BAB 4

SEBAIK saja Najla melangkah masuk ke dalam kelas 3 Bestari, suara lantang murid memberi salam menusuk koklea. Masing-masing kelihatan bersemangat pada waktu pagi. Membibitkan ambien yang ceria di dalam kelas.

"Waalaikumsalam dan selamat sejahtera anak-anak cikgu," jawab Najla seraya meletakkan tas dan beg tote yang berisi bahan bantu mengajar di atas meja.

"Cikgu, hari ni kita belajar pasal apa?" soal Irfan. Ketua kelas 3 Bestari. Jemalanya sudah dipanjangkan memandang kertas mahjong, pen berwarna, kad manila yang ditampal dengan bahan pembelajaran. Menarik.

"Semangat betul ketua kelas kita ni. Sebelum kita mulakan aktiviti, cikgu nak tanda kehadiran kau orang dulu. Siapa hadir angkat tangan tau," kata Najla seraya mencapai buku rekod kehadiran pelajar. Seleret senyuman terukir di bibir melihat anak muridnya yang cergas.

Najla menyebut seorang demi seorang nama pelajarnya. Retina matanya tak lekang dari memerhatikan gelagat murid yang baru berusia sembilan tahun itu. Masih dalam kategori kanak-kanak. Namun, pemikiran matang mereka yang mendengar kata benar-benar membantu Najla dalam mengawal seisi kelas.

"Wah! Nampaknya, semua anak-anak cikgu hadir ke sekolah hari ini. Syabas! Mari bagi tepukan untuk diri sendiri," ujar Najla seraya memberikan tepukan buat anak-anak muridnya. Memberikan galakan yang positif kepada mereka.

Namun, senyuman Najla jadi pahit tatkala salah seorang pelajarnya hanya termenung. Seakan hanyut dalam lokanya sendiri. Bukan sekali Najla menangkap Iftiyah mengelamun dan bersendirian. Ada rasa khuatir mula menyentuh sanubari gadis berbaju kurung hijau itu.

"Okey, sekarang cikgu nak kau orang duduk dalam kumpulan. Satu kumpulan empat orang. Lepas dah berkumpul barulah cikgu terangkan kita nak buat aktiviti apa hari ni," arah Najla.

Sontak, ambien bertukar riuh dengan jeladeri murid yang sudah bertemperas mencari kumpulan masing-masing. Bunyi kerusi diheret turut kedengaran. Menyebabkan suasana kelas yang tenang bertukar riuh rendah.

"Semua dah dapat kumpulan masing-masing?"

"Sudah cikgu!"

"Cikgu, kita orang tak nak duduk dengan Iftiyah. Mak saya kata jangan bergaul dengan budak jahat. Ayah Iftiyah tu jahat cikgu."

"Betul cikgu! Ayah Iftiyah kena tangkap polis sebab bunuh orang."

Mendengar omongan daripada anak muridnya membuatkan Najla mula bertegas. Papan putih diketuk bertalu-talu agar anak-anak muridnya menghentikan kata-kata nista buat Iftiyah. Sungguh, Najla juga kaget dengan omongan muridnya mengenai Iftiyah. Patutlah gadis kecil itu asyik termenung dan menyendiri.

"Cikgu tak pernah ajar anak-anak cikgu hina orang lain. Kau orang tak baik buat Iftiyah macam tu. Dia pun ada perasaan juga. Sekarang, cikgu nak kau orang minta maaf dekat Iftiyah. Kalau tak... cikgu tak bagi kau orang keluar waktu rehat," tegas Najla seraya menghampiri Iftiyah.

Gadis kecil itu sudah tertunduk. Wajahnya yang kudus kelihatan sayu. Seolah menahan tangis setelah mendapat hinaan daripada rakan sekelasnya. Sungguh, Iftiyah gerun. Dia tidak mahu dibuli. Tidak mahu dicop sebagai anak pembunuh.

"Anak-anak cikgu, minta maaf dekat Iftiyah. Cikgu selalu pesan kan, jangan hukum orang sesuka hati," tegas Najla lagi seraya mengusap lembut bahu Iftiyah yang kelihatan jatuh.

Lambat-lambat, seisi kelas 3 Bestari menghampiri Iftiyah. Meminta maaf. Terpancar riak tak puas hati di sebalik roman wajah mereka tika Najla semakin bertegas.

"Iftiyah, lepas ni jumpa cikgu. Okey? Jangan takut. Cikgu tak marah pun. Cikgu cuma nak tolong Iftiyah je," pujuk Najla tatkala murid-muridnya kembali melabuhkan duduk di tempat masing-masing.

Seketika, Iftiyah mendongakkan jemalanya. Pandangan Iftiyah bersatu dengan Najla yang sudah membongkokkan tubuh sambil mengusap kepala gadis kecil itu. Memujuk Iftiyah bahawa semuanya akan baik-baik saja.

Sungguh, kelembutan Najla benar-benar meruntun hati kecil Iftiyah. Tak pernah lagi dia diberikan layanan yang baik seperti Najla melayaninya. Lambat-lambat, Iftiyah mengangguk. Menurut arahan daripada Najla yang sudah meleretkan senyuman manis.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top