuatkan Najla terkilan.

Salahkah dia mahu membantu anak muridnya?

"AKU dah pesan tapi kau tak nak dengar. Mak dia tu sombong kau tahu tak. Buang masa kau je nak ambil peduli pasal si Iftiyah tu," omel Tiara sembari menyemak buku latihan muridnya. Sesekali, wajah polos Najla yang sedang menjamah makan malam dipandang. Jelas, wajah gadis itu kelihatan muram.

"Kalau kau nak tahu, sebelum kita masuk sekolah tu... Cikgu Izrina ada kata yang dua tahun lepas pihak PIBG sekolah dah pernah beri bantuan dekat keluarga Iftiyah. Tapi apa yang pihak PIBG dapat? Kena maki hamun adalah," tambah Tiara lagi. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Tak mengerti mengapa Puan Rohayu tidak mahu menerima bantuan daripada pihak sekolah.

"Tapi aku tak boleh biarkan Iftiyah tersisih daripada rakan dia yang lain. Dia masih terlalu muda untuk hadap semua ni. Aku yakin ada cara yang terbaik untuk bantu Iftiyah. Lagi pun, ni tanggungjawab aku sebagai guru kelas dia," tegas Najla. Tetap dengan pendiriannya untuk membantu keluarga muridnya yang daif.

"Aku faham apa yang Puan Rohayu rasa. Dia tak nak susahkan orang lain. Dia rasa tak layak nak dapat bantuan pun sebab dia rendah diri dengan apa yang suami dia dah buat. Kau tahu kan jenayah suami dia tu tak dapat diampunkan. Hukuman mati sedang menanti ayah Iftiyah," terang Najla lagi.

Seketika, ambien sepi. Tiada lagi diskusi tentang Iftiyah. Hanya bunyi kipas yang ligat berputar di ruang tamu saja kedengaran. Sesekali, kedengaran suara daripada kaca televisyen yang sedang terpasang. Jagat seakan berhenti berputar tika Najla menoktahkan pendapatnya mengenai keluarga Iftiyah.

"Macam... mak aku dulu," desis Najla. Nafas panjang digali. Ruang memorinya samar-samar mengimbas detik zaman kanak-kanaknya yang seusia dengan Iftiyah.

"Dan aku faham sangat... apa yang Iftiyah lalui. Sakit. Perit. Rasa dunia ni tak adil. Kenapa dia yang dihina walaupun dia tak salah. Sebab tu kalau boleh... aku nak tolong Iftiyah. Aku tak nak dia dihina lagi, Tia," tambah Najla. Ada getaran di sebalik suara gadis berbaju kaftan hitam itu.

Mendengar luahan Najla membuatkan Tiara serba salah. Hanya sorotan matanya yang saling beradu dengan pandangan redup Najla. Pen merah diletak di atas buku.

"Aku minta maaf kalau isu ni buat kau sensitif," tutur Tiara. Segaris senyuman pahit terukir di bibirnya. Tak suka bila Najla mula membuka kisah keluarganya yang berantakan. Tiara tak mahu Najla bersedih.

"Aku okeylah! Jangan risau. Aku yang terlebih emosi malam ni," ujar Najla. Pandangan terus dialihkan dari menatap laman wajah sahabatnya. Tidak mahu suasana canggung berlaku di antara mereka.

"Oh ya, Jumaat kan cuti. Jom teman aku lagi. Cari barang hantaran. Lepas tu malam tu Amran jemput kita ke rumah mak dia."

Tiara terus memainkan peranan mengubah topik diskusi mereka. Tidak mahu hal Iftiyah terus dipanjangkan malam itu. Apa yang Tiara tahu, jika Najla bertekad untuk terus membantu anak muridnya, Tiara akan menyokong saja.

"Jumaat? Tak boleh. Aku nak balik rumah nenek aku. Cuti tiga hari okey. Dah lama aku tak jenguk keluarga aku. Rindu!" kata Najla seraya bangun dari duduknya. Pinggan dibawa ke sinki.

"Ala, rumah nenek kau bukannya jauh pun. Tiga jam 16 minit dari Kuantan ke Melaka apalah sangat, babe," keluh Tiara. Bibirnya sudah dimuncung ke depan. Tidak berpuas hati dengan penolakan Najla.

"Tiga jam kalau tak jem. Kalau jem? Mereputlah aku."

"Okey, Cikgu Najla! Diterima alasannya. Tapi kan..."

Jeda.

"Tapi apa lagi, Teacher Tiara? Kau bawalah Jiha. Dia bab makan free ni sentiasa on punya," ujar Najla sambil membilas pinggan. Begitulah Tiara, suka benar melekat dengan seorang Najla.

"Bukan pasal tulah."

"Dah tu?"

"Ermm... pasal..."

Sekali lagi, Tiara menggantungkan bicaranya. Akal mula memikirkan diksi yang sesuai untuk disampaikan kepada Najla. Tidak mahu sahabatnya itu terus menolak.

"Apa dia, Tia? Berat sangat ke mulut kau nak bercakap? Ni tak lain dan tak bukan mesti ada something yang kau tengah buat dalam diam, kan?" tebak Najla sembari mengecilkan anak matanya. Kecil besar saja dipandangnya wajah Tiara yang sudah tersengih itu.

"Nadhif kawan Amran tu... single tau. So, kau tak nak cuba kenal dia dengan lebih mendalam ke? Mana tahu ada keserasian..."

Tak semena-mena, Tiara kematian diksi tika Najla tertawa kecil. Menghasilkan lekuk di pipi kirinya. Kecacatan yang memberikan kemanisan di roman wajah Najla Fakhira.

"Hah dah mula dah! Sekali lagi, aku tak berminat dengan benda ni semua. End of discussion! Bye!" pamit Najla seraya menaiki anak-anak tangga. Terhibur dengan omongan yang diucapkan oleh Tiara. Mengarut!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top